Sarawak kaji semula undang-undang syariah - Malaysiakini

Sarawak kaji semula undang-undang syariah

30 Mei 2017, 10:34 malam



Kerajaan negeri akan mengkaji beberapa perkara dalam undang-undang syariah untuk penambahbaikan.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata antara perkara yang akan dikaji ialah undang-undang keluarga termasuk melibatkan perkahwinan campur, penceraian dan memeluk Islam.

Katanya sehubungan itu beliau sudah mengarahkan Menteri Muda Undang-undang, Hubungan Negeri dan Persekutuan dan Pemantauan Projek Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali untuk memantau kajian tersebut.

"Kami akan kaji semula Ordinan Majlis Islam Sarawak, beberapa perkara di bawah undang-undang syariah akan dikaji semula kerana kami nak berikan satu undang-undang yang dapat diuruskan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis pengagihan bubur Masja-SA di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Kuching hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata kajian semula itu dilihat perlu bagi memberi keadilan kepada mereka yang terlibat dalam masalah keluarga.

"Sebagai contoh kes penceraian, kita hendaklah beri keadilan kepada mereka yang mempunyai masalah tersebut.

"Kajian menyeluruh itu juga akan dibuat melibatkan perkahwinan campur. Berkenaan memeluk Islam pula apa yang berlaku ketika ini ialah ada yang tidak tukar nama di kad pengenalan itu termasuk perkara akan dikaji untuk kemakmuran rakyat," katanya.

Ketika ditanya jangkaan kajian itu akan disiapkan, Abang Johari berkata tempoh enam hingga lapan bulan diperlukan untuk kajian itu disiapkan.

"Sebaik siap kami akan bentangkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri sama ada November depan atau April 2018," katanya.

- Bernama

Ini adalah satu perkembangan yang sangat baik untuk negeri Sarawak. Tahniah kepada Ketua Menteri Sarawak kerana memberikan tumpuan kepada hal-hal berkaitan kepentingan umat Islam di negeri Sarawak. Mudah-mudahan lebih banyak lagi penambahbaikan akan dilakukan demi kemaslahatan umat Islam. Sebagai sebuah negeri yang bergabung dalam pembentukan negara Malaysia, adalah penting untuk Sarawak bersama-sama mempertahankan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan. Walaupun negeri Sarawak adalah sebuah negeri yang sangat majmuk dengan penduduk yang menganut pelbagai agama dan datang daripada pelbagai bangsa, namun sekiranya kedudukan Islam itu dijaga dengan berlandaskan prinsip-prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah yang betul, maka pasti semua lapisan masyarakat akan dapat hidup dalam aman dan terjamin dalam keadilan. 
Cuma, beberapa perkara yang saya perlu tekankan sebagai nasihat dan peringatan: 
[1] jawatankuasa yang membuat kajian berkaitan undang-undang syariah itu boleh dianggotai oleh pelbagai latar kepakaran, tetapi MESTILAH ahli-ahli yang paling dominan dan yang mempunyai suara "veto" dalam jawatankuasa itu adalah para 'ulama. 
[2] para 'ulama atau ilmuan Islam yang dipilih itu mestilah juga disahkan oleh badan autoriti agama Islam negeri, supaya tidak ada pandangan-pandangan ekstrim yang menyeleweng daripada landasan Ahli Sunnah wal Jamaah yang diterima masuk. 
[3] adalah penting untuk ahli-ahli politik yang bukan beragama Islam untuk tidak campurtangan dalam hal ehwal agama Islam; kerana apa sahaja pindaan dan pembaharuan terhadap aplikasi undang-undang syariah di negeri Sarawak hanya terpakai kepada orang yang beragama Islam.
Previous
Next Post »