Friday, 28 August 2009

Ganjaran Eksklusif Puasa

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian bagi Allah, Tuhan yang Menguasai sekalian alam. Maha suci Allah, Tuhan Pemilik ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia makhluk, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia serta para sahabat baginda yang terpuji.

Ayuh, marilah kita sama-sama merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala kerana dengan keizinan-Nya kita masih lagi diberikan kesempatan untuk melalui madrasah hebat bulan Ramadhan yang mulia ini. Jika Allah Subhanahu wa ta’ala menghendaki untuk kita tidak lagi berkemampuan untuk memanfaatkan bulan Ramadhan ini, sudah tentu hal itu cukup mudah. Boleh sahaja kita diberikan kesakitan yang dahsyat yang dengan sebabnya kita tidak mampu berpuasa. Atau, mungkin sahaja kita ditimpakan kemalangan sehingga kita tidak lagi mampu berdiri untuk solat tarawih serta solat-solat sunat yang lain. Hampir setiap hari kita boleh membaca di dalam surat khabar, atau melihat di kaca televisyen berita tentang kematian melalui kemalangan dan sebagainya. Seharusnya hal tersebut memberikan kita satu pengajaran bahawa seandainya Allah menghendaki untuk menjadikan Ramadhan ini yang terakhir buat kita, maka pasti mudah sahaja untuk Allah mencabut nyawa kita. Justeru, sewajarnya kita bersyukur kepada Allah Subhanahu wa ta’ala atas kesempatan yang masih diberikan kepada kita ini.

Seterusnya, seharusnya kita mengambil kesempatan dengan sebaik-baiknya di bulan Ramadhan ini untuk mendapatkan ganjaran dan manfaat dengan sebanyak-banyaknya kerana ibadah puasa di bulan Ramadhan ini dijanjikan dengan ganjaran yang begitu banyak; sehinggakan, sesetengah para ulama menyatakan bahawa sesiapa yang tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh membanyakkan ibadah di bulan Ramadhan bagi mengejar dan merebut manfaatnya, maka orang tersebut adalah orang yang bodoh. Analoginya mudah: bayangkan, ada seseorang datang kepada kita menawarkan kepada kita wang tunai bernilai jutaan ringgit dengan syarat kita melakukan beberapa kerja mudah seperti memujinya, mengucapkan terima kasih kepadanya dan sebagainya. Nah, bukankah orang yang melepaskan peluang duniawi seperti itu, adalah orang yang bodoh. Maka, begitu jugalah orang yang melepaskan peluang mendapatkan ganjaran tidak terhingga yang disediakan melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia ini.

Hadith terbaik yang menceritakan kepada kita tentang kelebihan ibadah puasa di bulan Ramadhan adalah sebuah Hadith Qudsi yang dikeluarkan oleh Bukhari dan Muslim di dalam Sahih mereka masing-masing.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda (yang kira-kira bermaksud): “Setiap amalan anak Adam itu baginya. Satu kebaikan dibalas dengan 10 ganjaran hingga 700 kali ganda.” Firman Allah ‘azza wa jalla: “Melainkan puasa, sesungguhnya ia adalah bagiKu dan Akulah yang akan membalasnya. Sesungguhnya dia meninggalkan syahwat, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku. Bagi orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan: kegembiraan ketika berbuka puasa dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya, dan bau mulut orang yang berpuasa lebih wangi di sisi Allah daripada bau kasturi.” (Dikeluarkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, an-Nasa’I, Ibnu Majah, al-Darimi)

Di dalam hadith tersebut dijelaskan kepada kita bahawa setiap amal kebaikan yang dilakukan itu adalah untuk kita. Hal ini bermakna, setiap amal kebaikan itu, di hari akhirat kelak, akan menjadi ‘bekalan’ kita ketika dihisab. Di hari akhirat kelak, apabila ada seseorang yang pernah membuat kejahatan atau kezaliman ke atas seseorang, maka orang yang dizalimi atau disakiti itu akan datang kepada orang yang menzalimi atau menyakiti itu untuk menuntut haknya. Lalu, orang yang menzalimi itu akan terpaksa memberikan amal kebaikannya itu tadi kepada orang yang dizaliminya itu. Maka setiap amal kebaikan kita, akan kita jadikan sebagai ‘bayaran’ kepada orang yang pernah kita zalimi seperti orang yang pernah kita curi barangnya, pernah kita tebarkan fitnah atasnya, pernah kita umpat, keji dan sebagainya. Kecuali puasa, kerana Allah Subhanahu wa ta’ala menyatakan dengan jelas bahawa puasa itu adalah bagi Allah, dan Allah yang membalasnya. Maka, amal kebaikan puasa tidak dibenarkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk dijadikan sebagai tebusan terhadap kesalahan-kesalahan yang pernah kita lakukan di dunia ini. Mudah-mudahan, andaikata amal kebaikan kita yang lain kelak habis disebabkan banyaknya kejahatan yang kita lakukan, dengan sebab amalan puasa kita itu boleh menjadi penyebab untuk kita dimasukkan ke dalam syurga Allah.

