BERKONFRONTASI DEMI ISLAM

Mengelakkan konfrontasi itu sesuatu yang baik kerana tidak ada sesiapa yang suka kepada konfrontasi. Walau bagaimanapun, dalam kehidupan di atas muka bumi yang sementara ini ada keadaan-keadaan di mana konfrontasi dan pergaduhan tidak dapat dielakkan. Keadaan-keadaan ini, khususnya, berlaku apabila sesuatu yang hak dilanggar.

Sebagai contoh yang mudah untuk kita fahami; apabila penjenayah masuk ke dalam rumah kita dan cuba memperkosa adik kita, adakah kita akan (i) menjerit dan menyerang penjenayah tersebut, atau (ii) membiarkan penjenayah masuk ke bilik adik kita tetapi dengan nada bahasa yang lemah lembut cuba meminta penjenayah tersebut supaya jangan memperkosa adik kita? Melainkan anda seorang yang tidak waras dan sudah tidak punya kemuliaan, pastinya pilihan kita nombor (i) itu. Dalam keadaan seperti itu, memang tahap wajib untuk berkonfrontasi dengan penjenayah tersebut. Itu bukan masa untuk rundingan.

Begitulah, apa sesuatu yang lebih tinggi haknya dilanggar, maka terlebih wajarlah untuk kita mengambil jalan konfrontasi bagi mempertahankan hak yang sememangnya wajib kita pertahankan.

Dalam konteks isu-isu semasa di Malaysia, apabila ada perkara-perkara yang menyanggahi hak Allah dan Rasulullah, maka wajiblah bagi seluruh umat yang beragama Islam untuk mengambil peranan untuk mempertahankan hak tersebut. Apatah lagi di Malaysia, tindakan mempertahankan hak umat Islam adalah tindakan yang selari dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Dalam mempertahankan hak umat Islam, kepentingan parti politik wajib diketepikan. Dalam mempertahankan hak umat Islam, jika perlu kita berkonfrontasi seketika dengan golongan bukan Islam (golongan minoriti) yang tidak menghormati kedudukan Islam di negara ini, maka berkonfrontasilah!

Kepada semua para pemimpin politik dan politikus, jangan lupa:
Islam adalah agama Persekutuan ini, dirakam jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Keluhuran perlembagaan adalah salah satu prinsip Rukun Negara.
Jika itu dilanggar dan tidak dihormati, layakkah jadi warga negara ini?

Untuk agama, bangsa dan negara.


Previous
Next Post »