Monday, 28 March 2011

Kenyataan Media PEMBELA: Mempertahankan Kedaulatan Islam di Malaysia dalam Menangani Isu Bible Bahasa Melayu

Sumber: http://adf.ly/1AbcS

Kenyataan Media Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA)

Mempertahankan Kedaulatan Islam di Malaysia dalam Menangani Isu Bible Bahasa Melayu

Kenyataan ini dibuat memandangkan sikap kumpulan-kumpulan Kristian akhir-akhir ini yang terlalu provokatif dan melampau-lampau dalam menangani isu Bible Bahasa Melayu. Sikap dan cara ini yang tercermin dalam tindakan membuat laporan polis secara berkumpulan serta pelbagai kenyataan-kenyataan kasar yang amat menghiris hati umat Islam di negara ini. Keadaan ini jika dibiarkan akan membawa kepada salah satu daripada dua kemungkinan yang buruk; sama ada, pertamanya, tekanan dan provokasi berterusan ini akan menyebabkan para pemimpin politik negara akan merasa lemah dan mengalah lalu memberi apa sahaja yang diminta oleh kumpulan ekstrimis ini tanpa mengira kedudukan dan kedaulatan Islam di dalam perlembagaan, sejarah dan budaya negara atau yang kedua, provokasi dan pelanggaran berterusan terhadap perasaan dan sensitiviti umat Islam ini akan mencetuskan ketegangan dan mengundang reaksi daripada kelompok Islam yang mungkin sukar dikawal dan dibendung oleh sesiapa.

Atas kesedaran ini, kami pimpinan-pimpinan pertubuhan-pertubuhan Islam utama dan arus perdana negara ini telah bersatu di bawah Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) yang berperanan sebagai platform penting dalam menyelaraskan suara umat Islam demi mengelakkan senario-senario buruk seperti yang dihimbau di atas.

PEMBELA menegaskan bahawa umat Islam di negara ini adalah umat berdaulat. Islam di Malaysia bukannya anak yatim piatu ataupun anak tiri yang tiada penjaga dan pelindung. Di samping perlindungan hakiki daripada Allah Rabbul Jalil, Islam di Malaysia sejak sekian lama dan sebelum Merdeka lagi telah menempati kedudukan yang istimewa dan dilindungi oleh perlembagaan, undang-undang, Raja-Raja Melayu, para pemerintah dan umatnya. Ini menjadi salah satu faktor asasi disebalik kestabilan dan kemakmuran negara walaupun berhadapan dengan komposisi kaum dan agama yang begitu rencam dan pelbagai. Walaupun masih terdapat sedikit-sebanyak kelemahan dan kegelinciran, umat Islam di Malaysia masih setia mempertahankan persefahaman ini demi keamanan, kemakmuran dan keadilan untuk semua. Tetapi harus diingat, jika formula ini hendak diganggu-gugat oleh sesiapa atau mahu digadaikan untuk kepentingan sementara mana-mana kumpulan, PEMBELA dan umat Islam tidak akan hanya berdiam diri dan akan berjuang untuk mempertahankan apa yang hak.

Khusus berkenaan dengan isu terkini iaitu sejumlah Bible berbahasa Melayu yang hendak dibawa masuk ke negara kita, PEMBELA menegaskan pandangan dan pendirian berikut :-

1. Kepada Pihak Kumpulan-kumpulan Kristian.

Kami ingin mempersoalkan sampai ketahap manakah mereka hendak memprovokasi dan memanipulasi isu ini? Adakah mereka tidak sedar bahawa tindakan mereka ini amat menghiris perasaan umat Islam?

PEMBELA menuntut agar kumpulan-kumpulan Kristian terbabit kembali menghormati persefahaman yang ada di kalangan penganut-penganut agama yang berdasarkan Perlembagaan negara, peruntukan undang-undang dan pelbagai keputusan-keputusan rasmi. Ini termasuklah Artikel 3(1), 11(4) dan enakmen-enakmennya, Keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam isu kalimah Allah, larangan Mahkamah terhadap penggunaan kalimah Allah selagi rayuan belum diputuskan, dan Keputusan Kabinet 1986 tentang import masuk Bible berbahasa Melayu.

PEMBELA berpendapat bahawa kumpulan 35,000 Bible tersebut tidak patut dibenarkan untuk edaran kerana bercanggah dengan peruntukan-peruntukan di atas. Keputusan awal kerajaan sudah merupakan suatu kompromi yang sebenarnya sudah melampaui peruntukan-peruntukan ini. Oleh itu sikap keras dan degil pihak Kristian terhadap keputusan awal kerajaan ini adalah sangat-sangat mendukacitakan. Apatah lagi jika diambil-kira kitab Al-Quran sendiri dikawal cetakan dan sebarannya oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Ini adalah prosedur biasa dan menuduhnya sebagai suatu kesalahan besar yang mencemar kesucian Bible adalah suatu tuduhan yang liar dan tidak bertanggungjawab.

