Friday, 17 July 2009

Al-Fatihah Buat Ustaz

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Maha Suci Allah yang memiliki jiwa-jiwa manusia.

Al-Fadhil Ustaz Awang Pon Awang Sebon baru sahaja kembali ke Rahmatullah. Semoga Allah Subhanahu wa ta'ala merahmati roh beliau, serta menempatkan roh beliau di kalangan orang-orang yang soleh.

Panjatkan doa dan sedekahkan al-Fatihah buat roh beliau. Al-Fatihah.

Du'a for Ustaz Awang Pon


Assalaamu'alaikum warahmatullah wabarakatuh,

I've just received a text message from my friend a couple of hours ago mentioning that our beloved and respected Murobbi, al-Fadhil Ustaz Awang Pon Awang Sebon, is now in critical condition. He's been in Shah Alam, staying at his daughter's house (may Allah grant her with a bountiful of goodness) for several months now already. He's been getting treatment, periodically coming in and out of hospitals. Now, his cancer has spread to other areas and is in critical condition. The doctor has advised him to rest at home. I don't have the latest pictures of al-Fadhil Ustaz since the last time I visited him in hospital, he was such in a weak condition that I just couldn't bring myself to take any pictures of him.

My dear brothers and sisters in Islam, please pray for the beloved al-Fadhil Ustaz Awang Pon Awang Sebon. May Allah grant him strength, forgive all his wrongdoings, and shower blessings upon him and his family for all the great things he's done for the ummah, especially in Sarawak.

There is no god but Allah, and Prophet Muhammad is His messenger.

Tuesday, 14 July 2009

Lembaran Baru - Undangan

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Maha Suci Allah yang memiliki 'Arasy yang agung. Maha Suci Allah yang Maha Kuasa. Maha Suci Allah yang Maha Kaya. Tiada Tuhan melainkan Allah. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia, Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam. Dengan keberkatan dan kasih sayang baginda yang tidak tertanding, umat baginda mendapat limpahan kebaikan daripada Allah Subhanahu wa ta'ala.

Tarikh 7 Ogos 2009 (07-08-09) bersamaan 16 Sya'ban 1430H bakal menandakan bermulanya lembaran yang baru dalam kehidupan dua insan. Bersempena dengan hari bahagia itu, saya dengan penuh kerendahan hati ingin mengundang tuan-tuan dan puan-puan, para pembaca blog saya sekalian, ke Walimatul Urus ataupun majlis sambutan perkahwinan saya - ABDUL MUNTAQIM BIN ZULKIPLI1 - dan permata hati saya - NOOR ADIBAH BINTI OTHMAN2 - pada 8 Ogos 2009 bersamaan 17 Sya'ban 1430H bertempat di rumah pengantin perempuan yang beralamat di No. 5, Jalan Setia 3, Taman Setia Rawang, 48000 Rawang, Selangor Darul Ehsan. Majlis akan bermula pada jam 12 tengahari.

Mohon doa juga daripada tuan-tuan dan puan-puan sekalian agar urusan kami dipermudahkan oleh Allah Subhanahu wa ta'ala. Sesungguhnya, tiada pembantu yang lebih baik melainkan Allah, dan tiada tempat bergantung yang lebih baik melainkan Allah Subhanahu wa ta'ala.

Insya'Allah, peta ke rumah pengantin perempuan tersebut akan saya sertakan di sini dalam masa beberapa hari lagi. Buat rakan dan teman di Sarawak, majlis sambutan perkahwinan saya akan turut diadakan di sana pada tarikh yang akan saya maklumkan kemudian.

Sekian, terima kasih.


1  Abdul Muntaqim Bin Zulkipli berasal daripada Kuching, Sarawak. Lahir pada 17 April 1982. Merupakan pelajar tahun akhir Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) dalam jurusan Teknologi Maklumat.
2  Noor Adibah Binti Othman berasal daripada Rawang, Selangor. Lahir pada 22 Januari 1989. Merupakan pelajar tahun satu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam jurusan Pendidikan (TESL).

