Polemik Tajdid dan Pembaharuan

Polemik Tajdid dan Pembaharuan 

Oleh Panel Penyelidik, Yayasan Sofa.

(Versi penuh daripada versi yang tersiar di ruangan Relung Cahaya, Sisipan Mega, Selasa 13 April 2010)

Di antara isu yang sering menjadi punca tergelincir langkah dalam memahami dan menghayati Islam adalah isu Tajdid atau Pembaharuan dalam agama. Jika tidak berhati-hati dan tanpa perlindungan Ilahi, ramai yang mungkin terkeliru dalam beberapa persoalan pokok dalam soal pembaharuan dalam Islam ini. Antara persoalan pokok di sekitar Tajdid termasuklah falsafah pembaharuan yang sahih dan diterima dalam Islam, skop atau ruang untuk pembaharuan dan kaedah dan manhaj untuk pembaharuan agama. Akhirnya pemahaman terhadap semua persoalan ini akan memandu kita untuk mengenalpasti siapakah para Mujaddid atau pembaharu sebenar, dulu dan kini.

Kekeliruan dalam soal ini turut mudah berlaku kerana sering terdapat pihak yang cuba bercakap atas nama pembaharuan atau tajdid kalaupun mereka dan aliran pemikiran mereka adalah menyimpang daripada fahaman tajdid yang murni dalam Islam. Ringkasnya mereka ini cuba berselindung dan memanipulasi tajdid dalam usaha mereka meminggirkan aliran yang tidak selari dengan mereka agar merekalah yang akan mendominasi fahaman agama di kalangan masyarakat. Jika mereka ini aggresif dan bijak memainkan lagu mereka ini tidak mustahil ramai orang awam yang akan terpengaruh. Tidak mudah sebenarnya untuk mengambil sikap yang tepat dalam hal ini kerana isu tajdid agama ini merupakan persoalan kompleks yang memerlukan kajian dan kepakaran. 

Falsafah Tajdid dalam Islam 

Istilah tajdid, pembaharuan atau renewal memang punya imej dan daya tariknya secara semulajadi kerana ia membawa makna-makna yang positif dan segar. Ditambah lagi apabila mengingatkan bahawa kalimah dan konsep tajdid ada disebut oleh Rasulullah dalam sebuah hadis yang menjanjikan suatu berita gembira untuk umat Islam,
Sesungguhnya Allah (SWT) akan membangkitkan dari kalangan umat ini dipermulaan setiap kurun mereka yang akan mentajdidkan agama umat ini” (Riwayat Abu Dawud, al-Hakim dan al-Baihaqi)

Hadis ini adalah antara hadis yang sangat popular dikalangan umat Islam kerana berita baik yang terkandung di dalamnya. Cuma, harus diingat, seperti mana-mana nas al-Quran mahupun Sunnah perlulah difahami dan ditafsirkan mengikut maksudnya yang sebenar. Walaupun hadis ini ada menyebut pembaharuan agama tetapi ia mestilah merujuk kepada faham dan konsep Tajdid yang khusus dalam Islam. Hakikat dan sejarah Islam adalah berbeza berbanding dengan agama-agama lain. Kita meyakini bahawa Islam bermula sempurna dan murni sejak generasi awalnya lagi. Malah kurun-kurun awal Islam adalah diiktiraf oleh hadis Nabi sebagai era terbaik bagi Islam.

Jadi umat Islam sebagai umat pillihan sudah dibekalkan dengan acuan dan panduan yang terbaik dari peninggalan generasi awalnya. Maka falsafah Islam tentang Tajdid harus setia kepada hakikat ini. Tajdid dalam Islam adalah suatu usaha untuk menghayati dan menterjemahkan dengan sebaik mungkin acuan Islam yang ditinggalkan oleh generasi awal umat ini. Risalah Islam itu sendiri tidak perlukan perubahan (Taghyir) ataupun reformasi (Islah) kerana ia sudah sedia lengkap, murni dan utuh. Taghyir dan Islah hanya layak ditujukan terhadap orang-orang Islam yang lalai agar mereka ini berubah dan mengislah diri kembali mengikuti fahaman Islam yang sebenar.

