Saturday, 27 February 2010

Sebuah Kisah Cinta

Ramai orang pada hari ini suka membaca kisah cinta. Tetapi ramai yang membaca kisah cinta yang salah, sehingga akhirnya mereka pun terperangkap dalam mainan cinta palsu yang hanya mendatang resah dan gelisah yang tidak berkesudahan. Saya sekadar ingin berkongsi sebuah kisah cinta sejati yang benar-benar abadi; hasil perkongsian daripada ‘ulama yang hatinya dipenuhi dengan cinta, Habib Adnan bin Habib Ali al-Haddad daripada Jeddah, ketika majlis Maulidurrasul di Masjid Darul Ehsan, Taman TAR, Ampang pada 24 Februari 2010.

Ya, cinta sejati yang abadi yang dimaksudkan di atas adalah kecintaan kepada insan yang paling layak dicintai, Kekasih yang Dikasihi, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.

Nama Sayyiduna Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh tidak asing lagi di negara ini. Sumbangan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh sebagai muazzin Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam begitu signifikan sehinggakan kita pada hari ini memberi gelaran ‘bilal’ kepada para muazzin. Habib Adnan al-Haddad menyebutkan bahawa, tidak akan kita jumpa di dunia ini kisah cinta yang lebih hebat daripada kisah kecintaan para Sahabat kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam begitu dekat di hati para Sahabat sehinggakan setiap perilaku dan kejadian bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sentiasa terpahat di dalam ingatan mereka. Begitulah juga dengan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh. Apabila kita merenungi dan memahami sejarah Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh, maka pasti kita akan lebih memahami betapa dekatnya dan istimewanya baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di hati Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh.

Setelah baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam meninggalkan dunia ini untuk bertemu dengan al-Rafiqul A’la, para Sahabat berada di dalam kesedihan yang amat dek kerana cintanya mereka kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Kenangan-kenangan indah bersama baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sentiasa bermain-main di dalam ingatan mereka. Setiap tempat yang mereka lalui, pasti mereka akan terkenang setiap kejadian bersama Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di tempat itu.

Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh, sebagai muazzin Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yakni orang yang begitu penting dan rapat dengan baginda, berasa begitu sedih dengan pemergian baginda sehinggakan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh tidak lagi mampu melaungkan azan sepertimana selalunya beliau melaungkan azan untuk baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Maka, semenjak daripada pemergian baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu, suara emas Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh tidak lagi kedengaran melaungkan azan di Madinah. Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh kemudiannya telah berpindah ke Syam.

Sehinggalah pada satu ketika, Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh bermimpi bertemu Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang mengisyaratkan kepada Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh untuk menziarahi baginda (yakni, menziarahi makam baginda). Maka, berangkatlah Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh ke Madinah.

Sampai di Madinah, maka Bila bin Rabah radhiyallahu ‘anh bertemu dengan para Sahabat yang lain. Para Sahabat, apabila melihat kehadiran Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh, lantas meminta beliau untuk melaungkan azan. Namun, permintaan Sayyiduna Abu Bakr as-Siddiq radhiyallahu ‘anh, juga permintaan Sayyiduna Umar al-Khattab radhiyallahu ‘anh, agar Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh melaungkan azan terpaksa ditolak. Para Sahabat sangat mengerti, Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh begitu sedih sehingga tidak lagi mampu melaungkan azan sepertimana beliau sering melaungkannya untuk Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Kemudian, datanglah dua permata baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, Sayyiduna Hassan radhiyallahu ‘anh dan Sayyiduna Husin radhiyallahu ‘anh bertemu dengan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh. Betapa gembira dan senangnya Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh apabila bertemu dengan dua cucu kesayangan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam itu, lantas dipeluknya mereka erat-erat. Tiba-tiba Hassan dan Husin radhiyallahu ‘anhuma meminta Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh untuk melaungkan azan sepertimana beliau selalu melaungkannya untuk nenda mereka. Itulah permintaan yang cukup besar. Permintaan tersebut tidak sanggup ditolak oleh Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh, kerana itu permintaan daripada dua orang cucu yang sangat disayangi dan dikasihi oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, lantas mereka berdua turut dikasihi dan disayangi oleh semua Sahabat.

