Wednesday, 27 May 2009

Apakah Sebenarnya Yang Diperjuangkan?

Saya cukup terkilan membaca kenyataan salah seorang pemimpin politik daripada salah sebuah parti politik di negara ini yang mengaku memperjuangkan Islam tetapi mengeluarkan kenyataan yang ternyata bercanggah dengan nilai-nilai dan adab yang diajar dalam Islam. Bukan kali pertama, tetapi entah sudah berapa kali Dato’ Seri Mufti Perak, Dato’ Seri Dr. Harussani Zakaria dihentam dan dikutuk secara terbuka, hanya semata-mata kerana mengeluarkan kenyataan yang dilihat menyebelahi sesuatu pihak.

Justeru, saya tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang diperjuangkan? Kalau benar Islam itu yang diperjuangkan, mana pergi nilai-nilai Islamnya? Islam itu terbina atas dasar keilmuan yang utuh, bukan atas dasar emosi serta pegangan yang fanatik kepada ideologi parti politik sendiri. Ilmu dalam Islam adalah merupakan suatu kewajipan, suatu perkara yang sangat tinggi keutamaannya dan sangat mulia. Maka, bagi orang yang menuntut ilmu itu mendapat darjat yang cukup mulia, dan bagi orang yang berilmu (yakni ulama) itu juga ada darjat yang sangat mulia bagi mereka. Bahkan, dalam masyarakat, para ulama adalah sebenarnya orang yang seharusnya kita angkat dan letakkan di darjat yang tertinggi, kerana merekalah paksi umat ini.

Bukankah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah bersabda, bahawa sesungguhnya para ulama itu adalah waris para nabi!

Jika benarpun ada percanggahan pendapat dan perbezaan pandangan, maka haruslah perbezaan itu diselesaikan dengan cara ilmiah, melalui perbincangan dan diskusi. Bukannya dengan cara menghentam seseorang itu secara terbuka di dalam media, kemudian disusuli dengan mencabar pula. Sungguh tidak beradab! Orang yang menghina dan mengutuk seseorang yang lain, apatah lagi apabila yang dikutuk itu adalah seorang yang berilmu, adalah orang yang sebenarnya mengingkari sunnah dan ajaran Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Bayangkan bagaimana pada suatu ketika dahulu ada orang Arab Badwi yang secara tiba-tiba kencing di dalam Masjid Nabawi. Sayidina Umar al-Khattab yang memerhatikan kejadian itu bingkas bangkit dan ingin menghunus pedangnya untuk ‘menegur’ perbuatan yang biadap itu. Tetapi hal itu ditegah oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Sebaliknya, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam mengajarkan dengan cara lemah lembut kepada orang Arab Badawi itu tentang adab-adab di dalam Masjid Nabawi. Nah, kalau perbuatan yang terang-terang biadap di dalam Masjid Nabawi pun Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam boleh berlemah-lembut sebegitu, apatah lagi dalam situasi percanggahan pendapat yang berlaku pada hari ini.

Begitu juga kalau kita lihat, sepertimana yang diajarkan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, tentang kaedah yang diajarkan dalam Islam bagi para hakim. Bagi para hakim, seandainya mendapati ada 99 alasan untuk menghukum seseorang itu kafir, tetapi ada 1 alasan untuk mengatakan bahawa seseorang itu masih Islam, maka alasan yang 1 itu akan digunapakai. Nah, kaedah tersebut sudah tentu mengajar kita bahawa untuk kita menjatuhkan hukum, atau label, atau kritikan kepada seseorang itu adalah suatu hal yang seboleh-bolehnya kita elakkan dalam Islam.

Oleh sebab itulah, bagi para ulama hadith (yang menurut kata Dr. Said Mamduh, di Timur Tengah pada hari ini tidak ada seorang pun muhaddith yang tinggal), sekiranya berlaku ada di kalangan ulama yang mengkritik ulama sezaman, yakni ulama yang masih hidup bersama dengannya, maka kritikan itu akan ditolak ke tepi kerana dikhuatiri mengandungi unsur hasad dan dengki. Nah, dalam hal keilmuan pun begitu teliti para ulama dalam membuat penilaian dan dalam menjaga adab sesama mereka.

Justeru, saya begitu tertanya-tanya apakah sebenarnya yang ingin diperjuangkan, apabila seorang ulama (walaupun ada pandangannya yang tidak dipersetujui, beliau tetap seorang ilmuan) dihentam dan dikritik semata-mata kerana dirasakan menyokong parti lawan. Sedangkan, pada hakikatnya, parti lawan itu pun adalah parti orang Islam. Apakah kata-kata George Bush: “either you’re with us, or you’re against us” ingin dijadikan sebagai pegangan? Kembalilah kepada jalan keilmuan; dan contohilah perjalanan para ulama terdahulu yang telah mencontohi akhlak agung Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Wallahu’alam.

Monday, 25 May 2009

Nikmat Mana Yang Kamu Ingin Dustakan?

Dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah, Tuhan seluruh alam. Maha Suci Allah, Tuhan yang memiliki ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas junjungan agung kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam. Juga kepada ahli keluarga baginda yang mulia, serta kepada para sahabat baginda yang terpuji.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
...Pada hari ini telah Aku sempurnakan agamamu untukmu, dan telah Aku cukupkan nikmat-Ku bagimu, dan telah aku redhai Islam sebagai agamamu...” (Surah Al-Maa’idah, ayat ke-3)

Tuan guru yang dikasihi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki mengisahkan kepada kami, bagaimana orang Yahudi pernah menyatakan kepada Sayyidina Umar al-Khattab r.a. bahawa: “kalaulah ayat ini (ayat Al-Qur’an di atas) turun kepada kami, nescaya kami akan menjadikan hari itu (hari turunnya ayat itu) sebagai hari raya.” Mengapakah orang-orang Yahudi berkata begitu? Mereka berkata begitu kerana mereka memahami dan menyedari akan betapa besarnya erti dan nilai ayat tersebut.

Bagi kita yang mengaku beragama Islam, seharusnya ayat tersebut memberikan kita satu makna yang cukup mendalam. Ayat tersebut adalah merupakan suatu jaminan, suatu motivasi, suatu pengiktirafan. Ayat tersebut menjaminkan bagi kita bahawa agama Islam yang kita anuti ini adalah benar-benar agama yang diredhai Tuhan. Ayat tersebut juga memberikan kita suatu maksud bahawa agama Islam yang kita anuti ini adalah merupakan agama yang sempurna, yang tidak ada cacat celanya dan tidak ada hal dalam kehidupan yang tidak disentuh atau diberikan panduannya dalam Islam. Ayat tersebut juga menyebut bahawa nikmat Allah Subhanahu wa ta’ala kepada kita tidak pernah tidak cukup, sentiasa ada untuk kita menjalani kehidupan yang penuh bahagia.

Antara nikmat yang terbesar, sudah tentu adalah nikmat iman dan Islam. Tidak semua orang di dunia ini mengecapi nikmat yang besar ini. Ada yang sampai seruan Islam kepadanya, tetapi enggan menerima risalah kebenaran itu. Ada yang memang lahir dalam keluarga beragama Islam, tetapi enggan mengakui hakikat kebenaran sehingga malaplah sinar keimanan dalam hati. Justeru, bagi kita yang masih lagi mampu merasai nikmat keimanan dan keislaman, itu adalah kurniaan Allah Subhanahu wa ta’ala yang perlu kita syukuri.

Lahirnya kita sebagai umat Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam juga adalah merupakan antara nikmat yang paling besar yang boleh kita kecapi. Sudah banyak kali diterangkan tentang kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam; yang mana kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, selaku makhluk Allah yang paling mulia, tercurah kepada sesiapa dan apa sahaja yang terkait dengan baginda. Nikmat yang besar bagi kita untuk menjadi umat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Kita tidak memilih untuk lahir sebagai umat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, kerana memang kita tidak mampu memilih. Justeru, lahirnya kita sebagai umat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sememangnya adalah merupakan satu kurniaan daripada Allah Subhanahu wa ta’ala. Dengan menjadi umat Baginda, maka banyak nikmat-nikmat yang lain yang kita mampu kecapi.

Antara nikmat yang dikurniakan kepada kita, nikmat khusus buat umat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, adalah nikmat doa. Apabila kita dalam kesusahan, gundah gulana, keresahan dan sebagainya, maka kita diajar untuk berdoa kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan doa kita akan dikabulkan. Ini nikmat khusus buat umat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, yang tidak dikurniakan kepada umat para Nabi dan Rasul yang terdahulu.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Dan Tuhanmu berfirman: ‘Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Aku perkenankan bagi kamu.’” (Surah Ghaafir, ayat ke-60)

Nikmat berdoa ini dihuraikan lagi dalam beberapa hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, yang seharusnya memberikan kita suatu pemahaman dan keyakinan yang benar akan nikmat besar yang dikurniakan kepada kita selaku umat baginda. Hadith-hadith ini seharusnya memberikan kita keyakinan bahawa seandainya kita benar-benar seorang yang beriman dan bertaqwa, yang benar-benar memelihara hubungan dengan Allah Subhanahu wa ta’ala, maka benarlah doa itu akan menjadi senjata yang ampuh dalam menghadapi apa jua cabaran dalam kehidupan.

