Wednesday, 5 March 2008

PROSES PILIHANRAYA DI MALAYSIA

Kepada semua rakyat Malaysia yang layak untuk mengundi pada 8 Mac ini, jangan lupa untuk menunaikan tanggungjawab anda. Kita bertanggungjawab untuk memilih pemimpin kita. Bagi yang beragama Islam, ingatlah bahawa memilih pemimpin itu adalah wajib. Namun, harus diingat bahawa kita perlulah bijak dalam memilih pemimpin kita. Pastikan pemimpin yang kita pilih itu benar-benar rakyat untuk mewakili suara rakyat, kerana bukankah mereka akan menjadi ‘wakil rakyat’? Jangan dibiarkan sentimen kepartian, perkauman mahupun emosi melulu mempengaruhi keputusan kita. Banyakkan pembacaan untuk mengetahui perkembangan-perkembangan semasa, untuk mendengar idea dan falsafah perjuangan yang hendak dibawa oleh calon-calon pemimpin kita. Bacalah akhbar-akhbar arus perdana, tetapi jangan dilupakan sumber-sumber berita alternatif yang kebanyakannya boleh diperolehi dalam Internet. Lakukan penilaian secara adil dan mengundi secara bijak.

Imam al-Ghazali pernah menyatakan bahawa kepimpinan itu adalah cerminan daripada hakikat batin dan kualiti umat. Justeru, seandainya kita benar-benar inginkan kepimpinan yang berkualiti, kita bersama-sama mulakan dengan diri kita sendiri. Pastikan kita benar-benar serius dalam soal politik negara. Pastikan kita membanyakkan pembacaan, prihatin dengan isu-isu semasa serta mengetahui sedikit sebanyak ilmu-ilmu berkaitan pentadbiran dan politik negara ini. Apabila kita sudah dilengkapi dengan bekalan ilmu, barulah kita boleh berpartisipasi secara aktif dalam suasana demokrasi.

Untuk itu, di sini disertakan beberapa maklumat penting berkaitan dengan proses pilihanraya di Malaysia. Maklumat ini diperolehi daripada laman web Suruhanjaya Pilihanraya (www.spr.gov.my). Sebagai pengundi, kita semua sepatutnya mengetahui dan faham dengan jelas akan proses dan peraturan pilihanraya. Maka, sebelum kita turun mengundi pada 8 Mac ini, marilah kita sama-sama hadami proses dan peraturan ini. Kemudian, seandainya ada mana-mana pihak yang didapati cuba untuk mencemar proses pilihanraya dengan melanggar peraturan, kita mainkanlah peranan kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab dengan menegur, menasihati, ataupun membuat laporan kepada SPR, polis, dan juga kepada MAFREL.

PROSES PILIHANRAYA DI MALAYSIA

1. SISTEM PILIHAN RAYA
Sejak tahun 1957, Malaysia mengekalkan sistem politik pelbagai parti yang mana parti politik yang memperoleh majoriti kerusi di Parlimen (Dewan Rakyat) atau Dewan Undangan Negeri boleh menubuhkan Kerajaan Persekutuan atau Negeri. Sistem yang digunakan di Malaysia berasaskan 'First-Past-The-Post-System'. Ini bermakna calon-calon yang memperoleh majoriti akan diisytihar pemenang di bahagian pilihan raya yang berkenaan.

2. UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN PILIHAN RAYA
Bagi memudahkan pelaksanaan pilihan raya, beberapa undang-undang dan peraturan telah digubal untuk memastikan prosedur pilihan raya dipatuhi sepenuhnya. Undang-undang dan peraturan-peraturan-peraturan yang digubal adalah seperti yang berikut:

· Perlembagaan Persekutuan;

· Perlembagaan Negeri;

· Akta Pilihan Raya, 1958 (Akta 19);

· Akta Kesalahan Pilihan Raya, 1954 (Akta 5);

· Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya, 1981;

· Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya, 2002;

· Peraturan-peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya, 2003.

Semua undang-undang dan peraturan-peraturan ini adalah berkait secara langsung dengan proses pilihan raya. Walau bagaimanapun terdapat juga beberapa undang-undang yang walaupun tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan proses pilihan raya, tetapi memain peranan dalam kelancaran penjalanan pilihan raya. Ia termasuklah Akta Polis 1962; Akta Hasutan 1970; Akta Rahsia Rasmi 1972; dan Akta Keselamatan Dalam Negeri, 1960.

