Salah Tetap Salah


Saya teringat pesanan guru kami Dato' Haji Muhammad Fuad Bin Kamaludin, bahawa salah satu adab kita terhadap ilmu adalah kita sentiasa menyatakan yang benar, sentiasa mempertahankan yang benar sebagai benar dan yang salah sebagai salah, sekalipun kita sendiri melakukan perbuatan salah tersebut. Menyatakan sesuatu yang haram sebagai halal, hanya kerana ingin menjustifikasikan perbuatan tersebut yang kita sendiri lakukan, adalah satu sikap tidak amanah terhadap ilmu; dan hal ini adalah merupakan satu kesalahan yang sangat besar kerana implikasinya terhadap masyarakat sangat besar.

Sebagai contoh, jika kita menghisap rokok, dan kita mengetahui bahawa menghisap rokok itu adalah haram (setelah mendengar fatwa para mufti atau pandangan daripada guru murabbi kita) maka janganlah pula kita cuba menjustifikasikan rokok dengan menyatakannya halal. Berpegang tegas dengan pandangan para ulama yang menyatakannya adalah haram; dan akuilah bahawa perbuatan kita menghisap rokok tersebut adalah perbuatan haram yang mengundang dosa. Cuma, jika kita masih melakukannya lagi maka itu adalah kelemahan kita sebagai insan lemah yang tewas dengan nafsu. Juga, perlulah kita berusaha untuk menghentikan perbuatan dosa tersebut, di samping sentiasa bertaubat kepada Allah selagi mana kita masih belum mampu berhenti daripada perbuatan yang salah tersebut.

Ingatlah, jangan sampai sikap sombong dan bangga diri kita menyebabkan kita tidak amanah dengan ilmu dan semberono mempermainkan hukum Allah. Perbuatan dosa menjadikan kita seorang fasiq, yang di sisi Ahli Sunnah wal Jamaah tetap jua akan ke syurga Allah. Tetapi mempermainkan hak Allah dan Rasul boleh membawa kepada kerapuhan aqidah.

Previous
Next Post »