KEPUTUSAN KERAJAAN PERSEKUTUAN DIKESALI

Pengumuman yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Nazri Abdul Aziz, bahawa kerajaan persekutuan membenarkan kalimah “Allah” digunakan oleh penganut Kristian di Sabah dan Sarawak adalah amat dikesali. Sebagai seorang warga Bumi Kenyalang yang beragama Islam, saya berasa amat kesal dan marah dengan keputusan tersebut yang menunjukkan betapa pihak kerajaan gagal memahami isu ini dengan baik serta menampakkan betapa celarunya pemikiran para pemimpin Islam di negara ini yang sudah semakin kehilangan adab.

Biarpun penganut agama Kristian telah menggunakan kalimah “Allah” semenjak beratus tahun lamanya di Sabah dan Sarawak, itu bukan hujah untuk mengesahkan bahawa mereka boleh menggunakan kalimah “Allah”. Amalan dan praktis yang berkurun lamanya tidak menunjukkan kesahihan amalan atau praktis tersebut! Kebenaran bukan semata-mata ditentukan dengan lamanya sesuatu amalan itu diterimapakai oleh masyarakat. Sebagai analogi, apakah kita akan membenarkan sahaja istilah ‘paderi’ digunakan untuk imam-imam masjid sekiranya perkara tersebut sudah diamalkan beratus tahun lamanya? Isu ini bukannya tentang sama ada penganut Kristian sudah lama atau baru sahaja hendak ‘memohon’ untuk menggunakan kalimah tersebut. Isu ini adalah berkaitan dengan asas agama, berkaitan dengan ‘aqidah, berkaitan dengan teologi. Ini bukan persoalan teknikal.

Kalimah “Allah” itu adalah hak eksklusif umat Islam kerana beberapa sebab. Antaranya adalah kerana nama “Allah” itu adalah nama Tuhan yang diperkenalkan sendiri oleh Tuhan di dalam kitab suci umat Islam yakni kitab suci Al-Qur’an, di dalam bahasa asalnya yakni bahasa Arab. Apabila kaum kafir Quraisy bertanyakan kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam perihal Tuhan umat Islam adakah diperbuat daripada emas, perak atau besi (yang menunjukkan bahawa conception orang bukan Islam tentang Tuhan adalah berbeza), maka Allah Subhanahu wa ta’ala menurunkan Surah al-Ikhlas, yakni surah yang memperkenalkan siapakah Tuhan umat Islam itu, yakni Allah Yang Maha Esa!

Seterusnya, harus difahami – biarpun telah berulang-ulang kali dinyatakan dan dilaungkan oleh para ilmuan tanahair – bahawa “Allah” itu adalah satu kata nama khusus (proper noun), satu nama yang merujuk kepada Zat Tuhan. Manakala, perkataan bahasa Inggeris “God” atau “Lord” adalah merupakan kata nama am (common noun). Maka, jika hendak menterjemahkan “God” atau “Lord” kepada Bahasa Melayu, maka hendaklah juga digunakan kata nama am seperti “Tuhan”. Atau, jika hendak juga digunakan Bahasa Arab (for no rational reason) maka hendaklah dipilih kalimah-kalimah yang berbentuk am juga seperti “Rabb” atau “Ilah”. Adalah merupakan satu bentuk kecelaruan pemikiran yang serius apabila kalimah “God” atau “Lord” diterjemah sebagai “Allah”.

Sebagai seorang Islam, apabila kita membenarkan istilah “God” atau “Lord” diterjemahkan kepada “Allah”, maka kita sebenarnya telah membenarkan penipuan atau pemalsuan terhadap nama “Allah”. Hal ini demikian kerana apabila terjemahan seperti itu berlaku, maka kita akan menemukan terjemahan-terjemahan seperti “Gods” kepada “Allah-Allah”, “Son of God” kepada “Anak Allah”, “Goddess” kepada “Allah Perempuan”; Maha Suci Allah daripada semua itu! Bagi orang Islam, conception kita tentang siapakah Allah itu jelas, terangkum di dalam Surah al-Ikhlas. Orang Islam kenal siapa Allah, justeru orang Islam layak menggunakan kalimah “Allah”. Manakala, conception orang Kristian tentang Tuhan berbeza dengan orang Islam, justeru mana mungkin mereka boleh berkongsi nama Tuhan yang sama! Hal ini demikian kerana sesuatu kalimah itu membawa makna, dan dalam hal ini makna yang sangat khusus, yang seterusnya membentuk pandangan alam seseorang. Sebagai seorang Islam, apakah tergamak kita membenarkan nama “Allah” yang Maha Suci itu digunapakai dengan pemahaman dan konteks yang salah?

Memang benar secara hakikatnya, seperti yang difahami dan diyakini orang Islam, Tuhan itu ada satu. Namun, tidak bermakna semua orang di dunia ini mempunyai keyakinan yang sama. Itulah bezanya adalah seorang Muslim (orang yang menyerah diri) dan orang bukan Islam. Orang Islam menyerahkan dirinya kepada Tuhan yang satu itu, dengan penyerahan yang betul dan sahih yakni dengan berteraskan kalimah tauhid. Orang bukan Islam, menyerahkan diri kepada tuhan yang berbeza mengikut pemahaman mereka masing-masing. Jika tidak perlu kita membeza-bezakan atau menjadikan eksklusif “Allah” itu bagi orang Islam, maka apa perlunya Allah Subhanahu wa ta’ala mengutuskan Rasulullah untuk mengajar manusia siapa Tuhan? Dan, apa perlunya kalimah syahadah yang bermaksud “Tiada Tuhan melainkan Allah” sebagai syarat asas untuk menjadi seorang Islam?

Pokoknya, adalah sesuatu keputusan yang tidak wajar apabila orang Islam membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah “Allah”. Hal tersebut hanyalah menggambarkan insensitivity umat Islam terhadap Tuhan Yang Maha Agung! Mungkin ada yang menggunakan alasan bahawa membenarkan kaum bukan Islam menggunakan kalimah “Allah” akan memudahkan umat Islam untuk memperkenalkan “Allah” kepada orang bukan Islam. Kenyataan tersebut adalah kenyataan yang agak naif kerana proses memperkenalkan “Allah” kepada orang bukan Islam hanya akan menjadi lebih rumit apabila kalimah “Allah” sudah biasa digunakan dalam konteks yang salah, sekaligus mewujudkan kecelaruan dan kekeliruan.

Saya memetik ayat Al-Qur’an yang dibacakan oleh tuan guru yang dikasihi, al-‘Allamah al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki tatkala mengupas tentang isu penggunaan kalimah “Allah” ini;

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Dan Allah memiliki Asamā’ul Husnā (nama-nama yang terbaik), maka berdoalah kepada-Nya dengan menyebut Asamā’ul Husnā itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyalahertikan nama-namaNya. Mereka kelak akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.” (Surah Al-A’raf, ayat 180)

Wallahu’alam.

Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
'Aini
admin
1:20 pm ×

Assalamualaikum... Isu yg amat sensitif. Even my Christian friend pun refuse to give any comment on this. Persoalan slps satu sesi kuliah Subuh oleh Dr. Danial -- why now? Kenapa skrg baru beriya2 nk gunakan perkataan Allah... Mmg frust dgn cara pihak tertentu handle kes ni. Takkan la they expect umat Islam mohon hakcipta utk kalimah Allah. *sigh*

Congrats bro 'Aini you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar