SI BAHLUL DAN GURU SUFI



Pada zaman pemerintahan Kerajaan Bani Abbasiyah terdapat seorang ulama' sufi bernama Syeikh Junaid al Baghdadi yg tersohor dgn ketinggian ilmunya. Selain menjadi pelopor kepada ilmu tasawuf Islam, beliau juga dikenali sebagai seorang pedagang yang berjaya di jazirah Arab.

Suatu ketika, Syeikh Junaid telah berangkat ke kota Baghdad bersama dengan para pengikutnya atas urusan perniagaan. Sebaik urusannya selesai, Syeikh Junaid telah bertanya tentang seorang lelaki dan berniat untuk menemui lelaki tersebut.

"Kenalkah kamu lelaki bernama Bahlul di kota Baghdad ini?" tanya ulama' tersebut kpd anak muridnya. Mereka menjawab, "Ya, dia seorang yang gila. Apakah yang syeikh perlukan daripadanya?"

"Cari lelaki itu kerana ada sesuatu yang aku perlukan daripadanya," kata Syeikh Junaid.

Tanpa banyak bicara, murid-murid Syeikh Junaid segera mencari lelaki bernama Bahlul itu di segenap kota Baghdad dan akhirnya menemui beliau di dalam sebuah pondok usang di gurun yang agak terpencil.

Keadaan Bahlul dilihat tidak terurus. Pakaiannya compang camping dan rambutnya kusut masai. Memang sah, itulah lelaki yang dicari oleh guru mereka. Murid-murid Syeikh Junaid pun bergegas pulang ke kota Baghdad dan membawa guru mereka untuk bertemu dengan lelaki tersebut.

Ketika Syeikh Junaid mendekati Bahlul, dia melihat Bahlul sedang gelisah sambil menyandarkan kepalanya ke tembok batu.

Syeikh Junaid memberi salam kepadanya dan beliau menjawab seraya bertanya semula, "Siapakah engkau?"

"Aku Junaid al Baghdadi," jawab ulama' sufi itu.

"Apakah engkau Abul Qasim (nama sebenar Syeikh Junaid al Baghdadi)? Apakah engkau Syeikh Baghdadi yg sering mengajak manusia ke arah jalan kebaikan dan mencintai akhirat?" tanya Bahlul.

"Ya!" Jawab Syeikh Junaid.

"Apakah engkau tahu cara makan?" tanya Bahlul sekali lagi.

Lalu Syeikh Junaid menjawab, "Aku mengucapkan Bismillah. Aku makan yang ada di hadapan ku, aku menggigitnya sedikit, meletakkan di sisi kanan dalam mulutku dan perlahan mengunyahnya. Aku mengingati Allah sambil makan. Apa pun yang aku makan, aku ucapkan alhamdulillah. Aku cuci tangan sebelum dan sesudah makan."

Bahlul berdiri, menyebakkan pakaiannya dan berkata, "Kau ingin menjadi guru yang dihormati di dunia tetapi kau tidak tahu pun cara makan!"

Sambil berkata demikian, Bahlul berlalu pergi. Salah seorang murid Syeikh Junaid berkata, "Wahai syeikh, dia adalah orang gila."

"Ya, dia adalah orang gila yang bijak dan cerdas. Dengarkan kebenaran daripadanya," jawab Syeikh Junaid. Dia kemudian mendekati Bahlul sekali lagi.

"Siapakah engkau?" tanya Bahlul.

"Syeikh Baghdadi yang tidak tahu cara makan, " jawab Syeikh Junaid.

"Engkau tidak tahu cara makan tetapi adakah kau tahu cara berbicara?" tanya Bahlul.

"Ya," jawabnya. "Aku berbicara tidak kurang dan tidak lebih dan aku tidak terlampau banyak berbicara. Aku berbicara supaya pendengar mudah memahami. Aku tidak berbicara terlampau banyak supaya orang ramai tidak mudah bosan. Aku mengajak manusia ke jalan Allah dan Rasul," kata Syeikh Junaid.

"Lupakan sahaja tentang makan kerana kau juga tidak tahu tentang bagaimana cara untuk berbicara," kata Bahlul. Dia berdiri dan berlalu pergi.

Anak murid Syeikh Junaid berkata, "Wahai syeikh, anda lihat sendiri dia adalah seorang yang gila. Apa yg syeikh harapkan daripada orang gila sepertinya?"

"Ada sesuatu yang aku perlukan daripadanya yang kamu tidak tahu," jawab Syeikh Junaid. Dia kemudian bangun dan mendekati Bahlul semula.

"Apakah yang kau mahu lagi daripadaku? Kau tidak tahu cara makan dan berbicara, adakah kau tahu cara tidur?" tanya Bahlul sebaik Syeikh Junaid mendekatinya.

"Ya, aku tahu. Selepas solat Isyak, aku mengenakan pakaian tidur, aku berwuduk, berdoa dan..." jawab Syeikh Junaid menerangkan adab-adab tidur sebagaimana lazimnya diajarkan oleh para ulama'.

"Sudah, ternyata kau juga tidak tahu bagaimana cara tidur," kata Bahlul dgn tegas sambil bingkas bangun.