3. ELEMEN-ELEMEN PENTING PILIHAN RAYA
Elemen-elemen penting pilihan raya adalah:-

· Bahagian Pilihan Raya

· Pemilih

· Calon

· Proses Pilihan Raya

4. BILANGAN BAHAGIAN PILIHAN RAYA
Dalam sistem pilihan raya yang diamalkan di Malaysia, seseorang calon dipilih untuk mewakili penduduk-penduduk sesuatu bahagian pilihan raya di Parlimen (Pilihan Raya Umum) atau Dewan Undangan Negeri (Pilihan Raya Negeri). Sehingga kini terdapat 222 kerusi Dewan Rakyat (Parlimen) dan 576 kerusi Dewan Undangan Negeri.

5. PERSEMPADANAN SEMULA BAHAGIAN-BAHAGIAN PILIHAN RAYA
Sebagai sebahagian daripada fungsi utamanya, Suruhanjaya Pilihan Raya bertanggungjawab untuk mengkaji semula sempadan Bahagian-bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri. Seperti yang tertera di dalam Perlembagaan Persekutuan, Suruhanjaya Pilihan Raya perlu menjalankan kajian ini setiap tidak kurang daripada 8 tahun.

6. PENDAFTARAN PEMILIH
Satu elemen penting dalam sistem pilihan raya ialah seseorang pemilih itu mestilah mendaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya sebelum dia boleh mengundi dalam pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Di Malaysia, seseorang itu layak untuk mendaftar jika dia:

· warganegara Malaysia;

· berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada tarikh kelayakan;

· seorang penduduk di mana-mana bahagian pilihan raya di Malaysia; dan

· tidak hilang kelayakan.

7. HILANG KELAYAKAN
Seseorang pemilih akan hilang kelayakan jika dia:

· pada tarikh kelayakan, ditahan kerana tidak siuman atau sedang menjalani hukuman penjara; atau

· sebelum tarikh kelayakan, telah didapati bersalah dan dihukum mati atau penjara untuk tempoh lebih 12 bulan dan masih menjalani hukuman pada tarikh kelayakan; atau

· telah didapati bersalah di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954; atau

· telah memperoleh kerakyatan asing.

8. SEMAKAN DAFTAR PEMILIH
Semakan daftar pemilih dijalankan di sepanjang tahun, seperti yang diperuntukkan di dalam undang-undang. Anda boleh mendaftar di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri, Pejabat-Pejabat Pos atau melalui unit-unit bergerak Suruhanjaya. Daftar-daftar pemilih baru disediakan setiap 3 bulan sekali dan ia dipamerkan selama 7 hari bagi tujuan urusan tuntutan dan bantahan. Selepas mempertimbangkan tuntutan dan bantahan melalui siasatan awam, daftar pemilih untuk tahun berkenaan akan disahkan oleh Suruhanjaya di dalam tempoh sebulan. Semasa semakan daftar induk, nama-nama pemilih yang sudah meninggal dunia dan yang sudah hilang kelayakan mengikut undang-undang akan dikeluarkan daripada daftar berkenaan.

9. KELAYAKAN CALON
Dalam sistem pilihan raya di Malaysia, calon yang bertanding boleh mewakili sesuatu parti atau bertanding sebagai calon bebas. Seseorang itu layak menjadi calon dalam mana-mana pilihan raya jika memenuhi syarat berikut:

· warganegara Malaysia dan bermastautin di negara ini;

· berumur tidak kurang daripada 21 tahun pada hari penamaan calon; dan

· tinggal di Negeri di mana dia akan bertanding.

Seseorang calon hilang kelayakan jika dia:

· telah didapati atau diisytiharkan tidak siuman; atau

· didapati seorang bankrap; atau

· memegang jawatan berkepentingan 'office of profit'; atau

· gagal mengemukakan laporan perbelanjaan pilihan raya; atau

· telah didapati bersalah oleh mahkamah di Malaysia dan dijatuhi hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang dari 1 tahun atau denda tidak kurang dari RM2000 dan belum mendapat pengampunan; atau

· telah memperoleh kewarganegaraan asing.

10. TEMPOH PILIHAN RAYA
Pilihan Raya untuk Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, seperti yang ditetapkan oleh undang-undang, diadakan sekali di dalam tempoh 5 tahun kecuali jika dewan dibubarkan lebih awal. Pilihan Raya Umum diadakan di dalam tempoh 60 hari selepas tarikh pembubaran.

Pilihan Raya Kecil juga diadakan di dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan, sama ada disebabkan kematian, peletakan jawatan atau seseorang Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri itu hilang kelayakan. Dalam hal ini tarikh kekosongan kerusi akan ditetapkan oleh Suruhanjaya.