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang lebih kurang maksudnya:
Janganlah kamu lemah dalam berdoa, kerana tidak seorang yang akan mendapat kecelakaan apabila dia berdoa.” (Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban di dalam Sohihnya dan al-Hakim)

Dalam hadith yang lain pula, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah Maha Pemalu lagi Maha Pemurah. Dia malu apabila seseorang mengangkat kedua belah tangan kepadaNya lalu Dia menolaknya dalam keadaan hampa dan kecewa.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi, ia adalah hadith hasan menurut Ibnu Majah dan Ibnu Hibban di dalam Sohihnya serta al-Hakim berkata: Sohih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim)

Janji Allah Subhanahu wa ta’ala itu Maha Benar. Asalkan kita selaku hamba-Nya yakin dan percaya, beri’tiqad dengan aqidah ahli sunnah wal jama’ah yang benar, maka sudah pasti pertolongan Allah Subhanahu wa ta’ala itu akan hadir andai kita berdoa kerana itu janji Allah Subhanahu wa ta’ala. Begitulah besarnya nikmat Allah Subhanahu wa ta’ala kepada kita selaku umat Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Oleh sebab itulah, bagi orang yang beriman itu, cukuplah Allah sebagai Penolong dan Pelindung.

Jika hendak dinukilkan seluruh nikmat Allah Subhanahu wa ta’ala yang terlalu banyak, dan betapa besarnya nikmat Allah Subhanahu wa ta’ala itu kepada kita, sudah tentu tidak akan mungkin mampu kita lakukan. Maha Pemurahnya Allah itu, sehingga nikmat-Nya yang dikurniakan kepada kita terlalu banyak, lebih banyak dan lebih besar daripada kesyukuran yang kita hamparkan kepada-Nya.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Katakanlah (Muhammad), ‘Seandainya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, maka pasti habislah lautan itu sebelum selesai (penulisan) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).’” (Surah Al-Kahfi, ayat ke-109)

Oleh sebab itulah sewajarnya kita selaku hamba Allah Subhanahu wa ta’ala yang bergantung segala sesuatu kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, mensyukuri nikmat-nikmat yang telah dikurniakan kepada kita. Sedarilah dan fahamilah bahawa segala sesuatu yang ada pada kita itu, adalah pada hakikatnya datang daripada Allah Subhanahu wa ta’ala. Renungilah peringatan dan teguran daripada Allah Subhanahu wa ta’ala yang disebut berulang kali dalam Surah Ar-Rahman: “Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?

Maha Suci Engkau Ya Allah, Maha Hebatnya Engkau Ya Allah, yang telah mendengar rintihan dan panjatan doa-doaku lalu Engkau kabulkan, dan Engkau lorongkan suatu kemudahan. Aku terus mengharapkan Rahmat-Mu Ya Allah...

Friday, 22 May 2009

Perkampungan Menara Gading Kebangsaan 2009

Program Perkampungan Menara Gading (PMG) Kebangsaan kembali lagi untuk tahun 2009. Program PMG ini adalah merupakan program tradisi Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) yang diadakan dengan tujuan untuk memberikan pendedahan dan melatih para pelajar yang bakal melanjutkan pelajaran ke universiti, agar mereka lebih bersedia dari segala aspek untuk menghadapi kehidupan alam universiti yang penuh cabaran yang sudah tentu cukup berbeza daripada alam persekolahan yang mereka alami sebelum ini.

Program PMG ini adalah program yang penting dan signifikan buat para pelajar yang akan atau baru sahaja melanjutkan pelajaran ke universiti. Hal ini demikian kerana seandainya para pelajar tidak dilengkapi dengan kerangka berfikir yang betul, berdasarkan pandangan alam Islam yang jelas dan luas, maka mereka pasti akan terkesima (walaupun tanpa disedari) dengan pelbagai budaya dan pemikiran yang melatari dunia universiti. Maka, seseorang pelajar itu ketika itu pasti tercari-cari identiti, mungkin cenderung untuk memilih budaya atau pemikiran yang tidak betul. Hal inilah yang menjadi antara penyebab kepada menularnya beberapa permasalahan di kalangan mahasiswa dan mahasiswi universiti pada hari ini.

Di dalam program PMG, selalunya para peserta akan didedahkan dengan beberapa pemahaman serta beberapa persiapan yang penting untuk mengoptimumkan kehidupan di universiti. Dengan izin Allah Subhanahu wa ta'ala, pendedahan serta perkongsian yang diperolehi semasa program PMG akan dapat membantu seseorang mahasiswa atau mahasiswa itu untuk menjadi lebih cemerlang; bukan semata-mata dalam aspek akademik, tetapi yang lebih penting lebih cemerlang sebagai seorang manusia.

Saya sendiri merupakan bekas peserta PMG pada tahun 1999. Saya berada di tingkatan 5 pada waktu itu. Ini gambar ahli kumpulan saya pada ketika itu bersama dengan fasilitator kumpulan kami, Kak Hafizah (kalau tak silap lah!).

Setiap kali mendengar lagu Menara Gading pasti teringat kenangan lama:

Kita bertemu di hari ini
Di Perkampungan Menara Gading
Kita menjadi saksi
Berhimpunnya anak-anak negeri

Membawa bersama harapan ibu bapa
Mencari secebis ilmu
Buat bekalan di dada
Dalam mencari keredhaan-Nya

Kita 'kan bertemu lagi
'Tika melangkah ke menara gading
Pertemuan pertama kali
Berteraskan keimanan, membuah persaudaraan
Itulah ikatan hati

Kita bersama tempuhi segala halangan
Berbekal iman dan tarbiyah
Beserta sedikit ilmu dan pengalaman
Dan berkat doa ibu dan bapa

Sahabat...
Kita bersama membawa harapan dan cita-cita
Menjadi insan yang bertaqwa

Menara...
Menjadi titik bermula
Ukhuwwah sesama kita
Untuk berbakti pada semua

Kerana Cinta pada yang Esa
Kerana ukhuwwah kita bersama

Selamat maju jaya buat bakal peserta PMGK 2009!

[ Layari Blog Rasmi PMGK 2009 untuk pendaftaran dan maklumat lanjut ]

Monday, 18 May 2009

Pertemuan Mahasiswa Islam Sarawak Ke-2

Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala kerana dengan izin-Nya saya berpeluang untuk menghadiri pertemuan mahasiswa Islam Sarawak kali ke-2 di Masjid As-Syakirin, KLCC. Pertemuan tersebut adalah merupakan siri perjumpaan khusus bagi mahasiswa Islam Sarawak yang sedang belajar di Semenanjung Malaysia, khususnya di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. Pertemuan itu, antara lain, bertujuan untuk mengeratkan ukhuwwah sesama mahasiswa Islam Sarawak, di samping memupuk budaya ilmu melalui perkongsian-perkongsian ilmiah yang menjadi agenda utama sepanjang pertemuan tersebut. Selalunya, pertemuan tersebut akan dihadiri sekitar 15-20 orang secara konsisten, namun memandangkan sekarang adalah musim cuti universiti, maka ramailah yang sudah pulang ke kampung halaman masing-masing di Sarawak.

Apapun, antara perbincangan yang saya rasa menarik untuk dikongsikan adalah berkenaan dengan permasalahan salah seorang rakan kami yang menghadiri pertemuan tersebut. Beliau berkongsi cerita tentang salah seorang kenalan Internetnya yang baru memeluk Islam. Katanya, kenalannya itu berbangsa India, dan kini sedang menghadapi masalah dalam mengamalkan agamanya, kerana keluarganya sendiri belum mengetahui yang dia sudah memeluk Islam. Dia tidak memberitahu keluarganya kerana khuatir mendapat tentangan yang hebat.

Dalam kes tersebut, ada beberapa perkara yang saya rasa elok untuk dikongsikan, agar menjadi pengajaran juga untuk semua yang lain. Saya agak kehairanan pada awalnya mengapa rakan kami itu tidak mengetahui bagaimana kenalan Internetnya itu memeluk Islam. Malah, rakan kami itu juga tidak mengetahui nama kenalannya itu. Saya khuatir kalau-kalau hal itu adalah merupakan salah satu helah untuk menarik gadis-gadis Islam keluar daripada agama. Mungkin bunyinya agak bersangka buruk, tetapi hal seperti ini bukannya tidak pernah terjadi. Memang ada satu helah di kalangan beberapa orang yang bukan Islam ini, untuk berpura-pura ingin masuk Islam, atau berpura-pura ingin menjadi baik, dengan tujuan untuk menarik simpati gadis (selalunya, gadis Islam yang menjadi sasaran). Gadis yang baik akan menjadi sasaran, kerana jiwa kebaikan dalam diri gadis itu, akan menyebabkan dia terdorong untuk membantu.

Oleh sebab itu, pada saya, sekiranya ada sesiapa sahaja yang mengalami kes yang serupa, seeloknya dirujukkan si lelaki yang baru memeluk Islam itu (atau ingin memeluk Islam) kepada orang yang betul-betul rapat dengan lelaki itu (khususnya orang yang menjadi punca dia tertarik kepada Islam), ataupun rujukkan dia kepada badan-badan yang berkaitan seperti Islamic Outreach ABIM (IOA) di Masjid Negara, ataupun JIM, TERAS, ISMA, PERKIM dan sebagainya. Jangan sampai terpedaya dan mudah sangat kasihan dengan kata-kata, sedangkan dalam keadaan kita tidak mengetahui keadaan orang itu yang sebenarnya. Rujukkan kepada organisasi-organisasi tersebut kerana mereka pakar dalam mengendalikan kes-kes orang masuk Islam. Kalau dia sengaja ingin memperdaya, maka dia tidak akan dapat melakukannya. Tetapi jika dia benar-benar ingin memeluk Islam, maka syukurlah kepada Allah. Si gadis yang merujukkannya kepada organisasi Islam itu pun akan turut mendapat pahala, usahlah digusarkan tentang hal itu.

