KOLEJ ISLAM AS-SOFA Buka laluan penuntut Malaysia ke Maghribi

KOLEJ ISLAM AS-SOFA Buka laluan penuntut Malaysia ke Maghribi

Meskipun usianya masih muda, Kolej Islam As-Sofa telah mengorak langkah sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang pertama melaksanakan program berkembar dengan Universiti Muhammad ke-5, Rabat Maghribi. Perjanjian yang telah ditandatangani pada 10 Disember 2012 itu bakal menjadi titik sejarah dalam membuka lembaran baru dan mengembangkan lagi potensi negara ini dalam usaha melahirkan graduan berkemahiran tinggi yang bakal menyeimbangkan pembangunan moral dan material.



Menurut Ketua Eksekutif Kolej Islam As-Sofa, Abdullah Abdol Razak, jemputan rasmi dari Universiti Muhammad ke-5 Rabat Morocco ini pertamanya akan membuka laluan yang lebih luas dan menambah kuota penuntut Malaysia bagi melanjutkan pengajian di Universiti Muhammad ke-5 yang merupakan di antara universiti terkemuka di barat semenanjung arab. Beliau menambah lagi, ”Kolej Islam As-Sofa mempunyai matlamat yang tinggi dalam melahirkan graduan yang cemerlang, bukan sahaja dalam bidang akademik, malah dari aspek akhlak dan ketrampilan diri sebagai generasi pemuda Islam.”

Di tanya mengenai sistem pengajian yang dipersembahkan oleh kolej ini, Abdullah menjelaskan lagi,” Kami di sini menerapkan sistem pengajianan akademik di samping mengekalkan unsur-unsur pengajian tradisi yang diwarisi zaman berzaman.” Katanya, ”Sistem akademik diterapkan kepada pelajar dengan cara pembelajaran yang moden dan teratur mengikut sistem dan piawaian Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia manakala pengajian dinniyyah secara tradisional mewajibkan para pelajar menghadiri kuliah berkonsepkan talaqqi bagi mendalami ilmu-ilmu agama dengan diberikan penjelasan dan penerangan oleh guru yang berpengalaman.”

Mewakili Universiti Muhammad Ke-5 dalam majlis penuh bermakna itu, Prof. Dr Abdul Rahim Benhadah selaku Dekan Kulliyyah al Adab wa Ulum al Insaniyyah menerangkan bahawa di antara manfaat yang bakal dikecapi oleh penuntut lepasan diploma yang dijalankan oleh Kolej Islam As-Sofa ialah mereka diberi keistimewaan memperolehi ijazah pertama dengan menghabiskan dua semester di Universiti Muhammad Ke-5.

Di samping itu juga beliau menjelaskan lagi bahawa perjanjian juga membuka ruang dan laluan yang luas untuk mereka menambahkan kemahiran dalam Bahasa Arab serta melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana dan kedoktoran termasuk berkongsi pengalaman dan kemahiran akademik antara dua institusi. Kolej Islam As-Sofa Islam As-Sofa yang terletak di Taman Dato’ Ahmad Razali Ampang menawarkan beberapa program diploma, antaranya Diploma Syariah Islam, Usuluddin dan Kewangan Islam.

Ia dilengkapi dengan perpustakaan yang turut berfungsi sebagai pusat penyelidikan Islam yang menyimpan koleksi hampir 10,000 naskhah rujukan. Selain menawarkan program di peringkat diploma, ia juga menjadi nadi menghidupkan kehidupkan ruhiyyah masyarakat setempat dengan program-program keagamaan, mengadakan pelbagai kursus seperti program Miftah Al-Ilmi yang mengisi masa pelajar lepasan SPM dengan ilmu-ilmu agama, pengisian dan kemahiran yang bermanfaat. Untuk maklumat lanjut untuk program yang dijalankan ini bolehlah berhubung dengan Kolej Islam As-Sofa di talian 03-42664408.



Rujuk: Laman Web Kolej Islam As-Sofa
Previous
Next Post »