Tazkirah Bencana Banjir

Artikel ringkas ini saya tulis untuk bahan tazkirah bagi mangsa banjir di kawasan utara, melalui Skuad Prihatin ABIM.




بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala di atas segala limpahan nikmat dan kurniaan-Nya yang tidak terhingga. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia serta para sahabat yang terpimpin.

Ucapan takziah buat semua yang terjejas dengan bencana banjir yang melanda kawasan utara negara kita ini. Marilah kita bersama-sama menghadiahkan bacaan al-Fatihah dengan iringan doa, mudah-mudahan Allah Subhanahu wa ta’ala memberikan kemudahan dan kekuatan dalam menghadapi ketentuan-Nya, serta memberikan ganti yang lebih baik buat mereka yang redha dengan ketentuan Allah Subhanahu wa ta’ala ini. Al-Fatihah.

Pepatah Melayu ada mengatakan, “berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul”. Bagaimana sekalipun ungkapan simpati serta rasa empati cuba dikongsikan, sudah tentu tidak akan sama dengan apa yang dirasai oleh mereka yang menjadi mangsa kepada bencana tersebut. Begitupun, atas dasar semangat persaudaraan se-agama serta semangat kemanusiaan maka pertolongan, sokongan dan dokongan harus juga diberikan untuk sekurang-kurangnya membantu meringankan beban yang dihadapi. Malah, boleh juga kita perhatikan bahawa antara hikmah Allah Subhanahu wa ta’ala menjadikan hanya segelintir kawasan yang dilanda banjir, dan bukannya seluruh negara, adalah supaya orang-orang yang berada di kawasan yang tidak dilanda banjir boleh turun membantu mereka yang dilanda musibah banjir tersebut. Mungkin dengan cara itulah baru semangat ukhuwwah, semangat kemanusiaan, sikap rendah diri, sikap murah hati dan sebagainya diperkukuhkan.

Bencana alam – sama ada banjir, gempa bumi, gunung berapi dan lain-lain – pada hakikatnya datang daripada Allah Subhanahu wa ta’ala. Justeru, apabila kita berhadapan dengan bencana alam seperti ini, maka hendaklah kita mencari hikmah dan pengajaran yang tersembunyi di sebaliknya kerana mustahil Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Mungkin sahaja, Allah menjadikan bencana alam itu sebagai satu peringatan dan teguran supaya kita tidak lalai daripada mengingati Allah Subhanahu wa ta’ala, dan supaya kita sentiasa beringat bahawa kita datang daripada Allah, akan kembali kepada-Nya, dan kepada-Nya sahajalah tempat kita bergantung segala harapan.

Selain daripada itu, orang-orang yang menjadi mangsa kepada banjir ini adalah orang-orang yang diiktiraf mempunyai kekuatan dan keteguhan. Allah Subhanahu wa ta’ala telah menyebutkan di dalam Al-Quran bahawa Allah tidak akan memberikan kepada seseorang itu sesuatu bebanan yang tidak mampu dipikul olehnya. Oleh sebab itulah, dijadikan banjir itu hanya melanda sesetengah kawasan dan tidak seluruh negara, kerana Allah Subhanahu wa ta’ala mengetahui bahawa orang-orang yang diuji dengan bencana banjir itu adalah orang-orang yang mampu memikul bebanan ujian itu. Sedangkan, mungkin di kawasan-kawasan lain para penduduknya tidak punya kekuatan untuk menghadapi ujian bencana alam. Maka, hendaklah kita memohon keteguhan hati dan kekuatan kesabaran daripada Allah Subhanahu wa ta’ala dalam menghadapi ujian bencana ini. Pastinya, ujian ini akan menjadikan mangsa banjir sebagai orang yang bertambah teguh hati dan cekal dalam melalui liku-liku kehidupan.

Di samping itu juga, hendaklah kita berpegang teguh dengan janji Allah dan Rasul-Nya, sepertimana yang pernah diungkapkan oleh Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam bahawa sesiapa yang ditimpa musibah lalu mengucapkan lafaz “innalillahi wa inna ilaihi raaji‘uun” (daripada Allah kita datang, dan kepada Allah kita kembali) – yakni ucapan yang melambangkan rasa penuh redha dengan ketentuan Allah Subhanahu wa ta’ala – maka pasti Allah akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Justeru, hendaklah kita bersabar dan redha dengan apa yang berlaku, kemudian pohonlah supaya Allah Subhanahu wa ta’ala menggantikan apa yang kehilangan ketika bencana ini dengan sesuatu yang lebih baik.

Di akhirnya, ingatlah bahawa ujian dan dugaan yang melanda adalah merupakan lumrah kehidupan. Semenjak daripada awal penciptaan manusia lagi, ujian dan dugaan Allah timpakan kepada hamba-hambaNya yang beriman untuk menguji keimanan serta meneguhkan ketaqwaan. Ada di kalangan umat nabi terdahulu yang pernah diuji dengan ditanam separuh badannya di dalam tanah oleh musuh-musuh Allah, kemudian digergaji daripada kepala sampai badannya – namun itu tidak sedikitpun menggoyahkan keimanannya. Begitu juga dengan kekasih agung kita Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, ahli keluarga serta para sahabat baginda yang pada peringkat awal penyebaran Islam menghadapi ujian dan dugaan yang teramat sukar. Bayangkan, ketika mereka dipulaukan selama tiga tahun lamanya oleh puak kuffar Quraisy, keadaan mereka begitu menyedihkan sehingga terpaksa memakan pasir untuk menahan lapar. Insan yang paling dicintai oleh Rasulullah, Sayyidah Khadijah al-Kubro radhiyallahu ‘anha, yang sudah berusia pada ketika itu bertambah uzur dek kerana dhaifnya keadaan mereka pada ketika itu. Namun, kesabaran dan keredhaan mereka dalam menempuhi ujian itu, Allah gantikan dengan ganjaran yang lumayan di dunia dan akhirat.

Ujian yang melanda kita belum seteruk ujian yang melanda para kekasih-kekasih kita. Maka hendaklah kita melapangkan dada kita dan janganlah gundah, yakinlah bahawa di sebalik setiap musibah yang melanda itu tersisip kasih sayang Allah Subhanahu wa ta’ala.

Wallahu’alam.
Previous
Next Post »