Selain daripada itu, saya juga tertarik untuk berkongsi tentang hal mengendalikan orang yang baru atau ingin memeluk agama Islam. Semasa saya berada di Sarawak beberapa minggu lepas, saya terkejut mendengar berita bahawa ada beberapa tempat di mana orang yang baru memeluk Islam, disebabkan kejahilan masyarakat dan kejahilan orang yang menyeru itu sendiri, disuruh meminum air tanah untuk menyamak (samak) perut mereka yang selama ini dipenuhi dengan santapan haiwan bernama babi. Cukup menyedihkan, itulah yang terjadi apabila manusia membuat sesuatu tindakan itu bukan berdasarkan kepada ilmu yang lengkap.

Saya melontarkan satu persoalan yang cukup menarik: seandainya ada seseorang yang berbangsa Iban (sebagai contoh), menyatakan kepada kita bahawa dia ingin memeluk agama Islam tetapi tidak mahu meninggalkan makan babi, maka apakah jawapan kita?

Persoalan itu cukup menarik. Melalui pengalaman saya, bagi ramai yang menggelarkan diri mereka itu “pendakwah”, pasti akan menjawab secara langsung bahawa hal itu tidak boleh. Bahawa babi itu haram. Sebenarnya, sedar atau tidak, sikap yang terlalu keras seperti itulah yang menyebabkan ramai orang lari jauh daripada Islam. Saya sangat terhimbau dengan apa yang diajar oleh tuan guru, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, juga dengan apa yang pernah disebut oleh pensyarah perbandingan agama daripada UIAM, Dr. Kamaroniah Kamaruzzaman, bahawa sebagai ‘pendakwah’, tugas kita adalah untuk memudahkan orang mendekati Islam, bukan menyukarkan atau menyusahkan.

Menyeru orang kepada Islam memerlukan kepada hikmah; dan, sudah tentu hikmah itu memerlukan kepada ilmu. Bagaimana mungkin kita berdakwah kalau tidak punya ilmu? Saya suka mengambil contoh orang yang ingin masuk Islam tetapi masih ingin makan babi. Tuan guru saya mengajarkan bahawa, jika ada orang yang seperti itu, berikan sahaja keizinan. Apa yang penting adalah untuk kita memasukkan dahulu kalimah tauhid ke dalam benak hatinya. Itulah perkara yang paling penting. Usah dibebankan terlebih dahulu mereka dengan perkara-perkara syariat. Mudahnya begini, apabila mereka tidak memahami kalimah tauhid, ‘aqidah mereka tidak betul, maka mereka akan kufur. Orang yang kufur dijamin tidak akan selamat di hari akhirat. Sedangkan, apabila mereka telah menjadi Islam dan beriman kepada Allah Subhanahu wa ta’ala dan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, tetapi mereka masih tetapi makan babi atau minum arak, maka mereka hanya fasiq, bukan kufur. Mudah-mudahan, dengan Rahmat Allah Subhanahu wa ta’ala, dosa-dosa mereka itu diampunkan disebabkan kejahilan mereka.

Oleh sebab itulah, apabila kita menelusuri dengan teliti dan terperinci sejarah hidup Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, maka kita akan mendapati contoh-contoh yang begitu baik tentang bagaimana Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sendiri banyak kali memberikan kemudahan, dan menjadikan amalan agama ini sebagai sesuatu yang cukup mudah bagi umatnya. Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa ta’ala memberikan hidayah kepada kita semua.

Allah jua yang Maha Mengetahui.

Nota: Sesiapa yang berminat untuk mengikuti siri pertemuan Mahasiswa Islam Sarawak yang seterusnya di Kuala Lumpur, sila hantar mesej kepada saya.

Yayasan Sofa Dalam Akhbar


Sila lawati blog Yayasan Sofa Kuala Lumpur di sini.

Friday, 15 May 2009

Doa Elak Kemudharatan


Maksudnya: "Dengan nama Allah yang tidak memudharatkan bersama namaNya sesuatu pun di langit dan bumi dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."


Sabda Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam yang bermaksud: "Sesiapa yang membacanya ketika pagi sebanyak 3 kali dan petang sebanyak 3 kali, tidak akan dimudharatkan oleh sesuatu pun."

Dipetik daripada kitab karangan Al-'Allamah Sayyid Muhammad ibn 'Alawi al-Maliki al-Hasani.

Perbincangan Konsep Ketuhanan

Berikut adalah merupakan teks perbincangan yang dibentangkan semasa Usrah Qiyadah PKPIM Pusat Sesi 2008/2009 pada 20 Jamadilawal 1430H bersamaan 14 Mei 2009M. Segala komen dan pembetulan adalah amat dialu-alukan.


Dengan nama Allah Subhanahu wa ta’ala yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala di atas limpahan Rahmat dan Hidayah-Nya yang pada hakikatnya tidak mungkin mampu diukur dengan apa-apa ukuran dan nilaian pada sisi makhluk. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia makhluk Allah Subhanahu wa ta’ala, junjungan agung kita, Sayyidina Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam; juga lafaz salam buat ahli keluarga baginda yang terpuji, serta para sahabat baginda yang mulia.

Perbincangan tentang konsep ketuhanan semestinya adalah merupakan satu perbincangan di peringkat yang tertinggi. Hal ini demikian kerana ilmu yang paling utama dan paling tinggi adalah ilmu mengenal Allah Subhanahu wa ta’ala. Apabila seseorang itu telah mengenali Allah Subhanahu wa ta’ala dengan sebenar-benar pengenalan (haqiqat), maka seseorang itu akan dapat mencapai ketenangan jiwa (an-nafs al-muthmainnah), serta mengalami pengalaman spiritual yang mengasyikkan (zawq) dalam pengabdian kepada Tuhan yang menciptakannya. Itulah hakikat sebenar kebahagiaan yang menjadi idaman semua manusia; untuk kembali mencapai tahap ketinggian spiritual, yakni jiwa yang suci dan mulia (rujuk Al-Hijr, ayat 28-29) yang pernah mengikat perjanjian pengabdian dengan Allah Subhanahu wa ta’ala (rujuk Al-A’raaf, ayat 172).

Oleh sebab jiwa seluruh manusia itu secara fitrahnya tunduk dan patuh kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, maka sememangnya setiap manusia di dunia ini mengakui akan kewujudan satu Zat yang Maha Kuasa, yang Mencipta dan Mentadbir seluruh alam ini. Malah, orang yang berfahaman ‘atheis’ (tidak mempercayai kewujudan tuhan) pun tidak akan mampu menafikan bahawa ada satu kekuasaan yang berada di atas segala kekuasaan yang lain di alam ini, cuma mereka enggan mengiktiraf bahawa itu adalah Tuhan. Oleh sebab itulah, ilmu yang paling tinggi adalah ilmu untuk mengenali Allah Subhanahu wa ta’ala, yang mana dengan pengetahuan tersebut akan membolehkan seseorang itu untuk mengenali hakikat kewujudannya, serta memahami peranan dan tanggungjawabnya dalam sistem kewujudan alam ini.

Pentingnya memahami konsep ketuhanan, adalah kerana mengetahui akan kewujudan Allah Subhanahu wa ta’ala itu sahaja semata-mata tidak memadai. Hal ini demikian kerana kelompok yang berfahaman dengan ‘aqidah yang salah, berpegang dengan agama selain Islam, juga mengakui akan kewujudan Tuhan malah ada sebilangannya yang turut menggunakan nama “Allah” sebagai merujuk kepada tuhan yang mereka maksudkan. Justeru, pengetahuan tentang hakikat ketuhanan itu adalah penting, agar kita dapat berpegang dengan ‘aqidah yang benar dan sejahtera. Oleh sebab itulah, syarat utama untuk seseorang manusia itu menjadi seorang Islam, dan seterusnya memenuhi perjanjian hakikinya dengan Tuhan, adalah tauhid. Maka, ilmu tauhid merupakan ilmu yang tertinggi, lantas menjadi perkara pertama yang perlu difahami dalam membicarakan tentang konsep ketuhanan.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam kitab suci Al-Qur’an, yang lebih kurang maksudnya:
Maka ketahuilah, bahawa tidak ada tuhan (yang disembah) melainkan Allah...” (Surah Muhammad, ayat 19)