Maka, buat pertama kalinya semenjak pemergian baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, suara emas Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh kembali melaungkan azan di bumi Madinah. Apabila terdengar sahaja laungan azan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh, seluruh penduduk Madinah – lelaki dan perempuan – keluar daripada rumah masing-masing. Mereka menyangkakan bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah kembali, kerana kerinduan mereka terhadap baginda sehingga apabila terdengar azan Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh yang menggamit memori itu mereka menyangka Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sudah hidup kembali.

Apabila sudah menyedari hal sebenarnya, maka seluruh penduduk Madinah menangis. Mereka menangis kerana terlalu rindu akan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Laungan azan daripada suara emas Bilal bin Rabah radhiyallahu ‘anh menghadirkan semula kenangan dan memori-memori mereka bersama baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Maka, dikatakan bahawa tidak pernah kedengaran suara tangisan yang lebih kuat di Madinah melainkan pada hari itu! Itulah tangisan para Sahabat yang begitu mencintai Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam!

Sejauh manakah kerinduan dan kecintaan kita kepada baginda?

Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, dan juga ke atas ahli keluarga baginda yang mulia, serta para Sahabat baginda yang terpuji.

Friday, 26 February 2010

Special Announcement: Visit by Shaykh Dr. Abdal Hakim Murad to Malaysia

We are pleased to be able to announce a brief visit by Shaykh Dr. Abdal Hakim Murad to Malaysia from 27th to 29th March 2010. This is being held under the auspices of Islamic Outreach ABIM and Fajr Symphony, and with the cooperation of the Assembly of Young Intellectuals (HAKIM). Previous visits by many great Muslim scholars in the last three years have received excellent feedback from participants. Activities planned include a Grand Fundraising Event for the Cambridge New Mosque Project and selected local charitable activities. The Fundraising Event will also incorporate the launch of Shaykh Dr. Abdal Hakim Murad's 'The Traveling Light Series'.

Born Timothy J. Winter in 1960, Abdal Hakim studied at the prestigious Westminster School in London, UK and later at the University of Cambridge, where he graduated with first class honours in Arabic in 1983. He then lived in Cairo for three years, studying Islam under traditional teachers at Al-Azhar, one of the oldest universities in the world. He went on to reside for three years in Jeddah, where he administered a commercial translation office and maintained close contact with Habib Ahmad Mashhur al-Haddad and other ulama from Hadramaut, Yemen.

Shaykh Dr. Abdal Hakim is the translator of a number of works, including two volumes from Imam al-Ghazali Ihya Ulum al-Din, and has written a number of books. His book Bombing Without Moonlight earned him the King Abdullah I Prize for Islamic Thought. He gives durus and khutbas from time to time and taught the works of Imam al-Ghazali in Britain, America, Spain, Australia, and Singapore. He has a traditional ijazah to teach Ihya' with isnad (chain) going all the way back to Imam Al-Ghazali himself. He appears frequently on BBC Radio and writes occasionally for a number of publications including The Independent and the Times Literary Supplement.

He lives with his wife and children in Cambridge, UK.

About 'The Travelling Light Series'.

Shaykh Dr. Abdal Hakim Murad's "Travelling Light Series" is an ambitious attempt to film respected scholars giving lectures to students on the 40 books of Ihya. Each DVD introduces one of the forty 'books' which comprise this massive work. Each set is made up of 4 DVDs and the first set relate to 'Saving Practices' (munjiyat), which was filmed in Sarajevo, Bosnia.

