15 TIPS MENJIMATKAN PENGGUNAAN MINYAK KERETA

15 TIPS MENJIMATKAN PENGGUNAAN MINYAK KERETA


Berikutan kenaikan harga minyak (yang sudah hampir pasti akan terus meningkat naik), berikut dikongsikan beberapa tips untuk menjimatkan penggunaan minyak kereta yang kebanyakannya diambil dan diolah daripada Shell Malaysia. Semoga bermanfaat untuk kita semua.

Tips 1:
Servis kereta apabila tiba waktunya. Pastikan minyak enjin sentiasa mencukupi dan gunakan minyak yang berkualiti. Enjin yang sentiasa dalam keadaan baik akan menggunakan minyak secara efisien.

Tips 2:
Sentiasa periksa dan pastikan tekanan angin dalam tayar mencukupi. Tayar yang kurang angin bukan sahaja berbahaya dari segi keselamatan, tetapi juga akan menyebabkan penggunaan minyak kereta meningkat.

Tips 3:
Pandu dengan kelajuan yang sekata dan lancar. Momentum kenderaan yang bergerak pada kelajuan sekata akan menjimatkan penggunaan minyak. Kerap bertukar kelajuan pula akan menyebabkan penggunaan minyak meningkat.

Tips 4:
Pandu secara berhemah. Pastikan anda sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling dan patuhi peraturan 3 saat. Kerap berhenti secara mengejut dan memecut terlalu cepat akan menyebabkan penggunaan minyak meningkat.

Tips 5:
Elakkan memandu dengan kelajuan yang melebihi had laju. Patuhi had laju. Memandu laju memang seronok, tetapi pemanduan laju juga berbahaya dan meningkatkan penggunaan minyak kereta dengan signifikan.

Tips 6:
Gunakan gear tinggi dengan kerap dan segera. Khususnya apabila anda memandu kereta manual, pastikan anda segera menggunakan gear tinggi (apabila sampai masanya) kerana gear tinggi mengurangkan kelajuan enjin sekaligus mengurangkan penggunaan minyak.

Tips 7:
Elakkan berhenti terlalu lama. Berhenti terlalu lama dalam keadaan enjin hidup adalah pembaziran penggunaan minyak. Apabila anda perlu berhenti lama (lebih daripada 30 saat), matikan enjin kereta kerana itu akan menjimatkan minyak kereta anda.

Tips 8:
Gunakan penghawa dingin secara berhemah. Penghawa dingin adalah antara perkara yang banyak menggunakan tenaga. Jika boleh, tutup penghawa dingin. Jika perlu gunakan (memang selalu perlu guna kalau di Malaysia ini), gunakan pada suhu yang tidak terlalu rendah (lagi rendah suhu dan lagi kuat kipasnya, lagi kuat penggunaan tenaga).

Tips 9:
Rancang perjalanan dengan baik. Pilih waktu yang sesuai untuk keluar bagi mengelakkan kesesakan lalulintas serta pilih jalan yang paling pendek dan cepat. Dalam kes tertentu seperti jika anda berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur, hal ini mungkin sukar dilakukan tetapi cubalah yang terbaik.

Tips 10:
Kurangkan bebanan kereta anda. Kosongkan bonet kereta dan tinggalkan barang-barang yang tidak perlu dibawa di rumah. Kereta yang lebih berat akan memberikan bebanan yang lebih kepada enjin kereta.

Tips 11:
Kurangkan “rintangan angin” (air drag). Rintangan angin juga akan memberikan bebanan yang lebih kepada enjin kereta. Rintangan angin boleh berlaku apabila anda membuka tingkap ketika dalam pemanduan laju atau jika anda membawa barang yang diletakkan di atas kereta (mengganggu bentuk aerodinamik kereta).

Tips 12:
Sentiasa pastikan bateri kereta anda dalam keadaan yang baik. Jika perlu, catatkan bilakah tarikh terakhir anda menukar bateri dan bilakah tarikh jangkaan akhir hayat bateri tersebut. Bateri yang dalam keadaan tidak baik akan menyebabkan banyak tenaga digunakan apabila bateri itu cuba untuk dicaj berkali-kali.

Tips 13:
Jika boleh, tingkatkan kelajuan anda secara sekata (jangan tingkatkan secara mengejut kerana itu hanya meningkat penggunaan minyak dengan banyak) sebelum anda mendaki bukit. Enjin kereta menanggung beban yang lebih apabila mendaki bukit kerana melawan graviti. Dengan meningkatkan kelajuan sebelum mendaki, bebanan enjin dapat dikurangkan sedikit dengan momentum yang sudah ada serta anda juga tidak perlu menekan pedal minyak dengan terlalu banyak lagi apabila mendaki.

Tips 14:
Setiap kali apabila boleh, berkongsilah kenderaan. Apabila perlu menghadiri mesyuarat di luar bersama rakan-rakan sekerja dan sebagainya, naiklah satu kenderaan sahaja jika boleh. Tetapi, jangan setakat berkongsi kenderaan, kongsilah sekali duit minyak kereta itu.

Tips 15:
Akhirnya, apabila boleh, pilihlah untuk membeli kereta yang jimat penggunaan minyak.


Naim Zulkipli, Ampang
019-8285019
Previous
Next Post »