Memetik laporan dalam Berita Harian hari ini, Isnin 7 September 2009:
PUTRAJAYA: Seramai 306 murid di beberapa sekolah rendah di negara ini dikesan terbabit dalam penyalahgunaan dadah tahun ini, kata Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Datuk Abdul Bakir Zin.
Beliau berkata, murid berkenaan dikesan positif dadah hasil ujian air kencing secara pro aktif yang dijalankan Unit Pencegahan AADK.
“Di Kelantan kami dapati lebih kurang 60 orang murid sekolah positif dadah. Kami berjaya mengesan mereka melalui Program Intervensi Pelajar yang dilaksanakan dengan Kementerian Pelajaran.”
“Program ini dilakukan khusus untuk mengesan secara pro-aktif murid sekolah yang berkemungkinan menjadi penghisap dadah,” katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani “Term of Referrence” dengan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di sini, hari ini.
Beliau berkata melalui kerjasama dengan Kementerian Pelajaran, AADK turut menjalankan program susulan bagi memastikan gejala penyalahgunaan dadah di kalangan murid dan pelajar dapat dibendung.
Abdul Bakir bekata Unit Pencegahan AADK turut melakukan pengawasan terhadap pelbagai badan, jabatan dan agensi kerajaan untuk memastikan tiada penyalahgunaan dadah berlaku di kalangan penjawat awam.
“Setakat ini tiada penjawat yang positif dadah yang kami kesan,” katanya.
Beliau berkata pihaknya juga akan melakukan pemeriksaan berterusan terhadap pemandu bas sempena musim perayaan ini. - BERNAMA
Laporan ini suatu laporan yang merisaukan. Apabila murid sekolah rendah pun sudah pandai menagih dadah, maka sudah tentu itu suatu gambaran yang sangat merisaukan. Hal ini menggambarkan masalah besar yang berlaku dalam masyarakat kita. Apakah yang menyebabkan murid sekolah rendah pun sudah pandai menagih dadah? Apakah institusi kekeluargaan di negara ini sudah begitu rapuh sehinggakan kanak-kanak pun boleh terdorong untuk menagih dadah? Namun, apa yang pasti, hal ini merupakan suatu lagi petanda betapa pandangan hidup masyarakat di negara ini, terutamanya di kalangan masyarakat majoriti yakni umat Islam, begitu celaru dan rapuh.
Dalam kes seperti ini, sudah tentu yang boleh dikatakan sebagai salah bukanlah semata-mata kanak-kanak sekolah itu. Hal ini demikian kerana keterlibatan mereka dengan penyalahgunaan dadah tersebut pastinya kerana ada ‘dalang’ daripada kalangan orang dewasa di belakangnya. Yang penting juga, di manakah letaknya peranan institusi kekeluargaan? Apakah ibubapa pada hari ini sudah terlalu sibuk dengan kerjaya dan mengejar harta dunia, sehingga mengabaikan tanggungjawab besar mereka dalam mendidik dan membentuk anak? Ibubapa harus faham, pendidikan anak-anak bukanlah dengan menghantar mereka ke sekolah. Tetapi yang lebih penting, pendidikan anak-anak adalah merupakan tanggungjawab ibubapa yang harus mengajarkan mereka dengan adab dan akhlak yang ditunjukkan oleh Islam semenjak anak-anak itu kecil lagi. Malah, dalam Islam, pendidikan anak itu harus bermula semenjak sebelum anak itu lahir lagi.
Seringkali pada hari ini, menjadi kecenderungan di kalangan banyak pihak untuk menuding jari dan menyalahkan golongan muda atas masalah-masalah sosial yang berlaku. Perkara ini harus dibetulkan. Dalam Islam, kita tidak diajarkan bahawa terdapat perbezaan umur dalam soal tanggungjawab, ilmu dan akhlak. Ada di kalangan generasi muda yang sangat berilmu, sangat baik akhlaknya dan sangat mulia kedudukannya di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. Dan, ramai juga di kalangan generasi tua yang sedikit ilmunya, buruk akhlaknya dan rendah darjatnya di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala. Begitulah sebaliknya. Oleh sebab itulah dalam kita meneliti permasalah sosial, seperti isu penyalahgunaan dadah di kalangan murid sekolah rendah ini, kita harus melihatnya dalam perspektif yang lebih luas, ‘the bigger picture’. Isunya bukan semata-mata masalah generasi muda pada hari ini yang semakin hilang hala tuju, tetapi masalahnya adalah masalah segenap entiti dalam masyarakat yang menyumbang ke arah berlakunya permasalahan tersebut.