Speakers are chosen for their deep knowledge of the text, and for their continuity with ancient chains of transmission from teacher to teacher, to the Imam himself. The locations chosen represent the diversity and beauty of the settings where the Ihya has been taught. They include historic mosques and other buildings which are showcases of Islamic art and architecture.

Each lecture begins with a recitation from the Holy Qur'an, and includes songs drawn from the indigenous spiritual culture which has flourished in the lands where the lectures are taking place.

Some of the films include interviews with local experts and scholars who explain the impact of Imam al-Ghazali's work in their communities.

All proceeds from the sale and broadcast of these DVD's are donated to the Cambridge New Mosque Project.

A gala Fundraising Event will be held on the evening of 27th March 2010 at the Auditorium hall, Dewan Jubli Perak, Shah Alam Selangor in which the celebrated first 4 DVDs will be launched. The event is a follow-up to the highly-successful Launch of the award-winning docu-drama on Imam Ghazali life held in Kuala Lumpur in 2007. The proceeds of the event will go to the Cambridge New Mosque Project and local charitable activities.

Additionally, a workshop entitled 'Spirituality in the age of Uncertainty: An Introduction to Traveling Workshop Series' with respected local and international scholars will be planned in addition to a forum discussing increasing local and international spirituality by making Imam al-Ghazali accessible to a wider public.

All events will seek to partner with corporate and other sponsors and ensure the event(s) receives wide media coverage. These strategic partnerships will enable us to meet the running costs of the events – venue hire, events co-ordinator, catering, transport, entertainment, infrastructure, media as well as to provide travel expenses for our guest of honour Shaykh Dr. Abdal Hakim Murad.

For sponsorship opportunities and further inquiries please call Islamic Outreach ABIM at +603-42569822 or email azrilmohdamin@gmail.com.

Ya Sayyidi! Ya Rasulullah!

Wahai tuanku! Wahai Rasulullah!
Wahai yang mempunyai kemegahan di sisi Allah!
Sesungguhnya orang-orang yang melakukan kesalahan telah datang,
Dengan dosanya untuk memohon ampun kepada Allah...

Berkata tuan guru yang dikasihi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki:
Tahniah dengan kedatangan Maulid Nabi 1431, Hari Kekasih buat semua Pencinta Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam. Tiada yang dapat dikalimahkan pada hari ini melainkan kalimah KEMAAFAN buatmu ya Rasulullah kerana kami tidak pantas menjadi umat kebanggaanmu dan atas kebiadaban kami terhadapmu.

Semoga sambutan Maulidurrasul 1431 ini menjadikan kita lebih hampir kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Sollu ‘ala an-Nabiy!

Monday, 22 February 2010

Janganlah Biadab Dengan Sayyiduna Muhammad

Sambutan Maulidurrasul dihukum oleh sesetengah ‘ulama sebagai sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) memandangkan realiti umat pada hari ini yang sudah semakin jauh daripada mengenali baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sekaligus menjadikan umat hari ini semakin terasing daripada mengamalkan dan menghayati sunnah baginda. Buktinya, ada di kalangan umat pada hari ini yang dengan penuh biadab menyatakan bahawa Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam hanyalah seorang manusia biasa sebelum diturunkan wahyu ketika usia baginda 40 tahun; malah, mereka menyamakan Sayyiduna Muhammad itu dengan “muhammad-muhammad” lain seperti yang ada pada hari ini. Dakwaan tersebut adalah merupakan satu penghinaan kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kerana pada hakikatnya walaupun baginda adalah seorang manusia, tetapi baginda bukanlah seorang manusia biasa – kerana baginda manusia luarbiasa! Malah, kemuliaan baginda bukanlah bermula semenjak usia baginda 40 tahun, tetapi semenjak daripada awal penciptaan lagi!

