Al-Fatihah Buat Saudaraku Azrul Jamhari

Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Agung, yang Memiliki dan Menguasai segala sesuatu. Maha Suci Allah Yang Empunya jiwa-jiwa kami.

Pagi tadi saya mendapat berita yang sangat mengejutkan. Salah seorang sahabat kami, saudara Azrul Bin Haji Jamhari telah kembali ke rahmatullah. Beliau meninggal dunia malam tadi (17 Mac 2010) sekitar jam 10.44 malam, pada usia 18 tahun. Beliau tidak mempunyai apa-apa penyakit kronik, selain daripada asma dan terkena serangan sawan. Namun, ternyata ajal dan maut adalah ketentuan Allah Subhanahu wa ta’ala semata-mata. Tidak kira berapa pun usia kita, jika Allah menghendaki untuk memanggil kita kembali, maka kita pasti akan kembali.

Semoga Azrul Bin Haji Jamhari dikurniakan Allah Subhanahu wa ta’ala dengan husnul khatimah (pengakhiran yang baik). Beliau adalah merupakan bekas peserta bagi dua program BPPMIS yakni Kem MUDA Belia Islam Bintulu-Miri sempena Maulidurrasul 1430H pada bulan Mac 2009 dan Kembara Hijrah 1431H pada bulan Disember 2009. Sikap beliau yang ceria, mudah mesra dan sangat baik hati menyebabkan ramai yang tidak mudah melupakan beliau, dan pemergian beliau pasti akan dirasai oleh ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Sama-samalah kita sedekahkan bacaan Surah Al-Fatihah kepada roh Allahyarham Azrul Jamhari. Kita mendoakan semoga roh beliau ditempatkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala di kalangan orang-orang yang soleh. Juga, semoga keluarga beliau tabah menghadapi ketentuan Allah ini.

Untuk peringatan kita yang masih hidup di atas muka bumi ini, jadikan ini sebagai satu pengajaran penting buat kita; bahawa ajal itu boleh datang bila-bila masa sahaja. Adakah kita sudah bersedia?

Sesungguhnya daripada Allah kita datang, dan kepada Allah jualah akhirnya kita akan kembali.

Semoga Allah melimpahkan Rahmat dan Hidayah-Nya kepada kita semua.




Previous
Next Post »