Kalimah ‘tiada tuhan (yang disembah) melainkan Allah’ adalah merupakan kalimah tauhid, kalimah tertinggi yang menjadi pegangan orang yang beriman kepada Tuhan yang Maha Esa. Kalimah tersebut membawakan pengertian bahawa tidak ada sekutu bagi Allah Subhanahu wa ta’ala; bahawa tidak mungkin Tuhan itu terbahagi kepada tiga juzuk sepertimana yang difahami oleh orang-orang Kristian, tidak mungkin Tuhan itu sampai tiga ratus enam puluh sepertimana banyaknya bilangan berhala di sekitar Ka’abah pada era Arab Jahiliyah, dan tidak mungkin Tuhan itu sampai berjuta-juta bilangannya sepertimana fahaman orang Hindu. Kefahaman yang tidak tepat akan konsep ketuhanan yang betul akan mencacatkan ‘aqidah, seterusnya mencacatkan tatacara hidup yang seharusnya sentiasa berada dalam pengabdian kepada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Di dalam kitab suci Al-Qur’an, sudah dirakamkan satu surah yang menjadi paksi ‘aqidah umat Islam. Surah ini diturunkan tatkala orang kafir Quraisy bertanyakan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, agar mensifatkan tuhannya. Mereka bertanyakan kepada Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sama ada tuhannya itu daripada emas atau perak, daripada besi atau tembaga. Lalu Allah Subhanahu wa ta’ala menurunkan surah ini, surah yang begitu penting sehinggakan nilaian surah ini sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, menyamai satu pertiga daripada Al-Qur’an.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam kitab suci Al-Qur’an, yang lebih kurang maksudnya:
Katakanlah (Muhammad), ‘Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah tempat bergantung segala sesuatu. (Allah) tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan Dia.’” (Surah Al-Ikhlas, ayat 1-4)

Surah tersebut merupakan surah yang cukup penting, yang seharusnya menjadi pegangan umat Islam dalam memahami konsep ketuhanan. Surah tersebut menjelaskan dengan terang bahawa Tuhan yang Maha Agung itu, yang Menciptakan langit dan bumi, yang Menciptakan segala sesuatu, namanya yang Maha Mulia adalah Allah. Justeru, dalam polemik semasa di negara ini pun berkenaan dengan penggunaan nama “Allah”, ayat ini cukup buat menjadi pegangan dan penjelasan. Ayat ini cukup untuk menjawab dengan jelas persoalan: Siapakah Allah? Maka, sesiapa sahaja yang ingin menggunakan nama “Allah”, dibolehkan asalkan yang difahami dan dikenali dengan “Allah” itu adalah sepertimana yang diterangkan dalam Surah Al-Ikhlas ini.

Allah itu tidak ada sekutu baginya. Allah itu adalah Zat yang Maha Esa, yang Satu. Inilah konsep tauhid, sepertimana yang telah dijelaskan sebelumnya. Mana mungkin Allah itu ada sekutu baginya, kerana kalau ada sekutu pasti cacamarbalah alam ini disebabkan ada banyak tuhan yang mentadbir dan mengurus alam. Jika ada banyak tuhan, sudah pasti setiap tuhan itu akan mentadbir mengikut kehendak masing-masing, kerana mana mungkin tuhan itu tunduk kepada arahan dan kehendak yang selain daripadanya? Malah, jika ada banyak tuhan, boleh juga membawa kepada pengertian bahawa setiap tuhan itu mempunyai kekuasaan yang terbahagi-bahagi, yang mana menjadikan setiap tuhan itu mempunyai kekurangan. Hal ini mustahil bagi Tuhan yang Maha Menciptakan, Maha Mentadbir. Maka, jika ada kepercayaan yang bercanggah dengan kenyataan bahawa Tuhan itu tunggal dan hanya Satu, sudah tentu kepercayaan itu bukan merujuk kepada Allah.

Dalam surah itu juga disebut bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala itu adalah merupakan tempat meminta dan tempat bergantung segala sesuatu. Setelah dijelaskan bahawa Allah itu hanya Satu, ayat yang seterusnya itu mengukuhkan lagi pengenalan kepada Allah, pemahaman tentang konsep ketuhanan yang benar. Apabila dikatakan bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala itu menjadi tempat bergantung segala sesuatu, maka sudah tentu itu menggambarkan bahawa Allah itu Maha Hebat, Maha Kuasa, Maha Kaya. Sudah tentu hal itu menggambarkan bahawa Allah itu mempunyai kekuasaan yang tidak terbatas. Pak Hamka di dalam Tafsir Azhar memetik kata-kata Muqatil dalam mentafsirkan ayat tersebut, bahawa katanya Allah itu: “Yang Maha Sempurna, yang tidak ada cacatNya.” Hal ini demikian kerana, mana mungkin Tuhan yang menjadi tempat bergantung segala sesuatu yang wujud di alam ini, mempunyai kekurangan. Apabila sesuatu itu menjadi tempat bergantung, sudah tentu hal itu menggambarkan bahawa sesuatu itu adalah merupakan sesuatu yang kukuh, kuat, dan mempunyai kelebihan ke atas perkara yang bergantung kepadanya itu. Justeru, sudah tentu Zat yang menjadi tempat bergantung segala-gala yang wujud di alam ini – sama ada manusia, binatang, tumbuh-tumbuhan, bumi, lautan, udara, jin, malaikat dan sebagainya – adalah Zat yang Maha Hebat, dan kehebatan itu tertumpu kepada Zat yang Satu, yakni Allah Subhanahu wa ta’ala.

Seterusnya, ayat yang ke-3 dalam surah tersebut menjelaskan lagi hakikat keesaan Allah Subhanahu wa ta’ala, dan menyanggah konsep triniti yang dibawa oleh agama Kristian. Allah itu Maha Esa, justeru kewujudan Allah itu juga tunggal dan Allah tidak memerlukan kepada sesiapa atau apapun untuk kewujudanNya. Harus difahami bahawa tingkatan kewujudan itu ada empat. Pertama, kewujudan yang tiada permulaan dan tiada pengakhiran. Inilah peringkat kewujudan yang sentiasa ada (qidam) dan kekal (baqa’). Kewujudan ini hanya layak dan mungkin bagi Zat yang menciptakan segala sesuatu yang wujud, yakni Tuhan. Kedua, kewujudan yang tiada permulaan dan tiada pengakhiran. Kewujudan seperti ini mustahil. Tidak mungkin ada sesuatu yang tiada permulaan, tetapi boleh berakhir. Ketiga, kewujudan yang ada permulaan tetapi tiada pengakhiran. Ini dinamakan dengan kewujudan yang kekal (baqa’) seperti alam akhirat, syurga dan neraka. Keempat, kewujudan yang ada permulaan dan ada akhirnya. Di peringkat inilah kewujudan manusia. Nah, Allah Subhanahu wa ta’ala itu, sebagai Tuhan yang Menciptakan segala sesuatu, mana mungkin diciptakan, ataupun dilahirkan. Kerana hal itu hanya menandakan ada sesuatu zat yang lebih hebat atau lebih tinggi daripada-Nya. Hal itu mustahil bagi Tuhan. Tidak mungkin juga bagi Tuhan untuk mempunyai anak, kerana hal itu akan membawa maksud bahawa Tuhan mempunyai sekutu, justeru mengurangkan kekuasaan Allah ataupun menafikan keesaan Allah Subhanahu wa ta’ala. Malah, mana mungkin Allah Subhanahu wa ta’ala memerlukan anak kerana Allah yang menjadi Tempat Bergantung segala sesuatu, sudah tentu tidak memerlukan kepada sesiapa atau apapun. Malah, kewujudan Allah yang sentiasa wujud itu menandakan bahawa Allah tidak memerlukan kepada anak atau waris.

Di dalam ayat terakhir surah tersebut, Allah Subhanahu wa ta’ala memberikan satu penjelasan yang cukup konkrit tentang konsep ketuhanan yang wajib menjadi pegangan umat Islam. Dijelaskan bahawa Allah Subhanahu wa ta’ala itu tidak menyerupai segala sesuatu pun. Itulah hakikat ketuhanan, bahawa Pencipta (Khaliq) itu tidak mungkin sama dengan yang dicipta (makhluq). Itulah sifat Tuhan, yakni menyalahi segala sesuatu yang baru (mukhalafatuhu lil hawadith). Justeru, tidak boleh kita menyamakan Tuhan dengan manusia ataupun makhluk sama ada dari segi zat, sifat mahupun perbuatan. Tidak boleh kita mengatakan Tuhan itu duduk, kerana ‘duduk’ itu perbuatan yang menggambarkan adanya jisim, menggambarkan kebergantungan, serta perbuatan makhluk. Tidak boleh kita mengatakan Tuhan itu mempunyai kaki kerana ‘kaki’ itu adalah anggota yang berjisim, sedangkan Tuhan tidak berjisim kerana jisim itu sifat makhluk. Tidak boleh kita mengatakan Tuhan itu bertempat, kerana ‘tempat’ itu adalah ciptaan Allah Subhanahu wa ta’ala, dan mustahil Allah memerlukan kepada ciptaanNya. Maka, tidak boleh juga Tuhan itu digambarkan dengan patung-patung, sepertimana yang dibuat di dalam agama-agama lain.

Begitulah secara ringkas perbincangan tentang konsep ketuhanan, yang utamanya berpaksi kepada Surah Al-Ikhlas. Mengetahui dan memahami konsep ketuhanan yang betul adalah penting, kerana seandainya konsep ketuhanan yang salah terbina dalam pemikiran, yang mana hal itu bermaksud pegangan ‘aqidah itu salah, maka sudah tentu sukar dan mustahil untuk seseorang manusia itu merealisasikan matlamat penciptaan dan kewujudannya, yakni untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Hal ini demikian kerana pengabdian yang sempurna dan memenuhi segala syarat dan adabnya itu hanya mungkin dilakukan setelah mengenali Zat yang ingin disembah itu. Oleh sebab itulah Imam Al-Ghazali menyebut bahawa tidak sah sesuatu pengabdian (‘ibadah), melainkan setelah mengenal Zat yang disembah (ma’bud).

Allah jua yang Maha Mengetahui.


Rujukan:

  • Al-Qur’an dan terjemahannya.
  • Prof. Dr. HAMKA. “Tafsir Al-Azhar”.
  • Al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki al-Hasani. “Inilah Jalanku” (terjemahan oleh Lujnah Penyelidikan Yayasan Sofa Negeri Sembilan).
  • Al-‘Allamah Abu Abdullah ‘Alawi Al-Yamani. “Agamamu Dalam Bahaya” (terjemahan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki).
  • Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. “The Nature of Man and The Psychology of The Human Soul”.

Thursday, 14 May 2009

Pertemuan di Pustaka Negeri

Beberapa jam sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, saya sempat mengaturkan satu pertemuan di Kuching yang juga merupakan satu program ringkas bersama dengan para mentee saya serta beberapa orang adik-adik lepasan SPM 2008 yang bakal melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Biarpun yang hadir cuma 11 orang pada asalnya, tetapi itu memang sesuatu yang dijangkakan. Program tersebut memang saya aturkan dalam keadaan yang sangat tergesa-gesa, disebabkan desakan untuk memanfaatkan waktu yang ada di samping keperluan untuk menanam sedikit sebanyak pandangan alam Islam yang betul di dalam benak hati dan minda adik-adik tersebut. Antara pendorongnya adalah kerana mereka begitu terdedah dengan pelbagai aktiviti dan pemikiran yang tidak berapa cocok dengan nilai-nilai Islam yang sejati; dan, seandainya tidak dilengkapi dengan kerangka asas yang betul, sudah tentu mereka akan mudah terikut-ikut dan terpengaruh.

Walapun mungkin dalam pertemuan selama sekitar 4 jam lebih itu tidak banyak yang dapat saya sampaikan, tetapi mudah-mudahan sedikit ilmu dan kesedaran yang mereka perolehi itu akan membuka ruang untuk mereka lebih mudah cenderung kepada aliran pemikiran yang betul, yang cocok dengan pandangan alam Islam. Apa yang saya kongsikan kepada mereka mungkin sesuatu yang baru bagi mereka, malah mungkin juga sesuatu yang mereka akan rasakan sebagai berat disebabkan suasana pada hari ini yang mana masyarakat di negara ini secara umumnya sering digula-gulakan dengan lambakan acara hiburan yang melalaikan.

Program yang saya namakan “Pesanan Terpenting Buat Bakal Mahasiswa dan Mahasiswi” itu dijalankan di Pustaka Negeri Sarawak. Terima kasih kepada saudari Aisyah yang telah meminjamkan kad keahliannya untuk membolehkan kami menggunakan Bilik Diskusi 3 di dalam perpustakaan tersebut. Program tersebut saya sengaja namakan dengan nama yang sedemikian dengan tujuan untuk menarik minat para remaja yang bakal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. Khususnya, buat para mentee saya yang saya dengar sudah mula hendak dilibatkan di dalam program-program santai dan melalaikan yang dibuat atas nama ‘seni’ dan ‘budaya’. Oh ya, terima kasih juga kepada saudari Shamsiah kerana turut membantu di dalam program tersebut.

Di dalam program tersebut, di awal-awal lagi saya sudah memaklumkan kepada mereka bahawa ‘pesanan terpenting’ yang saya maksudkan bukanlah pesanan-pesanan yang sering diberikan kepada bakal mahasiswa yang seringkali bersifat ‘apa yang boleh dibuat’ dan ‘apa yang tidak boleh dibuat’. Sebaliknya, saya cuba untuk menyampaikan beberapa perkara yang bersifat fundamental, yakni cuba untuk membawa mereka mengenali diri mereka sendiri, mengenali hakikat kewujudan mereka serta mengenali tugas dan peranan mereka di muka bumi ini agar dengan kefahaman yang asas itu mereka dengan sendirinya dapat mengenali apa yang salah dan apa yang betul.

Saya berkongsi kepada mereka tentang hakikat manusia; yang mana manusia itu adalah makhluk fizikal dan spiritual. Dalam konteks itu, elemen spiritual manusia itu sudah tentu adalah elemen yang lebih mulia dan lebih penting. Oleh sebab itulah, di dalam Al-Qur’an menceritakan bahawa manusia yang diciptakan daripada tanah yang hina itu, setelah ditiupkan roh ke dalamnya, maka Allah Subhanahu wa ta’ala memerintahkan para malaikat untuk sujud kepada manusia sebagai tanda hormat. Maka, saya banyak menceritakan kepada mereka tentang kepentingan membangunkan diri mereka secara seimbang dari segi fizikal dan spiritual. Melalui perbincangan yang dijalankan, nampaknya mereka sudah memahami dengan lebih jelas apakah kesan negatif yang akan timbul seandainya pembangunan spiritual manusia tidak diberikan penekanan, sepertimana apa yang sedang berlaku pada hari ini.

Saya berpesan kepada adik-adik yang menghadiri program tersebut, bahawa itulah pesanan terpenting yang boleh saya sampaikan; bahawa pemerkasaan spiritual mereka haruslah diberikan penekanan, bukan semata-mata pemerkasaan fizikal ataupun yang bersifat luaran (superficial) semata-mata. InsyaAllah, apa yang saya harapkan adalah mudah-mudahan dengan kesedaran itu mereka akan sedikit sebanyak melihat dunia dan kehidupan ini dengan perspektif yang lebih segar, seterusnya berusaha untuk memberikan penekanan juga kepada pembinaan spiritual mereka yang mana dengan itu mereka pasti akan dapat membentengi diri daripada serangan pemikiran dan budaya yang tidak sihat.

Selamat maju jaya untuk semua bakal mahasiswa dan mahasiswi!

Thursday, 7 May 2009

THE REVELATION

Alhamdulillah, another day spent rather well today. I learned a bit about the Bible; and was told something which I have heard only for the first time today, and it was very revealing to me. It seems that there are differences between the Catholic’s bible and the Protestant’s bible. The Protestant’s bible contained 39 books, which is 7 less than that of the Catholic’s. I would like to share a very revealing excerpt from the Bible. This verse is God’s words to Prophet Moses; it means that God is talking to Moses.

I will raise up for them a prophet like you from among their brothers; I will put my words in his mouth, and he will tell them everything I command him.” – Book of Deuteronomy, 18:18

The verse is clearly a prophecy about the advent of a prophet, a great prophet. So then, the question that would arise is: who is the said prophet? A Christian would quickly and naturally reply: Jesus. However, let us just look more closely at the biblical verse above. First of all, the Christians would claim that the Bible is the word of God. This means that the verse above is the word of God. So, if the verse above is the word of God, it means that the verse is completely true. And because God is All-knowing, He does not confuse or get confused. The verse above would be very precise and true. Now, if the Bible is not the word of God, then the verse above would be of no divine proportions, which would mean that we can count the whole Bible as invalid, as far as a holy book is concerned. It would imply that the verse above can be false. Therefore, if one claims that the verse above is incorrect, that would mean an implication that it is not the word of God, which entails to a fact that the Bible is not the word of God. That would mean that this whole discussion would then be unwarranted. Therefore, let us at least assume that the above verse is the word of God.

So, if the verse is a word of God, let us look through the words used by God in the prophecy. First of all, God said that He will send a “prophet”. Now then, a question that would be interesting to ask to the Christians is: is Jesus a prophet, or is he god? If according to the generally-known Christian dogma, Jesus is god. Therefore, the “prophet” mentioned in Deuteronomy [18:18] is not Jesus, for Jesus as understood by the Christians is god. There cannot be a god and a prophet in a single being; for a prophet is a messenger sent by God. If, say a Christian claims that Jesus is actually a prophet, then the concept of Jesus as a son of god becomes false. This entails to the invalidation of the concept of Trinity, the concept of original sin, and the belief that Jesus was crucified. Whichever it is, either Jesus is god or a prophet, it would prove a part of Christianity as invalid; which in turn proves that it is not a divine religion for God does not make mistakes.

Next, God mentioned in the verse that the prophet would be ‘like you’; meaning, like Moses for God is speaking to Moses in that verse. As mentioned earlier, if it is a word of God, then God would be very precise in the prophecy, word by word would have meaning and would point exactly as to who is being mentioned in the verse. So, who is this prophet who is somewhat like Moses? First of all, as a prophet, Moses was given the task of implementing the laws of God. Moses was given the commandment of implementing the laws of God, which included handing out punishments to those who did wrong. Jesus, on the other hand, was not given the task of handing out punishments and implementing the laws of God. Jesus was not given the task of governing. A detailed scrutiny into history would prove this correct. The fact is, Jesus was only given the task of following and confirming the truth of the religion taught by Moses before him, and to spread good news about the advent of The Seal of the Prophets. In Islam, this mission of Prophet Jesus is mentioned clearly in the following verse: “And remember, Jesus, the son of Mary, said: ‘O Children of Israel! I am the apostle of Allah (sent) to you, confirming the Law (which came) before me, and giving Glad Tidings of a Messenger to come after me, whose name shall be Ahmad.’ But when he came to them with Clear Signs, they said, ‘this is evident sorcery!’” (Surah As-Saff, verse 6). So, the mission which was given to Jesus was not the same as the mission which was given to Moses. So, how can Jesus be the prophesized prophet who, as God mentioned, is like Moses?