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu al-Husin ibnu Bisyran, antaranya melalui jalan Ibnu al-Jauzi di dalam kitab al-Wafa bi Fadhail al-Mustafa, dengan lafaz yang bermaksud: “Setelah Allah menjadikan bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu diciptakan tujuh langit dengan sempurna. Setelah itu, Allah menjadikan ‘Arasy, dan menulis pada tiang ‘Arasy ‘Muhammad Utusan Allah, Penutup Para Nabi’. Dia juga mencipta syurga yang didiami oleh Adam dan Hawa, lalu Dia menulis namaku pada pintu-pintu, daun-daun, kubah-kubah dan khemah-khemah syurga; sedangkan ketika itu Adam masih berada (dalam proses kejadiannya) di antara ruh dan jasad. Setelah Adam dihidupkan oleh Allah, dia memandang kepada ‘Arasy, maka dia melihat namaku. Lalu Allah memberitahu kepada Adam, ‘Sesungguhnya dia (Muhammad) adalah penghulu keturunanmu.’ Ketika mereka (Adam dan Hawa) berjaya diperdayakan oleh syaitan, mereka bertaubat dan memohon syafa’at dengan (perantaraan dan keberkatan) namaku kepadaNya.” (Isnad riwayat ini kuat.)

Di dalam sebuah hadith lagi, daripada al-‘Irbadh ibn Sariyah, bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku adalah hamba Allah, penutup segala nabi, dan sesungguhnya ketika itu lembaga Adam ‘alayhissalam masih terdampar pada tanahnya. Aku akan mengkhabarkan kepada kalian tentang perkara tersebut. Aku adalah berkat doa ayahandaku, Nabi Ibrahim ‘alayhissalam, khabar gembira yang dibawa oleh Isa ‘alayhissalam dan ru’ya bondaku mengenai kenabianku. Demikian juga bonda-bonda para nabi melihat tanda-tanda kenabian anak-anak mereka. Sesungguhnya bonda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah melihat cahaya yang menerangi istana-istana Syam sehingga beliau dapat melihatnya ketika melahirkan Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam.” (Hadith diriwayatkan oleh Ahmad, al-Bazzar dan al-Baihaqi. Ibnu Hibban dan al-Hakim menghukumkan hadith ini sohih dan pentashihan ini diakui oleh al-Hafiz ibn Hajar al-‘Asqalani.)

Begitu juga dengan banyak kisah-kisah lain yang lebih masyhur yang menyampaikan kepada kita kefahaman yang jelas bahawa baginda Rasulullah adalah insan yang luarbiasa. Bayangkan, lahir sahaja baginda daripada perut ibu baginda dalam keadaan bersujud. Apakah ada anak-anak kita yang begitu? Api di biara majusi yang tidak pernah terpadam semenjak ratusan tahun tiba-tiba terpadam dengan kelahiran baginda. Saat Sayyiduna Muhammad diambil oleh Halimah as-Sa’diah, perjalanan mereka diiringi awan yang sentiasa menaungi baginda daripada panas terik mentari. Kambing-kambing peliharaan Halimah as-Sa’diah dan suaminya menjadi segar-bugar, penuh dengan susu. Saat kecilnya dan remajanya baginda didatangi malaikat yang membelah dada baginda dan membersihkan hati baginda – apakah ada anak kita yang mendapat peliharaan daripada Allah sebegitu rupa?

Janganlah kita biadab dengan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kerana tanpa baginda siapalah kita; beradablah dengan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam kerana Allah Subhanahu wa ta’ala akan menghapuskan pahala amalan orang yang tidak beradab dengan baginda – dan dikhuatiri, jika terlampau biadabnya kita dengan Rasulullah, akan mengundang kemurkaan Allah Subhanahu wa ta’ala.

Semoga Allah merahmati kita dan menghimpunkan kita bersama baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

(Rujukan: kitab “40 Hadith Keistimewaan Rasulullah”, karangan asal Syeikh Abdullah ibn Muhammad al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani yang diterjemah dan dikeluarkan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki)

Saturday, 20 February 2010

TAZKIRAH: RENUNGI KEDUDUKAN DIRI


Sekadar tazkirah ringkas khusus buat diri saya sendiri terutamanya, dan juga buat sesiapa yang ingin mengambil manfaat daripadanya.

