PANEL TRANSGENDER: CUBAAN MENENTANG NEGARA ISLAM


Sumber: Malaysiakini.com


Laporan portal berita online Malaysiakini semalam (17 Mei 2016) menyatakan bahawa Jawatankuasa Transgender Pulau Pinang telahpun ditubuhkan secara rasminya [baca di sini]. Jawatankuasa tersebut diketuai oleh ADUN Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu (DAP). Penubuhan jawatankuasa tersebut adalah merupakan gambaran jelas akan ancaman faham sekular-liberal yang dibawa oleh DAP secara khususnya. Tindakan beberapa orang ADUN daripada PKR yang turut bersama di dalam jawatankuasa tersebut tidaklah mengejutkan, memandangkan PKR memang dikenali sebagai parti yang turut memegang ideologi sekular-liberal. Namun, tindakan beberapa orang ADUN daripada Barisan Nasional (BN) – yang berbangsa Melayu – untuk turut menyertai jawatankuasa tersebut (jika benar laporan portal akhbar Malaysiakini), adalah amat mengecewakan. Jika BN boleh menentang DAP dan PKR untuk hal-hal yang lebih trivial, mengapa pula BN bersatu dengan mereka dalam hal yang lebih penting? Jika laporan tersebut benar, maka besarlah harapan saya agar barisan pimpinan BN pusat mengeluarkan arahan kepada para ADUN tersebut untuk menarik diri daripada jawatankuasa tersebut. Laporan tersebut juga menyebut ada seorang ADUN PAS yang diambil sebagai ahli jawatankuasa tersebut; saya berharap laporan ini juga tidak benar.

Isu penubuhan Jawatankuasa Transgender ini bukanlah semata-mata isu tentang perjuangan hak “golongan minoriti”. Malah, saya juga tidak bersetuju jika golongan transgender dikategorikan sebagai “golongan minoriti”, kerana mereka bukan golongan yang asalnya ada di negara ini, juga bukan golongan yang mempunyai kewujudan yang “haq”. Kategori yang tepat untuk mereka adalah “golongan bermasalah”. Saya juga tidak bersetuju jika mereka dianiaya, kerana mereka juga manusia. Saya juga tidak bersetuju jika mereka dizalimi; cuma, perlu difahami jika wujud permasalahan terhadap mereka di mana-mana tempat awam seperti di tandas mahupun hospital, maka masalah itu wujud kerana golongan transgender itu sendiri yang terlebih dahulu menzalimi diri mereka. Bukan masyarakat yang patut dipersalahkan, tetapi mereka yang patut dipersalahkan kerana melakukan sesuatu di luar batas panduan agama dan undang-undang negara.

Apa yang dilakukan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang ini tidak harus kita lihat hanya sebagai satu upaya kecil oleh sebuah kerajaan negeri untuk memperjuangkan satu isu yang remeh. Jika kita melihat dengan pandangan yang lebih luas, dan mengambil kira apa yang telah diperjuangkan dan dilakukan oleh DAP selama ini, maka penubuhan jawatankuasa ini bagi kita umat Melayu-Islam adalah satu upaya untuk menentang negara Malaysia, kerana Malaysia adalah negara Islam. Dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang memateri agama Islam sebagai agama persekutuan, maka menjadi tanggungjawab kita umat Melayu-Islam bersama-sama dengan para pemimpin Islam di negara ini untuk mempertahankan status quo agama Islam di negara ini. Isu transgender adalah isu akhlak. Agama atau fahaman lain tidak mempunyai panduan akhlak (dalam istilah mereka dikatakan moral atau etika) yang lengkap sempurna seperti Islam. Justeru, mereka tidak akan mungkin mampu melihat isu transgender sebagai isu akhlak yang serius sepertimana kita umat Melayu-Islam. Pentingnya akhlak dalam pandangan hidup Islam tergambar dalam hadith baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang kira-kira bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.