Saturday, 11 July 2009

Tentang Pernikahan

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam Al-Qur’an yang kira-kira maksudnya:
Dan nikahkanlah orang-orang yang masih membujang di antara kamu, dan juga orang-orang yang layak (menikah) dari hamba-hamba sahaya-mu yang laki-laki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kemampuan kepada mereka dengan kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), Maha Mengetahui.” (Surah An-Nuur, ayat ke-32)

Pernikahan adalah merupakan sunnah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sepertimana yang termaktub di dalam salah sebuah hadith baginda yang lebih kurang maksudnya: “Nikah itu adalah sunnahku. Barangsiapa yang mencintai agamaku, maka hendaklah mengikuti sunnahku.

Memang benar, tidak dinafikan bahawa ada sesetengah ulama yang berpandangan bahawa adalah lebih wajar untuk hidup menyendiri pada zaman ini. Mereka menyandarkan pendapat itu kepada beberapa hadith yang menyebut tentang kelebihan orang yang hidup membujang di akhir zaman. Di samping itu, mereka juga berpendapat demikian kerana kebanyakan usaha yang menuju ke arah perkahwinan pada hari ini telah bercampur dengan hal-hal yang haram di samping akhlak wanita yang semakin buruk.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung mengambil pandangan yang menganjurkan pernikahan. Pernikahan itu adalah amalan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sendiri. Malah, lebih ramai di kalangan para ulama yang menikah daripada yang hidup membujang. Dalam suasana dunia yang serba ‘terbuka’ pada hari ini, pernikahan adalah antara hal yang boleh membantu seseorang memelihara dirinya daripada terjebak dengan maksiat.

Pernikahan juga, pada hemat saya, adalah merupakan antara solusi terbaik kepada pelbagai gejala sosial yang berlaku pada hari ini. Masalah pergaulan antara lelaki dan perempuan, khususnya di kalangan generasi muda, yang akhirnya menjurus kepada pelbagai masalah lain seperti kelahiran anak luar nikah, budaya hidup yang semakin bebas nilai, kes rogol, penyakit-penyakit seksual serta ketidaktenteraman dalam masyarakat, pasti akan dapat diselesaikan ataupun dikurangkan secara signifikan melalui sistem pernikahan yang telah diatur dengan begitu baik oleh Islam.

Apa yang penting adalah pernikahan itu haruslah dilihat sebagai suatu ruang untuk menambahbaik ibadah. Apabila pernikahan itu telah ditanggapi dengan pandangan yang tepat, pasti pernikahan itu tidak akan dicampuri dengan perkara-perkara yang tidak disukai serta tidak dibenarkan dalam Islam. Buat remaja-remaja di luar sana, apabila anda sudah jatuh cinta, maka pastikanlah cinta itu cinta yang boleh membawa anda untuk semakin dekat kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Kalau cinta itu menjauhkan anda daripada ibadah kepada Allah, maka tinggalkanlah cinta itu sebelum cinta Allah meninggalkan kamu. Apabila cinta itu kamu yakini mampu membawa kebaikan, maka menikahlah.

Semoga Allah merahmati kita semua.

Nasihat Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri

Rasanya sudah agak lama saya tidak berpeluang untuk berjumpa dengan ulama daripada luar negara. Syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala yang telah mengizinkan saya dan rakan-rakan sekalian untuk berkesempatan menghadiri majlis bersama seorang ulama daripada Madinah, Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri, bertempat di Pusat Pengajian Al-Jazari, Bukit Indah, Ampang kelolaan Yayasan Sofa Kuala Lumpur. Kesempatan untuk bersama dengan para ulama yang datang daripada luar negara sudah tentu tidak boleh dilepaskan begitu sahaja. Cahaya ilmu dan keberkatan yang diperolehi daripada pertemuan dengan para ulama ini mampu mengubati keresahan dan kerunsingan jiwa. Begitulah, seringkali kuliah-kuliah tuan guru, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki menjadi penawar tatkala hati saya diselubungi keresahan.

Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri menyatakan kesyukuran beliau kerana dapat bersama-sama di dalam majlis tersebut. Beliau menyatakan kegembiraannya melihat wajah-wajah penuntut ilmu yang bercahaya. Memang, seperti biasa, para pelajar di Pusat Tahfiz Al-Jazari (Darul Maliki) akan menempati tempat duduk di hadapan pada setiap kali majlis pengajian umum diadakan. Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri menyatakan bahawa sebelum beliau telah pernah datang ke Malaysia, tapi tidak berkesempatan menghadiri majlis seperti ini.

Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri menceritakan perihal ‘sufi’. Menurut beliau, hasil daripada perbincangan beliau sebelum ini dengan beberapa orang di negara ini, terdapat banyak pendapat dan pandangan tentang sufi yang boleh mengelirukan masyarakat dan orang awam tentang hakikat sufi yang sebenar. Beliau menekankan bahawa para sufi, yakni orang yang mengamalkan ilmu tasawuf, adalah orang Islam yang benar. Beliau menekankan juga bahawa ilmu tasawuf itu adalah daripada Islam; ilmu yang sahih dan benar dan berasal daripada akar ajaran Islam.

Beliau seterusnya menerangkan tentang beberapa sendi dalam agama Islam itu. Pertamanya, dalam Islam ada lima rukun Islam yakni mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji bagi yang mampu. Kedua, dalam Islam ada rukun Iman yang terdiri daripada enam perkara yakni beriman kepada Allah, beriman kepada malaikat, beriman kepada para rasul, beriman kepada kitab-kitab yang diwahyukan, beriman kepada hari kiamat, dan beriman kepada qada’ dan qadar Allah. Kemudian, dalam Islam juga ada rukun Ihsan. Rukun Ihsan ini cuma ada satu yakni ‘engkau beribadah dalam keadaan (seolah-olah) engkau melihat Allah, atau dengan mengetahui bahawa Allah melihat engkau’.

Maka, menurut Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri, untuk mencapai darjat Ihsan dalam amal yakni untuk ‘merasakan’ kehadiran Allah Subhanahu wa ta’ala dalam setiap ibadah yang dilakukan, bukanlah suatu hal yang mudah. Namun, menurut beliau, para sufi lah orang yang akan dapat mencapai darjat Ihsan ini. Hal ini demikian kerana pengertian yang sebenar bagi sufi ini adalah orang yang memperelok, memperkemas, serta mencantikkan lagi ibadah mereka. Justeru, secara tidak langsung, apa yang disampaikan oleh Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri membawa pengerti bahawa para sufi adalah orang yang benar-benar mematuhi segala sendi agama; yakni memenuhi tuntutan rukun Islam, rukun Iman, dan rukun Ihsan.

Oleh sebab itu, adalah suatu hal yang penting untuk difahami bahawa bermulanya perjalanan (ke arah meningkatkan darjat dalam ibadah) seorang ahli sufi itu haruslah bermula dengan ilmu. Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri memetik kata-kata masyhur seorang ulama berkenaan dengan hal ini. Imam Malik rahimahullah pernah berkata: “Barangsiapa yang mengambil tasawuf tanpa mempelajari fiqh, maka orang itu adalah zindiq. Barangsiapa yang mengambil fiqh tanpa mempelajari tasawuf, maka orang itu adalah fasiq. Barangsiapa yang menghimpunkan kedua-duanya (tasawuf dan fiqh), maka orang itu adalah haq (benar).

Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri seterusnya menekankan bahawa bagi para penuntut ilmu, mereka haruslah mengutamakan aktiviti menuntut ilmu daripada menyibukkan diri dengan perkara-perkara sunat seperti zikir-zikir, solat-solat sunat dan sebagainya. Hal ini bukanlah bermaksud mereka tidak boleh beramal dengan perkara-perkara tersebut. Namun, keutamaan harus diberikan kepada aktiviti menuntut ilmu. Dalam erti kata lain, sebahagian besar daripada masa mereka harus diberikan kepada aktiviti menuntut ilmu. Ini adalah kerana menuntut ilmu itu lebih utama daripada amalan-amalan sunat. Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri menyebut satu hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang kira-kira bermaksud: “Satu rakaat oleh orang yang ‘alim, lebih baik daripada 1000 rakaat oleh orang yang jahil.