Begitu juga dinyatakan di dalam hadith tersebut, bahawa bagi setiap amal kebaikan yang lain, kita akan diberikan ganjaran antara 10 ke 700 kali ganda ganjaran. Apabila seseorang daripada kita melakukan kebaikan, maka para malaikat akan mencatatkan kebaikan tersebut, bergantung kepada nilai ganjaran yang akan diperolehi berdasarkan kepada keikhlasan dan sebagainya. Namun, bagi ibadah puasa ini tidak ada hadnya. Oleh sebab itu, tuan guru yang dikasihi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki menyatakan bahawa ibadah puasa ini tidak dapat dicatat oleh para malaikat berapakah ganjaran yang hendak diberikan. Maka, ganjaran bagi ibadah puasa ini akan diberikan sendiri oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dan oleh sebab itulah dinyatakan juga di dalam hadith tersebut, kegembiraan kedua yang akan diperolehi oleh orang yang berpuasa adalah apabila bertemu dengan Tuhannya kerana pada ketika itu ia akan diperlihatkan dengan ganjaran daripada ibadah puasanya. Inilah ganjaran eksklusif ibadah puasa di bulan Ramadhan ini.

Maka, untuk mendapatkan ganjaran yang hebat tersebut, perlulah kita bermujahadah dan memastikan kualiti ibadah puasa kita berada di tahap yang terbaik. Ingatlah bahawa Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam ada memberikan satu peringatan kepada kita bahawa di kalangan semua umat Islam yang berpuasa di bulan Ramadhan, begitu ramai sekali yang gagal mendapatkan apa-apa manfaat daripada kelebihan ibadah ini melainkan sekadar merasakan lapar dan dahaga. Mudah-mudahan kita tidak termasuk di dalam golongan itu. Apa yang penting adalah kita memastikan kita memelihara semua arahan dan suruhan Allah Subhanahu wa ta’ala, dan membanyakkan bersabar. Hal ini demikian kerana sebahagian besar daripada amalan puasa itu adalah sifat sabar dan balasan bagi sifat sabar tiada batasnya. Sabar terbahagi kepada tiga jenis yakni sabar dalam mentaati perintah Allah, sabar dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah, serta sabar dalam menerima taqdir Allah yang perit dan menyakitkan.

Justeru, bagi memastikan kita mendapat kualiti ibadah puasa yang terbaik hendaklah kita bersabar dalam mengerjakan ketaatan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Segala yang wajib hendaklah kita laksanakan dan segala yang haram hendaklah dijauhi. Bersabarlah dalam menghadapi keperitan rasa lapar dan dahaga, rasa lemah badan, serta apa-apa sahaja ujian dan dugaan dalam bentuk kesusahan, kesempitan, kerunsingan dan sebagainya yang mungkin dihadapkan kepada kita oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dengan tujuan untuk menguji dan melatih keimanan kita. Hendaklah kita yakin dengan janji dan jaminan Allah Subhanahu wa ta’ala kerana janji Allah itu janji yang benar.

Wallahu’alam.

Wednesday, 26 August 2009

Pengkisahan Sejarah PKPIM

"Sejarah dan perjuangan PKPIM sepanjang 5 dasawarsa dalam persada dakwah dan generasi muda. Sumbangan PKPIM sebagai pertubuhan pelajar Islam peringkat kebangsaan yang telah mewarnai perubahan masyarakat Islam di Malaysi, sebagai rakan pembina negara dan suara advokasi anak muda yang vokal. Prinsip wasotiyah, non-partisan dan berbudaya ilmu sebagai teras kekuatan PKPIM."