Adapun agama Islam itu sendiri sebagai risalah yang terakhir tetap dijamin kesinambungan dan keterpeliharaannya sepanjang zaman. Islam terpelihara dengan kehadiran para ulama yang dinobatkan oleh Nabi SAW sendiri sebagai para pewarisnya yang sah. Ilmu-ilmu dan kefahaman agama pula sebagai inti dan paksi agama Islam dijamin hanya akan beredar dikalangan para ulama yang berkeperibadian adil dan jujur. Mereka ini akan berperanan memelihara fahaman agama ini daripada gangguan aliran yang batil, melampau dan menyeleweng. Janji dan jaminan tentang hal ini yang kita temui dalam al-Quran dan Sunnah ternyata menjadi kenyataan. Di sepanjang sejarah Islam, sentiasa muncul barisan ulama menjuarai pelbagai disiplin ilmu Islam dengan tradisi menyusun, memperkembangkan dan memperjelaskan lagi acuan Islam yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW dan para Salaf al-Soleh. Mengenali diri peribadi dan keterampilan para ulama muktabar ini, kita memandang mereka dan khazanah ilmiyyah yang mereka tinggalkan sebagai jelmaan janji Allah SWT dan RasulNya SAW yang sekali-kali tidak akan membiarkan umat ini tanpa panduan yang benar sepanjang hayatnya. Malah hadis Mujaddid itu sendiri merupakan sebahagian daripada janji Ilahi ini.

Tajdid agama dalam Islam dalam hadis ini perlu difahami dalam kerangka sejarah dan perkembangan tiga aspek agama iaitu Islam, Iman dan Ihsan seperti yang dinyatakan dalam hadis Jibril yang masyhur itu. Aspek Islam, Iman dan Ihsan ini dikembangkan dan dihuraikan dibawah ilmu-ilmu Shariah/Fiqh, Aqidah/Tawhid dan Akhlak/Tasawwuf. Ketiga-tiga cabang ilmu agama ini yang hakikatnya diasaskan oleh Rasulullah SAW sendiri berdasarkan wahyu telah berkembang dengan cemerlang ditangan para ulama Islam sehingga muncul sebagai disiplin ilmu yang baku dan tersusun rapi. Pada masa yang sama ilmu-ilmu ini turut mengandungi aspek dinamika dan keanjalan yang menyebabkannya mampu untuk memenuhi tuntutan pelbagai zaman dan situasi.

Para pengkaji dan pemerhati yang jujur akan bersetuju bahawa sesudah di kembangkan dan disusun oleh para ulama muktabar umat ini, fahaman Islam arus perdana dan muktabar atau yang dinamakan Ahlus Sunnah wal Jamaah boleh disimpulkan kepada yang beraqidahkan acuan Aqidah Asha`rah-Maturidiyyah, bershariahkan Mazhab-mazhab yang muktabar dan bertasawwuf dalam akhlaknya. Mengambil kira hakikat ini, tidak hairanlah jika dalam senarai-senarai utama para Mujaddid sepanjang kurun yang dikemukakan oleh para ulama muktabar seperti Imam Jalaluddin al-Suyuti (m.911H) dan Shah Waliyyullah al-Dehlawi (1176H) kita melihat nama-nama Imam-imam Abul Hassan al-Ash`ariy, al-Shafi`iy, al-Ghazaliy dan lain-lainnya yang memang merupakan arkitek-arkitek utama penyusunan, pembakuan dan perkembangan ilmu-ilmu Islam ini sepanjang kurun yang lampau.

Susulan daripada perbahasan di atas, tumpuan sebenar Tajdid dan pembaharuan dalam Islam adalah kefahaman dan penghayatan umat Islam dan bukannya terhadap fahaman Islam itu sendiri. Sebagai seorang muslim, kita meyakini bahawa fahaman dan ilmu-ilmu Islam yang ada pada kita merupakan fahaman dan manhaj terbaik yang dikurniakan Allah kepada kita. Ruang dan batas apa yang haram dan halal, yang baik dan buruk semuanya tersedia dihadapan kita. Ruang perkara-perkara khilafiyyah yang dibolehkan kita berbeza pegangan padanya juga jelas dihadapan kita. Perkara-perkara yang jelas-jelas haram, halal atau khilafiyyah tidak sepatutnya dijadikan bahan untuk ditajdidkan atau dibahaskan lagi oleh para Mujaddid hakiki. 

