Khutbah Jumaat Macam Karangan Sekolah Menengah

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, serta ahli keluarga baginda yang mulia.

Perkara ini sudah semenjak sekian lama berlegar dalam fikiran. Semenjak beberapa minggu terakhir ini, setelah mengikuti beberapa siri khutbah jumaat, terdetik di hati saya bahawa apa yang disampaikan di dalam khutbah jumaat – khususnya khutbah rasmi – tidak ubah seperti sebuah karangan pelajar sekolah menengah. Bukannya apa yang disampaikan itu tidak bagus. Apa yang disampaikan semasa khutbah jumaat itu bagus, tetapi tidak kena pada tempat dan keadaan. Tajuk-tajuk seperti “Hari Pahlawan”, “Hari Kekasih”, “Remaja Hari Ini Tonggak Masa Depan Negeri” dan sebagainya adalah tajuk-tajuk yang, pada hemat saya, bukan sewajarnya disampaikan di dalam khutbah jumaat. Tajuk-tajuk tersebut, pelajar sekolah menengah pun boleh mensyarahkannya!

Solat Jumaat adalah medan mengumpulkan semua umat Islam di satu-satu kawasan. Khutbah jumaat sebagai salah satu rukun solat jumaat pula haruslah digunakan untuk menyampaikan ilmu dan peringatan yang berguna kepada umat Islam. Tambah lagi, di dalam suasana umat Islam pada hari ini berada di dalam kekeliruan dan kebingungan dek serangan pemikiran yang semakin hari semakin dahsyat, khutbah jumaat merupakan medan terbaik untuk meluruskan dan menyatukan semula fikrah umat agar tetap di dalam kerangka ahli sunnah wal jamaah. Malangnya, khutbah jumaat pada hari ini lebih cenderung membincangkan hal-hal remeh yang mudahnya disamakan dengan karangan pelajar sekolah menengah.

Cuba kita meneliti huraian Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas di dalam karya-karya beliau seperti “Islam and Secularism” dan “Risalah Untuk Kaum Muslimin”, di mana beliau menjelaskan bahawa masalah utama (masalah akar – root problem) umat Islam pada hari ini adalah masalah kehilangan adab. Dalam erti kata lain, umat Islam pada hari ini keliru dalam menentukan antara yang benar dan yang salah, antara yang utama dan kurang utama, serta antara yang mulia dan kurang mulia. Masalah-masalah yang berlaku pada hari ini adalah kerana umat Islam tidak tahu atau keliru tentang ilmu-ilmu agama. Soal-soal yang fundamental dalam cabang ‘aqidah, syariah serta tasawuf tidak dipelajari serta difahami – sedangkan hal-hal tersebut adalah fardhu ‘ain! Apabila perkara yang wajib dipelajari oleh semua orang, tidak dipelajari dan dikuasai, maka sudah tentu orang itu tidak akan dapat menjadi insan yang baik – tidak akan mampu untuk menjadi insan yang bertaqwa sepertimana yang sering diseru pada setiap khutbah jumaat.

Maka, alangkah eloknya jika khutbah-khutbah jumaat dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya untuk menjelaskan dan menghuraikan kepada umat tentang ilmu-ilmu ‘aqidah, tentang hukum-hakam dalam fiqh, serta ilmu-ilmu akhlak dan adab. Huraikan tentang Sifat 20, tentang Asma’ Allah, tentang sirah serta hakikat Rasulullah; juga boleh dihuraikan tentang solat serta segala hal yang berkaitan dengannya, tentang puasa dan sebagainya. Juga elok jika sentiasa diperingatkan umat akan kedatangan hari akhirat, diperingatkan akan kematian, diperingatkan tentang perbuatan-perbuatan yang mendatang dosa dan pahala, dan sebagainya. Malah, cukup cantik juga jika khutbah jumaat menceritakan tentang tokoh-tokoh dalam Islam seperti Imam Syafie, Imam al-Ghazali, Syeikh Abdul Qadir al-Jailani, Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki dan lain-lain agar dapat dijadikan contoh kepada umat Islam, khususnya generasi muda yang kini nampak kekeringan tauladan.

Mungkin akan ada yang berfikir bahawa menceritakan tentang hal-hal akhirat, bercerita tentang Allah, bercerita tentang Rasulullah di dalam khutbah jumaat tidak perlu kerana umat sudah tahu, ataupun tidak perlu kerana bercakap tentang hal-hal tersebut hanya akan menjadikan umat Islam mundur. Ingin saya nyatakan, bahawa saya sarankan agar hal-hal tersebut perlu dijadikan topik utama di dalam khutbah jumaat kerana umat masih tidak tahu! Kalaupun tahu, tidak secara menyeluruh. Dan kalaupun tahu, hal tersebut memang sentiasa perlu diperingatkan. Bagi yang beranggapan bahawa bercakap tentang hal-hal tersebut menjadikan umat Islam mundur, sedarlah bahawa pemikiran kalianlah yang mundur. “Kemajuan” bererti kita bergerak ke hadapan (move forward), menjadi lebih baik dan sebagainya. Sedarlah bahawa kebaikan tertinggi yang perlu dicapai adalah mendekatkan diri kepada Allah dan Rasulullah. Ingatlah bahawa semakin “maju” kita ke hadapan, semakin dekat kita dengan kematian. Jangan tidak tahu bahawa selepas kematian itu akan bermula kehidupan sebenar kita di alam akhirat yang Allah Subhanahu wa ta’ala sendiri namakan sebagai “yaum ad-din”, terjemahan literalnya: “hari agama”; menunjukkan bahawa pada hari itu perkara yang paling penting adalah agama.

Renung-renungkanlah dan panjang-panjangkan kepada sesiapa yang berkenaan.

Mohon maaf atas keterlanjuran dan kesilapan.

Allah jua Yang Maha Mengetahui.
Previous
Next Post »