11. PROSES PILIHAN RAYA
Pilihan Raya Umum atau Pilihan Raya Kecil bermula dengan pengeluaran writ pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya kepada Pegawai Pengurus. Pada masa yang sama satu notis akan diwartakan, menetapkan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi.

12. HARI PENAMAAN CALON
Hari penamaan calon merujuk kepada hari yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya bagi calon-calon mengemukakan kertas-kertas penamaan untuk bertanding dalam pilihan raya kepada Pegawai Pengurus. Kertas-kertas penamaan boleh dikemukakan oleh calon, pencadang dan penyokong atau salah seorang daripada mereka. Kertas-kertas penamaan mestilah dikemukakan di antara jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi pada hari penamaan.

Kertas-kertas penamaan akan dipamerkan dari jam 10.00 pagi hingga 11.00 pagi untuk diteliti dan bantahan. Dalam kes di mana seorang calon sahaja yang dicadangkan, Pegawai Pengurus akan mengisytiharkan calon itu menang tanpa bertanding.

13. DEPOSIT
Wang deposit berjumlah RM10,000 bagi kerusi Parlimen dan RM5,000 bagi kerusi Negeri perlu diserahkan kepada Pegawai Pengurus sebelum atau pada hari penamaan calon.

Calon akan hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh 1/8 daripada jumlah undi yang diperoleh oleh semua calon yang bertanding di dalam sesuatu bahagian pilihan raya berkenaan.

14. PENGGUNAAN SIMBOL
Seseorang calon yang mewakili sesuatu parti politik boleh menggunakan simbol parti jika dia mendapat kebenaran bertulis daripada ketua parti berkenaan. Calon-calon bebas perlu memilih mana-mana simbol yang telah disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, untuk dicetak pada kertas-kertas undi.

15. KEMPEN
Suruhanjaya Pilihan Raya telah merangka peraturan-peraturan khas untuk berkempen, seperti yang tertera di dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya (Pindaan) 2002. Kempen hanya boleh dimulakan selepas selesai proses penamaan calon dan mesti dihentikan jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi. Bagi memastikan pilihan raya berjalan lancar Suruhanjaya mempunyai kuasa di bawah perkara 3(5) Akta Pilihan Raya 1958 dan perkara 27A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk melantik Pegawai Penguat Kuasa dan membentuk satu atau lebih Pasukan-pasukan Penguat Kuasa di setiap bahagian pilihan raya Parlimen, jika difikirkan perlu. Unit ini dianggotai oleh Pegawai Penguat Kuasa yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya, seorang wakil dari Ibu Pejabat Polis Daerah, seorang wakil dari Pihak Berkuasa Tempatan dan seorang wakil tiap-tiap parti/calon yang bertanding.

Pegawai Penguat Kuasa bertanggungjawab kepada Pegawai Pengurus, dan tugas pasukan ini ialah untuk memantau bahan-bahan kempen, ceramah-ceramah pilihan raya dan perhimpunan umum, bagi memastikan peruntukan-peruntukan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan pilihan raya tidak dilanggar. Suruhanjaya Pilihan Raya juga akan menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa di peringkat Pusat/Negeri/bahagian-bahagian pilihan raya bagi memberikan penerangan kepada parti-parti politik, calon-calon atau ejen-ejen dan petugas-petugas parti mengenai undang-undang dan peraturan pilihan raya. Senarai perkara yang mesti dipatuhi dan dilarang semasa pilihan raya disediakan, dan ini perlu diambil ingatan oleh calon-calon dan petugas-petugas parti.

Biasanya, kempen pilihan raya adalah berupa:

· Pengedaran risalah dan surat;

· Poster;

· Ceramah tertutup dan ceramah umum;

· Kempen dari rumah ke rumah.

Parti-parti politik dibenarkan membentangkan dan memperjelas menifesto masing-masing. Mereka juga boleh menggunakan media elektronik. Walau bagaimanapun, calon-calon perlu membayar deposit berjumlah RM5,000 bagi pilihan raya Parlimen dan RM3,000 bagi pilihan raya Negeri. Deposit ini akan dipulangkan sekiranya calon-calon menanggalkan poster, sepanduk dan sebagainya di dalam tempoh 14 hari selepas hari mengundi.

Sepanjang tempoh berkempen pihak polis akan dari semasa ke semasa mengeluarkan garis-garis panduan kepada calon-calon yang bertanding untuk memastikan pilihan raya berjalan secara aman. Semua bentuk kempen mesti ditamatkan pada jam 12.00 tengah malam sebelum hari mengundi.