PEMBELA juga menyeru agar kumpulan-kumpulan Kristian menghentikan pendekatan konfrontasi dan sebaliknya menggunakan saluran perbincangan yang ada seperti Jawatankuasa Kerja Mempromosi Persefahaman Keharmonian Antara Penganut Agama (JKMPKAPA) yang ditubuhkan oleh kerajaan dan turut disertai oleh kami. Kami menegaskan, jikalau mereka berterusan hendak mengambil pendekatan konfrontasi dan garis keras, kami mungkin mengambil keputusan untuk menarik diri daripada jawatankuasa tersebut.

PEMBELA juga menuntut suatu permohonan maaf kepada umat Islam di atas pelbagai kenyataan dan tindakan yang sebahagiannya telah menggores hati umat Islam sepanjang isu ini.

2. Kepada Para Pemimpin Politik.

PEMBELA menegaskan kepada semua pemimpin politik tanpa mengira parti agar jangan sekali-kali menggadaikan kedaulatan Islam kerana tekanan sokongan politik. Kalaupun tunduk kepada tekanan politik boleh membawa hasil sementara, tetapi dalam jangka panjang ia akan meruntuhkan paksi pembinaan negara-bangsa dan turut merugikan semua pihak.

Kami juga sangat tidak selesa dengan pendekatan membiarkan para pemimpin bukan Islam yang ke hadapan menjadi jurucakap bagi pihak Kerajaan mahupun Pembangkang dalam isu ini. Oleh kerana ianya melibatkan isu Islam, sepatutnya pemimpin beragama Islam lebih terkehadapan dalam menangani isu ini. Pemimpin bukan Islam nampaknya sering berlebih-lebihan dan kurang berhati-hati dalam kenyataan-kenyataan yang dibuat. Sebagai contohnya kami merujuk kepada beberapa kenyataan yang dibuat oleh Dato’ Seri Idris Jala di pihak kerajaan dan terbarunya oleh YB Tony Phua, Ketua Publisiti DAP.

PEMBELA juga menegaskan pengundi majoriti di negara ini adalah umat Islam. Berdasarkan senario mutakhir ini, kami memutuskan untuk menggerakkan kempen kesedaran di kalangan pengundi Islam di negara untuk menolak mana-mana pemimpin yang terlalu berkompromi dengan prinsip kedaulatan Islam di Malaysia. Untuk tujuan itu, kami akan memantau serius setiap kenyataan dan tindakan setiap tokoh politik dalam isu-isu seumpama ini.

Akhirnya, PEMBELA akan mengemukakan satu memorandum khas berkenaan isu ini kepada pihak Yang Di Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja Melayu. Kami amat berharap Duli-duli Tuanku sebagai Ketua Agama Islam di negara ini akan bertindak untuk mengawalnya dari sampai ke tahap yang lebih buruk dan tidak terkawal. PEMBELA juga menyeru kepada semua warganegara Malaysia yang patriotik dan cintakan negara ini agar kembali insaf tentang persepakatan tentang kedudukan Islam di negara ini dan menghentikan segala bentuk provokasi dan manipulasi isu-isu agama di negara kita ini.

Thursday, 24 March 2011

Religious Pluralism -- It's Why DSAI Is Not Fit To Rule

In the name of Allah, The Most Gracious, The Most Merciful.

Dato' Seri Anwar Ibrahim's (DSAI) persistence in holding on to the ideology of "religious pluralism" is one of the main reasons why DSAI is not fit to rule this country. Although he has been advised by many - including numerous Muslim scholars and activists - DSAI does not seem to falter from believing in the idea of religious pluralism. Having been to his home and meeting with him personally on several occassion, I can understand that DSAI's persistence on holding to a view which is not only anti-Islam, but also anti-Christian and anti-religion, is probably largely due to his egotistical nature. If DSAI is allowed to rule the country, his idea of "religious pluralism" will devour Muslims of their identity; for religious pluralism is not just a societal matter, it is about theology and the fundamentals of religion. For those Muslims who are still in full support of DSAI's cause, please know and understand that DSAI is not someone who is qualified to represent Islam.



http://adf.ly/1AbfL

Tuesday, 22 March 2011

Khutbah Jumaat Macam Karangan Sekolah Menengah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, serta ahli keluarga baginda yang mulia.

Perkara ini sudah semenjak sekian lama berlegar dalam fikiran. Semenjak beberapa minggu terakhir ini, setelah mengikuti beberapa siri khutbah jumaat, terdetik di hati saya bahawa apa yang disampaikan di dalam khutbah jumaat – khususnya khutbah rasmi – tidak ubah seperti sebuah karangan pelajar sekolah menengah. Bukannya apa yang disampaikan itu tidak bagus. Apa yang disampaikan semasa khutbah jumaat itu bagus, tetapi tidak kena pada tempat dan keadaan. Tajuk-tajuk seperti “Hari Pahlawan”, “Hari Kekasih”, “Remaja Hari Ini Tonggak Masa Depan Negeri” dan sebagainya adalah tajuk-tajuk yang, pada hemat saya, bukan sewajarnya disampaikan di dalam khutbah jumaat. Tajuk-tajuk tersebut, pelajar sekolah menengah pun boleh mensyarahkannya!

