Tahniah Kepada Ahli Ilmu


Tahniah diucapkan kepada barisan para pelajar dalam gambar di atas. Siapakah mereka?

Mereka adalah para pelajar lepasan daripada Darul Quran wal Hadith As-Sofa dan Maahad Al-Baidha, kedua-duanya institusi di bawah Yayasan Sofa Negeri Sembilan dan Sofa Education Group. Mereka mengambil peperiksaan SPM pada tahun lepas (2015) dan gambar di atas adalah gambar mereka bersama keputusan yang mereka perolehi. Apakah istimewanya mereka?

Mereka ini adalah para pelajar yang taat dengan guru. Para pelajar yang konsisten dengan pengajian ilmu dan tidak terpengaruh dengan desakan arus semasa. Mereka belajar di institusi tahfiz yang professional, yang khusus buat melahirkan para ulama. Mereka tidak pernah mengikut silibus pembelajaran seperti yang dipelajari oleh para pelajar lain di sekolah biasa. Sebaliknya, kehidupan mereka semenjak daripada tingkatan 1 adalah menghafal Al Quran dan mempelajari ilmu-ilmu asas fardhu ain. Setelah tamat hafalan 30 juzu', barulah mereka diserapkan ke Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (sekolah sains di bawah seliaan Sofa Education Group), membuat persediaan untuk SPM selama satu tahun sahaja (mereka tidak pernah mengambil peperiksaan PMR) dan kemudian menduduki peperiksaan SPM. Berkat daripada ketaatan kepada guru mereka, dan berkat daripada hafalan 30 juzu' Al Quran di dada mereka, hasilnya mereka mendapat keputusan SPM yang cemerlang.

Mereka mendapat 7A, 6A, 5A; dengan 30 juzu' Al Quran serta kefahaman yang mantap dalam ilmu-ilmu fardhu ain. Tahniah kepada Darul Quran wal Hadith As-Sofa, Maahad Al-Baidha dan juga kepada Sekolah Tinggi Islam As-Sofa.

Kepada yang mungkin tertanya-tanya tentang institusi-institusi pendidikan As-Sofa, boleh layari www.seg.edu.my.
Previous
Next Post »