16. HARI MENGUNDI
Hari mengundi adalah merujuk kepada hari pemilih-pemilih membuang undi. Secara rasmi hari mengundi bermula dari selepas 12.00 tengah malam dan berakhir dengan pengumuman keputusan pilihan raya. Namun demikian, waktu membuang undi ditetapkan dari jam 8.00 pagi hingga jam 5.00 petang di seluruh Malaysia. Bagi kawasan-kawasan pedalaman, unit-unit bergerak digunakan bagi memastikan kelancaran membuang undi. Selain dari itu, waktu membuang undi mungkin berbeza antara daerah-daerah. Suruhanjaya Pilihan Raya biasanya akan mengeluarkan notis untuk memaklumkan orang ramai tentang perkara-perkara pilihan raya seperti:

· tarikh mengundi;

· lokasi tempat mengundi;

· waktu mengundi di semua tempat mengundi;

· lokasi pusat pengiraan dan penjumlahan undi.

Pengundian dilakukan di tempat-tempat mengundi yang telah diwartakan. Setiap tempat mengundi mempunyai seorang Ketua Tempat Mengundi yang mengawal selia proses pengundian. Beliau akan dibantu oleh kerani mengundi dan kerani mengira undi.

17. BARONG SPR
Undang-undang yang ada pada masa ini melarang calon daripada mendirikan pondok di mana-mana pusat mengundi di dalam kawasan tempat calon itu bertanding. Walau bagaimanapun, parti-parti politik dibenarkan untuk mengadakan bilik operasi jika sekiranya terletak di luar jarak 50 meter dari pusat mengundi. Bagi memastikan kelancaran pengundian, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia akan mendirikan barong SPR di pusat-pusat mengundi. Barong-barong ini adalah untuk membantu pemilih menyemak nombor siri mereka di dalam daftar pemilih dan saluran supaya pengundian berjalan dengan teratur.

18. KEBENARAN UNTUK MEMASUKI TEMPAT MENGUNDI
Hanya pemilih-pemilih yang nama mereka terdapat di dalam daftar pemilih bagi sesuatu tempat mengundi sahaja boleh dibenarkan masuk untuk membuang undi. Penggunaan kad pengenalan pemilih yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara sebagai pengenalan diri, dan perlu ditunjukkan di tempat mengundi. Bagi memastikan keadaan terkawal dan menentukan kerahsiaan undi, hanya pegawai-pegawai berikut yang dibenarkan memasuki tempat mengundi:

· Ahli dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya;

· Ketua Tempat Mengundi dan kakitangannya;

· calon-calon dan wakil calon;

· Ejen-ejen mengundi dan ejen mengira undi; dan

· orang-orang yang dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

19. CARA-CARA MENGUNDI
Undi adalah rahsia. Seseorang pemilih hanya boleh memangkah seorang calon sahaja, iaitu dengan menandakan ‘X’ bersebelahan nama calon yang dipilih. Selepas menandakan kertas undi, pengundi perlu melipatnya mengikut garisan di kertas undi, dan seterusnya memasukkannya ke dalam peti undi yang disediakan.

Jika diadakan pilihan raya serentak (Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri) kertas-kertas undi mestilah ditanda, dilipat dan dimasukkan ke dalam peti undi yang berasingan yang ditanda “PARLIMEN” dan “NEGERI”.

20. UNDI POS
Undi pos dihantar dengan pos seawal yang mungkin kepada pemilih yang layak mengundi melalui pos. Biasanya pengundi pos terdiri daripada anggota tentera, Pasukan Polis Hutan, petugas-petugas pilihan raya, pegawai-pegawai kerajaan yang bertugas di luar negara, pelajar yang menuntut di luar negara, serta isteri atau suami masing-masing.

Kertas undi pos mesti sampai kepada Pegawai Pengurus selewat-lewatnya jam 5.00 petang pada hari mengundi. Prosedur-prosedur yang lengkap telah disediakan untuk menjaga kerahsiaan undi.

21. EJEN MENGUNDI
Undang-undang membenarkan calon melantik ejen mengundi bagi tujuan menjaga kepentingan calon di setiap tempat mengundi di sepanjang masa.

Peranan ejen adalah untuk memastikan pengundian dijalankan mengikut undang-undang dan peraturan-peraturan yang berkaitan.