Solat Jumaat adalah medan mengumpulkan semua umat Islam di satu-satu kawasan. Khutbah jumaat sebagai salah satu rukun solat jumaat pula haruslah digunakan untuk menyampaikan ilmu dan peringatan yang berguna kepada umat Islam. Tambah lagi, di dalam suasana umat Islam pada hari ini berada di dalam kekeliruan dan kebingungan dek serangan pemikiran yang semakin hari semakin dahsyat, khutbah jumaat merupakan medan terbaik untuk meluruskan dan menyatukan semula fikrah umat agar tetap di dalam kerangka ahli sunnah wal jamaah. Malangnya, khutbah jumaat pada hari ini lebih cenderung membincangkan hal-hal remeh yang mudahnya disamakan dengan karangan pelajar sekolah menengah.

Cuba kita meneliti huraian Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam karya-karya beliau seperti “Islam and Secularism” dan “Risalah Untuk Kaum Muslimin”, di mana beliau menjelaskan bahawa masalah utama (masalah akar – root problem) umat Islam pada hari ini adalah masalah kehilangan adab. Dalam erti kata lain, umat Islam pada hari ini keliru dalam menentukan antara yang benar dan yang salah, antara yang utama dan kurang utama, serta antara yang mulia dan kurang mulia. Masalah-masalah yang berlaku pada hari ini adalah kerana umat Islam tidak tahu atau keliru tentang ilmu-ilmu agama. Soal-soal yang fundamental dalam cabang ‘aqidah, syariah serta tasawuf tidak dipelajari serta difahami – sedangkan hal-hal tersebut adalah fardhu ‘ain! Apabila perkara yang wajib dipelajari oleh semua orang, tidak dipelajari dan dikuasai, maka sudah tentu orang itu tidak akan dapat menjadi insan yang baik – tidak akan mampu untuk menjadi insan yang bertaqwa sepertimana yang sering diseru pada setiap khutbah jumaat.

Maka, alangkah eloknya jika khutbah-khutbah jumaat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk menjelaskan dan menghuraikan kepada umat tentang ilmu-ilmu ‘aqidah, tentang hukum-hakam dalam fiqh, serta ilmu-ilmu akhlak dan adab. Huraikan tentang Sifat 20, tentang Asma’ Allah, tentang sirah serta hakikat Rasulullah; juga boleh dihuraikan tentang solat serta segala hal yang berkaitan dengannya, tentang puasa dan sebagainya. Juga elok jika sentiasa diperingatkan umat akan kedatangan hari akhirat, diperingatkan akan kematian, diperingatkan tentang perbuatan-perbuatan yang mendatang dosa dan pahala, dan sebagainya. Malah, cukup cantik juga jika khutbah jumaat menceritakan tentang tokoh-tokoh dalam Islam seperti Imam Syafie, Imam al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki dan lain-lain agar dapat dijadikan contoh kepada umat Islam, khususnya generasi muda yang kini nampak kekeringan tauladan.

Mungkin akan ada yang berfikir bahawa menceritakan tentang hal-hal akhirat, bercerita tentang Allah, bercerita tentang Rasulullah di dalam khutbah jumaat tidak perlu kerana umat sudah tahu, ataupun tidak perlu kerana bercakap tentang hal-hal tersebut hanya akan menjadikan umat Islam mundur. Ingin saya nyatakan, bahawa saya sarankan agar hal-hal tersebut perlu dijadikan topik utama di dalam khutbah jumaat kerana umat masih tidak tahu! Kalaupun tahu, tidak secara menyeluruh. Dan kalaupun tahu, hal tersebut memang sentiasa perlu diperingatkan. Bagi yang beranggapan bahawa bercakap tentang hal-hal tersebut menjadikan umat Islam mundur, sedarlah bahawa pemikiran kalianlah yang mundur. “Kemajuan” bererti kita bergerak ke hadapan (move forward), menjadi lebih baik dan sebagainya. Sedarlah bahawa kebaikan tertinggi yang perlu dicapai adalah mendekatkan diri kepada Allah dan Rasulullah. Ingatlah bahawa semakin “maju” kita ke hadapan, semakin dekat kita dengan kematian. Jangan tidak tahu bahawa selepas kematian itu akan bermula kehidupan sebenar kita di alam akhirat yang Allah Subhanahu wa ta’ala sendiri namakan sebagai “yaum ad-din”, terjemahan literalnya: “hari agama”; menunjukkan bahawa pada hari itu perkara yang paling penting adalah agama.

Renung-renungkanlah dan panjang-panjangkan kepada sesiapa yang berkenaan.

Mohon maaf atas keterlanjuran dan kesilapan.

Allah jua Yang Maha Mengetahui.