Akhlak yang mulia adalah misi baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Kita belajar dalam sejarah Islam bagaimana umat Nabi Luth ‘alayhissalam diturunkan bala oleh Allah Subhanahu wa ta’ala kerana berperilaku di luar tabi’ie – perilaku luar tabi’ie inilah masalah golongan transgender. Kita tidak boleh bersikap naïf, atau berpura-pura bahawa isu transgender ini tidak mengundang perilaku luar tabi’ie. Transgender itu sendiri adalah perbuatan luar tabi’ie – mengubah kejadian diri yang telah diciptakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Melainkan seseorang manusia itu adalah wali Allah seperti Rabi’ah al Adawiyah yang memadai temannya adalah Allah semata-mata – semua manusia sentiasa memerlukan teman daripada kalangan manusia lain. Seorang lelaki yang mengubah dirinya menjadi seorang wanita, ingin bertemankan siapa? Sebagai seorang yang asalnya lelaki, tidak ada lelaki normal yang mahu bersama seorang lelaki. Dengan perubahan fizikal dan perwatakan sebagai wanita, tidak ada wanita normal yang mahu bersama seorang wanita. Maka, yang mahu bersama seorang transgender adalah seseorang yang sama-sama mempunyai masalah akhlak, yang cenderung ke arah perhubungan luar tabi’ie.

Jawatankuasa Transgender ini cuba untuk mencabar Malaysia sebagai negara Islam – dengan kononnya ingin memperjuangkan “hak” golongan ini. Sebagai negara Islam, sudah tentu sistem dan perundangan negara ini perlu berlandaskan kepada prinsip-prinsip Islam. Ya, memang apa yang dipraktikkan tidak sempurna dan sepenuhnya selari dengan segala prinsip-prinsip Islam tetapi itu bukan bermakna kita boleh menjadikan itu alasan untuk membenarkan segala perkara yang menyeleweng daripada prinsip Islam dibuat sesuka hati di negara ini. Berdasarkan perundangan dan prinsip-prinsip Islam, golongan transgender ini bukan golongan yang “haq” (benar), tetapi mereka adalah golongan yang “batil” (salah). Justeru, mereka tidak boleh diberikan “hak-hak” seperti yang ingin dituntut dan diperjuangkan oleh Jawatankuasa Transgender tersebut kerana hal itu akan membawa maksud bahawa golongan transgender diiktiraf di negara ini sebagai golongan yang benar. Sepertimana, kita tidak mengiktiraf di dalam negara ini golongan penagih dadah sebagai golongan yang benar. Penagih dadah adalah golongan yang salah. Sesiapa yang dijumpai menagih dadah akan ditangkap dan dihukum. Begitulah yang sepatutnya dengan golongan transgender ini. Mak nyah dan pondan-pondan yang memperaga diri di jalanan pada malam-malam hari di negara ini, patut ditahan dan ditangkap.

Pada hemat saya, Jawatankuasa Transgender yang ditubuhkan oleh kerajaan DAP Pulau Pinang ini bukanlah sangat ingin memperjuangkan nasib golongan transgender. Sebaliknya, tindakan tersebut adalah satu usaha untuk mencabar status quo Islam di negara ini. Permasalahan akhlak tidak disentuh melalui undang-undang sivil, tetapi melalui undang-undang syariah. Sekiranya usaha kecil DAP Pulau Pinang itu terus berkembang dan berjaya, sehingga akhirnya golongan transgender ini diterima dan diiktiraf oleh masyarakat dan negara ini, maka tercabarlah wibawa dan autoriti undang-undang syariah. Kepentingan Islam dalam negara inilah yang sepatutnya menjadi kemuncak perjuangan parti-parti politik Melayu-Islam seperti UMNO dan PAS; bukannya bertelagah hal harta, wang dan salah guna kuasa (yang sepatutnya tidak wujud pun di dalam parti-parti politik Melayu-Islam).

Kerajaan Malaysia perlu mengambil tindakan tegas terhadap kerajaan DAP Pulau Pinang kerana menubuhkan jawatankuasa yang bercanggah dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.
Previous
Next Post »