Di akhirnya, Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri memberikan beberapa pesanan berkenaan dengan hati. Menurutnya, penuntut ilmu yang sebenar itu adalah orang yang memelihara hatinya. Sesungguhnya, Allah Maha Mengetahui apa yang terkandung di dalam hati-hati manusia. Justeru, hati manusia itu perlu dijaga agar hati berkata-kata dengan apa yang diredhai oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Sungguh, bagi orang yang berjihad, yakni berusaha dengan bersungguh-sungguh dengan memelihara hatinya serta berkorban untuk mendapatkan ilmu, pasti Allah akan membukakan pintu-pintu ilmu serta memberikan kemudahan dan pertolongan.

Syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala, selesai solat Isyak pada malam itu sempat juga aku bersalaman dan mengucup tangan Habib Umar Abdul Rahman Al-Jufri dan Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki. Semoga Allah merahmati mereka, dan terus mengurniakan kekuatan kepada mereka dan kepada seluruh para ulama ahli sunnah wal jama’ah yang berdiri teguh atas manhaj Sayyiduna Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam agar tabah menghadapi segala ujian dan dugaan serta terus konsisten dalam mendidik hati-hati kami.

Wallahu’alam.

Thursday, 9 July 2009

PKPIM SAMBUT BAIK KEPUTUSAN KERAJAAN MANSUHKAN PPSMI

* Dipetik daripada www.pkpim.net


Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) merujuk kepada keputusan kerajaan untuk memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara berperingkat menjelang tahun 2012 seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

PKPIM menyambut baik keputusan tersebut dan menyifatkan ia sebagai satu interpretasi komitmen kerajaan untuk mempertahan dan mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia. Ia juga cerminan sikap kerajaan yang bersedia untuk mendengar dan mengambil pertimbangan sewajarnya terhadap suara rakyat.

PKPIM berpandangan bahawa keputusan tersebut merupakan keputusan yang bijak serta bertepatan dengan usaha untuk mengukuhkan perpaduan nasional melalui Bahasa Kebangsaan.

Keputusan tersebut dianggap sebagai hadiah kepada PKPIM dan seluruh mereka yang telah bertungkus lumus memperjuangkan pemansuhan PPSMI termasuk daripada kalangan pejuang bahasa, tokoh akademik, sasterawan, budayawan, gerakan pelajar dan seluruh rakyat Malaysia.

PKPIM mewakili seluruh pelajar Malaysia terutamanya dari kawasan luar bandar mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kementerian Pelajaran Malaysia di atas komitmen yang ditunjukkan untuk menyelesaikan permasalahan yang telah berlarutan selama lebih enam tahun ini.

PKPIM merupakan persatuan yang mewakili pelajar dan mahasiswa Malaysia yang terawal menyatakan bantahan dan menggerakkan usaha pemansuhan PPSMI sejak pelaksanaan dasar tersebut pada tahun 2003. Justeru, PKPIM menuntut jaminan kerajaan untuk berpegang pada keputusan tersebut untuk memansuhkan dasar PPSMI ini menjelang tahun 2012.

PKPIM mengulangi komitmen untuk memberi sumbangan yang terbaik kepada pembangunan pendidikan Malaysia khususnya dalam membantu kerajaan mendaulatkan Bahasa Melayu dan memperkasa Bahasa Inggeris di kalangan pelajar keseluruhannya.