Secondly, Moses got married when he was about 25 years old. Jesus, on the other hand, did not get married. This is again another fact showing that Jesus is not similar to Moses, and therefore cannot be the prophet who is mentioned in Deuteronomy [18:18]. Third, let us look at how the prophets died. Prophet Moses died of natural circumstances. Meaning, Moses did not die for being killed or because of any illness. Moses died naturally of old age. Jesus, on the other hand, did not die. God lifted Jesus into the heavens. Even if the Christians want to believe that Jesus did die, for the reasons of cleansing the original sin, then he died at the crucifix, killed. Again, Jesus is not the same as Moses in that sense. So, again, Jesus cannot be the prophet mentioned in Deuteronomy [18:18].

After that, God mentioned in the verse that the prophet will come ‘from among their brothers’; which means, from among the brothers of the Jews, for Moses was a prophet sent to the Israels. Who then, are the brothers of the Jews? The answer: Arabs. Let’s move further back into history and look at Prophet Abraham, for it is from Prophet Abraham the lineages of the final prophets originate from. Prophet Abraham had two sons; Ishmael and Ishaq. Ishaq moved to Jurusalem and from there the lineage of the Jews came. His brother (again: brother), Ishmael moved to the Arabs and from there the holy linage of a holy Arab clan originate. So, when God mentioned that the prophet will come from ‘among their brothers’, God means that the prophet is not from their lineage. Jesus is a Jew, meaning he came from their lineage. So, again, the verse cannot be about Jesus.

Finally, the final part in Deuteronomy [18:18], God said that God will put His words in the prophet’s mouth, and that the prophet would speak everything that God commands him. This part of the verse means, rather clearly, that the prophet will not speak out of his own humanistic thinking. The prophet will speak according to God’s commands, and will follow God’s commands. This also means that whatever the prophet says becomes law, for whatever God commands is law. The prophet’s sayings and actions are then of the highest order in the authority of religion. Jesus, once again, does not fulfil this criteria for the mission of Jesus, as mentioned earlier, was not to implement and govern the law of God.

Therefore, God’s words in Deuteronomy [18:18] must refer to some other prophet. This prophet must be a great prophet, for it is prophesized in the Bible, and the prophecy goes back to the time of Moses. This prophet is then a prophet of great importance. This prophet must also be of a higher rank than Jesus, for Jesus is merely carrying the revelation which brings glad tidings of the coming of this prophet. So, if the Christians truly believe that the Bible is the word of God, then they must accept the fact that this great prophet who comes after Jesus is truly God’s Apostle, and that they must submit to his teachings.

Who is this great prophet? It is a question to which I believe the answer is inevitably evident. He is a prophet who is somewhat like Moses. He implements the law of God, and he governs. He got married at the age of 25. He died naturally of old age. He is an Arabic, a descendent of Prophet Ishmael. His words and actions becomes law of the religion he preaches. He is a man of the highest quality. He is none other than the most holy of all of God’s creations, the most truthful of all person, the most kind-hearted man in the world, the greatest leader in the history of mankind: he is Prophet Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam!

There is no god but Allah, and Muhammad is the messenger of Allah.

Allah knows best.

Tuesday, 5 May 2009

MEMBINA KUALITI INSAN

Soal pembinaan kualiti insan merupakan satu perkara yang terpenting dalam kehidupan manusia. Tanpa pembinaan kualiti insan, sudah tentu tidak akan wujud kelangsungan kehidupan masyarakat yang bertamadun. Oleh sebab itulah, maka pada hari ini kita menyaksikan program-program pembangunan insan menjadi antara program wajib di segenap peringkat, daripada sekolah sehinggalah ke sektor swasta dan awam. Kesedaran akan pentingnya proses pembinaan kualiti insan juga telah mendorong banyak pihak untuk menjalankan program-program latihan dan pendidikan ke arah membina kualiti insan. Namun, seringkali latihan-latihan serta program yang dijalankan lebih bersifat ‘superficial’ sehingga program tersebut tidak mampu untuk membina kualiti insan dengan sebenar-benarnya. Salah satu faktornya adalah kegagalan untuk memahami hakikat manusia itu sendiri serta hakikat kewujudan.

Rasanya perlu untuk ditekankan di sini bahawa apabila disebut ‘membina kualiti insan’, maka hal tersebut juga bermaksud melaksanakan usaha dakwah. Hal ini demikian kerana proses asas dalam berdakwah adalah proses membaiki individu; yakni dimulakan dengan diri sendiri, kemudian dengan ahli keluarga terdekat serta orang di sekeliling. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah Ar-Ra’d ayat 11 yang lebih kurang maksudnya: “...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri...”. Sepertimana yang dikupas oleh Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi di dalam tafsirnya, ayat tersebut menjelaskan bahawa permasalahan yang berlaku di dalam masyarakat serta di alam sekitar adalah disebabkan oleh sikap manusia itu sendiri. Justeru, sudah tentu untuk membaiki keadaan, yang perlu dibaiki terlebih dahulu adalah manusia-manusia itu sendiri. Inilah metodologi yang telah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam; baginda membina kualiti dalam diri setiap individu sehingga generasi para sahabat itu diiktiraf oleh Allah Subhanahu wa ta’ala sebagai generasi umat yang terbaik (khayra ummah).

Sekarang, adalah penting untuk difahami terlebih dahulu hakikat manusia itu supaya pendekatan yang betul dalam aktiviti mahupun program latihan dapat dibuat dengan sebaik-baiknya. Contoh yang terbaik telahpun ditunjukkan oleh baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, dengan berpandukan kepada panduan yang terbaik yakni Al-Qur’an Al-Karim. Cuma mungkin disebabkan kurangnya kefahaman, maka ramai yang gagal melihat contoh-contoh yang sebenarnya telah ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam untuk diikuti oleh umat Islam pada hari ini. Untuk memahami hakikat manusia itu, maka sudah tentu kita perlu merujuk kepada Yang Maha Mengetahui, yakni Allah Subhanahu wa ta’ala. Dia adalah Pencipta segala sesuatu, Dia-lah yang mencipta manusia. Maka, sudah tentu apa sahaja yang diberitakan kepada kita oleh Allah Subhanahu wa ta’ala melalui Al-Qur’an adalah yang paling tepat dan paling benar, serta tidak ada yang lebih benar daripadanya.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah Al-Hijr ayat 28-29 yang lebih kurang maksudnya: “Dan (ingatlah), ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, ‘Sungguh Aku akan menciptakan seorang manusia dari tanah liat kering dari lumpur hitam yang diberi bentuk. Maka apabila Aku telah menyempurnakan (kejadian)nya, dan Aku telah meniupkan roh (ciptaan)-Ku ke dalamnya, maka tunduklah kamu kepadanya dengan bersujud.’

Manusia terdiri daripada dua entiti yakni entiti fizikal dan spiritual. Sepertimana yang dijelaskan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam Al-Qur’an, manusia itu diciptakan daripada tanah liat yang hina, kemudian barulah ditiupkan roh ke dalamnya. Manusia bukan semata-mata makhluk fizikal, tetapi manusia juga adalah makhluk spiritual. Apabila hakikat ini gagal difahami, maka apa yang berlaku adalah proses latihan dan pembangunan insan akan hanya tertumpu ke arah memuaskan kehendak fizikal manusia semata-mata. Sedangkan di antara entiti fizikal dan spiritual, yang lebih penting serta lebih mencirikan seseorang manusia itu adalah elemen spiritualnya. Ayat dalam Surah Al-Hijr di atas menjadi dalil yang cukup jelas. Manusia itu diciptakan daripada tanah liat yang hina. Namun, manusia itu menjadi mulia dengan sebab roh yang ditiupkan oleh Allah Subhanahu wa ta’ala ke dalam tubuh manusia itu, lantas diperintahkan kepada para malaikat untuk sujud sebagai tanda hormat kepada manusia. Perhatikan, bahawa para malaikat tidak diarahkan untuk sujud kepada tubuh manusia yang terbina daripada tanah liat itu, tetapi para malaikat hanya diarahkan untuk sujud setelah roh yang mulia ditiupkan ke dalam tubuh badan manusia itu.

Oleh sebab itu jugalah, kita boleh saksikan dengan jelasnya pada hari ini bahawa tubuh fizikal manusia itu ada yang baik, dan ada yang tidak baik. Ada yang elok, ada yang cacat. Sedangkan Allah Subhanahu wa ta’ala itu Maha Adil. Hal ini sudah tentu membayangkan kepada kita bahawa keadaan fizikal itu tidak penting. Seandainya fizikal manusia itu penting, sudah tentu Allah Subhanahu wa ta’ala menciptakan semua manusia itu dalam keadaan fizikal yang sama, ataupun setidak-tidaknya memberikan pilihan kepada setiap manusia itu untuk menentukan keadaan fizikalnya sendiri. Begitu juga kalau kita fikirkan, bahawa apabila manusia itu meninggal dunia, keadaan mayat itu ada pelbagai. Ada yang boleh disemadikan dengan baik. Namun, ada juga mayat yang mungkin sudah hancur dek kerana mati dalam kebakaran. Mungkin ada juga mayat yang dibakar sehingga menjadi abu, menurut kefahaman dan kepercayaan sesetengah agama. Mungkin ada juga mayat yang hancur ketika dalam kemalangan. Nah, kalau difikirkan, bagaimanakah proses soal jawab malaikat di dalam kubur itu boleh berlaku seandainya mayat telah dibakar menjadi abu dan tidak ditanam langsung di dalam tanah? Sudah tentu, hal ini menunjukkan bahawa setelah meninggal dunia, elemen fizikal itu langsung tidak penting. Sebaliknya, yang akan dihadapkan untuk dinilai dan dihisab di hadapan pengadilan Allah Subhanahu wa ta’ala adalah elemen spiritual manusia.

