Iradah Allah Sempurna

Iradah Allah itu sempurna. Jika Allah menghendaki sesuatu, pasti sesuatu itu akan terjadi. Inilah antara prinsip penting aqidah Islam. Kehendak Allah yang Maha Sempurna itu, tidak boleh kita samakan dengan kehendak makhluk kerana kehendak makhluk boleh terbatas dengan banyak sebab. Sedangkan, kehendak Allah tidak terhalang oleh apapun.



Maksudnya, jika Allah menghendaki untuk memberikan ni'mat kepada seseorang hamba, maka pasti Allah akan mengurniakan ni'mat tersebut kepada hamba itu tanpa memerlukan kepada syarat atau sebab. Oleh kerana itu tidak mustahil ada orang yang dikurniakan ni'mat yang pelbagai oleh Allah Subhanahu wa ta'ala, walaupun secara zahirnya kelihatan seperti orang itu tidak layak mendapat ni'mat tersebut. Kehendak Allah atas seseorang tidak terhalang oleh dosa-dosa seseorang itu, dan tidak disebabkan oleh 'amal 'ibadah seseorang itu.

Oleh sebab itu, janganlah sekali-kali kita berputus asa dengan Rahmat Allah. Ada orang yang dikurniakan ni'mat dapat bertemu dengan baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam (sama ada secara jaga atau dalam mimpi), walaupun dari segi luaran kelihatan orang itu seperti seseorang yang tidak layak langsung mendapat ni'mat seperti itu.

Peringatan penting juga buat kita: apabila kita dikurniakan sesuatu yang istimewa, janganlah kita berasa riak dan ujub kerana ni'mat tersebut bukanlah disebabkan kehebatan diri kita, tapi adalah kerana Rahmat Allah Subhanahu wa ta'ala.
Previous
Next Post »