Mengenal Mujaddid Sebenar 

Hasil perbahasan kita ini, bolehlah disimpulkan bahawa para Mujaddid sebenar dalam Islam adalah mereka yang berjaya memimpin umat Islam sepanjang kurun yang silih-berganti agar memperbaharui iltizam dan penghayatan mereka terhadap Aqidah/Tawhid, Shariah/Fiqh dan Akhlak/Tasawwuf yang benar dan murni. Acuan dan manhaj yang benar dan murni dalam cabang-cabang ilmu Islam ini juga adalah jelas dan terang bagi mereka yang mahu melihat. Apabila umat Islam mengikut pimpinan dan panduan para Mujaddid maka agama mereka akan terpelihara dan berkembang. Mereka juga mampu menempa pencapaian ketamadunan yang hebat seperti kemunculan Islam sebagai salah satu tamaddun agung dunia dalam sejarah perkembangan tamadun manusia. Kesetiaan umat Islam dengan manhaj para Mujaddid sebenar umat ini juga menjadi rahsia disebalik episod-episod tertentu yang gemilang dalam sejarah Islam seperti kejayaan generasi Sultan Salahuddin al-Ayyubi dan Sultan Muhammad al-Fateh.

Kesimpulan yang kita kemukakan ini tidak akan mampu menghalang aliran-aliran pinggiran umat ini untuk tetap mendakwa dan bercakap atas nama Tajdid dan pembaharuan. Tajdid dan pembaharuanlah jenama yang paling laku dalam mereka cuba mengalih perhatian umat daripada khazanah keagungan ilmu-ilmu Islam kepada pegangan mereka yang pada hakikatnya janggal dan asing. Mereka ini akan menjulang nama-nama tokoh yang dikenali masyarakat yang dirasakan dapat mendokong pegangan mereka. Dalam masyarakat kita, nama-nama seperti Zaaba, Hamka, Syed Syeikh al-Hadi dan seumpamanya yang dikenali oleh masyarakat kerana sumbangan dan jasa mereka yang tersendiri turut digunakan tanpa mendedahkan keseluruhan sisi dan kedudukan sebenar tokoh-tokoh ini. Aspek-aspek kontroversi tokoh-tokoh ini disembunyikan. Khalayak awam yang kurang teliti dan berhati-hati mungkin mudah terpengaruh kerana terhimbau dengan kemasyhuran tokoh-tokoh ini tanpa mampu menilai mereka dengan tepat dalam kerangka faham Tajdid agama sebenar seperti yang kita sentuh dalam makalah ini.

Sebenarnya, dengan berbekalkan faham Tajdid dan pembaharuan Islam yang sebenar, kita tidak akan mudah terpesona dengan setiap yang melagukan lagu Tajdid dan pembaharuan. Dengan izin Allah, dikesempatan yang mendatang, ruang ini akan mendedahkan secara lebih khusus beberapa pandangan yang menyimpang daripada fahaman Tajdid yang ada diketengahkan dalam masyarakat kita akhir-akhir ini.
Previous
Next Post »

4 comments

Click here for comments
nizam
admin
10:30 am ×

Tuan...
Apa yg sangat penting aadalah kembali berdasarkan al-Quran dan al-Hadis yg benar2 sahih dan tiada keraguan.....
apakah salah kita meninggalkan hadis yg dikira dhaif dan penuh keraguan...?
kenapa harus kita mempertikaikan dan terlalu mempertahankan hadis dr sumber yg d ragukan...bukankah para muhadithsin dahulu telah dianggap muktabar dan d percayai?... apakah kata2 mereka perlu ditinggalkan?...semata2 kerana ada golongan hari ini yg mengaku alim ulama...mempertikaikan dan memberi berbagai alasan itu ini dan semua itu hanyalah dari lidah dan perasaan serta pemahaman mereka tanpa dalil yg benar dan tegas dari hadis yg sahih....

bagi saya...saya hanya berpandukan kepada al-quran dan hadis yg benar2 sahih...walau saya dikata atau dianggap macam2...

semoga kita semua selamat dunia akhirat

Reply
avatar
Naimz
admin
11:11 am ×

Benar, apa yang penting adalah kembali berdasarkan al-Quran dan al-Hadis yang betul.

