HARGA MINYAK NAIK LAGI: MASA UNTUK MARAH?

HARGA MINYAK NAIK LAGI: MASA UNTUK MARAH?

Harga minyak naik lagi. Seperti biasa, setiap kali kerajaan menaikkan harga minyak maka orang ramai akan mula terasa bahangnya dan dua perkara ini pasti berlaku: (i) stesen minyak akan dipenuhi dengan orang ramai yang berduyun-duyun datang untuk memenuhkan tangki kereta pada malam sebelum harga dinaikkan, dan (ii) segala macam karikatur, gambar dan ayat-ayat kreatif untuk menyindir, mengeji, mengutuk dan mengumpat para menteri – khususnya Perdana Menteri – akan mula di-viral-kan sebagai reaksi marah orang ramai terhadap kenaikan harga minyak tersebut.


Reaksi marah adalah reaksi normal. Tapi mari kita tarik nafas sejenak dan bertenang. Adakah benar ini masanya untuk marah? Saya ingin menghadirkan satu cara fikir alternatif untuk kita melihat masalah kenaikan harga minyak dan juga kenaikan harga barangan ini. Jika anda mengikuti cara fikir ini, saya sangat dan percaya anda mampu mengatasi masalah kenaikan harga barang ini – tidak kira walau sekecil manapun pendapatan anda sekarang.

Benda Dah Jadi

Pertama, harga minyak sudahpun naik dan harga barang sudahpun naik. Sekalipun anda marah dan memuatnaik segala variasi kata kesat dan sumpah laknat dalam semua akaun media sosial anda, harga minyak dan harga barang sudahpun naik. Melainkan anda seorang ahli parlimen atau seseorang yang mempunyai jawatan pada tahap pembuat dasar dalam kerajaan, maka pada hakikatnya tidak ada apa yang anda boleh lakukan untuk mengubah hakikat bahawa harga minyak dan harga barang sudahpun naik.

Jadi: kawal kemarahan anda. Saya tidak katakan jangan marah kerana saat kita rasa tertindas memang seharusnya kita merasa marah. Tapi kawal kemarahan. Tidak ada gunanya melayan kemarahan itu dan dibiarkan menjadi melarat kerana benda dah jadi. Semakin anda biarkan kemarahan itu membakar kewarasan akal, maka banyaklah perkara-perkara yang mengundang dosa dan mudarat kepada diri anda sendiri akan berlaku.

Ambil Tanggungjawab Terhadap Diri Sendiri

Orang mukmin adalah orang yang kuat. Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam juga telah berpesan dalam hadith baginda bahawa “mukmin yang kuat itu lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah”. Kekuatan yang dimaksudkan di sini bukanlah kekuatan fizikal semata-mata kerana kekuatan fizikal manusia bergantung kepada kondisi tubuh yang dikurniakan oleh Allah kepada kita semua. Tetapi kekuatan yang dimaksudkan, dalam konteks yang lebih adil dan benar, adalah kekuatan yang boleh ‘diusahakan’. Kekuatan spiritual, kekuatan minda dan kekuatan untuk memimpin diri sendiri adalah antara bentuk kekuatan yang boleh diusahakan melalui ilmu dan latihan.

Salah satu ciri manusia yang lemah dan yang tidak mahu bertanggungjawab terhadap diri sendiri adalah manusia yang sering menyalahkan orang lain apabila berhadapan dengan sesuatu masalah dan kesulitan. Tidak pernah dia melihat kepada kesalahan diri sendiri, sebaliknya hanya suka menyalahkan orang lain kerana menyalahkan orang lain itu lebih mudah daripada menyalahkan diri sendiri. Menyalahkan orang lain bermakna menyerahkan pertanggungjawaban kepada orang lain dan itu lebih mudah daripada mengambil tanggungjawab itu sendiri.

Contoh, dalam kes kenaikan harga barangan ini: adalah lebih mudah dan kurang tanggungjawabnya apabila kita hanya menuding jari kepada para menteri dan menyalahkan kerajaan. Kita menyerahkan segala tanggungjawb kepada pihak kerajaan seolah-olah kita ini anak kecil yang mahu segala-galanya disuap ke dalam mulut kita oleh kerajaan.

Sebelum anda marah saya, tunggu dulu! Saya juga tidak bersetuju dengan kenaikan harga minyak dan saya juga tidak bersetuju dengan gaya hidup para menteri yang bermewah-mewahan dalam keadaan rakyat menanggung derita kenaikan kos sara hidup. Tetapi itu urusan mereka dengan Allah. Biarlah Allah menghukum mereka jika benar mereka melakukan kezaliman. Amanah dan tanggungjawab sebagai pemimpin memang berat dan besar.

Sekarang ini kita jangan fikirkan tentang mereka. Kita tidak akan mampu untuk mengubah sikap dan pemikiran para pemimpin kita, kerana yang mampu untuk mengubahnya hanyalah diri mereka sendiri. Tetapi apa yang kita mampu untuk ubah adalah sikap dan pemikiran kita sendiri. Ya, mari kita alihkan fokus kepada diri sendiri dan nilai apa yang kita buat salah.