22. PENGIRAAN UNDI
Pengiraan undi dijalankan oleh Ketua Tempat Mengundi di tempat mengundi atau di satu pusat pengiraan undi yang telah ditetapkan. Undi pos bagi sesuatu bahagian pilihan raya dikira oleh Pegawai Pengurus di pusat pengiraan undi yang ditetapkan.

Semasa undi dikira, orang-orang yang dibenarkan sahaja boleh memasuki tempat mengira undi. Mereka ialah:

· Ahli-ahli dan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya;

· pegawai yang dilantik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya;

· kerani mengira undi; dan

· calon, wakil dan ejen mengira undi.

Kehadiran ejen-ejen calon adalah untuk memastikan pengiraan undi dijalankan mengikut proses yang betul seperti yang ditetapkan oleh undang-undang dan peraturan dan bagi memastikan urusan pengiraan undi itu betul, adil dan telus.

23. PENJUMLAHAN RASMI UNDI
Selepas selesai pengiraan undi di tempat-tempat mengundi dan pusat pengiraan undi, keputusan-keputusan pengundian dikemukakan kepada Pegawai Pengurus di pusat penjumlahan undi. Pegawai Pengurus akan menjumlahkan semua undi, termasuk undi pos, untuk menentukan pemenang.

Pegawai Pengurus bagi sesuatu bahagian pilihan raya itu akan mengisytiharkan calon yang mendapat undi majoriti, sebagai wakil yang terpilih bagi bahagian pilihan raya berkenaan.

24. PETISYEN PILIHAN RAYA
Keputusan pilihan raya boleh dicabar di mahkamah. Sesuatu petisyen boleh dibuat atas sebab-sebab berikut:

· sogokan, peras ugut atau sebarang salah laku yang mungkin telah menjejaskan pilihan raya;

· ketidak patuhan undang-undang dan peraturan pilihan raya;

· perbuatan rasuah atau perbuatan menyalahi undang-undang yang dilakukan oleh calon dan ejen-ejen;

· calon atau ejennya didapati tidak layak menyertai pilihan raya.

Petisyen pilihan raya mestilah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi di dalam masa 21 hari selepas tarikh keputusan pilihan raya disiarkan dalam Warta. Jika Hakim Pilihan Raya, selepas menjalankan perbicaraan ke atas petisyen berkenaan, memutuskan bahawa pilihan raya berkenaan terbatal, Suruhanjaya Pilihan Raya akan mengeluarkan notis yang mana pilihan raya baru akan diadakan di bahagian pilihan raya tersebut.

25. PENYATA PERBELANJAAN PILIHAN RAYA
Seseorang calon adalah layak membelanjakan wang bagi pilihan raya tetapi tidak boleh melebihi:

· RM200,000 bagi Dewan Rakyat; dan

· RM100,000 bagi Dewan Undangan Negeri

Laporan perbelanjaan mestilah dihantar kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri di dalam tempoh 31 hari selepas tarikh keputusan pilihan raya disiarkan di dalam Warta. Kegagalan untuk mengemukakan penyata perbelanjaan pilihan raya atau kegagalan untuk mengemukakannya di dalam tempoh yang ditetapkan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

26. PENYIMPANAN DAN PELUPUSAN
Dalam proses pilihan raya, satu aspek penting ialah penyimpanan kertas-kertas undi dan dokumen lain berkaitan. Dokumen-dokumen ini mestilah disimpan di dalam peti atau peti-peti khas dan dikunci dengan disaksikan oleh ejen-ejen calon.

Peti-peti khas ini disimpan selama 6 bulan di bawah pengawasan Pegawai Pengurus. Pengarah Pilihan Raya Negeri akan menyimpan daftar pemilih yang telah ditandakan dan juga 'counter foils' kertas undi. Ini adalah bagi menjamin kerahsiaan undi. Peti-peti itu hanya boleh dibuka atas arahan Hakim Mahkamah Tinggi, jika ada kes-kes petisyen.

Selepas tempoh 6 bulan, Pegawai Pengurus, selepas mendapat kebenaran Suruhanjaya Pilihan Raya akan melupuskan kertas-kertas undi dan dokumen-dokumen berkenaan. Pegawai Pengurus kemudian akan mengemukakan sijil pelupusan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri.

27. PENUTUP
Proses pilihan raya di Malaysia adalah satu proses yang baik berdasarkan kepada penggubalan beberapa undang-undang dan peraturan yang memastikan pilihan raya yang bebas, adil dan telus. Di samping itu proses pilihan raya ini menjamin keputusan pilihan raya diumumkan dengan cepat.

No comments: