ISMA desak PM tidak iktiraf UEC

ISMA desak PM tidak iktiraf UEC


BANGI, 2 April – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mendesak agar Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak agar tidak mengiktiraf  Sijil Peperiksaan Bersepadu (Gabungan Sekolah Menengah Cina) atau UEC bagi tujuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi dan kelayakan untuk permohonan kerja.

Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman berkata, walaupun kerajaan BN sedang tertekan ingin menarik undi masyarakat Cina, Datuk Seri Najib tidak sepatutnya terikut-ikut dengan sikap populis pembangkang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan media berhubung pertemuan antara Datuk Seri Najib dan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) yang berbincang isu pengiktirafan UEC.

Menurut laporan, Datuk Seri Najib selepas ini akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mencari penyelesaian yang boleh diterima semua pihak berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Ustaz Abdullah juga meminta supaya Datuk Seri Najib menunjukkan sikap selaku seorang negarawan yang berprinsip dan melihat kepada kepentingan nasional serta masa depan negara.

Jelas Ustaz Abdullah lagi, sekiranya UEC ini diadakan, sudah pasti jurang pemisahan antara kaum akan lebih menebal.

“Bahkan jika pihak kerajaan berhasrat mengiktiraf UEC yang lebih kepada polarisasi pendidikan berdasarkan kaum, ini bermakna hasrat untuk mewujudkan negara dan bangsa berteraskan nilai Melayu dan Islam seperti yang ada sekarang ini tidak mungkin akan tercapai.

“Lebih teruk dominasi kaum ke atas kaum lain akan berlaku dan ia turut menjejaskan integrasi nasional dan menyebabkan berlakunya krisis antara kaum.

“Hal ini kerana persefahaman dan penerimaan antara kaum sukar untuk diwujudkan kerana jelas asas pendidikan berbeza sejak awal,” tegasnya kepada wartawan ISMA.



Previous
Next Post »