Dosa Tidak Boleh Dibalas Dengan Dosa

Agaknya apabila kita membesar dengan menonton terlalu banyak filem adiwira seperti Robin Hood dan Batman, serta terpedaya dengan pukauan pidato para pemimpin politik yang “kononnya” mempertahankan nasib rakyat, maka kita beranggapan bahawa setiap pemimpin politik yang bersalah itu wajib kita hukum; jika tidak melalui sistem pengadilan, maka melalui jalanan dengan mengambil “hukum rimba”. Ya, mungkin sahaja para pemimpin politik pada hari ini zalim dan kejam. Mungkin sahaja mereka menindas rakyat. Namun, para pemimpin kita (khususnya Perdana Menteri) masih lagi seorang muslim. Malaysia (secara relatifnya) masih lagi aman. Kita masih boleh pergi solat di masjid tanpa halangan, kita masih boleh berniaga (walaupun ada cukainya), kita masih bebas menghadiri kuliah-kuliah ilmu dan sebagainya.

Malangnya ramai dalam kalangan umat Islam dalam negara ini yang mengambil sikap yang sangat negatif apabila kerajaan melakukan keputusan dan tindakan yang tidak popular seperti menaikkan harga minyak. Mereka mula mengutuk, mengeji, mencaci dan sebagainya – sikap-sikap yang sangat anti-ilmu. Keluarlah poster dan karikatur sana sini memperlekeh wajah dan memain-mainkan para menteri. Ya, mungkin sahaja mereka berdosa kerana menzalimi anda. Tetapi, apakah dosa mereka itu boleh dibalas dengan kita juga melakukan dosa?

Jawapannya: tidak. Bukan sahaja apabila kita mengeji, mengumpat, mencaci dan sebagainya itu mengundang dosa kepada diri kita, tetapi perbuatan tersebut juga tidak menyelesaikan masalah.

Perbuatan dosa adalah antara perbuatan yang menghalang rezeki. Sebelum anda mencerca para pemimpin politik: lihat pada diri sendiri. Berapa banyak dosa-dosa anda dan itulah sebenarnya penghalang rezeki anda.

Bersyukurlah Dengan Apa Yang Anda Ada

Ramai orang melihat orang kaya dengan pandangan yang sinis dan negatif: khususnya dalam suasana ketika kenaikan harga barang ini. Namun mungkin ramai dalam kalangan kita yang tidak tahu bahawa kebanyakan orang-orang kaya di negara ini dahulunya bermula dalam keadaan miskin. Mereka juga pernah susah. Tetapi, bagaimana mereka menjadi kaya? Kerana mereka sentiasa berfikiran positif, sentiasa bersyukur dan sentiasa berusaha tanpa mengenal erti penat dan lelah. Ini ciri yang sama yang ada pada hampir semua jutawan yang saya kenal dan tahu latarbelakang hidup mereka.

Bukankah Allah telah memberikan janjian-Nya di dalam al Quran bahawa sesiapa yang bersukur, maka akan ditambahkan nikmat baginya. Jadi persoalannya: sejauh manakah kita bersyukur?

Mungkin ada yang akan dengan penuh perasaan marah dan geram bertanya: “Nak bersyukur apa? Bersyukur harga barang naik?” Yang lebih malas berfikir mungkin akan berkata dengan nada penuh sinis: “Syukurlah Malaysia masih aman.”

Sebenarnya, apabila kita beranggapan bahawa rezeki kita disempitkan dan kita memfokuskan pemikiran kita kepada apa yang hilang daripada diri kita, maka itu tandanya kita tidak bersyukur dengan apa yang dikurniakan kepada kita. Salah satu faktornya adalah kerana kecintaan kita kepada dunia yang sangat menebal.

Kita marah harga minyak naik tetapi kita lupa bersyukur bahawa kita ada kereta. Ramai lagi dalam kalangan umat di dalam negara ini yang tidak mempunyai kereta. Hatta saya pernah melihat seorang suami membawa isterinya yang sarat mengandung menaiki motorsikal kerana tiada kereta.

Kita marah harga barangan naik tetapi kita lupa bersyukur yang kita masih mampu memiliki sebuah iPhone atau telefon pintar mahal.

Kita marah harga minyak naik tetapi kita lupa bersyukur bahawa setiap hari kita masih boleh makan.

Allah dah janji sesiapa yang bersyukur Allah akan tambahkan nikmatnya, dan janji Allah itu sentiasa benar dan tepat. Maka jika kita gagal merasai nikmat rezeki, tetapi sebaliknya merasa azab dalam kehidupan dunia ini, mungkin itu tanda-tandanya kita ini tidak tergolong dalam kalangan orang bersyukur. Tepuk dada tanya iman.