Perkara paling asas, sudah tentu adalah untuk membetulkan pandangan hidup masyarakat itu sendiri. Dan, yang dimaksudkan dengan masyarakat di sini termasuklah golongan remaja dan belia, para ibubapa, para pendidik, ahli korporat dan juga ahli politik. Rata-ratanya, pandangan hidup masyarakat kita pada hari ini dicorak dan dibentuk oleh fahaman yang sekularistik dan materialistik. Masyarakat dididik dan dimomokkan dengan slogan ‘kemajuan’ dan ‘pembangunan’ yang bersifat semata-mata fizikal dan material. Jika adapun soal pembangunan insan ditekankan, itu pun adalah bertujuan untuk menambah tenaga kerja bagi membantu proses pembangunan yang bersifat material itu. Hal ini berlaku kerana masyarakat kita ‘terperangkap’ dalam suatu pandangan hidup yang melihat kemajuan dan pembangunan material itu sebagai matlamat dan sumber kebahagiaan. Sedangkan, dalam Islam, kita diajar dengan begitu jelas bahawa segala yang bersifat duniawi ini nilainya sangat rendah dan malah tidak bermanfaat untuk kehidupan abadi kelak. Dalam Al-Qur’an sendiri dijelaskan betapa harta dunia dan anak-anak tidak akan bermanfaat di hari akhirat kelak. Sebaliknya, yang bermanfaat adalah hati yang suci dan bersih yang dipersembahkan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.
Masyarakat kita pada hari ini tidak lagi diajar untuk melihat hala tuju kehidupan ini dalam pandangan yang lebih luas. Pengaruh sekularisasi telah menyebabkan ilmu-ilmu yang fundamental dan paling penting seperti pendidikan agama Islam disamatarafkan, atau diletakkan lebih rendah tarafnya, dengan ilmu-ilmu lain seperti sains dan matematik. Akibatnya, masyarakat kita mengetahui akan hari akhirat, tetapi tidak ramai yang benar-benar meyakini dan menghayatinya. Sedangkan, hakikatnya, hari akhirat itulah kehidupan kita yang sebenar. Semua manusia akan mati, tidak ada sesiapa boleh menyangkalnya. Selepas kematian, kita semua akan dihidupkan semula, dinilaikan segala amalan kita di dunia ini, dan kemudian kita akan dihantar ke destinasi terakhir kita: syurga atau neraka, dan di sana kita hidup selama-lamanya! Semua orang akhirnya akan ke situ, tetapi mengapa hal tersebut tidak menjadi suatu slogan yang utama dalam menentukan hala tuju masyarakat. Malah, perbincangan tentang soal kematian, syurga dan neraka dianggap sebagai sesuatu yang ‘kolot’ dan ‘terkebelakang’ dalam masyarakat pada hari ini. Sesungguhnya, orang yang menganggap kolot dan memandang rendah perbincangan-perbincangan tersebut adalah sebenarnya orang yang jahil dan buta mata hatinya.
Akhirnya, bila berlaku isu seperti penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah rendah ini, semua pihak akan mula menuding jari menyalahkan antara satu sama lain, dan kemudiannya suatu lagi dasar, peraturan, kempen dan program mungkin akan diperkenalkan yang pada hakikatnya tidak pun menyentuh akar permasalah sebenar dalam masyarakat kita pada hari ini. Justeru, apa yang penting dan yang boleh dilakukan oleh kita selaku entiti kecil dalam masyarakat adalah untuk kembali mendekatkan diri kita kepada Allah dan Rasul-Nya, dan seterusnya berusaha menyampaikan kefahaman kepada masyarakat agar menjadikan keredhaan Allah dan Rasul-Nya itu sebagai matlamat utama yang ingin dicapai dalam kehidupan.
Mohon respon dan pandangan balas.
Wallahu’alam.
1 comments:
Click here for commentsanda akan bagi ruang tempat duduk dalam komuter kepada orang yg lebih memerlukan? http://alikhwan.webs.com/apps/blog/show/1713544-secebis-akhlak-segunung-impak