Ayuh Sambut Hari Kekasih!

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala. Selawat dan salam ke atas junjungan agung, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.

Hari yang ditunggu-tunggu semakin hampir; yakni hari kekasih yang seharusnya kita sambut dengan penuh meriah sebagai tanda kesyukuran, kegembiraan dan kecintaan yang mendalam. Hari kekasih yang saya maksudkan di sini, tidak lain dan tidak bukan, adalah hari kelahiran kekasih yang dikasihi, yakni Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Tarikh 12 Rabi’ulawwal pada tahun ini, yang bersamaan dengan 26 Februari 2010, menandakan ulangtahun kelahiran baginda Rasulullah yang ke-1484. Bagi umat yang benar-benar memahami hakikat kemuliaan dan kebesaran Rasulullah, maka hari kelahiran baginda pastinya adalah merupakan satu hari yang ditunggu-tunggu untuk diraikan dengan penuh rasa cinta kerana kelahiran baginda Rasulullah ke dunia ini adalah merupakan satu Rahmat daripada Allah Subhanahu wa ta’ala yang sangat besar.

Maka, oleh sebab itulah sambutan Maulidurrasul diadakan – sebagai manifestasi kecintaan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Dalam suasana pada hari ini di mana baginda Rasulullah sudah semakin tidak dikenali dan difahami, serta sunnah baginda semakin jauh daripada dihayati, maka sambutan Maulidurrasul menjadi semakin penting dan relevan. Walaupun ada suara-suara sumbang yang menyatakan bahawa sambutan Maulidurrasul seperti yang diamalkan sekarang tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah dan para sahabat, tetapi hal ini bukanlah termasuk dalam kategori bid’ah dholalah. Sebaliknya, sambutan Maulidurrasul adalah merupakan antara perkara yang terpuji yang tidak bercanggah dengan nas-nas Al-Qur’an mahupun Al-Hadith. Sambutan Maulidurrasul adalah cerminan rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah di kalangan para ‘ulama yang mendapat Hidayah dan Rahmat daripada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Justeru, bagi menzahirkan kecintaan kita kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, ayuh kita hidupkan bulan Rabi’ulawwal yang mulia ini dengan selawat, serta penghayatan terhadap sirah Rasulullah; yang dengannya mudah-mudahan bertambah kukuh kecintaan kita kepada baginda. Kita memahami dan meyakini sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud: “Setiap orang itu akan dihimpunkan bersama orang yang dikasihinya.” Marilah kita menyambut hari kelahiran kekasih yang dikasihi, yang dengan sebab kelahiran baginda di atas muka bumi ini, maka tersebarlah Rahmat Allah dengan begitu luas. Ada banyak program dan aktiviti yang telah diaturkan sempena dengan bulan Rabi’ulawwal ini; maka, ayuh kita hidupkan!

Petang ini – saat artikel ini ditulis – akan berlangsung majlis bersama ‘ulama pendakwah daripada Indonesia, al-Habib Munzir bin Fuad al-Musawa bertempat di Masjid Al-Falah, USJ9, Subang Jaya. Majlis yang bermula pada jam 6.30 petang ini akan diisi dengan bacaan Wirdul Lathif, bacaan Maulid ad-Dhiya al-Lame’, bacaan Qasidah, serta ceramah oleh al-Habib Munzir yang merupakan anak murid kepada tokoh ‘ulama dunia yang tidak asing lagi yakni al-Habib Umar bin Hafidh.

Pada 27 Februari 2010 bersamaan 13 Rabi’ulawwal 1431H, akan berlangsung Majlis Sambutan Maulidurrasul di Kompleks Yayasan Sofa, Rembau, Negeri Sembilan. Majlis tersebut akan dihadiri musnid Syam, Dr. Muhammad Mu’taz Al-Subaini Al-Husaini yang merupakan pensyarah Universiti Al-Azhar cawangan Syria. Tuan guru yang dikasihi, musnid Malaysia, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki akan turut bersama. Program tersebut akan bermula pada jam 5.00 petang sehingga jam 10.00 malam. Bagi sesiapa yang berminat untuk pergi tetapi tidak mengetahui lokasinya, bolehlah menghubungi saya.

Seterusnya, Yayasan Al-Jenderami juga akan menganjurkan sambutan Maulidurrasul secara besar-besaran. Program Sambutan Maulid Kubro Nabi Besar Muhammad S.A.W. Yayasan Al-Jenderami ke-8 akan diadakan selama tiga hari, daripada 4-6 Mac 2010 bersamaan 18-20 Rabi’ulawwal 1431H. Program tersebut akan diadakan di Kompleks Yayasan Al-Jenderami, Kg. Jenderam Hilir, Dengkil. Lebih daripada 10 orang ‘ulama daripada seluruh dunia dijangka akan menghadiri program tersebut; antaranya adalah Habib Hassan bin Muhammad bin Salim al-Attas daripada Singapura, Syeikh Afeefuddin bin Syeikh Abdul Qadir Mansuruddin al-Jaylani al-Baghdadi yang berasal daripada Iraq dan merupakan keturunan Syeikh Abdul Qadir al-Jaylani, Habib Soleh bin Muhammad al-Jufri daripada Indonesia, Sheikh Ahmad Fahmi Zamzam an-Nadwy al-Banjari daripada Indonesia, dan ramai lagi. Untuk aturcara penuh program selama tiga hari tersebut, sila layari blog Al-Jenderami di http://yayasanaljenderami.blogspot.com/

Buat rakan-rakan dan teman di Kuching juga, para pencinta Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam akan menganjurkan program sambutan Maulidurrasul pada 26 Februari 2010 bersamaan 12 Rabi’ulawwal 1431H bermula jam 7.30 petang di Waterfront, Kuching. Program anjuran NGO-NGO di Kuching itu akan diisi dengan Maulid ad-Daiba’ie, qasidah-qasidah serta tayangan video.

Ayuh kita meriahkan hari kelahiran kekasih kita!

Previous
Next Post »