Renungan Sempena Isra' dan Mi'raj



Sedar atau tidak, kita sedang berada di dalam bulan Rejab yang mulia bagi tahun 1437 Hijri. Di dalam bulan Rejab inilah berlakunya satu peristiwa agung melibatkan Nabi kita, baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, yakni peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Semua umat Islam di negara ini tahu akan peristiwa ini, kerana tarikh (yang paling masyhur) berlakunya peristiwa Isra’ dan Mi’raj dijadikan sebagai hari cuti umum. Namun, tidak ramai dalam kalangan umat Islam yang benar-benar mengambil prihatin akan peristiwa ini. Ramai yang mengambil kesempatan cuti Isra’ dan Mi’raj untuk melakukan aktiviti-aktiviti peribadi dan berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan.

Tidak menjadi kesalahan untuk kita bercuti dan berhibur bersama keluarga dan rakan-rakan. Namun, adalah amat malang sekali jika kita tidak mengambil kesempatan cuti Isra’ dan Mi’raj untuk kita bersama-sama terlibat dalam membesarkan peristiwa yang agung ini. Peristiwa Isra’ dan Mi’raj jauh lebih besar maknanya daripada Hari Raya; bagaimana kita menyambut kedua-dua hari perayaan ini menggambarkan sejauh mana kekeliruan kita dalam menentukan apakah yang menjadi keutamaan dalam kehidupan kita ini.

Peristiwa Isra’ dan Mi’raj adalah peristiwa yang sangat agung untuk kekasih kita, baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Peristiwa ini sangat bermakna untuk baginda kerana ketika peristiwa inilah baginda Rasulullah mendapat nikmat yang tertinggi yakni nikmat melihat Allah, dinobatkan dengan gelaran tertinggi yakni gelaran habibullah (kekasih Allah), dan dihadiahkan dengan perintah yang sangat bermakna buat seluruh umat baginda yakni kewajipan ibadah solat.

Namun, ramai dalam kalangan umat pada hari ini yang tidak dapat “merasai” keagungan dan kehabatan peristiwa Isra’ dan Mi’raj ini kerana umat Islam pada hari ini telah dijauhkan daripada baginda Rasulullah. Terpengaruh dengan aliran pemikiran sekular-liberal, umat Islam yang diperbodohkan dengan terikut-ikut dengan cara fikir dan pengalaman Barat dalam beragama telah melihat agama dan segala yang berkaitan dengan agama sebagai kolot, “outdated”, dan tidak akan membantu untuk pembangunan dan kemajuan ke arah kemodenan. Manakala yang terpengaruh dengan aliran pemikiran Wahhabiyyah pula tertipu dengan aktiviti tabdi’ (membid’ahkan) dan takfir (mengkafirkan) sehingga banyak amalan dan sunnah Nabi yang terkubur kerana mereka (walaupun mereka sendiri mengaku menegakkan Al Qur’an dan Al Hadith).

Pengaruh aliran-aliran fahaman yang menyeleweng daripada prinsip-prinsip Ahli Sunnah wal Jamaah tersebut telah menyebabkan umat Islam lemah atau hilang kepercayaan terhadap salah satu rukun keimanan: yakni percaya kepada perkara ghaib. Dalam erti kata lain, mereka hilang kepercayaan terhadap hal-hal yang diistilahkan pada hari ini sebagai hal-hal metafizikal atau spiritual. Oleh sebab itulah timbul diskusi-diskusi yang cuba menyatakan bahawa peristiwa Isra’ dan Mi’raj itu adalah peristiwa yang berlaku hanya dalam mimpi atau secara roh sahaja, bukan secara roh dan jasad (sepertimana pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah). Mereka cuba menjustifikasikan peristiwa Isra’ dan Mi’raj melalui ukuran saintifik, kerana ilmu sains telah diangkat oleh tamadun Barat sebagai ilmu yang paling mereka agung-agungkan. Oleh sebab itu jugalah, ramai dalam kalangan umat Islam pada hari ini ragu-ragu dan malah menolak kebenaran peristiwa yaqazah – yakni pertemuan dengan baginda Rasulullah atau para awliya’ yang telah lama meninggal dunia secara sedar dan secara jaga. Mereka menolak peristiwa seperti itu kerana peristiwa itu adalah sesuatu yang tidak dapat dibuktikan dengan instrumen saintifik.

Inilah nasib malang yang menimpa umat Islam pada hari ini. Pengaruh sekular-liberal, pengaruh faham muktazilah (atau neo-muktazilah seperti diistilahkan oleh sesetengah ilmuan), telah menyebabkan umat Islam mengikut cara fikir Barat yang meletakkan ilmu sains itu sebagai ilmu yang tertinggi. Sedangkan di dalam Islam, Al Qur’an dan Al Hadith itu adalah sumber rujukan yang tertinggi, dan melalui kedua-dua sumber ini juga mengajarkan kepada kita bahawa para ulama yang merupakan pewaris Nabi juga adalah rujukan yang perlu diikuti kerana merekalah yang mempakari dan memahami Al Qur’an dan Al Hadith. Apa sahaja yang datang daripada Al Qur’an, Al Hadith serta kesepakatan para ‘ulama adalah pegangan kita selaku umat Islam; apa sahaja yang datang daripada teori mahupun kesimpulan-kesimpulan kajian saintifik adalah tertolak dan terbatal apabila bercanggah sahaja dengan sumber-sumber rujukan tertinggi yang disebutkan tadi.

Semoga melalui peristiwa Isra’ dan Mi’raj 1437 Hijri ini kita akan dapat bersama-sama membetulkan cara fikir kita serta meluruskan aqidah kita atas manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah, hasil pembelajaran dan renungan kita terhadap peristiwa agung yang dilalui oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam ini.

Selamat menyambut Isra’ dan Mi’raj.


Gambar hiasan.

Previous
Next Post »