Perginya seorang lagi pejuang agama...

















Negara kehilangan seorang lagi pejuang agama yang berwibawa. Jam 8.07 pagi tadi (Sabtu, 1 Mac 2008), Dato' Syeikh Azmi Bin Ahmad disahkan meninggal dunia setelah beberapa bulan bertarung dengan kesakitan yang beliau alami. Beliau yang pada mulanya mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Kompleks Anjung Rahmat, kemudian ke KBMC di Kampung Baru dan kemudiannya dimasukkan pula ke IJN. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya bersama orang-orang soleh.

Dato' Syeikh Azmi
dilahirkan di Batas Liku, Arau, Perlis pada 10 Ogos 1943. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Arau. Kemudian menyambung pengajian menengah di Sekolah Arab Alawiyyah Arau. Setelah tamat pengajian menengah, anak kedua kepada pasangan Hj. Ahmad Bin Long dan Melor Binti Musa ini kemudiannya menyambung pengajian di Universiti Baghdad, Iraq dalam bidang pengajian Pengajian Syariah & Kesusteraan Arab sehingga memperolehi B.A dalam bidang tersebut.

Setelah kembali ke tanah air, beliau mendirikan rumah tangga dengan Puan Balkis Binti Musa pada bulan April, 1971 dan kini mempunyai 8 orang anak (2 perempuan dan 6 lelaki). Pada mula kerjayanya bertugas sebagai Pegawai Penerangan Agama di Jabatan Hal Ehwal Agama, Perak. Setelah itu, dilantik menjadi Khadi di Kedah sebelum dilantik menjadi Timbalan Khadi Besar di Kedah. Ketika bertugas di Alor Setar ini, beliau pernah mengikuti kursus Pengajian Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) (1987) dan memperolehi Diploma Kehakiman dan Pentadbiran Hukum Syara' dan kemudiannya mengikuti kursus di The Muslim Collegge, London (1990) selama 6 bulan.

Dato' Syeikh Azmi Bin Ahmad adalah merupakan bekas Mufti Pulau Pinang (1992-1997), bekas Ketua Hakim Mahkamah Syarie Pulau Pinang (1998-1999), dan pernah juga menyandang jawatan sebagai Y.A.A. Ketua Hakim Syarie Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Labuan). Beliau juga merupakan bekas Naib Presiden Parti KeAdilan Nasional (sekarang Parti Keadilan Rakyat).

Kalungan Al-Fatihah buat Allahyarham Dato' Syeikh Azmi Bin Ahmad.

Previous
Next Post »