Anwar dan Pluralisme Agama – Pengamatan Ringkas

Berikut adalah merupakan tulisan Ustaz (Dr.) Muhammad 'Uthman El-Muhammady yang diterbitkan di dalam Blog Tradisional Islam yang mengkritik ucapan DS Anwar Ibrahim di London yang secara jelas menampakkan sokongan DS Anwar Ibrahim terhadap idea Pluralisme Agama.


Anwar dan Pluralisme Agama – Pengamatan Ringkas[1]

Oleh:

Al-faqir ila’Llah Muhammad ‘Uthman El-Muhammady

Sayu tidak terkira hati kita mengingatkan bahawa asalnya tokoh dakwah Islam yang berfikiran kebangsaan, menjadi aktivis dakwah, penerajunya, gerakan Islam (dengan pemikiran dipengaruhi Maududi, Hassan al-Banna, Syed Qutb, dan yang sepertinya), akhirnya menjadi pendokong aliran John Hicks dengan aliran pluralisme agama dengan implikasi-implikasi rohaniah terakhir. Allahumma sallimna wa ’l-Muslimin. Amin.

Pluralisme agama dalam erti yang dibentangkan dalam gagasan Prof Hicks yang meninggalkan sikap ekslusif Katholik, dan yang sepertinya, menganggap semua agama-agama membawa kepada ‘salvation’, menunjukkan pemikirnya tidak ada keyakinan terhadap agamanya dalam erti yang sebenarnya. Ia timbul daripada pengalaman peradaban dan budaya serta perkembangan pemikiran keagamaan Barat yang pahit dalam sejarahnya. Tidak masuk akal sejahtera bagi Orang Islam yang berimamkan Quran boleh mengikut aliran yang kemuflisan dari segi rohani dan penaakulan berasaskan tauhid seperti ini. Islam mengajarkan semua pengikut autentik para nabi selamat, pengikut nabi salla’Llahu alaihi wa sallam selamat, ahli fatrah yang tidak ada nabi pada zamannya, zaman antara dua nabi, selamat, mereka yang ‘tidak sampai seru’ selamat.

Orang yang berkepercayaan seperti John Hicks dan yang sepertinya ini mungkin akan menjadi ‘lukewarm’ dalam keyakinannya, tidak lagi ia ‘minal-muqinin’ dari kalangan orang-orang yang yakin; mungkin akhirnya ia menjadi agnostic, dijauhkan Allah, walaupun tidak disuarakannya. Pegangan seperti ini membawa kita terlintas persamaannya dengan golongan zindik zaman klasik.

Nukilan bait-bait Rumi rh yang menyebut tentang lampu yang banyak, dan keperluan tidak melihat lampu-lampu tetapi kepada Cahaya, dengan fahaman agama-agama semuanya sah dan menyelamatkan adalah kekeliruan memahami pengalaman musyahadah – spiritual witnessing – sebagai sama dengan akidah kepercayaan dan teologi. Ia kesilapan – dari segi Islam dan ajaran intelektuil-rohaniahnya – yang paling parah. Kalau hakikatnya demikian tentu Rumi rh tidak akan mengkritik agama Kristian,Yahudi, dan musyrikin penyembah berhala dalam ‘Mathnawi’nya, dan ia bukan Ahlissunnah. Tetapi ia memang membuat kritikan itu, dan ia Sunni bukan Syi’i.

Sikap yang menyatakan adanya inti semua agama yang mengatasi bentuk-bentuk lahiriah dan upacara-upacara tidak ada sandaran langsung dalam tamadun Islam dan sejarah rohaninya. Nama-nama yang disebut-sebut untuk menyokong aliran ini, misalnya oleh Schuon, adalah perbuatan ‘menjual nama’ untuk melariskan ‘barangan’. Kenyataan-kenyataan mereka dinukil di luar konteks tulisan-tulisan mereka, ditafsirkan secara tidak sahih, dan lagi di luar daripada konteks dan perihal diri mereka sendiri yang berkenaan itu.

Sebutan tentang Dante yang terkenal dengan ‘Divine Comedy’nya juga tidak berjaya membuktikan beliau (Dante) memandang semua agama ada keabsahannya, menyelamatkan, kalau tidak mengapakah beliau memasukkan Nabi salla’Llahu alaihi wa sallam dan Ali rd dalam ‘neraka’ dalam bahagian ‘Inferno’ dalam buku agungnya itu, menuduhnya sebagai ‘the chief of those who create schisms’ – ketua mereka yang mengadakan golongan serpihan agama yang sesat? Dante yakin tentang kebenaran ultimate agama Katholiknya. Gubahannya itu bertujuan untuk itu. Bagaimanakah buku demikian boleh menjadi bukti kebenaran pluralisme agama? Tentang ‘tranquility and peace’ atau kedamaian rohani dan keamanan tercapai oleh manusia bila ia berhenti daripada kerakusannya, itu peraturan rohaniah yang sah dalam Islam dan mereka yang berpengalaman sahih; ini tidak menjadi dalil untuk pluralisme agama. Subhana’Llah.