Cuma, tinggal lagi, siapa kita (orang awam) untuk memahami al-Quran dan al-Hadis? Di sinilah kita perlu merujuk dan berpegang kepada para 'ulama kerana sebagai pewaris Rasul, mereka adalah golongan yang dikurniakan oleh Allah dengan kefahaman.

Jangan bersikap terlalu sombong dengan merasakan bahawa kita layak untuk memahami al-Qur'an dan al-Hadis dengan sendirinya.

Perbahasan tentang darjat hadith, perbahasan tentang perbezaan pendapat tentang darjat hadith, perbahasan tentang sikap terhadap hadith2 yang berbeza darjat, serta perbahasan terhadap tafsiran serta takwilan ayat al-Qur'an telah lama dibuat oleh para 'ulama yang muktabar -- mencabar dengan penuh kebiadaban apa yang telah sedia disepakati oleh ulama terdahulu bukanlah suatu "tajdid", tetapi merupakan satu bentuk kemunduran.

Reply
avatar
nizam
admin
2:51 pm ×

Tuan...
saya akui ilmu saya terlalu kerdil dan saya akui saya adalah seorg yg awam..
memang saya ada belajar dan merujuk kpd ulama muktabar...
tapi dgn syarat ulama itu dapat membuktikan bahawa dia menggunakan al-quran dan hadis yg benar...saya jua tak layak utk merungkaikan al-quran dan hadis sendiri2..apa lagi mengadakan amalan2/hukum secara pandai2 sendiri...
cuma siapakah ulama muktabar?...
apakah ulama dianggap muktabar kiranya dia mencampur adukkan perkara2 yg tidak sahih...dan mengada adakan perkara yg tiada?...
atau mengadakan hadis yg tiada langsung asal usulnya...atau mengambil hadis yg diakui oleh para muhadithsin muktabar beratus tahun dahulu sebagai dhaif dan mengatakan ia sesuatu yg d sebutkan oleh rasul?...kalau hadis dhaif itu sebenarnya betul tak apa lah..tapi kalau palsu..bukankah kita yg sama2 mempercayai telah melakukan pembohongan terhadap rasul..dimanakah kasih sayang kita terhadap rasul....justeru itu sayugia kita mengelak perkara2 was was atau kabur....muhadithsin dahulu bukan sewenang menghukum dhaif atau palsu atau sahih....
saya tak mahulah menuduh sesiapa dan tak mahu dianggap menyebelahi mana2 pihak..cuma jaringan yg selamat sptmana wasiat rasul kita ialah al-quran dan al hadith (yg benar lagi sahih..terang lagi bersuluh tiada keraguan dan di sepakati oleh ulama yg muktabar..)
saya ada membaca salah silah ulama muhadithsin dari awal ..dari situ saya tahu bagaimana telitinya mereka menilai hadis...(walau ilmu saya amat sedikit)bukan perkara mudah dan senang kita komen penilaian mereka...dan saya tidak layak utk mengghukum sesiapa...dan saya mulai perlahan2 mengenal siapa yg penuh kebiadapan sebenarnya...
Kiranya saya berbincang atau bermuzakarah dgn sesiapa sahaja...kiranya mereka memberi suatu hujah yg jelas dan hadis yg saya sendiri tidak dapat mempertikaikan...maka saya dgn terbuka menerima...
Tuan..maafkan saya kira tersilap/terkasar bahasa..

cuma marilah kita bersama2 memperjuangkan al quran dan mempertahankan hadis yg sahih....walau apa pun golongan kita walau apa sangkaan org terhadap kita...al-quran dan hadis sahih tetap dipertahankan

Reply
avatar
Naimz
admin
7:38 pm ×

Kerana itulah kita perlu berguru - dengan guru yang mempunyai silsilah ilmu yang kukuh. Dalam bidang keilmuan, bukan hanya hadith sahih yang diterimapakai, hadith2 yang lain darjatnya juga ada kegunaan tersendiri.

Reply
avatar