Nak makan babi? Makanlah.


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam dan ahli keluarga baginda yang mulia.

Saya teringat satu kisah benar yang pernah diceritakan oleh guru kami yang mulia, al-‘Allamah al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin al-Maliki, beberapa tahun yang lepas yang saya ingat kisahnya sampai ke hari ini. Kisah tersebut benar-benar telah membuka satu kotak pemahaman yang lebih jelas kepada saya tentang ‘aqidah. Kisah tersebut tentang seorang ustaz muda yang berdakwah di kampung orang asli. Kegigihan berdakwah ustaz tersebut membuahkan hasil apabila ada di kalangan orang asli tersebut yang menyatakan hasrat untuk memeluk agama Islam. Walau bagaimanapun, ustaz tersebut terkesima dan mengalami dilema apabila orang asli tersebut menyatakan:

“Ustaz, saya nak masuk Islam... tapi saya tak nak tinggalkan makan babi. Boleh tak?”


Soalan ini mungkin nampak remeh, tetapi melalui pengalaman saya, saya tahu bahawa jawapan yang terbaik hanya mungkin boleh diberi oleh orang yang mantap ilmu agamanya (lengkap dimensi Aqidah-Syariat-Tasawuf). Ustaz tadi yang ditanyakan soalan tersebut, tidak pasti bagaimana hendak menjawab lalu mengajukan masalah tersebut kepada Al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad Bin Kamaludin Al-Maliki (semoga Allah merahmati beliau). Jawapan Al-Musnid Syeikh cukup mudah:

“Katakan kepadanya: masuklah Islam. Nak makan babi pun, makanlah.”

Kenapa boleh begitu?

Penjelasannya cukup mudah; kerana orang asli itu tadi jika tidak dibenarkan memeluk agama Islam, maka dia akan kekal dalam kekufuran. Tetapi jika dia masuk Islam, dan dibenarkan makan babi (dek kerana sudah menjadi kebiasaan sehingga mungkin sukar untuk ditinggalkan kebiasaan itu), maka dia adalah seorang Islam yang melakukan dosa – fasiq. Antara “fasiq” dan “kufur”, darjat manakah yang lebih teruk? Sudah tentu “kufur”! Malah, terlalu jauh beza antara “fasiq” dan “kufur”. Kekufuran adalah dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah – balasan bagi orang yang kufur adalah azab neraka. Tetapi sebaliknya bagi orang Islam, walaupun fasiq, akhirnya kelak tetap akan ke syurga Allah berdasarkan kepada sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud: “Barangsiapa yang mengucapkan ‘tiada Tuhan melainkan Allah’, akan masuk syurga.” (Maksud hadith). Malah, bagi orang yang fasiq, jika Allah berkenan untuk mengampunkan segala dosanya di saat penghujung nyawanya, orang itu akan mati dalam keadaan suci dan bersih daripada dosa! Dan hal tersebut sangatlah mudah bagi Allah. Bukankah Allah itu Maha Pengampun?!

Kenapa saya membawakan cerita ini?

Cerita ini harus menjadi pengajaran penting kepada umat Islam di Malaysia pada hari ini. Pada hari ini, kita menyaksikan wujud kelompok-kelompok umat di negara ini yang semudah-mudahnya memperlekeh ‘aqidah kelompok yang lain. Atas pentas politik, malah dalam surau dan masjid-masjid, wujud kelompok umat yang menghukum “kufur” atas kelompok yang lain! Lebih menyedihkan, seringkali tuduhan “kufur” (termasuk menggunakan istilah lain seperti: ‘tidak Islam’, ‘sesat’, ‘bid’ah (dholalah)’, ‘aqidah menyeleweng’, dan sebagainya) dilemparkan atas sebab-sebab yang bukannya termasuk dalam ruang lingkup ‘aqidah!

Apakah mereka tidak pernah mendengar sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang lebih kurang maksudnya: “Jika seseorang berkata kepada saudaranya, ‘Wahai kafir!’ Maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya.” (Hadith riwayat Imam al-Bukhari daripada Abu Hurairah). Hadith ini merupakan satu amaran yang sangat besar, bahawa jika kita seseorang itu tersalah dalam menghukum “kafir”, maka kekufuran itu akan ditimpakan terhadap orang yang menghukum tersebut!

Inilah yang berlaku hari ini. Ada di kalangan umat ini yang menganggap isu-isu seperti kezaliman, rasuah, salahguna kuasa, penipuan dalam pilihanraya, fitnah terhadap akhlak seseorang, dan sebagainya sebagai isu ‘aqidah – sedangkan semua itu bukan isu ‘aqidah! Ya, semua perlakuan di atas adalah ditegah dalam agama dan pelakunya adalah orang yang melakukan maksiat dan dosa, mereka fasiq. Selagimana mereka masih berpegang kepada dua kalimah syahadah, mereka tetap Islam!

Dalam hal ini, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda dalam hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik yang lebih kurang maksudnya: “Tiga perkara daripada asas keimanan ialah: menahan diri daripada (mengkafirkan) orang yang mengucapkan ‘Laa Ilaaha Illallah’, kami tidak mengkafirkannya kerana dia berbuat dosa dan kami tidak mengeluarkannya daripada Islam hanya kerana dia melakukan maksiat... (sehingga akhir hadith)” (Hadith riwayat Abu Daud)

Kegagalan dalam memahami secara teliti yang mana satukah isu ‘aqidah dan yang manakah bukannya isu ‘aqidah atau bukan secara langsungnya isu ‘aqidah inilah yang menyebabkan berlakukan pergeseran dan pertelagahan di kalangan umat Islam di negara ini, khususnya di dalam parti-parti politik. Keadaan ini menyebabkan umat Islam semakin terpecah dan semakin mudah dipijak-pijak oleh musuh Islam.

Sebarkanlah mesej ini: tundukkanlah ego masing-masing dan kembalilah belajar. Belajar itu wajib hukumnya. Sepertimana wajibnya solat, menuntut ilmu itu juga wajib! Jangan anggap apabila kita telah punya ijazah, telah menjadi “boss”, menteri, ketua parti pembangkang dan sebagainya, maka kita tidak perlu lagi belajar. Belajar itu adalah proses yang mesti berterusan, sampailah kita kembali menemui-Nya. Belajarlah daripada para ‘alim ulama, belajarlah daripada ahlinya. Dan fahamilah bahawa selalunya yang popular itu bukanlah yang paling ‘alim. Dalami dan fahami benar-benar ilmu ‘aqidah.

Kemudian berusahalah untuk mendalami ilmu akhlak, ilmu tasawwuf. Semoga apabila hati kita terdidik untuk sentiasa terpaut kepada Allah dan Rasul-Nya, kita akan mampu untuk mendepani segala pelaku maksiat – yang melakukan kezaliman, rasuah, penindasan, penyalahgunaan kuasa, fitnah, rompakan dan sebagainya – dengan penuh kasih sayang dan hikmah, bukannya dengan kekerasaan, kutukan atau hinaan. Kerana sesungguhnya, teras utama agama Islam adalah kasih sayang (rahmah), yang dengannya Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam diutuskan kepada kita.

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »

2 comments

Click here for comments
NA_SR
admin
6:38 pm ×

interesting...=) sy nak kongi artikel ni =)

Reply
avatar
NA_SR
admin
6:38 pm ×

nak kongsi lah artikel ni...=)

Reply
avatar