Hakikat tentang elemen spiritual manusia ini sememangnya tidak mampu untuk diketahui dengan sepenuhnya. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah Al-Israa’ ayat 85 yang lebih kurang maksudnya: “Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) tentang ruh. Katakanlah, ‘ Ruh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu diberi pengetahuan hanya sedikit.’” Walau bagaimanapun, Al-Qur’an dan Al-Hadith telah memberikan manusia dengan panduan dan pengetahuan yang memadai untuk manusia menguruskan dirinya dengan baik serta memenuhi maksud dan tujuan penciptaannya. Di dalam Al-Qur’an, elemen spiritual manusia ini disebut dengan beberapa istilah penting, seperti al-qalb (hati), an-nafs (jiwa), ar-ruh (roh) dan al-‘aql (intelek). Elemen-elemen spiritual itulah yang penting untuk dibangunkan terlebih dahulu kualitinya.

Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi turut menyebut di dalam tafsirnya bahawa segala tindak tanduk anggota tubuh manusia berpunca daripada jiwa yang baik. Apabila jiwa manusia berkualiti, maka segala perilaku dan tindakan manusia itu juga akan menjadi berkualiti. Namun, jika sebaliknya jiwa manusia itu tidak berkualiti, maka sudah tentu tindakan serta perilakunya juga turut menjadi tidak berkualiti. Penerangan ini selari dengan apa yang telahpun dinyatakan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Justeru, apa yang penting dalam proses membina kualiti insan adalah membina kualiti spiritual seseorang insan itu. Nah, berdasarkan beberapa ayat Al-Qur’an, termasuklah ayat yang telah dinyatakan di atas, kita memahami bahawa roh manusia itu adalah suci dan mulia. Maka, mengapakah perlu dilakukan pembinaan kualiti spiritual? Jawapannya, kerana spiritual manusia itu telah dikotori dan dikurangi kualitinya kerana sikap dan tindak tanduk manusia itu sendiri.

Dalam salah sebuah hadithnya Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam ada menyebut bahawa setiap bayi yang lahir itu adalah ibarat kain putih yang bersih; keadaan ini sudah tentu menggambarkan keadaan spiritual setiap bayi yang berada dalam keadaan fitrah. Keadaan fitrah spiritual setiap manusia itu adalah keadaan yang berada dalam ketaatan serta pengabdian yang menyeluruh kepada Pemiliknya, yakni Allah Subhanahu wa ta’ala. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah Al-A’raaf ayat 172 yang lebih kurang maksudnya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan dari sulbi (tulang belakang) anak cucu Adam keturunan mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap roh mereka (seraya berfirman): ‘Bukankah Aku ini Tuhanmu?’ Mereka menjawab, ‘Betul (Engkau Tuhan kami), kami bersaksi.’...”. Semua roh manusia ketika berada di alam roh dahulu telah bersaksi dan mengakui bahawa Allah itu adalah Tuhan. Persaksian itu bermaksud tunduk dan patuh kepada segala aturan, arahan dan ketetapan Allah Subhanahu wa ta’ala.

Walau bagaimanapun, manusia itu pelupa. Dalam Al-Qur’an, manusia turut digelar insaan. Istilah insaan dalam bahasa Arab berasal daripada kata akarnya yakni nasiya yang bermaksud ‘lupa’. Apabila menjalani kehidupan di dunia, manusia lupa akan perjanjiannya. Namun, Allah Subhanahu wa ta’ala yang bersifat Maha Pemurah dan Maha Penyayang itu mengutus di kalangan manusia para rasul beserta kitab-kitab untuk mengingatkan manusia. Namun, harus difahami juga bahawa kehidupan di dunia ini adalah satu ujian daripada Allah Subhanahu wa ta’ala untuk para hamba-Nya. Maka, manusia diberikan pilihan sama ada untuk mengikuti panduan dan membaiki kualiti spiritualnya, atau untuk terus mengotori dan merosakkan kualiti spiritualnya. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala di dalam Surah As-Syams ayat 7-10 yang lebih kurang maksudnya: “Demi jiwa serta penyempurnaan (ciptaan)nya, maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya, sungguh beruntung orang yang menyucikannya (jiwa itu), dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.

Jelas bagi kita, yang paling penting dalam membina kualiti insan adalah membina kualiti spiritualnya terlebih dahulu. Pembinaan kualiti spiritual sudah tentu adalah dengan cara mengembalikan jiwa itu kepada keadaan fitrahnya yang sangat mulia itu. Hal ini bermaksud, mengembalikan jiwa kepada pengabdian yang menyeluruh kepada Allah Subhanahu wa ta’ala. Untuk melaksanakan hal tersebut, antara pra-syarat terpenting adalah ilmu. Ilmu yang dimaksudkan pula, sudah tentu adalah ilmu yang paling penting yakni ilmu ‘aqidah. Pemahaman dan pegangan terhadap ‘aqidah yang benar akan membolehkan seseorang itu melaksanakan ‘ibadah, yakni pengabdian kepada Allah, dengan benar dan baik. Oleh sebab itulah Imam Ghazali r.a. pernah menyatakan: “Tidak sah sesuatu ‘ibadah, melainkan setelah mengenali Yang Disembah (Tuhan).” Itulah yang terpenting dalam melaksanakan program-program latihan. Yang harus diutamakan adalah pembinaan jiwa, pengukuhan hubungan dengan Allah Subhanahu wa ta’ala sebelum pengukuhan hubungan dengan manusia dan alam.

Akhirnya, adalah penting untuk ditekankan bahawa pembinaan kualiti insan, yang berpandukan kepada pandangan alam Islam yang benar, haruslah dilaksanakan dengan meletakkan kehidupan di alam abadi sebagai matlamat. Kehidupan di dunia ini hanyalah seketika, dan hanyalah diciptakan semata-mata sebagai tempat persinggahan sementara untuk manusia mencari sebanyak mungkin ruang dan peluang untuk mengabdikan diri kepada Allah Subhanahu wa ta’ala, seterusnya meningkatkan kualiti spiritualnya untuk dihadapkan kepada-Nya kelak. Pembinaan kualiti insan yang bertujuan untuk hal dunia ini semata-mata pasti akan menimbulkan keadaan yang tidak harmonis kerana, sepertimana yang telah disebut tadi, jiwa manusia yang fitrahnya adalah untuk mengabdikan diri semata-mata kepada Allah Subhanahu wa ta’ala pasti akan memberontak. Pembinaan kualiti insan yang memfokus kepada elemen fizikal semata-mata pasti sia-sia; kerana sepertimana yang telah disebutkan juga, elemen fizikal manusia bukanlah yang terpenting. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah As-Syu’ara ayat 88-89 yang lebih kurang maksudnya: “(yakni) pada hari (ketika) harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali orang-orang yang menghadap Allah dengan hati yang bersih.

Maaf di atas segala kekurangan di dalam penulisan yang serba lemah ini. Sesungguhnya, Allah jua yang Maha Mengetahui.


Rujukan:

  • Al-Qur’an dan terjemahannya.
  • Syeikh Muhammad Mutawalli Sya’rawi. “Tafsir Sya’rawi”
  • Syed Muhammad Naquib Al-Attas. “The Nature of Man and The Psychology of The Human Soul”

Monday, 4 May 2009

AUTORITI HARUS DIIKTIRAF DAN DIHORMATI

Proses sekularisasi yang menyerang dunia Kristian dengan hebatnya semenjak beberapa abad yang lalu telah menyebabkan agama Kristian pada hari ini begitu terasing dengan prinsip-prinsip serta nilai-nilai yang asal sepertimana yang terkandung dalam kitab Injil yang asal yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. Pengaruh falsafah Yunani telah menyebabkan manusia begitu mengagungkan pemikiran pada ketika itu, sehingga menyebabkan agama Kristian menjadi mangsa apabila agama tersebut melalui suatu proses evolusi demi menyesuaikan agama tersebut dengan nilai-nilai yang dibawa oleh faham-faham “pembangunan”, “kemajuan” dan “kemodenan”. Oleh sebab itulah pada hari ini kita dapat menyaksikan begitu ramai di kalangan penganut agama Kristian itu sendiri tidak mampu untuk merungkaikan dengan sepenuh keyakinan persoalan-persoalan yang berhubung dengan perkara fundamental seperti hal-hal teologi dan metafizikal. Hal ini demikian kerana sebahagian daripada prinsip-prinsip yang wujud dalam agama Kristian pada hari ini, malah kitab-kitab Injil yang ada pada hari ini pun, adalah merupakan olahan manusia, bukannya asli daripada sumber wahyu.

Perubahan-perubahan yang begitu fundamental dan signifikan itu boleh berlaku dalam agama Kristian kerana mereka beranggapan bahawa proses sekularisasi itu adalah sebahagian daripada prinsip agama Kristian. Sedangkan, apabila dikaji sejarah perkembangan agama Kristian dan jika dikaji kitab Injil yang asal, maka akan didapati bahawa prinsip-prinsip asas agama Kristian itu sendiri sebenarnya sangat bertentangan dengan apa yang dibawa oleh proses sekularisasi. Walau bagaimanapun, disebabkan ada pihak-pihak yang berkepentingan yang telah membuat penafsiran-penafsiran yang tersendiri terhadap ajaran-ajaran dalam agama Kristian, maka kekeliruan telah berlaku. Lama-kelamaan, mungkin disebabkan tidak ada sesiapa yang mampu untuk membetulkan penafsiran-penafsiran yang salah itu, maka kekeliruan itu seolah-olah telah terserap secara semulajadi ke dalam agama Kristian dan akhirnya membentuk agama Kristian sepertimana yang ada pada hari ini.

