Ada Ustaz Hina Nabi


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala, Raja dan Empunya sekalian alam. Selawat dan salam buat junjungan agung kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam serta seluruh ahli keluarga baginda yang mulia.

Semenjak kebelakangan ini, isu penghinaan terhadap baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kembali dihangatkan. Isu tersebut kembali hangat, pertamanya, dengan keluarnya sebuah video yang diarahkan oleh seorang warga Amerika Syarikat bertajuk “Innocence of the Muslims” yang secara terang, jelas dan penuh biadab menghina Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Kebiadaban penerbitan video tersebut, bagaimanapun, telah dikalahkan dengan satu lagi kebiadaban yang ternyata lebih teruk – kerana dilakukan oleh orang Islam sendiri. Penerbitan sebuah artikel di dalam Majalah MIDI edisi September 2012, yang memaparkan petikan ayat daripada seorang individu popular bergelar “ustaz”, sangat membangkitkan kemarahan umat Islam kerana petikan tersebut secara jelas dan terang telah menghina dan merendah-rendahkan martabat baginda Rasulullah!

Berikut petikan daripada majalah MIDI:


Sehubungan dengan munculnya aritkel ini, umat Islam seluruh negara bangkit menyuarakan kemarahan mereka. Setelah itu, barulah keluarnya notis ralat ini:


Dua perkara yang ingin saya huraikan di sini bagi menjawab segala respon emosional dan kurang matang daripada para penyokong “ustaz” tersebut:
1. Mengapa ralat itu tidak boleh diterima.
2. Mengapa kami seolah-olah mencari-cari kesalahan “ustaz” yang dimaksudkan.

Mengapa ralat itu tidak boleh diterima

Mengapa setelah notis ralat itu dikeluarkan, kritikan dan rasa marah umat Islam akan hal ini tidak banyak berkurangan? Sebabnya mudah, kerana notis ralat yang dikeluarkan, apabila dinilai dan dianalisa secara logik, menunjukkan bahawa sememangnya kenyataan “ustaz” tersebut salah.

Petikan asal dalam Majalah MIDI:
“Nabi Muhammad s.a.w. sebelum menerima wahyu, hidup dalam keadaan tidak beragama tetapi menerima hidayah pada usia 40 tahun.”

Ayat ini secara jelas dan terang adalah ayat BIADAB dan KURANG AJAR dengan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam! Walhal sudah datang hujah dan keterangan yang jelas akan kemuliaan dan kesucian baginda (daripada kesyirikan dan kesesatan) dalam al-Quran dan al-Hadith. Penerangan lanjut boleh dibaca dalam artikel di bawah. Setelah menerima kemarahan umat Islam, notis ralat dikeluarkan. Pembetulan yang dibuat membayangkan ayat yang – kononnya – sepatutnya diterbitkan adalah seperti berikut:

“Nabi Muhammad s.a.w. sebelum menerima wahyu, masyarakatnya hidup dalam keadaan tidak beragama.”

Atau,

“Nabi Muhammad s.a.w. sebelum menerima wahyu, masyarakatnya hidup dalam keadaan tidak beragama tetapi menerima hidayah pada usia 40 tahun.”

Kedua-dua ayat di atas membayangkan kelemahan dan kejahilan si “ustaz” dalam membicarakan tentang baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang mulia, dan betapa tergesa-gesanya dia dalam cuba menutup kesalahannya itu.

Jika pembetulan pertama diambil kira, maka itu menunjukkan sememangnya si “ustaz” bersalah – dan bukannya kesilapan editor majalah – kerana pengguguran bahagian hujung ayat daripada teks asal menunjukkan bahawa itu bukanlah ralat kecil. Ralat kecil adalah kesalahan seperti tertinggal satu perkataan, tersalah tulis nombor dan sebagainya. Tetapi ayat tersebut telah diubah terus maksudnya. Maka sememangnya si “ustaz” telah salah cakap!

Jika pembetulan kedua diambil kira, maka itu menampakkan sikap tergesa-gesa dan gopoh editor atau si “ustaz” dalam cuba membetulkan kesilapan. Memasukkan perkataan “masyarakat” di tengah-tengah ayat tersebut menjadikan ayat tersebut aneh – kerana konteks dan struktur ayat masih lagi merujuk kepada individu dan bukannya masyarakat. Maka sememangnya si “ustaz” telah salah cakap!

Kenapakah menyatakan sedemikian tentang Rasulullah adalah salah – malah, salah besar? Sila baca artikel oleh Unit Penyelidikan Yayasan Sofa di bawah.

Mengapa kami seolah-olah mencari-cari kesalahan “ustaz” yang dimaksudkan

Kenapa kami bersungguh-sungguh mengkomen tentang isu ini?

Pertamanya, kerana ini isu ‘aqidah. Ya, isu ‘aqidah. Ini adalah isu penghinaan terhadap baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Kesalahan menghina Rasulullah BUKAN KESALAHAN KECIL. Cukuplah sebagai bayangan betapa besarnya kesalahan menghina Rasulullah sehingga sepakat para ulama TANPA KHILAF bahawa hukuman bagi orang Islam yang menghina Rasulullah adalah hukuman bunuh. Sepertimana disebutkan oleh al Hafiz Abu Bakar Ibnu al Munzir, seorang mujtahid di sisi Mazhab Syafi’e: “Telah bersepakat keseluruhan ahli ilmu, bahawa sesiapa yang menghina Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam akan dihukum bunuh. Di antara mereka yang menyatakan sedemikian ialah Imam Malik ibn Anas radhiyallahu ‘anh, Imam al Laith radhiyallahu ‘anh, Imam Ahmad radhiyallahu ‘anh, dan Imam Ishaq radhiyallahu ‘anh; dan ini adalah pendapat Mazhab Syafi’i.

Kedua, kerana isu ini berkaitan dengan seorang kekasih yakni baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Salah satu pra-syarat penting keimanan adalah KECINTAAN kepada Rasulullah. Maka, mana mungkin seseorang yang mencintai baginda, tidak melenting dan tidak merasakan apa-apa tatkala baginda dihina dan direndah-rendahkan martabatnya?

Ketiga, kerana si “ustaz” ini adalah seorang yang popular justeru kenyataan dia yang dibuat secara umum di dalam media berpotensi besar mempengaruhi pemikiran dan pemahaman masyarakat awam dalam hal ‘aqidah. Justeru, adalah perlu untuk mendedahkan kesalahan idea dan pemikiran yang dibawa oleh “ustaz” tersebut. Tambahan, ini bukanlah kali pertama dia mengeluarkan kenyataan yang bersifat penghinaan terhadap baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Keempat, kerana tiada ruang dan sebab untuk “bersangka baik”, sepertimana yang sering dilaung-laungkan oleh para penyokong “ustaz” tersebut. Hanya orang yang BODOH sahaja yang akan mengabaikan penulisan berbaur penghinaan seperti itu atas alasan “bersangka baik”.

Apa yang pasti, isu ini bukanlah isu kecil kerana ini isu ‘aqidah. Huraian dan penjelasan tentang hakikat sebenar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bagi menjawab dan menyanggah fahaman menyeleweng yang cuba disampaikan oleh “ustaz” itu telah ditulis oleh Unit Penyelidikan Yayasan Sofa, sepertimana yang dilampirkan di bawah.
Sollu ‘ala an-Nabi!
Previous
Next Post »