Saya teringat kisah yang diceritakan oleh al-Habib Munzir bin Fuad al-Musawa tempoh hari, tentang seorang panglima tentera yang hebat. Panglima tentera tersebut, dengan penuh megah, berjalan di tengah-tengah pasar dengan menaiki kudanya. Apabila melalui jalan yang ada manusia, panglima tersebut akan menyuruh orang-orang yang berada di jalanan untuk ke tepi dan memberi laluan kepada seorang panglima yang hebat. Tiba-tiba panglima tersebut terserempak dengan seorang ibu tua, dan seperti biasa beliau pun menyuruh ibu tua tersebut ke tepi bagi memberi laluan kepadanya. Ibu tua tersebut meminta izin untuk berbicara dengan panglima tersebut.

Ibu tua tersebut berkata kepada panglima itu: “Aku tahu siapa engkau sebenarnya; daripada awal sampai ke akhirmu aku tahu engkau siapa.

Panglima tersebut berasa sedikit hairan dan tertanya-tanya, lantas bertanya: “Kalau begitu beritahukan kepadaku, siapa aku yang engkau kenali itu?

Lantas ibu tua itu menjawab: “Engkau, di awalmu adalah air mani dan di akhirnya adalah bangkai!

Ya, itulah hakikatnya. Walau siapapun kita, walau apa pun jawatan kita, walau bagaimanapun pujian orang sekeliling kepada kita, hakikatnya kita datang daripada air mani yang hina dan di akhirnya jasad kita ini akan menjadi bangkai yang tidak ada manfaatnya. Begitulah keadaan semua manusia. Oleh sebab itulah, yang paling penting di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala adalah jiwa manusia. Kemuliaan dan ketinggian kedudukan seseorang di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala diukur dari segi taqwa; dinilai pada tahap ilmu dan iman seseorang. Justeru, untuk apakah kita menyombongkan diri merasakan kita lebih mulia dan lebih pandai daripada orang lain; apatah lagi jika orang lain itu adalah orang-orang yang dizahirkan kemuliaan kedudukan mereka di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala?

Renungkanlah dengan akal yang sihat dan hati yang penuh tawadhu’. Semoga Allah melimpahkan Rahmat-Nya ke atas kita semua.

Thursday, 18 February 2010

Majlis Bersama Al-Habib Munzir Fuad al-Musawa

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Pengasih. Maha Suci Allah Yang Maha Agung. Maha Suci Allah daripada menyerupai segala sesuatu. Segala lafaz pujian bagi Allah Yang Memiliki, Menguasai dan Mentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia Nabi dan Rasul, sebaik-baik ciptaan Allah, penghulu orang-orang bertaqwa, penghilang duka dan pembawa bahagia, yakni Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Lafaz salam juga dipanjangkan kepada ahli keluarga baginda Rasulullah yang mulia dan terpelihara, serta para sahabat baginda yang mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah.

Pesta cinta sudah bermula! Kehangatan sambutan Maulidurrasul semakin terasa. Malam semalam (Rabu, 17 Februari 2010) berlangsung majlis bersama al-Habib Munzir al-Musawa di Masjid Al-Falah, USJ9, Subang Jaya. Di Indonesia, al-Habib Munzir al-Musawa adalah nama yang tidak asing. Majlis pengajian beliau sahaja mencecah jutaan orang. Sentuhan al-Habib Munzir di Masjid Al-Falah semalam ternyata hebat. Rata-rata hadirin mengalirkan air mata kerinduan dan kecintaan kepada baginda Rasulullah tatkala al-Habib Munzir mengisahkan sirah Rasulullah serta menceritakan tentang keistimewaan, kemuliaan dan keagungan baginda. Begitulah ‘rasa’ cinta – sesuatu yang tidak mampu diungkapkan oleh kata-kata, tetapi perlu dirasai dan dihayati melalui pengalaman sendiri untuk mengetahui keindahannya. Sungguh, alangkah bahagianya orang-orang yang berhimpun bersama baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Wednesday, 17 February 2010

Ayuh Sambut Hari Kekasih!

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala. Selawat dan salam ke atas junjungan agung, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.

Hari yang ditunggu-tunggu semakin hampir; yakni hari kekasih yang seharusnya kita sambut dengan penuh meriah sebagai tanda kesyukuran, kegembiraan dan kecintaan yang mendalam. Hari kekasih yang saya maksudkan di sini, tidak lain dan tidak bukan, adalah hari kelahiran kekasih yang dikasihi, yakni Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Tarikh 12 Rabi’ulawwal pada tahun ini, yang bersamaan dengan 26 Februari 2010, menandakan ulangtahun kelahiran baginda Rasulullah yang ke-1484. Bagi umat yang benar-benar memahami hakikat kemuliaan dan kebesaran Rasulullah, maka hari kelahiran baginda pastinya adalah merupakan satu hari yang ditunggu-tunggu untuk diraikan dengan penuh rasa cinta kerana kelahiran baginda Rasulullah ke dunia ini adalah merupakan satu Rahmat daripada Allah Subhanahu wa ta’ala yang sangat besar.

Maka, oleh sebab itulah sambutan Maulidurrasul diadakan – sebagai manifestasi kecintaan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Dalam suasana pada hari ini di mana baginda Rasulullah sudah semakin tidak dikenali dan difahami, serta sunnah baginda semakin jauh daripada dihayati, maka sambutan Maulidurrasul menjadi semakin penting dan relevan. Walaupun ada suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa sambutan Maulidurrasul seperti yang diamalkan sekarang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat, tetapi hal ini bukanlah termasuk dalam kategori bid’ah dholalah. Sebaliknya, sambutan Maulidurrasul adalah merupakan antara perkara yang terpuji yang tidak bercanggah dengan nas-nas Al-Qur’an mahupun Al-Hadith. Sambutan Maulidurrasul adalah cerminan rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah di kalangan para ‘ulama yang mendapat Hidayah dan Rahmat daripada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Justeru, bagi menzahirkan kecintaan kita kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, ayuh kita hidupkan bulan Rabi’ulawwal yang mulia ini dengan selawat, serta penghayatan terhadap sirah Rasulullah; yang dengannya mudah-mudahan bertambah kukuh kecintaan kita kepada baginda. Kita memahami dan meyakini sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud: “Setiap orang itu akan dihimpunkan bersama orang yang dikasihinya.” Marilah kita menyambut hari kelahiran kekasih yang dikasihi, yang dengan sebab kelahiran baginda di atas muka bumi ini, maka tersebarlah Rahmat Allah dengan begitu luas. Ada banyak program dan aktiviti yang telah diaturkan sempena dengan bulan Rabi’ulawwal ini; maka, ayuh kita hidupkan!

Petang ini – saat artikel ini ditulis – akan berlangsung majlis bersama ‘ulama pendakwah daripada Indonesia, al-Habib Munzir bin Fuad al-Musawa bertempat di Masjid Al-Falah, USJ9, Subang Jaya. Majlis yang bermula pada jam 6.30 petang ini akan diisi dengan bacaan Wirdul Lathif, bacaan Maulid ad-Dhiya al-Lame’, bacaan Qasidah, serta ceramah oleh al-Habib Munzir yang merupakan anak murid kepada tokoh ‘ulama dunia yang tidak asing lagi yakni al-Habib Umar bin Hafidh.

