Ramadhan 1431 Hampir Berakhir


Bulan Ramadhan bagi tahun ini (1431) sudah hampir berakhir. Dalam hari-hari terakhir Ramadhan yang tersisa ini, adalah sangat perlu untuk kita melakukan muhasabah diri dan menilai kembali apakah yang kita telah dapat daripada bulan Ramadhan pada tahun ini. Allah Subhanahu wa ta’ala telah menerangkan kepada kita dengan jelas di dalam Al-Qur’an (Surah al-Baqarah, ayat 183) tentang matlamat ibadah puasa di bulan Ramadhan; yakni untuk mencapai ‘ketaqwaan’. Justeru, marilah kita bersama-sama menanyakan kepada diri kita: sejauh manakah kita telah berjaya membina ‘ketaqwaan’ di dalam diri kita?

Harus diingat, orang Islam itu adalah orang yang sentiasa bertambah baik daripada sehari ke sehari. Seharusnya apabila kita keluar sahaja daripada bulan Ramadhan ini, kita menjadi orang yang bertambah baik dari segi keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Ingat pesan Sayyiduna Ali karamallahu wajhah – orang yang diiktiraf oleh Rasulullah sebagai pintu perbendaharaan ilmu baginda sallallahu ‘alayhi wasallam – “Beruntunglah siapa yang hari ini lebih baik daripada hari semalam, terpedayalah orang yang hari ini sama seperti hari semalam, dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk daripada hari semalam.

Orang yang bertaqwa adalah orang yang telah berjaya mendapat ‘pandangan’ Rahmat Allah Subhanahu wa ta’ala; kerana orang yang bertaqwa adalah orang yang sentiasa teliti dan cermat dalam menjalani kehidupan, yang sentiasa berusaha untuk memastikan setiap perkara yang dilakukan adalah perkara yang diredhai Allah Subhanahu wa ta’ala. Inilah maqam ‘ihsan’ yang disebut oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di dalam Hadith Jibril yang popular itu sebagai “engkau beribadah seolah-olah engkau melihat Allah, dan jika engkau tidak melihat Allah maka Allah melihat engkau.

Hebatnya bulan Ramadhan ini sebagai bulan latihan dan pendidikan bagi melatih keimanan dan ketaqwaan kita; ibadah puasa di bulan Ramadhan ini menunjukkan kepada kita betapa kita sebenarnya mampu untuk mencapai maqam ‘ihsan’ seperti yang disebutkan. Buktinya adalah puasa kita. Kita tidak memecahkan puasa kita walaupun dalam keadaan kita mampu untuk berbuat demikian tanpa ada seorang manusia pun yang mengetahuinya. Contohnya, boleh sahaja kita menenguk walau sedikit air ketika sedang mandi dan sebagainya, tetapi kita tidak melakukan yang demikian itu. Sebabnya adalah kerana keimanan kita, keyakinan kita bahawa walaupun tidak ada seorang manusia pun yang mengetahui perbuatan kita, Allah Subhanahu wa ta’ala Maha Mengetahui. Justeru, perasaan inilah yang harus kita pastikan akan berpanjangan selepas berakhirnya bulan Ramadhan ini.

Mudah-mudahan kita akan dapat memanfaatkan saki baki hari-hari terakhir Ramadhan ini untuk menjadikan diri kita insan yang lebih bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.
Previous
Next Post »