Orang yang sentiasa bersyukur, pasti dan pasti Allah akan tambahkan nikmatnya.

Marah Bagi Pihak Orang Yang Tidak Mampu

Ada juga yang berhujah, bahawa mereka marah bagi pihak orang yang tidak berkemampuan. Mereka kasihan kepada orang yang kurang berkemampuan. Sekali lagi saya ingin mengingatkan kita supaya kita fokus kepada diri sendiri. Ya, mungkin sahaja kerajaan bersalah kerana membebankan kelompok yang tidak berkemampuan. Tetapi, persoalannya, kita yang agak mampu ini adakah melakukan apa-apa untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan? Itu pun jika benar kita ini “betul-betul prihatin” akan nasib mereka.

Dalam Islam ada konsep sedekah dan waqaf harta. Cuba renung dan fikir: jika kita ada simpanan dalam bank RM5000, sanggupkah kita untuk memberikan RM2500 atau RM3000 kepada kelompok orang yang kurang berkemampuan? Biar sama-sama merasa susah. Jika orang yang datang minta sedekah pun kita masih mencari-cari wang paling kecil yang ada dalam dompet kita, maka tak perlulah kita berteriak kononnya menjadi wira bagi golongan yang kurang berkemampuan kerana apabila kita diberikan oleh Allah dengan kuasa dan harta, belum tentu lagi kita ini akan lebih baik daripada mereka yang kita kutuk-kutuk itu.

Oh ya, sedekah itu juga salah satu amalan yang mendatangkan rezeki yang melimpah ruah. Soal pada diri sendiri: sebanyak mana harta yang Allah kurniakan kepada kita yang kita kembalikan kepada Allah dalam bentuk sedekah dan waqaf? Sedang setiap yang kita sedekahkan dengan ikhlas itu, Allah pasti gantikan berkali-ganda banyaknya.

Berusahalah Dengan Penuh Yakin

Baiklah, harga barangan sudah naik dan gaji kita tidak mampu menampung kos sara hidup. Maka, berusahalah. Ada banyak jenis perniagaan part-time yang boleh dibuat pada hari ini. Yang diperlukan adalah untuk kita berusaha dengan lebih baik dan mengurangkan masa untuk kita berseronok dan berhibur. Bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian. Seringkali, kehidupan kita menjadi susah bukan kerana tekanan yang dibuat oleh kerajaan, tetapi kerana gaya hidup kita sendiri yang suka meniru-niru orang lain.

Sebagai orang Islam, kadang-kala kita lupa bahawa Allah itu al Razzaq (Maha Pemberi Rezeki) dan Allah itu juga al Mughniy (Maha Mengkayakan). Walaupun kita ini digaji oleh seorang majikan, tetapi hakikatnya yang memberikan rezeki kepada kita adalah Allah. Gaji kita, walau sekecil manapun, tetapi jika Allah menghendaki kita sentiasa cukup makan maka pastilah kita akan sentiasa cukup makan. Juga walau besar mana sekalipun gaji kita, jika Allah tidak menghendaki untuk kita sentiasa lapar, maka kita akan sentiasa lapar juga.

Serahkan harapan kita kepada Allah. Jika kita merasakan bahawa rezeki kita itu tidak mencukupi, mintalah daripada Allah dan berusahalah. Mungkin ada antara perbuatan-perbuatan adalah seperti yang disebutkan di atas, yang menghalang rezeki daripada kita. Mungkin juga kita kurang melakukan amalan-amalan yang boleh menarik rezeki kepada kita. Mungkin juga kita kurang berusaha dan malas bekerja dengan lebih kuat untuk mencari rezeki. Berusahalah, dan bertawakallah kepada Allah dengan sepenuh tawakal.

Semoga kita semua sentiasa ditambah-tambahkan rezeki oleh Allah.

Oh ya, sebelum berakhir; mungkin ada yang akan berkata: “Orang yang banyak duit boleh lah cakap macam-macam.” Pesan saya: jangan terlalu malas berfikir. Dua perkara yang saya ingin sebutkan: (i) orang yang banyak duit menjadi seperti itu kerana mereka mengamalkan perkara-perkara yang disebutkan di atas, dan (ii) saya tak banyak duit. Saya juga seperti anda semua, mempunyai banyak belanja, hutang keliling pinggang. Minggu lepas saya mendapat notis amaran untuk kereta saya ditarik. Alhamdulillah minggu ini sudah mampu bayar sedikit. Kadang-kala duit dalam poket dan dalam bank tidak sampai RM10, tetapi masih mampu bertahan makan minum untuk seminggu. Rasanya juga sudah beberapa tahun saya tidak membeli baju baru – tetapi sehingga kini baju saya bertambah-tambah. Bersyukurlah atas apa yang kita ada; dan yakinlah Allah itu Maha Pemberi Rezeki.


Naim Zulkipli, Ampang
019-8285019
Previous
Next Post »