Masjid’s Standard Quality

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang.

Ketika saya di sebuah masjid yang agak besar di Ampang tengahari tadi untuk solat, dalam keadaan hari yang panas terik, terkenangkan Masjid Darul Ehsan Taman TAR (MDETTAR) yang selesa dan lengkap berhawa dingin. Selesa beribadah di MDETTAR dek kerana ‘sentuhan’ ulama yang benar-benar faham keutamaan dan tahu di mana letaknya kemuliaan.

Saya teringat satu ketika dahulu satu idea pernah dilontarkan oleh Saudara Sayed Munawwar supaya diwujudkan satu piawai (standard) bagi surau-surau di pusat-pusat membeli-belah supaya pengurusan dan malah pengwujudan surau-surau itu tidak dilakukan secara sambil lewa, tetapi sebaliknya diberikan perhatian yang serius dan dipastikan selesa untuk digunakan bagi umat Islam beribadah.



Dalam keadaan Islam adalah merupakan ‘agama persekutuan’ (nota: bukan sekadar agama rasmi), sepertimana termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, maka adalah sewajarnya dan malah sangat penting juga saya rasa untuk diwujudkan satu piawaian bagi menentukan tahap minimum yang boleh diterima bagi surau-surau dan masjid-masjid di negara ini. Mungkin satu piawaian seperti “Masjid’s Standard Quality (MSQ)” boleh diwujudkan dan dijadikan sebagai panduan bagi pengwujudan masjid, surau, serta musolla di tempat-tempat awam.

Mengambil panduan daripada guru kami yang mulia, Al-Musnid Dato’ Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin Al-Maliki, yang sering menuntut dan mengusahakan kualiti yang terbaik dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama seperti yang tercermin dalam pembinaan STIAS, Kolej Islam As-Sofa, serta penambahbaikan terhadap MDETTAR, maka saya terfikir bahawa satu piawaian seperti MSQ perlu menekankan hal-hal yang berikut sebagai piawai minima bagi masjid, surau dan musolla:

[1] Ruang solat yang disediakan mestilah luas dan sesuai dengan jangkaan bilangan penduduk / pengunjung Muslim tempat tersebut.

[2] Alat penghawa dingin mestilah dipasang secukupnya dan perlu dipastikan wujud sistem pengudaraan yang baik.

[3] Pembersihan berkala perlu dilakukan bagi memastikan tempat solat tersebut sentiasa berada dalam keadaan bersih.

[4] Tempat mengambil wudhu’ mestilah selesa serta tempat wudhu’ wanita perlu dipastikan benar-benar terlindung dan terasing daripada kawasan lelaki.

[5] Lantai di dewan / ruang solat mestilah dipasang dengan permaidani yang mewah dan empuk, atau dengan jubin berkualiti tinggi.

[6] Pencahayaan mestilah cemerlang. Bagi masjid dan surau yang besar pemasangan chandelier yang menambahkan lagi kecantikan masjid dan surau adalah perlu.

[7] Sistem siaraya (P.A. System) yang baik dan berkualiti perlu dipasang, termasuk dengan projektor LCD serta skrin televisyen bagi masjid dan surau-surau yang besar.

Dan banyak lagi.

Dan, sudah tentu juga piawaian seperti MSQ perlu menekankan hal-hal yang lebih bersifat substantial seperti kriteria imam dan bilal, program-program pengajian dan sebagainya. Mungkin ada yang akan menyatakan perkara-perkara yang disenaraikan di atas adalah membazir, dan mungkin juga ada yang akan memperlekeh dengan sinis bahawa perkara yang disenaraikan di atas adalah tidak penting. Tetapi, hakikatnya,  jika kita perhatikan di sekeliling kita maka kita akan lihat orang ramai berusaha untuk mencantikkan dan menghiaskan rumah kediaman mereka masing-masing. Kita juga akan lihat pusat-pusat membeli belah serta pusat hiburan direkabentuk dengan begitu cantik diterangi cahaya yang gilang-gemilang. Maka, apakah halnya apabila kita mengabaikan rumah Allah? Apakah halnya kita mengabaikan tempat untuk kita beribadah kepada Allah?

Ingatlah, setiap amal itu adalah dinilai dengan niatnya. Jika kita menghiasi sesebuah masjid atau surau itu dengan niat untuk menunjuk-nunjuk, riak dan sebagainya, maka sememangnya hal tersebut menjadi sesuatu yang batil. Tetapi sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh memastikan masjid dan surau menjadi cantik dan selesa, dengan niat untuk mengagungkan rumah Allah, memuliakan tempat yang suci, membesarkan syiar Islam serta menjadikan masjid sebagai tempat yang paling selesa dan paling indah di negara ini – sesuai dengan kedudukannya di sisi Allah – maka sudah tentu kita akan diganjari kerana antara sunnah baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah membesarkan dan memuliakan apa yang dibesarkan dan dimuliakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala.

Ini sekadar lontaran awal, idea ini perlu dipanjangkan dan dikembangkan lagi.

Wallahu’alam.
Previous
Next Post »