Tetapi kali ini Syeikh Junaid menahannya. "Wahai Bahlul, aku tidak tahu, kerana Allah, maka ajarkanlah aku," pinta Syeikh Junaid kepada Bahlul.

Bahlul menjawab, "Sebelum ini kau mengatakan bahawa kau tahu maka aku menghindarimu. Sekarang setelah kau mengaku engkau tidak tahu, maka aku akan mengajar kamu cara makan, berbicara dan tidur."

"Ketahuilah bahawa kebenaran yang ada di sebalik makanan ialah makanan yang halal. Jika engkau memakan makanan yang haram dengan seribu adab sekalipun ianya tidak akan memberi manfaat melainkan menyebabkan hatimu menjadi hitam."

Kebenaran yang ada di sebalik bicara ialah hati harus bersih sebelum berbicara dan percakapan kamu hendaklah menyenangkan Yang Maha Pencipta terlebih dahulu daripada yang mendengar. Sekiranya bicaramu hanya untuk urusan duniawi yang sia-sia dan tidak menjurus kepada Allah maka ia akan mendatangkan malapetaka. Sebab itu diam adalah lebih baik daripada berkata-kata."

"Kebenaran yang ada di sebalik tidur adalah hatimu perlu bebas daripada sifat permusuhan dan kebencian sebelum tidur. Hatimu tidak boleh tamak akan kekayaan dunia. Maka ingatlah Allah ketika kamu tidur," kata Bahlul kepada Syeikh Junaid.

Kata-kata itu membuatkan Syeikh Junaid Al-Baghdadi tersenyum. Ya, itulah jawapan yg diperlukan daripada lelaki yang dikatakan oleh masyarakat sebagai orang gila itu.

Syeikh Junaid kemudian menghulurkan salam dan mencium tangan Bahlul, lantas berdoa untuk kesejahteraannya.

Siapa sebenarnya lelaki yang dikatakan gila bernama Bahlul itu?

Bahlul atau namanya yang sebenar, Wahab bin Amr dilahirkan di Kuffah, Iraq merupakan keluarga Diraja. Beliau adalah sepupu kepada Khalifah Harun al Rasyid. Ketika hayatnya Bahlul dikenali sebagai ilmuan Islam dan pernah menjawat jawatan Hakim kerajaan Bani Abbasiyah.

Namun Bahlul telah meninggalkan segala kekayaan dan kemewahan hidupnya untuk hidup sederhana. Disebabkan kerana itu, dia diberi julukan Bahlul oleh penduduk setempat.

Bahlul sebenarnya tidak gila, tetapi dia berpewatakan sebegitu bagi menyembunyikan kebijaksanaannya daripada diketahui oleh orang lain.

Itulah dia kisah seorang yang arif bernama Bahlul. Pengajaran daripada kisah tersebut:

Pertama, Syeikh Junaid al Baghdadi sebagai seorang guru yang disegani tidak jemu untuk mencari ilmu dan sanggup mencarinya diceruk-ceruk kampung yang terpencil.

Kedua, Syeikh Junaid sebagai seorang yang arif mengetahui bahawa Bahlul bukanlah seorang gila seperti mana dikatakan oleh masyarakat malah adalah seorang yang mempunyai hikmah ilmu dan kerana itu beliau berusaha mencarinya. Jauhari juga yang mengenal manikam.

Ketiga, Syeikh Junaid walaupun seorang guru yang terkenal dan mempunyai ramai murid tidak sombong dan sabar serta merendah diri di hadapan Bahlul dan tetap mendatangi beliau walaupun Bahlul beberapa kali menyebak pakaiannya dan pergi. Benarlah seorang yang berkehendakkan ilmu itu mesti mendatangi ilmu dan bukan sebaliknya.

Keempat, seorang yang mencari ilmu mestilah lebih banyak sabar dan mendengar daripada berkata-kata dan mesti merasakan diri tidak tahu kerana merendahkan diri di hadapan ilmu.

Kelima, ketrampilan seseorang tidak semestinya mencerminkan ilmu seseorang itu. Walaupun Bahlul tidak berpakaian hebat seperti gaya tuan guru tetapi hikmah kata-katanya disanjung tinggi oleh Syeikh Junaid al Baghdadi.

Keenam, Syeikh Junaid menerangkan bab feqah tentang adab dalam melakukan sesuatu tetapi Bahlul menerangkan bab hati iaitu kunci utama di dalam sesuatu perbuatan ibadat itu. Sesungguhnya jika baik hati itu maka inshaAllah baiklah segalanya. Selain daripada mengetahui tentang adab tetapi ia tidak mencukupi kerana hati yang ikhlas dan bersih diperlukan untuk mendapat keberkesanan daripada amalan tersebut.

Ketujuh, Syeikh Junaid mencium tangan Bahlul atas dasar penghormatan seorang murid yang telah diberi ilmu yang tidak ternilai. Begitulah cara orang yang beradab pada ilmu di mana peradaban seperti itu sudah berkurangan di zaman ini. Maka ilmu yang dipelajari tidak ada keberkatannya.
Previous
Next Post »