Wahhabi Keliru Isu Yaqazah

Majoriti ulama menolak aliran Wahhabiyyah dan mengeluarkan fahaman Wahhabiyyah daripada kelompok Ahli Sunnah wal Jamaah, adalah kerana kecelaruan pemahaman mereka dalam 'aqīdah. Penolakan mereka terhadap manhaj 'aqīdah Asya'irah-Maturidiyyah dan pegangan kepada manhaj 'aqīdah tiga serangkai (uluhiyyah - rububiyyah - asma wa sifat) menyebabkan mereka gagal mengenali Tuhan, lantas rosaklah seluruh pemahaman mereka dalam hal 'aqīdah.

Contoh dalam kes yaqazah yang dibangkitkan oleh Mufti Perlis ini, jelas menggambarkan kekeliruan dan kebiadaban beliau. Kenapa saya berkata begitu?

Pertama, isu yaqazah bukan isu 'aqīdah. Hal yang dibincangkan dalam isu yaqazah adalah tentang boleh atau tidak, harus atau tidak, seseorang itu berjumpa dengan Nabi dalam keadaan jaga. Boleh atau tidak seseorang itu dapat berjumpa dengan Rasulullah dalam keadaan jaga, tidak merosakkan keIslaman seseorang. Apakah mustahil bagi Allah untuk mengizinkan dan membenarkan pertemuan roh baginda dengan manusia yang masih hidup kini? Apakah hal itu mustahil bagi Allah?

Dalam peristiwa Isra' Mi'raj, yang disepakati majoriti ulama sebagai peristiwa yang berlaku dengan roh dan jasad Nabi, baginda Rasulullah bertemu dengan roh orang-orang soleh serta para Nabi terdahulu. Sesatkah Nabi?

Selagi orang yang mendakwa berlaku peristiwa yaqazah ke atas dirinya, tidak mengaku pula menjadi Nabi atau tuhan, maka apa yang sesatnya?

Kedua, kita kena faham bahawa Islam telah sempurna semenjak daripada zaman Rasulullah. Faham maksud "sempurna"? Tidak ada cacat cela dalam agama. Lalu Rasulullah juga mengiktiraf bahawa agama ini akan dipelihara oleh satu golongan yang tidak akan sesat selamanya, semenjak daripada zaman Nabi hingga kini. Maknanya, tidak akan berlaku kelompongan dalam umat ini -- umat ini sentiasa punya ulama yang berada atas kebenaran.

Justeru, segala perkara khilaf dalam agama -- seperti isu yaqazah ini -- adalah isu yang telahpun dibincang, dibahas dan diputuskan oleh para ulama terdahulu. Tidak ada keperluan untuk sesiapa pun di zaman kini, untuk membangkitkan kembali isu-isu tersebut! Melainkan, orang itu gila populariti dan angkuh dengan ilmu sehingga merasakan dirinya lebih alim daripada ulama terdahulu yang sebenarnya lebih dekat kepada kebenaran. Atau, orang itu terlalu gopoh sehingga tidak berjumpa dengan pandangan ramai ulama yang tidak sealiran dengan pandangan peribadinya.

Ingatlah, apa yang telah diamalkan oleh umat Islam di negara ini semenjak berzaman lamanya -- sama ada dalam 'aqīdah, fiqh mahupun tasawuf -- adalah merupakan panduan daripada para ulama yang arif di dalam bidangnya. Jangan pula kita yang baru membaca beberapa buah kitab sudah angkuh dengan ilmu kita lantas menuduh amalan-amalan lama di negara ini sebagai sesat, bid'ah, khurafat dan sebagainya hanya kerana bertentangan dengan secebis kecil ilmu yang kita pelajari.

Say NO to Wahhabi!

Previous
Next Post »