Sesi Bersama Mufti Iraq


Segala puji bagi Allah S.W.T., pada 23 April yang lalu, aku telah berkesempatan untuk menghadiri satu sesi bersama Mufti Iraq, as-Syeikh Dr. Rafi’ Taha al-Latif al-Rifa‘iy al-‘Aniy yang kebetulan berada di Malaysia kerana menghadiri undangan daripada seorang ulama’ lain. Memandangkan beliau ada sedikit kelapangan, maka kami mengambil kesempatan untuk mengundang beliau ke Kompleks Anjung Rahmat untuk berkongsi ilmu dan pandangan beliau bersama kami. Persiapan dilakukan dalam masa yang agak lewat, menyebabkan kehadiran pada malam itu juga kurang memuaskan. Namun, di sebalik alasan itu, aku juga merasakan bahawa kehadiran yang agak sedikit pada malam itu menggambarkan betapa lemahnya budaya ilmu di kalangan masyarakat negara ini. Mungkin sahaja promosi terlalu lemah, namun orang yang benar-benar mencari-cari kesempatan untuk menimba ilmu pengetahuan, apatah lagi dengan berkat daripada kehadiran seorang ulama’ pasti akan berusaha juga untuk hadir walaupun dengan hanya notis ringkas.

Apapun, pada sesi tersebut Dr. Rafi’ Taha telah menyatakan kekaguman beliau terhadap negara Malaysia yang menurut hematnya sebuah negara yang cukup aman, tidak nampak pada pandangan beliau kefanatikan mazhab, serta tidak nampak pada beliau permusuhan besar di antara parti-parti politik. Mungkin beliau belum benar-benar mengenali latarbelakang sosio-politik negara ini, tetapi pengamatan beliau itu menggambarkan betapa kita masih lagi mampu mengawal suasana sosial dan politik negara ini sehingga tidak terjelma dalam masyarakat secara umumnya. Justeru, suasana yang cukup kondusif untuk Islam berkembang yang wujud dalam negara ini haruslah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya oleh pemuda-pemuda Islam untuk menggerakkan agenda dakwah dan tajdid Islami dengan bersungguh-sungguh.

Al-Fadhil Dr. Rafi’ Taha juga telah menekankan tentang kepentingan berpegang teguh kepada budaya wasatiyyah (sederhana). Malah, beliau menyatakan bahawa kelebihan umat Muhammad s.a.w. ada pada sifat wasatiyyah tersebut. Sikap ghuluw (melampau) dalam urusan agama hanya akan membawa lebih banyak masalah. Namun, bukanlah yang dikatakan wasatiyyah itu satu lesen untuk kita berkompromi dalam hal-hal tunjang. Wasatiyyah juga tidak bermaksud kita meringan-ringankan usaha dan ibadah kita. Wasatiyyah juga tidak bermaksud kita melonggar-longgarkan hukum-hukum Islam. Dr. Rafi’ Taha telah mengatakan bahawa Islam datang secara bersepadu. Oleh sebab itu, seandainya ada gerakan Islam yang gagal menampilkan secara menyeluruh, gerakan itu akan menjadi gerakan yang tidak produktif.

Di samping itu, Dr. Rafi’ Taha juga melahirkan rasa optimis beliau bahawa kesatuan umat itu bukanlah sesuatu yang mustahil, biarpun dalam keadaan umat Islam pada ketika ini yang kelihatan begitu banyak kelompok yang berbeza fahaman. Apa yang penting adalah umat Islam perlu menanam sikap yang positif dan berusaha bersungguh-sungguh ke arah kesatuan. Dalam hal ini, Dr. Rafi’ Taha menyatakan bahawa sebahagian daripada ‘ubudiyyah itu sendiri adalah merasai bahawa diri itu merupakan sebahagian daripada umat.

Walaupun sesi bersama al-Fadhil Dr. Rafi’ Taha berjalan pendek, namun aku cukup puas kerana sempat sekali lagi bersama seorang ulama’. Mudah-mudahan, kehadiran begitu ramai ulama’ yang sering kami undang ke Anjung Rahmat membawa berkat buat kami. Dalam perjuangan, ilmu itu bekalan yang tiada gantinya!

Previous
Next Post »