Mempertahankan Guru Kami


Yang dinamakan taksub adalah apabila kita berpegang dan mempertahankan sesuatu yang batil, dan itu adalah merupakan satu sifat yang tercela dan wajib dipatuhi. Justeru, taat dan patuh akan segala arahan guru (selagi tidak bercanggah dengan syariat) - serta mempertahankan, memuliakan dan membesarkan seorang guru sesuai dengan kadar kedudukannya sebagai seorang 'ulama, serta menjaga segala adab-adab dengan seorang guru sepertimana yang telah disampaikan dan diajar dalam tradisi Islam - tidaklah dikatakan taksub tetapi itulah natijah kasih dan sayang.

Justeru, apabila mutakhir ini guru kami, al Musnid Dato' Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin al Maliki, menjadi sasaran hinaan, tohmahan serta fitnah, adalah menjadi satu kewajipan bagi kami untuk mempertahankan guru kami. Apatah lagi beliau yang dipertahankan itu merupakan seorang 'ulama yang mempunyai kedudukan yang cukup istimewa dalam "gelanggang" para 'ulama di dunia Islam. Allah Subhanahu wa ta'ala telah menzahirkan kemuliaan beliau apabila akhir-akhir ini deretan 'ulama dunia telah datang ke Malaysia dengan tujuan untuk menziarahi serta menyatakan sokongan dan dokongan mereka terhadap guru kami serta perjuangan dakwahnya yang tidak pernah putus.

Pepatah Melayu ada menyatakan, "Hanya jauhari yang mengenal manikam". Benarlah, hanya para 'ulama yang kenal siapa 'ulama. Justeru, kehadiran deretan 'ulama untuk menziarahi al Musnid Dato' Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin al Maliki seolah-olah merupakan hadiah daripada Allah untuk menguatkan lagi keteguhan hati guru kami dalam menghadapi segala dugaan dan ujian. Sepertimana sunnah baginda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang pasti akan dipertahankan serta dizahirkan pertolongan Allah ke atas baginda apabila ada ujian yang melanda. Kedatangan para 'ulama besar dalam dunia Islam seperti Dr. Sayyid Nafi' ibn al Arabi as Sanusi al Hasani (keturunan Sayyid Muhammad Ali as Sanusi), Dr. 'Isa ibn Abdillah ibn Mani' al Himyari (Dubai), Sayyid Idris bin Mustofa (keturunan Sayyidi Ahmad ibn Idris) serta al 'Allamah Syeikh Muhammad bin Muhammad Awwamah (muhaddith daripada Madinah) adalah merupakan kurniaan dan rahmat yang cukup besar daripada Allah kepada guru kami dan juga kepada kami semua.

Semoga Allah Subhanahu wa ta'ala akan terus mengurniakan kekuatan kepada guru kami al Musnid Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki untuk terus gigih dan teguh menggerakkan usaha dakwah beliau. Semoga segala institusi pendidikan yang beliau tubuhkan - Sekolah Tinggi Islam As-Sofa, Darul Quran wal Hadith, Kolej Islam As-Sofa, Universiti As-Sofa - akan terus mendapat limpahan rahmat serta kemudahan daripada Allah agar dapat melahirkan generasi para 'ulama yang akan mampu memimpin umat menuju keredhaan Allah. Semogga Allah Subhanahu wa ta'ala terus mengekalkan kami di bawah pentarbiahan beliau, serta berhimpun bersama-sama dengan beliau di dunia dan di akhirat.


al Musnid Dato' Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki

Previous
Next Post »