Pada 27 Februari 2010 bersamaan 13 Rabi’ulawwal 1431H, akan berlangsung Majlis Sambutan Maulidurrasul di Kompleks Yayasan Sofa, Rembau, Negeri Sembilan. Majlis tersebut akan dihadiri musnid Syam, Dr. Muhammad Mu’taz Al-Subaini Al-Husaini yang merupakan pensyarah Universiti Al-Azhar cawangan Syria. Tuan guru yang dikasihi, musnid Malaysia, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki akan turut bersama. Program tersebut akan bermula pada jam 5.00 petang sehingga jam 10.00 malam. Bagi sesiapa yang berminat untuk pergi tetapi tidak mengetahui lokasinya, bolehlah menghubungi saya.

Seterusnya, Yayasan Al-Jenderami juga akan menganjurkan sambutan Maulidurrasul secara besar-besaran. Program Sambutan Maulid Kubro Nabi Besar Muhammad S.A.W. Yayasan Al-Jenderami ke-8 akan diadakan selama tiga hari, daripada 4-6 Mac 2010 bersamaan 18-20 Rabi’ulawwal 1431H. Program tersebut akan diadakan di Kompleks Yayasan Al-Jenderami, Kg. Jenderam Hilir, Dengkil. Lebih daripada 10 orang ‘ulama daripada seluruh dunia dijangka akan menghadiri program tersebut; antaranya adalah Habib Hassan bin Muhammad bin Salim al-Attas daripada Singapura, Syeikh Afeefuddin bin Syeikh Abdul Qadir Mansuruddin al-Jaylani al-Baghdadi yang berasal daripada Iraq dan merupakan keturunan Syeikh Abdul Qadir al-Jaylani, Habib Soleh bin Muhammad al-Jufri daripada Indonesia, Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwy al-Banjari daripada Indonesia, dan ramai lagi. Untuk aturcara penuh program selama tiga hari tersebut, sila layari blog Al-Jenderami di http://yayasanaljenderami.blogspot.com/

Buat rakan-rakan dan teman di Kuching juga, para pencinta Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam akan menganjurkan program sambutan Maulidurrasul pada 26 Februari 2010 bersamaan 12 Rabi’ulawwal 1431H bermula jam 7.30 petang di Waterfront, Kuching. Program anjuran NGO-NGO di Kuching itu akan diisi dengan Maulid ad-Daiba’ie, qasidah-qasidah serta tayangan video.

Ayuh kita meriahkan hari kelahiran kekasih kita!

Monday, 15 February 2010

Latihan Kefasilitatoran Asas 2010: Generasi Harapan

Panjatan syukur yang sebanyak-banyaknya dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala kerana dengan keizinan-Nya dan pertolongan-Nya program Latihan Kefasilitatoran Asas 2010 di bawah Biro Perkhidmatan Pendidikan Majlis Islam Sarawak (BPP-MIS) telah berjaya dijalankan dengan baik. Seramai 70 orang peserta yang mengikuti program sehingga ke akhir di Kem Eastvalley, Serian, yang datangnya daripada Kuching, Kota Samarahan, Sri Arjuna, Serian, Balai Ringin, dan Gedong telah memberikan partisipasi yang pada hemat saya cukup memberangsangkan. Ada dua orang peserta daripada Balai Ringin dan Kota Samarahan yang terpaksa meninggalkan program lebih awal kerana kematian ahli keluarga. Semoga arwah ahli keluarga mereka yang meninggal itu dicucuri Rahmat oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dan ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Bagi saya, program selama 4 hari 3 malam itu yang bertujuan untuk melatih generasi muda Islam Sarawak untuk menjadi fasilitator yang baik, dengan fokus khusus untuk membantu menjayakan program-program latihan dan pembangunan belia Islam Sarawak di bawah BPP-MIS, adalah antara program latihan kami yang paling baik setakat ini. Mungkin kerana tahap kematangan para pesertanya – yang sebahagian besar adalah merupakan bekas peserta, ahli jawatankuasa dan malah fasilitator program BPP-MIS – membolehkan aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan berjalan dengan cukup lancar. Secara peribadi, saya cukup gembira dengan ‘batch’ peserta latihan kefasilitatoran kali ini – saya membayangkan mereka sebagai generasi harapan yang ‘boleh pergi jauh’ dalam konteks membantu usaha membangunkan umat Islam Sarawak.