Dapatkan buku yang mengisahkan tentang sejarah gerakan pelajar Islam yang tertua di negara ini, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM). Semenjak daripada tahun 1961 sehingga kini, PKPIM terus konsisten di persada dakwah tanahair. Untuk mendapatkan buku ini, sila berhubung dengan:

  • Sekretariat PKPIM Pusat (rujuk www.pkpim.net)
  • Sdri. Lina Mursyidah (013-6282505)

Buku "PKPIM: 5 Dasawarsa" ini dijual pada harga RM22.90.

Dapatkan segera!

Friday, 21 August 2009

Selamat Datang Wahai Ramadhan Yang Mulia

Dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang, Maha Mulia, Maha Agung. Maha suci Allah, Pemilik ‘arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, semulia-mulia makhluk Allah yakni Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.

Sebaik sahaja saya selesai mengerjakan solat Asar pada petang tadi (21 Ogos 2009) di Masjid UIAM, Gombak, terasa suatu perbezaan dan kelainan di jiwa. Terusik sekali jiwa, terasa seperti pertemuan dengan seorang teman yang begitu lama dirindui. Besar sungguh anugerah Allah, akhirnya Ramadhan tiba lagi dan saya – serta kita semua – masih lagi dipilih oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk menyertai “madrasah” terhebat ini.

Bulan Ramadhan adalah satu bulan yang sangat mulia. Di bulan ini, umat Islam akan menjalani kewajipan berpuasa yang merupakan satu kewajipan yang sangat besar, dan terkandung di dalamnya begitu banyak rahsia dan khazanah yang sewajarnya direbut dan dikejar oleh semua umat Islam. Begitu besarnya erti dan nilai ibadah puasa di dalam bulan Ramadhan ini tergambar melalui sabda baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam di dalam sebuah hadith di mana baginda menyatakan bahawa sesiapa yang meninggalkan sehari puasa di bulan Ramadhan, tanpa keuzuran yang syari’i, maka dia tidak akan mampu membayar kesalahan itu sekalipun dia berpuasa seumur hidupnya.

Bulan ini adalah masa untuk umat Islam mengubah rutin harian mereka. Bulan ini adalah bulan “pesta ibadah”. Adalah suatu kerugian, malah tidak keterlaluan jika dikatakan suatu ‘kebodohan’, bagi sesiapa yang tidak mahu merebut dan mengaut sebanyak mungkin kebaikan yang boleh diperolehi di dalam bulan Ramadhan ini. Kadang-kadang terkilan juga, apabila melihat umat Islam pada hari ini apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, maka umat akan mula sibuk dengan juadah yang pelbagai. Rasanya, bermula beberapa hari sebelum bulan Ramadhan ini, beberapa rancangan masakan yang baru mula disiarkan di kaca televisyen. Seolah-olah, bulan Ramadhan ini adalah bulan untuk ‘berpesta juadah’ ketika waktu berbuka puasa. Hal ini mungkin berlaku disebabkan kefahaman yang kurang mendalam tentang falsafah dan erti ibadah puasa yang sebenar. Matlamat ibadah puasa di bulan Ramadhan bukan semata-mata untuk merasai pengalaman lapar dan dahaga, tetapi yang lebih penting dan lebih besar daripada itu matlamat yang perlu dicapai melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan ini adalah untuk mencapai darjat ketaqwaan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183)

Di dalam khutbah Jumaat tengahari tadi, saya mendengar khatib berpesan kepada para jemaah bahawa ibadah puasa ini matlamatnya adalah taqwa, dan cara untuk melakukannya adalah dengan menambahkan taqwa yang sedia ada di dalam diri. Saya terfikir sejenak, apakah masyarakat pada hari ini sudah memahami apa yang dikatakan sebagai darjat ketaqwaan itu? Apakah masih ada orang yang akan sibuk dengan juadah berbuka puasa yang begitu banyak dan pelbagai apabila erti taqwa difahami? Apakah ada pihak yang akan sibuk menganjurkan “jualan hari raya” ketika bulan Ramadhan belum pun bermula, jika erti dan keutamaan mengejar taqwa itu difahami? Antara definisi taqwa yang diberikan oleh para sahabat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam adalah sikap berhati-hati dengan segala hukum-hakam Allah di dalam menjalani kehidupan yang dianalogikan dengan sikap orang yang berjalan di jalanan yang penuh dengan duri. Sayidina Ali karamallahu wajhah pula menyebut empat ciri orang yang bertaqwa yakni: (1) redha dengan sedikit yang ada, (2) beriman dengan kitab yang diturunkan (al-Qur’an), (3) takut kepada Tuhan, dan (4) sentiasa bersiap-sedia untuk menghadapi hari akhirat. Nah, marilah kita bersama-sama menilai diri kita sendiri dengan panduan Al-Qur’an, Al-Hadith, dan guru murabbi yang mampu menunjukkan kita di mana kedudukan kita dalam meniti jalan menuju Allah Subhanahu wa ta’ala.

Apapun, apa yang penting sekarang ini adalah kita harus memanfaatkan dengan sebaik-baiknya kesempatan yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk kita berjumpa sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang mulia ini. Kesempatan untuk melaksanakan ibadah di dalam bulan mulia ini tidak mungkin sama dengan bulan yang lain. Bulan Ramadhan ini mempunyai nilainya yang tersendiri. Oleh sebab itu, di dalam kitab suci Al-Qur’an, bulan Ramadhan adalah satu-satunya bulan yang disebut secara jelas namanya. Hal tersebut sudah tentu membayangkan kemuliaan dan kebesaran bulan Ramadhan, di samping banyaknya peristiwa-peristiwa besar yang berlaku di dalam bulan Ramadhan yang sudah tentu juga membuktikan kemuliaan bulan ini. Antara keistimewaan besar bulan ini adalah peluang dan kesempatan yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala untuk kita meningkatkan kualiti kerohanian kita, berusaha mencapai darjat ketaqwaan yang merupakan maksud daripada ibadah puasa Ramadhan itu sendiri.

Inilah kesempatan yang paling besar untuk kita meningkatkan kualiti jiwa kita. Sesungguhnya manusia itu mempunyai dua musuh, syaitan dan nafsu syahwat. Di dalam bulan Ramadhan, disebutkan di dalam hadith bahawa syaitan-syaitan dikekang. Oleh sebab itulah lebih ramai orang dengan lebih mudah boleh melakukan kebaikan. Namun, harus difahami bahawa manusia masih punya nafsu syahwat untuk dikekang. Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam pernah menyatakan bahawa musuh tersebut bagi seseorang manusia itu adalah nafsu syahwatnya. Di dalam Ihya’ Ulumuddin pula, Imam Ghazali menyebut bahawa dua syahwat terbesar manusia adalah syahwat perut dan kemaluan. Nah, bukankah melalui ibadah puasa, kedua-dua syahwat tersebut dikekang. Justeru, ibadah puasa Ramadhan ini memberikan kesempatan yang terbaik untuk kita mengekang, menundukkan dan menjinakkan nafsu syahwat yang begitu degil dan liar, yang akan melalaikan kita daripada mengingati Allah Subhanahu wa ta’ala dan beribadah kepada-Nya seandainya tidak dikekang dan dikawal oleh hati yang bersih.

Ayuh, marilah kita berusaha membanyakkan ibadah di bulan Ramadhan yang mulia ini. Antara perkara yang boleh dilakukan adalah dengan membanyakkan membaca Al-Qur’an. Kita harus berusaha untuk melazimi membaca Al-Qur’an setiap hari di bulan Ramadhan ini kerana, antara lain, bulan Ramadhan ini adalah bulan di mana Al-Qur’an diturunkan di dalamnya. Gantikanlah dan isikanlah masa yang selalunya digunakan untuk makan dengan aktiviti membaca Al-Qur’an, walaupun sekadar sehelai jika itu sahaja yang kita mampu.

Di samping itu, banyakkanlah beristighfar kerana untuk mencapai kejernihan dan kesucian hati, sudah tentu hati itu perlu dibersihkan terlebih dahulu daripada sebarang kekotoran. Malah, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sendiri akan berdoa dengan doa yang digemarinya di bulan Ramadhan yakni doa yang bermaksud: “Ya Allah! Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun yang suka mengampunkan dosa-dosa, maka ampunilah aku.

Seterusnya, berusahalah untuk melakukan sekurang-kurang satu amalan secara konsisten sepanjang bulan Ramadhan seperti solat sunat, berzikir, bersedekah atau sebagainya. Mudah-mudahan dengan latihan beribadah secara konsisten yang dilakukan di dalam bulan Ramadhan akan memberikan kita keringanan dan kemudahan untuk meneruskan ibadah tersebut sepanjang tahun.

Selamat datang wahai Ramadhan yang mulia dan selamat berpesta ibadah wahai sahabat sekalian!

Tuesday, 18 August 2009

Sedikit Rakaman Majlis Pernikahan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang

Syukur, telah lebih seminggu saya diijabkabulkan bersama pasangan hidup, Noor Adibah Binti Othman. Mohon maaf kepada kawan-kawan dan rakan kerana agak lambat memuatnaik (upload) gambar ke laman maya ini. Gambar-gambar pernikahan kami yang betul-betul berkualiti (yang diambil oleh jurukamera profesional) masih belum diperolehi. InsyaAllah, apabila telah diperolehi kelak akan saya muatnaik ke laman maya untuk tatapan kawan-kawan, khususnya yang tidak berkesempatan menghadiri majlis pernikahan saya tempoh hari. Kepada yang menghadirkan diri, terima kasih banyak-banyak diucapkan. Kepada yang tidak berkesempatan menghadirkan diri, harap dapat dipanjangkan doa buat kami; mudah-mudahan rumahtangga yang dibina ini mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala serta dilimpahi dengan Mawaddah wa Rahmah.

Pernikahan itu perlu diwar-warkan dan dihebahkan. Tujuannya, antara lain, adalah untuk mengelakkan fitnah dan memberitahu kepada masyarakat bahawa pasangan ini sudah diijabkabulkan secara sah. Justeru, di sini saya sertakan beberapa gambar yang ada dalam simpanan kami untuk tatapan semua. Terima kasih kepada isteri tercinta yang tidak lupa meminta rakan-rakan mengambil gambar menggunakan telefon bimbitnya. Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa ta’ala merahmatinya dan menjadikan isteri saya sebagai seorang isteri yang solehah, serta menjadikan saya seorang suami yang soleh untuk isteri saya.

Terima kasih kepada adik kami, Syed Putra Iqmal yang telah menyediakan gambar berikut khusus buat kami. Mudahan beliau cepat bertemu jodoh! (Hahaha...)

Tuesday, 4 August 2009

ERTI PERNIKAHAN

Pernikahan itu adalah salah satu anugerah dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala kepada hamba-hambaNya, khususnya kepada kita selaku umat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Pernikahan itu adalah jalan yang sah lagi diredhai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala bagi menghalalkan perhubungan antara lelaki dan perempuan; yang mana, adalah merupakan fitrah manusiawi yang sihat bahawa seorang lelaki akan tertarik kepada perempuan, dan begitulah sebaliknya. Maka, apabila telah wujud rasa suka dan cinta seorang lelaki kepada seorang perempuan, syariat Islam telah menyediakan pernikahan sebagai jalan memanifestasikan kecenderungan dan kecintaan yang wujud di antara dua insan tersebut.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Dan di antara tanda-tanda (kebesaran)-Nya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mengetahui.” (Surah Ar-Ruum, ayat ke-21)

Sememangnya adalah fitrah seseorang lelaki itu akan suka kepada perempuan, dan seseorang perempuan itu akan suka kepada lelaki. Rasa suka, cinta, dan cenderung itu adalah fitrah yang tidak boleh dinafikan, dan malah tidak perlu dinafikan. Apa yang penting, perasaan itu haruslah disalurkan dan dimanifestasikan dengan cara yang halal dan baik. Imam Al-Ghazali rahimahullahu ta’ala menyatakan bahawa cinta itu adalah kecenderungan jiwa kepadanya (kepada sesuatu yang dicintai itu) kerana keadaannya yang merupakan suatu kenikmatan kepadanya. Semakin bertambah kenikmatan, semakin bertambahlah kecintaan. Allah Subhanahu wa ta’ala melengkapkan manusia dengan pancaindera yang dengannya manusia dapat merasakan kenikmatan dan kelazatan dalam perkara yang disukai dan dicintai.

Dalam salah sebuah hadith yang dipetik oleh Imam Al-Ghazali rahimahullahu ta’ala di dalam Ihya’ ‘Ulumuddin, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang lebih kurang maksudnya: “Tiga hal dari duniamu yang dijadikan aku menyukainya, yakni: wangi-wangian, wanita, dan kesejukan hatiku dalam solat.

Maka, kesukaan yang diwujudkan antara seorang lelaki dan perempuan itu, haruslah disatukan melalui jalan pernikahan. Sudah tentu, pernikahan itu ada syarat-syaratnya dan adab-adabnya. Adab-adab dalam pernikahan – sebelum dan semasa – perlu diberikan perhatian yang teliti kerana pernikahan membawa erti yang cukup besar. Antara tujuan pernikahan adalah bagi menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan perempuan. Segala batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, dari segi pandangan, sentuhan, mahupun pendengaran, diangkat melalui pernikahan. Namun, erti pernikahan yang sebenar tidaklah sekecil itu. Pada hari ini, apabila pernikahan itu difahami hanya dalam konteks menghalalkan perhubungan antara seorang lelaki dan seorang perempuan, maka kita dalam melihat banyaknya masalah dalam rumahtangga dan kehidupan berkeluarga.

Antara erti yang paling besar melalui pernikahan adalah pernikahan ini merupakan suatu ibadah, yang dapat membantu kehidupan beragama seseorang itu. Dalam salah sebuah hadith, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam menerangkan betapa besarnya erti pernikahan dalam konteks melengkapkan agama seseorang itu. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang lebih kurang maksudnya: “Barangsiapa yang telah dikurniakan oleh Allah dengan isteri yang solehah, maka ia telah dilengkapkan sebahagian daripada agamanya. Maka, bertaqwalah kepada Allah untuk sebahagian yang lain itu.” (Hadith Riwayat At-Tabrani dan Al-Hakim dan dinyatakan sahih sanadnya). Dalam matan yang lain, disebut bahawa pernikahan itu melengkapkan separuh daripada agama, dan hendaklah bertaqwa kepada Allah untuk separuh lagi. Justeru, hal ini seharusnya menggambarkan kepada kita betapa melalui jalan pernikahan itu dapat melengkapkan sebahagian besar daripada agama.

Hal tersebut, sudah tentu berkait rapat dengan maksud dan hikmah pernikahan yang lain. Antaranya, melalui jalan pernikahan, kelangsungan hidup manusia sebagai manifestasi tanggungjawab khalifah dapat dipastikan berlaku. Melalui jalan pernikahan akan dapat meneruskan kehidupan manusia, melalui anak-anak yang dilahirkan. Anak-anak yang dilahirkan itu akan lahir sebagai umat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Maka, apabila terdidik pula anak-anak itu dengan baik menjadi anak yang soleh dan solehah, berbanggalah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dengan bilangan umat baginda yang banyak. Ibubapa akan mendapat kebaikan, dan masyarakat akan mendapat manfaat.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang kira-kira bermaksud: “Kahwinilah olehmu wanita yang pencinta (sangat mencintai suami dan anak-anak) dan peranak (subur). Maka sesungguhnya aku bermegah-megah dengan banyaknya kamu (umat Rasulullah) itu terhadap nabi-nabi yang lain di hari kiamat.” (Hadith Riwayat Ahmad dan Ibnu Hibban)

Pernikahan juga adalah merupakan perkara yang akan dapat menenangkan jiwa, serta membantu proses untuk meningkatkan kualiti kerohanian seseorang. Hal ini demikian kerana melalui jalan pernikahan akan lebih memelihara kehormatan serta kesucian jiwa seseorang itu. Hati akan lebih tenang kerana sesebuah pernikahan yang baik itu akan dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dengan ‘Mawaddah wa Rahmah’, yakni rasa kasih dan sayang. Selain daripada itu, pastinya adalah lebih mudah bagi seseorang yang telah berkahwin untuk memelihara diri daripada melakukan dosa dan maksiat, termasuklah maksiat hati. Apabila seseorang itu lebih mampu memelihara dirinya daripada maksiat, maka lebih mudahlah untuk seseorang itu memberikan penumpuan kepada ibadah dan usaha mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang lebih kurang bermaksud: “Barangsiapa yang telah merasa sanggup (mampu) untuk berumahtangga, maka hendaklah ia bernikah. Sesungguhnya nikah itu lebih melindungi penglihatan dan lebih memelihara kehormatan. Dan sesiapa yang belum sanggup (mampu), hendaklah dia berpuasa, kerana puasa itu dapat mengurangkan nafsu syahwat.” (Hadith Riwayat Bukhari)

