Pemecatan Timbalan Perdana Menteri

Sebenarnya saya sudah tidak berapa berminat untuk menulis tentang isu-isu politik kerana banyak isu-isu yang lebih besar di dalam negara ini. Tetapi agak terpanggil bila berlaku perkembangan-perkembangan yang menarik dalam sehari dua ini. Mula-mula Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail diberhentikan. Tidak lama selepas itu, Kabinet Malaysia dirombak dan Tan Sri Muhyiddin Yasin dilucutkan daripada jawatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia kerana mengkritik secara terbuka isu 1MDB.



Dahulu, Tun Dr. Mahathir Mohamad juga memecat Timbalan Perdana Menteri beliau; dan Tun Mahathir kekal sebagai Perdana Menteri Malaysia sehinggalah beliau dengan rela hati bersara. Pada hemat saya, adalah lebih baik Dato' Seri Najib Tun Razak berundur secara baik dan melepaskan jawatan Perdana Menteri kepada orang lain. Situasi yang beliau hadapi tidak sama dengan situasi yang dihadapi oleh Tun Mahathir dahulu kerana beberapa sebab;

(1) Tun Mahathir lebih popular dan mempunyai ramai peminat dan pengikut kerana sumbangan beliau yang besar terhadap negara. Tun Mahathir meninggalkan banyak legasi, dan pembangunan yang beliau bawa dapat dilihat kesannya sehingga ke hari ini. Kredibiliti Tun Mahathir tinggi. Bagi Dato' Seri Najib pula, kita masih tidak dapat melihat apakah legasi yang sedang ataupun yang akan dibawa oleh beliau.

(2) Tun Mahathir memecat Timbalan beliau atas sebab-sebab yang highly justifiable, walaupun mungkin bagi para penyokong DSAI semua itu adalah fitnah belaka. Faktor salah laku akhlak serta bertindak sebagai ejen yahudi adalah sebab-sebab yang sangat kuat untuk menjustifikasikan seseorang itu dipecat. Dato' Seri Najib pula memecat Timbalan beliau kerana Timbalan beliau mengkritik secara terbuka kesalahan beliau. Bukankah tindakan itu hanya menampakkan lagi kesalahan beliau sendiri?

(3) Dato' Seri Anwar Ibrahim setelah dipecat dahulu, membentuk parti baru dan berjuang untuk menjatuhkan UMNO. Tan Sri Muhyiddin berjuang untuk menyelamatkan UMNO.

Hemat saya, Dato' Seri Najib eloklah berundur sebelum tindakan-tindakan beliau memakan diri sendiri.
Previous
Next Post »