INSTITUSI PENDIDIKAN YAYASAN SOFA


Penghujung tahun selalunya menjadi waktu yang sibuk untuk para ibubapa membuat persiapan untuk anak-anak memulakan sesi pembelajaran bagi tahun yang baru. Selain daripada rutin membeli-belah untuk keperluan alat tulis dan pakaian, pencarian bagi tempat pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak sentiasa menjadi keutamaan para ibubapa. Bagi anak-anak lepasan UPSR, sekolah menengah yang terbaik dicari. Bagi anak-anak lepasan PMR, kemungkinan untuk bertukar ke sekolah lain yang lebih sesuai dengan minat dan kecenderungan anak-anak diusahakan. Bagi lepasan SPM pula, pelbagai institusi pengajian tinggi mula diteliti bagi mencari tempat yang terbaik untuk melangkah ke alam Menara Gading.

Dalam suasana seperti itu, Yayasan Sofa Negeri Sembilan (YSNS) tampil dengan mempersembahkan rangkaian institusi pendidikan yang didasari dengan semangat untuk melahirkan generasi yang berilmu, bertaqwa dan berketerampilan. Rangkaian institusi pendidikan di bawah YSNS disediakan secara lengkap untuk menampung keperluan pendidikan daripada peringkat rendah sehingga ke peringkat pengajian tinggi, dengan sentiasa menjadikan ilmu serta para penuntut ilmu sebagai keutamaan.

Bermula di peringkat pendidikan rendah, YSNS telah menubuhkan Sekolah Rendah Islam As-Sofa (SRIAS) yang mempunyai tiga cawangan yakni di Kota Damansara, Ampang dan Seremban. Dengan barisan tenaga pengajar yang berketerampilan dan mahir, SRIAS bertujuan untuk melahirkan generasi anak-anak pelajar yang dilengkapi dengan ilmu-ilmu asas agama khususnya dalam pembacaan dan penghafalan Al-Quran. Dengan suasana pembelajaran yang ceria dan menyeronokkan di samping ketegasan dalam menjaga disiplin ilmu, SRIAS pasti akan mampu melahirkan barisan pelajar yang hatinya dekat dengan Islam serta berakhlak mulia.

Di peringkat menengah pula, YSNS semenjak tahun 2004 telah menubuhkan sebuah sekolah menengah swasta yang telah berjaya menggapai beberapa pencapaian yang membanggakan. Sekolah Tinggi Islam As-Sofa (STIAS) yang kini mempunyai tiga cawangan menawarkan peluang pembelajaran yang terbaik untuk anak-anak mendapat pendidikan dalam bidang agama dan akademik. Cawangan STIAS yang terletak di Rembau, Negeri Sembilan merupakan sebuah sekolah berasrama penuh, dilengkapi segala fasiliti yang terbaik serta suasana yang sangat damai, menawarkan pembelajaran dalam aliran Sains dan Ikhtisas. Cawangan STIAS di Dataran Sentral, Seremban pula dikhususkan untuk para pelajar harian yang turut menawarkan aliran Sains dan Ikhtisas.

Bagi para pelajar yang lebih cenderung untuk menghafal serta mendalami ilmu Al-Quran dan Al-Hadith, disediakan STIAS aliran Al-Quran dan Al-Hadith yang bertempat di Sikamat, Negeri Sembilan. Sekolah yang merupakan sekolah berasrama itu menyediakan tempat pembelajaran yang sangat sesuai serta penginapan pelajar berbentuk apartmen yang pastinya menjanjikan keselesaan bagi para pelajar. Di samping itu, YSNS juga mempunyai sebuah sekolah tahfiz yang bertempat di Ampang, Selangor. Sekolah yang dinamakan Darul Quran wal Hadith (DaQwaH) itu merupakan sekolah tahfiz sepenuh masa, yang turut menawarkan kelas-kelas akademik bagi persiapan menduduki SPM. Dengan fasiliti bertaraf kelas pertama, DaQwaH dibuka untuk para pelajar harian dan asrama.

Manakala untuk pengajian di peringkat tinggi pula, YSNS telah menubuhkan Kolej Islam As-Sofa (KIS). KIS yang merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan program Diploma Syariah Islamiyyah, Diploma Usuluddin serta Diploma Kewangan dan Perbankan Islam. Program diploma di KIS adalah selama dua tahun, dan para pelajar yang layak boleh mendapatkan pinjaman pembelajaran daripada pelbagai institusi seperti PTPTN. Para pelajar lepasan diploma di KIS berpeluang melanjutkan pembelajaran di dalam dan luar negara. Di samping itu, KIS juga menawarkan kursus pra-diploma selama empat bulan yang dinamakan Kursus Miftah Al-Ilmi yang menawarkan pembelajaran ilmu-ilmu asas Bahasa Arab, Aqidah, Fiqh, Hadith, Al-Quran dan Teknologi Maklumat. Kursus Miftah Al-Ilmi tersebut terbuka untuk sesiapa sahaja, tetapi khusus bagi para pelajar lepasan SPM menimba pengalaman dan ilmu sebelum melanjutkan pelajaran.

Keseluruhan institusi-institusi pendidikan di bawah YSNS ditubuhkan dengan menjadikan Al-Quran dan Al-Hadith sebagai dasar, dengan berpegang teguh kepada manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah dalam perjalanannya. Peluang belajar di bawah rangkaian institusi-institusi pendidikan YSNS adalah merupakan peluang meneguk lautan ilmu daripada khazanah tradisi ilmu Islam yang luas yang tidak harus dilepaskan. Untuk mendapatkan maklumat lanjut, YSNS boleh dihubungi dengan melayari laman sesawang www.yayasansofa.com atau dengan menghubungi talian 03 4266 4408.
Previous
Next Post »