Maka, apa yang penting untuk difahami adalah bahawa pernikahan itu merupakan salah satu cara untuk meningkatkan kualiti ibadah, serta seharusnya menjadikan seseorang itu lebih dekat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Hal ini demikian kerana pada hakikatnya, pernikahan itu sendiri adalah merupakan satu kurniaan yang besar daripada Allah Subhanahu wa ta’ala kepada hamba-Nya. Bukankah jodoh itu ketentuan Allah? Oleh sebab itulah kita dapat melihat pada hari ini, begitu ramai orang yang bercinta selama bertahun-tahun lamanya, tetapi akhirnya tidak sampai kepada pernikahan. Ada juga yang bercinta begitu lama, akhirnya menikah jua. Ada juga yang berkenalan hanya seketika, kemudian terus mendirikan rumahtangga. Keadaan-keadaan tersebut seharusnya memberikan kepada kita suatu pengertian bahawa soal jodoh bukanlah terletak kepada usaha manusia, tetapi adalah merupakan ketetapan dan ketentuan Allah Subhanahu wa ta’ala. Usaha manusia itu hanyalah sebagai sebab. Maka, bagi sesiapa yang setelah menikah dengan seseorang itu, semakin jauh hatinya daripada mengingati Allah serta beribadah kepada-Nya, bukankah itu namanya kufur nikmat? Kerana erti syukur itu, adalah apabila kita menghargai pemberian dan kurniaan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala untuk lebih mendekatkan kita kepada-Nya.

Justeru, adalah penting juga untuk difahami bahawa di sebalik kenikmatan dan faedah pernikahan, terdapat risiko dan cabaran yang seandainya seseorang itu lalai dalam menjalankan tanggungjawabnya, khususnya tanggungjawab kepada Allah dan kepada Rasulullah, maka pastinya seseorang itu akan mudah terjerumus dan terperangkap dalam hal-hal yang tidak baik yang hadir bersama sesebuah pernikahan. Imam Al-Ghazali mengingatkan tentang hal ini di dalam Ihya’ ‘Ulumuddin.

Antara kesusahan dan cabaran yang akan hadir bersama pernikahan adalah untuk mencari nafkah buat keluarga daripada sumber yang halal. Hal tersebut adalah merupakan kewajipan bagi seorang suami. Selain daripada itu, antara kemudaratan paling besar apabila seseorang itu lalai dalam kehidupan berkeluarganya adalah kelalaian daripada zikir kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan persiapan menuju akhirat. Kesibukan duniawi, kesibukan menguruskan hal keluarga, boleh sampai melalaikan seseorang itu daripada mengingati Allah Subhanahu wa ta’ala. Kesusahan dalam mencari nafkah, boleh sehingga mewujudkan sifat bakhil. Tuntutan kehendak dan keperluan isteri dan keluarga, boleh membawa kepada kefakiran, yang akhirnya boleh membawa seseorang itu kepada kebinasaan.

Imam Al-Ghazali memetik sebuah hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sebagai peringatan, yang kira-kira maksudnya: “Akan datang pada manusia suatu zaman di mana lelaki binasa di tangan isterinya, kedua orang tuanya, dan anaknya. Mereka mencelanya dengan kefakiran dan membebaninya dengan sesuatu yang tidak mampu dipikulnya. Maka ia memasuki tempat-tempat yang akan menghilangkan agamanya. Lalu ia binasa.

Justeru, adalah sangat penting bagi seseorang itu untuk meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah Subhanhu wa ta’ala, serta memahami dan menyikapi pernikahan itu dalam erti dan konteks ibadat yang luas. Kecintaan seorang suami kepada isteri, mahupun kecintaan seorang isteri kepada suami, haruslah jangan sampai melalaikan kecintaan yang lebih hak. Kecintaan kepada Allah dan Rasulullah itu sudah tentu adalah yang paling utama. Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud: “Tidaklah seseorang di antara kamu beriman sehingga ia menjadikan Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada keluarganya, hartanya, dan manusia seluruhnya.