Soal ‘favouring one religion’ dalam erti memilih agama Islam sebagai mengatasi yang lain, itu bukan soal ‘memilih’ tetapi ia ketetapan Ilahi dalam ayat ‘sesungguhnya agama (yang diterima) di sisi Allah ialah Islam’; ia dalam Quran, dalam hadith, dalam ijma’. Pemikiran Hicks dan pemikir-pemikir yang sepertinya tidak mampu menolak keyakinan yang datang dari Tuhan, Rasul (semua para rasul dan nabi dalam semua zaman sejarah anak Adam), para arifin dan ijma’. Dalam Negara bila para penduduknya dan pemimpin tertingginya Muslim wajib berlaku ‘favouring one religion’, seperti menjadikan Islam sebagai ‘agama Persekutuan’ misalnya, tetapi Islam mengajar keadilan dan kebebasan beragama bagi penganut-penganut agama yang diakui – sebagaimana contohnya berlaku dalam kerajaan Othmaniah dengan sistem ‘millet’nya, yang Barat sekarangpun tidak mengamalkannya hingga tudung kepala wanita menjadi masalah besar, menara ,masjid menjadi masalah besar. Maha suci Allah.

Penafsiran jihad yang tersasul dalam setengah kalangan (kerana faktor-faktor sejarah yang mendesak dan tidak patut diremehkan) tidak boleh menjadi dalil bagi sesiapa melihatnya sebagai penafsiran yang menyeluruh mewakili arusperdana umat. Bagaimanapun ini juga perlu dilihat dalam konteks pihak-pihak, yang dalam sejarah, juga sekarang, memanipulasikan maklumat untuk kepentingan hegemoninya.

Akhirnya, prinsipnya kita mesti kembali kepada wacana arusperdana umat khaira ummatin ukhrijat linnas, yang hakikatnya, tidak ada wacana yang mengatasi kebenaranannya, apapun yang dikatakan oleh pihak postmodernis, Islam liberalis, pluralis agama, pihak perennalists, dan sesiapapun yang seperti mereka. Tetapi kita kena mengetahui perbezaan-perbezaan, persamaan-persamaan, beradab, berdisiplin, menghormati orang lain, dalam batasan-batasan yang wajar. Dari Allah kita datang kepadaNya kita kembali.

Wallahu a’lam.

Selawat dan salam kepada baginda, ahli keluarganya dan para sahabatnya, dan semua mereka yang mengikutnya dalam ihsan hingga ke hari penghabisan. Segala puji-pujian tertentu bagi Tuhan Pentadbir sekalian alam.


[1] Nota untuk perbincangan rakan-rakan ditulis pada 21 Rabiulakhir 1431 / 6 April 2010 sebagai respons awal kepada teks ucapan DS Anwar Ibrahim di London School of Economics, 18 Mac, 2010

Untuk baca teks ucapan – klik di sini: Public lecture by Anwar Ibrahim at the London School of Economics

Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
Anonymous
admin
10:34 pm ×

Salam bro,

Ini antara yang saya sempat terjemahkan. (yang dianggap kontroversi)

Today, freedom of religion without which there can be no religious pluralism, is an entrenched constitutional liberty in the established democracies. As such, favouring one religion over another or granting it a position at the expense of others may be considered as being against the spirit of religious pluralism. Yet this still happens even in certain established democracies in Europe while in the Middle East and in Southeast Asia this ambivalence has been virtually taken for granted until recently.

Pada hari ini, kebebasan beragama yang tanpanya tidak akan wujudnya pluralism agama, adalah satu kebebasan yang berasaskan perlembagaan dalam sebuah sistem demokrasi (yang tulen). Dengan itu, melebihkan satu agama berbanding agama lain atau memberikannya satu kedudukan yang merendahkan yang lain (agama-agama) boleh menyebabkan ianya dianggap sebagai bertentangan dengan semangat pluralism agama. Namun demikian, ianya masih berlaku malah dalam sistem demokrasi yang terbina di Eropah yang tertentu (sebilangan) sementara di Asia Tengah dan Asia Tenggara perasaan yang tidak menentu ini telah lama diabaikan sehinggalah baru-baru ini.

This is why the discourse on religious pluralism must deal with the fundamental question of freedom of religion and by association the freedom of conscience. The question arises as to whether it is the diversity of religions which makes the divided world more divided or the denial of religious freedom that causes it.
I believe I‘m not alone in saying that for religious pluralism to flourish in a divided world, it is morally unacceptable to say to people of other faiths:
We believe in our God and we believe we are right; you believe in your God, but what you believe in is wrong.

Sebab itulah perbincangan mengenai pluralism agama haruslah berkaitan dengan isu asas iaitu kebebasan beragama dan disertakan kebebasan untuk memilih/kesedaran (agama). Persoalan yang timbul adalah adakah disebabkan perbezaan agama yang menjadikan dunia lebih berpecah atau halangan kepada kebebasan beragama yang menyebabkannya. Saya percaya saya bukanlah berseorangan dalam menyatakan bahawa untuk tujuan mensuburkan lagi pluralism agama dalam dunia yang berpecah belah ini, adalah menjadi satu kesalahan moral sekiranya kita menyatakan kepada pengganut agama lain “ Kami percaya dengan Tuhan kami dan kami fikir kami adalah benar, kamu percaya kepada Tuhan kamu dan tetapi apa yang kamu percaya adalah salah”.

The Guru Granth Sahib tells us that he who sees that all spiritual paths lead to the One shall be freed but he who utters falsehood shall descend into hellfire and burn. The blessed and the sanctified are those who remain absorbed in Truth.

Guru Granth Sahib (Sikh) telah memberitahu kita barangsiapa yang melihat semua jalan-jalan kerohanian menuju kepada Yang Satu akan dibebaskan (selamat) tetapi sesiapa yang menceritakan perkara yang tidak benar akan dicampak ke api neraka dan dibakar. Yang dirahmati dan diselamatkan adalah mereka yang sentiasa bersatu dengan Kebenaran.

Abd Basir

Congrats bro Anonymous you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar