BERIMAMKAN NAFSU DARIPADA BERIMAMKAN WAHYU

Masih ada dalam kalangan umat Islam di negara ini yang berimamkan nafsu daripada berimamkan wahyu.



Saya teringat teks ucapan Dr. Abdul Hakim Murad bertajuk "Seeing With Both Eyes", yang mana di dalam ucapan tersebut beliau menekankan bagaimana "mata satu Dajjal" itu adalah satu simbol (daripada sekarang lagi, sebelum Dajjal dizahirkan) bahawa orang yang sesat itu adalah orang yang gagal melihat setiap sesuatu itu dengan perspektif yang betul. Orang yang sesat itu juga adalah orang yang hanya mampu melihat satu aspek sahaja pada setiap perkara, dan mereka dibutakan atau sengaja membutakan diri daripada melihat aspek-aspek yang lain. Hal ini berlaku kerana mereka lebih berimamkan nafsu daripada berimamkan wahyu.

Ya, yang saya maksudkan di sini adalah mereka yang terlibat menjayakan himpunan BERSIH. Jika anda rasa hendak marah dan menuduh saya sebagai budak suruhan kerajaan, persilakan. Tetapi jika anda masih punya kewarasan dan mampu meletakkan rasionaliti dan kebenaran mengatasi emosi anda, teruskan membaca.

Mari kita baca beberapa analogi kecil untuk memahami apa yang saya maksudkan dengan "berimamkan nafsu daripada berimamkan wahyu".

Kisah seorang budak remaja dengan bapa saudaranya. Si bapa saudara mempunyai hutang yang sudah lama tertunggak dengan jiran sebelah rumah. Pada satu hari, si bapa saudara melihat duit RM50 kepunyaan remaja tadi yang diletakkan di atas meja rumah. Si bapa saudara pun ambil duit itu, dengan harapan anak saudaranya akan memaafkannya, dan menggunakannya untuk membayar hutang jiran sebelahnya. Apabila si remaja itu mendapat tahu, dia pun mengamuk. Dia mencaci maki bapa saudaranya dan memecahkan segala perabot rumah.

Dalam kisah di atas, tindakan si bapa saudara itu salah. Tetapi persoalannya, adakah reaksi remaja itu betul?

Kalau ditanyakan kepada remaja itu, dia akan membetulkan tindakannya kerana bapa saudaranya yang terlebih dahulu mencuri. Maka, tindakan dia dianggap betul mengikut pandangan nafsunya.

Tapi jika ditanyakan kepada kita yang tidak terkesan secara emosi dengan perbuatan tersebut, maka kita akan faham bahawa dari segi adab dan hukum, tindakan remaja itu juga salah. Maka mengikut neraca wahyu, tindakannya salah.

Remaja di dalam cerita itu bertindak mengikut nafsu, bukan mengikut wahyu.

Mereka yang berhimpun di dalam perhimpunan BERSIH melakukan demikian kerana ingin protes dan menyampaikan mesej kepada "kerajaan yang zalim" (menurut mereka). Ya, mungkin sahaja di pihak pemimpin kerajaan banyak melakukan kesalahan-kesalahan. Tetapi, adakah berhimpun dan memprotes di jalanan itu tindakan yang betul? Jika dirasakan betul, adakah "betul" itu mengikut nafsu atau mengikut wahyu?

Bagi kita orang Islam, neraca pertimbangan tertinggi adalah al Qur'an dan al Hadith. Ada banyak ayat-ayat al Quran serta hadith Nabi sallallahu 'alayhi wasallam yang menceritakan tentang kepimpinan, kepengikutan, serta hubungan di antara pemimpin dan pengikut. Jangan pula kita terlalu mudah merasakan diri kita "alim" dan dengan mudahnya sudah boleh memahami "kehendak wahyu" dengan hanya membaca beberapa potong ayat al Qur'an dan Hadith. Cara terbaik untuk kita memahami "kehendak wahyu" daripada sekian banyak ayat al Qur'an dan Hadith adalah dengan melihat kepada contoh-contoh praktikal daripada para sahabat, para salafussoleh, serta para 'ulama 'amilin terdahulu yang merupakan pewaris Nabi sallallahu 'alayhi wasallam. Tidak ada dalam kalangan mereka yang membuat tunjuk perasaan di jalanan! Demonstrasi jalanan ini adalah perkara baru yang bukan asalnya daripada tradisi Islam, tetapi adalah merupakan manifestasi daripada sistem demokrasi.

Bila kita membuat keputusan atas timbangan nafsu dan bukannya wahyu, kita bersikap tidak adil. Kita marah bila ada pemimpin mencuri harta negara, tetapi kita buat-buat lupa bahawa kita kadang-kadang mencuri waktu bekerja dengan bermain Facebook. Kita marah macam kita ini hampir jadi malaikat bila pemimpin menunjukkan perangai yang tidak Islamik, tetapi kita lupa kadang-kadang kita merokok di hadapan kanak-kanak kecil.

Memang susah untuk berimamkan wahyu dan mengenepikan emosi, tetapi itulah "perjuangan" yang perlu kita selesaikan di peringkat individu.

Naim Zulkipli, Ampang
019-8285019
Previous
Next Post »