MOHD. HILMI BIN RAMLI
Presiden PKPIM Sesi 2008/2009

Sunday, 5 July 2009

Sejenak Di Hillcrest

Pada asalnya saya tidak terfikir untuk menulis tentang program ringkas di SMK Hillcrest, Taman Seri Gombak. Antara sebabnya kerana saya terlupa untuk mengambil gambar sepanjang program tersebut berlangsung. Namun, atas permintaan daripada salah seorang peserta program, adik Farith (blog), maka saya menulis jugalah tentang program tersebut. Program tersebut yang telah dilangsungkan pada 27 Jun 2009 yang lalu adalah merupakan sebuah program yang dirangka khusus untuk semua Ketua Kelas dan Penolong Ketua Kelas di SMK Hillcrest. Programnya ringkas, bermula jam 8.00 pagi dan berakhir sekitar jam 1.30 petang. Dengan penyertaan sekitar 100 orang peserta, sememangnya bilangan fasilitator yang dibawa tidak mencukupi.

Dengan persediaan yang agak terbatas, saya hanya bertawakal kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, dengan membanyakkan doa serta melakukan solat sunat hajat agar program tersebut dapat dikendalikan dengan baik. Harapan saya mudah-mudahan apa yang kami sampaikan dalam masa yang terbatas itu dapat meninggalkan sedikit, jika tidak banyak, kesan kepada para pelajar agar tidaklah sia-sia kedatangan kami ke sekolah tersebut. Untuk mengharapkan perubahan yang drastik itu pastinya satu harapan yang terlalu ambitious, tidak realistik. Mengubah peribadi seorang manusia tidak mungkin tercapai dalam program setengah hari! Manusia paling hebat dalam sejarah kehidupan manusiawi, yakni Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam pun mengambil masa bertahun-tahun untuk mengubah personaliti manusia. Maka, itulah sunnahnya; bahawa perubahan itu memakan masa.

Syukur, sepanjang program itu dijalankan kami mendapat kerjasama dan partisipasi yang cukup baik daripada para peserta program. Maklumlah, yang menjadi peserta semuanya daripada kalangan pemimpin pelajar; ketua-ketua dan penolong-penolong ketua kelas. Setelah beberapa kali saya hadir ke SMK Hillcrest memberikan ceramah dan pengisian, saya rasa para peserta kali ini adalah yang terbaik. Memang tidak salah mereka dipilih sebagai pemimpin. Cuma, kerisauan di pihak guru-guru sekolah yang merasakan mereka masih banyak perkara yang perlu diperbaiki sebagai ketua dan penolong ketua kelas. Bagi saya, hal itu normal. Mereka dalam proses belajar. Tidak mungkin kita boleh mengharapkan kesempurnaan. Banyak faktor yang harus diambil kira dalam kita menilai proses pembinaan kualiti individu seseorang pelajar itu.

Apa yang saya harapkan mudah-mudahan apa yang telah saya sampaikan semasa kursus pendek tersebut, ada yang mampu diingati oleh para pelajar dan dijadikan sebagai panduan dalam mereka berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti insani yang ada pada diri mereka. Hal ini demikian kerana, apabila menyebut tentang soal kepimpinan, maka perkara asasi yang perlu dibina adalah kualiti insani setiap diri itu; kerana, seperti yang termaktub dalam hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, “setiap diri adalah pemimpin”. Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa ta’ala mengurniakan petunjuk, kekuatan dan Rahmat-Nya ke atas adik-adik ketua dan penolong ketua kelas di SMK Hillcrest.

Saya rasa di kesempatan ini adalah wajar untuk saya rakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada semua fasilitator yang telah membantu untuk menjayakan program tersebut: Fakhrul Hazim bin Azmi (Monash University), Muhammad Aizuddin bin Mohd. Zamrin (UiTM Shah Alam), Mohd. Syahiran bin Muhammad (KUIS), Mohamad Fairul bin Mohd. Nawawi (UIAM), Shazwani binti Sanusi (Johor), dan khususnya kepada Noor Adibah binti Othman (UIAM). Semoga Allah Subhanahu wa ta’ala membalas sumbangan dan pertolongan kalian dengan sebaik-baik balasan.

Wallahu’alam.