Justeru, tahniah dan terima kasih saya ucapkan kepada: Syafeez, Fikri @ Epy, Zarul Faizi, Zumar, Azrolnisham, Haszli Jofri, Wan Nur Amirah, Norhayati, Hairani, Adzreen Shalidza, Sharifah Farhanah, Emylia, Kharemahtun, Fatin Nadzirah, Azimaziah, Mazianah, Rasida @ Memey, Seni Julita, Erwina, Dayang Atikah, Rashidi, Sayuti, Amirrul Rizwan, Hamzah, Safarudin, Atina, Suraidah, Ayati, Paimah, Norlila, Noraniza, Siti Hamdiah, Khasumawati, Anita, Hamisahthushima, Salbiana, Norhaiza, Dayang Suliza, Zaid Norhaza, Norizam, Siti Nabilah, Nor Azalina, Nobazimah, Hayati Mohd. Aras, Nina Falina, Anir Syazwan, Shrul Amyra, Khushaire, Setimah, Hafsah, Sahniza, Hasanah, Siti Hanisah, Nurezzarinni, Khusnul Khatimah, Siti Amira, Laila Turushima, Mimah, Izzaitul, Nadzirah, Kheirunnisa, Siti Binti Yusup, Fazilatul Akma, Rahmah, Hajemah, Norafidah, Nurzarina, Nur Hidayah, Alkahafi, dan Azreen.

Semoga Allah Subhanahu wa ta’ala membuka pintu-pintu hati mereka, melapangkan dada serta menguatkan kefahaman mereka. Mudah-mudahan apa yang telah kami sampaikan sepanjang program Latihan Kefasilitatoran Asas tersebut dapat benar-benar dihayati dan dijadikan panduan yang bermanfaat. Paling penting, kita semua yang bergelar fasilitator haruslah memahami hakikat diri kita sebagai seorang insan yang terhutang kewujudan kita kepada Allah Yang Maha Mencipta. Memahami hakikat diri kita yang sedang berada di dalam keadaan ‘berhutang’ kepada Allah itu akan membawa kepada penyerahan diri (Islam) secara mutlak kepada Allah. Hal ini adalah sangat penting kerana di peringkat paling fundamental, fasilitator adalah – tidak lain dan tidak bukan – seorang insan.

Oleh sebab itulah, perkara yang paling penting untuk dipupuk di kalangan fasilitator bukanlah kemahiran bercakap, menguasai pentas, ataupun mengendalikan kumpulan LDK; tetapi, perkara terpenting untuk dipupuk adalah budaya ilmu. Tanpa budaya ilmu yang utuh, seorang fasilitator itu hanyalah akan menjadi seorang fasilitator yang hipokrit dan ‘plastik’, yakni seorang fasilitator yang hanya berpura-pura sebagai seorang manusia yang unggul dan hebat sedangkan hakikatnya dirinya tidak punya ‘isi’.

Saya mendoakan semoga semua peserta Latihan Kefasilitatoran Asas 2010 yang baru sahaja selesai akan dapat menjadi fasilitator yang benar-benar bersifat ‘muaddib’ dan ‘murabbi’. Bukan ingin memberikan tekanan, tetapi sekadar harapan; dengan memahami, sudah tentu, untuk menjadi seorang insan yang bersifat ‘muaddib’ dan ‘murabbi’ bukannya mudah dan merupakan satu proses yang panjang dan menuntut pengorbanan yang bukan sedikit.

Semoga Allah melimpahkan Rahmat-Nya ke atas kita semua.