Apabila seseorang itu mencintai keluarganya, hartanya dan dunianya lebih daripada kecintaan kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, maka sudah tentu Allah akan menyerahkan seseorang itu untuk diurus dan diaturkan kehidupannya oleh dunianya. Namun, apabila seseorang itu menjadi kekasih Allah Subhanahu wa ta’ala dan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, maka kehidupannya diatur dan diurus oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Nah, bukankah Allah itu sebaik-baik pengurus? Bukankah Allah itu sebaik-baik pembantu dan penolong? Sungguh, sebaik-baik tempat bergantung hanyalah Allah!

Artikel ini, dan segala peringatan yang terkandung di dalamnya, tidak lain dan tidak bukan ditujukan kepada diri saya sendiri sebagai suatu teguran kepada diri sendiri. Jika ada manfaat bagi pembaca yang lain, maka itu dengan Rahmat Allah Subhanahu wa ta’ala.

Syukur, dengan Rahmat dan keizinan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala, saya akan melangsungkan pernikahan dengan seorang gadis yang cukup istimewa buat saya, saudari Noor Adibah Binti Othman, pada malam 7 Ogos 2009, bersamaan 17 Sya’ban 1430H. Saya berdoa kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, dan saya memohon doa daripada para pembaca sekalian, semoga pernikahan ini mendapat keredhaan Allah Subhanahu wa ta’ala, agar rumahtangga yang dibina tidak dilalaikan dengan kesibukan duniawi, sebaliknya menjadi pendorong dan penyebab untuk kami lebih hampir dan dekat kepada ar-Rafiqul-A’la, Allah ‘azza wa jalla. Semoga diberkati pernikahan ini, dipermudahkan urusan kami, dimurahkan rezeki kami, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah, serta dikekalkan jodoh kami sehingga ke syurga.

Buat para pembaca sekalian, kalian yang membaca blog ini adalah dengan ini secara rasminya dijemput untuk menghadiri majlis kenduri pernikahan saya pada hari Sabtu, 8 Ogos 2009 bersamaan 17 Sya’ban 1430H bertempat di Taman Setia Rawang, Selangor. Dijemput untuk melayari laman web ini: http://ukhtiadib.akhienaim.net untuk melihat jemputan, mendapatkan peta lokasi serta meninggalkan mesej buat kami. Semoga kalian dirahmati Allah.

Wassalam.

Monday, 3 August 2009

MUKTAMAR ABIM KE-38: PEMBINAAN GENERASI PRASYARAT KEBANGKITAN UMMAH

Segala lafaz pujian bagi Allah Subhanahu wa ta’ala. Semalam (2 Ogos 2009), telah berlangsung Muktamar Sanawi ABIM Ke-38. Bertemakan “Pembinaan Generasi Prasyarakat Kebangkitan Ummah”, muktamar kali ini menyaksikan perubahan dalam tampuk kepemimpinan ABIM. Di samping itu, muktamar kali ini juga menyaksikan barisan kepemimpinan kanan ABIM menyampaikan mesej yang begitu penting yang seharusnya perlu diusahakan untuk difahami dan dihadami oleh seluruh warga ABIM, khususnya bagi barisan kepemimpinan ABIM yang baru. Penekanan terhadap kepentingan pembinaan generasi, dengan menyoroti dan mencontohi manhaj para salafussoleh serta khalafussoleh seperti generasi Salahuddin Al-Ayyubi, yang dirumuskan oleh barisan kepemimpinan (mantan) ABIM sebagai manhaj ilmiah-ruhaniah. Rumusan terhadap isi-isi penting daripada ucapan dasar Tuan Haji Yusri Mohd. Akan saya muatkan dalam penulisan lain. Apapun, berikut adalah merupakan barisan kepemimpinan kanan ABIM bagi sesi 2009-2011.

Presiden
Muhammad Razak Bin Idris

Timbalan Presiden
Amidi Hj. Abdul Manan

Naib Presiden (Kebangsaan)
Ahmad Saparuddin

Naib Presiden (Antarabangsa)
Khairul Faiz Bin Morat

Setiausaha Agung
Mohd. Raimi Bin Abdul Rahim

Setiausaha Kewangan
P. Aizan Tukirin

Ketua Biro Tugas-tugas Khas (HELWA)
Fadhlina Binti Siddiq

Semoga mereka terus dikurniakan dengan kekuatan dan hidayah daripada Allah Subhanahu wa ta’ala agar dapat memimpin ABIM dengan baik, dan kekal teguh di atas landasan ahli sunnah wal jama’ah, dengan meneruskan manhaj ilmiah-ruhaniah sebagai teras.