Pentingnya untuk umat Islam pada hari ini memahami apa yang telah berlaku di dalam agama Kristian adalah supaya umat Islam pada hari ini dapat bersedia dan mengenalpasti cabaran yang sedang berlaku di dalam agama Islam. Sama ada umat Islam pada hari ini sedar atau tidak, apa yang telah berlaku kepada agama Kristian juga seolah-olah akan berlaku kepada agama Islam. Hal yang dimaksudkan di sini adalah sikap tidak mengiktiraf dan menghormati autoriti. Autoriti di sini merujuk kepada pihak yang punya kelayakan dan kredibiliti untuk menentukan kesahihan dan kebenaran sesuatu perkara itu. Dalam erti kata lain, pakar dalam sesuatu bidang tersebut. Sudah tentu, kelayakan, kredibiliti dan kepakaran di sini bermaksud dalam konteks ilmu kerana ilmu itu adalah cahaya yang akan menunjukkan kita apa yang benar dan apa yang salah.

Dunia Kristian pada hari ini berada dalam kekeliruan kerana mereka pada masa dahulunya gagal mengiktiraf dan menghormati autoriti. Autoriti bagi agama Kristian pada ketika itu sudah tentu adalah para paderi mereka. Namun, apa yang berlaku adalah apabila orang Kristian terpengaruh dengan tafsiran-tafsiran yang dibuat oleh orang yang seharusnya tidak punya autoriti, yakni para pemikir yang begitu tercorak oleh falsafah Yunani yang membawa faham doubt dan scepticism (antaranya), akhirnya muncullah idea-idea yang sebenarnya sangat bercanggah dan bertentangan dengan prinsip-prinsip agama Kristian. Mungkin juga ada di kalangan kita yang tertanya-tanya mengapakah para paderi pada ketika itu, jika benar mereka adalah autoriti, gagal mengekang perubahan-perubahan yang salah itu. Hal ini mungkin boleh dijawab dengan melihat salah satu elemen yang cukup penting dalam tradisi keilmuan Islam, yang tidak ada dalam tradisi agama Kristian, yakni pemeliharaan sanad ilmu.

Apapun, antara perkara yang cukup merisaukan yang sedang berlaku di kalangan umat Islam pada hari ini adalah soal tidak mengiktiraf dan menghormati autoriti. Pada hari ini, seolah-olah semua orang layak untuk bercakap tentang Islam. Akibatnya, sudah muncul suara-suara yang berani mempertikaikan syariat Allah Subhanahu wa ta’ala; sudah ada yang berani menuntut supaya Al-Qur’an diberikan satu pentafsiran yang baru yang lebih sesuai dengan keadaan semasa; dan sudah muncul aliran-aliran pemikiran yang tidak lagi menghormati dan mengiktiraf hakikat kemuliaan serta keistimewaan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Akibatnya, masyarakat bukan Islam serta dunia Barat mendapat tanggapan yang salah terhadap agama Islam, manakala masyarakat Islam yang kekurangan ilmu pengetahuan pula terjerumus ke dalam kekeliruan.

Kita harus mengiktiraf bahawa ada pandangan yang salah, dan ada pandangan yang betul. Ada jalur pemikiran yang betul, dan ada jalur pemikiran yang salah. Terdapat beberapa ayat dalam kitab suci Al-Qur’an yang menggambarkan kepada kita betapa ada pemikiran yang betul dan ada pemikiran yang salah. Contohnya, dalam Surah Al-Fatihah ayat 6 dan 7, Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman yang lebih kurang maksudnya: “Tunjukkilah kami jalan yang lurus. (yakni), jalan orang-orang yang telah Engkau kurniakan nikmat kepada mereka, bukan (jalan) mereka yang dimurkai, dan bukan (pula jalan) mereka yang sesat.” Ayat tersebut merupakan satu doa yang dipohon oleh umat Islam sekurang-kurangnya pada setiap kali mengerjakan solat, yakni doa supaya ditunjukkan jalan yang betul, bukan jalan yang salah. Ini dalil yang menunjukkan bahawa wujudnya jalan yang betul, dan wujudnya jalan yang salah. Begitu juga Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman dalam Surah As-Syams ayat 8, yang lebih kurang maksudnya: “Maka Dia mengilhamkan kepadanya (jalan) kejahatan dan ketaqwaannya.” Justeru, harus kita iktiraf bahawa tidak semua pandangan boleh diterima kerana ada yang betul dan ada yang salah.

Seterusnya, setelah kita mengiktiraf wujudnya ada pandangan yang betul dan ada pandangan yang salah, maka sudah tentu perlu ada suatu mekanisme atau sistem untuk menentukan pandangan yang manakah betul dan pandangan yang manakah salah. Maka, sudah tentu, pihak yang layak untuk menentukan pandangan manakah yang betul dan pandangan manakah yang salah adalah mereka yang punya autoriti. Mereka yang punya autoriti, sudah tentu adalah mereka yang punya kelayakan ilmu, mereka yang pakar dalam sesuatu bidang tersebut. Hal ini diterangkan secara jelas di dalam Al-Qur’an, di mana Allah Subhanahu wa ta’ala berfirman di dalam Surah An-Nahl ayat 43, yang lebih kurang maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus sebelum engkau (Muhammad), melainkan orang laki-laki yang Kami beri wahyu kepada mereka; maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” Inilah adab yang diajar dalam Islam; yakni, hendaklah kita menyerahkan kepada orang yang pakar dalam setiap hal sebelum kita membuat sesuatu keputusan atau tindakan.

Maka, dalam agama Islam, autoriti yang tertinggi adalah Al-Qur’an dan Al-Hadith, kemudian diikuti dengan pandangan para ulama yang tidak bercanggah dengan kedua-dua sumber yang awal tersebut. Firman Allah Subhanahu wa ta’ala dalam Surah Al-Hujurat ayat 1 yang lebih kurang maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya...”. Ayat ini adalah antara dalil yang menunjukkan bahawa Al-Qur’an dan Al-Hadith adalah autoriti tertinggi dalam Islam. Justeru, seandainya ada sesiapa yang mempunyai pandangan yang bercanggah dengan apa yang ditunjukkan oleh Al-Qur’an dan Al-Hadith, maka pandangan orang itu tertolak dan tidak boleh diterimapakai, biarpun pandangannya logik dan rasional pada pemikiran akal manusia. Harus diingati bahawa akal manusia adalah sangat terbatas dalam hal pemikiran, dan kesan seandainya kita terlalu mengagung-agungkan pemikiran manusia adalah sepertimana apa yang berlaku kepada dunia Kristian sepertimana yang telah diterangkan pada perenggan awal.

Adapun, di kalangan umat Islam pada hari ini secara umumnya tidak menolak Al-Qur’an dan Al-Hadith sebagai sumber yang paling autoritatif dalam Islam. Namun, yang menjadi permasalahannya adalah apabila ada di kalangan umat Islam menolak para ulama sebagai autoriti. Sejarah Kristian telah membuktikan, bahawa apabila hal-ehwal dalam agama ditafsir oleh orang yang bukan paderi (ulama Kristian), maka hal itu akhirnya menjurus kepada kekeliruan. Kedudukan para ulama sebagai autoriti dalam Islam selepas Al-Qur’an dan Al-Hadith dibuktikan dalam banyak ayat Al-Qur’an dan teks hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Antaranya, hadith yang dirakamkan oleh Imam Ghazali r.a. dalam kitabnya Ihya’ ‘Ulumuddin, yang lebih kurang maksudnya: “Para ulama adalah waris para nabi.” Para ulama menjadi autoriti dalam agama kerana mereka adalah orang yang mahir dalam memahami Al-Qur’an dan Al-Hadith, justeru mereka wajar dirujuki kerana tidak semua orang berkemampuan untuk mendalami ilmu Al-Qur’an dan ilmu Al-Hadith.

Namun, dalam masa yang sama, perlu juga untuk dikenali siapakah para ulama yang dimaksudkan. Hal ini demikian kerana pada hari ini, sudah mula timbul kekeliruan di dalam masyarakat akan siapakah yang harus diikuti pandangannya. Harus difahami bahawa para ulama adalah orang yang berilmu dan diberikan hikmah oleh Allah Subhanahu wa ta’ala. Keilmuan yang luas dan hikmah ini bukanlah semata-mata ditandai oleh kelulusan Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang agama, ataupun ditandai oleh kelancaran berhujah dan berpidato. Sebaliknya, para ulama adalah mereka yang mulia akhlaknya, mendalam pengetahuannya berkenaan Al-Qur’an dan Al-Hadith, serta mempunyai hubungan yang baik dengan para ulama yang lain di seluruh dunia dan diiktiraf oleh mereka. Hal ini demikian kerana yang dijadikan sebagai sumber hukum dalam Islam selepas Al-Quran dan Al-Hadith adalah ijma’ (kesepakatan) para ulama. Kesepakatan para ulama di seluruh dunia inilah yang telah mencorak dan menentukan cara hidup umat Islam di seluruh dunia. Hakikat bahawa umat ini secara keseluruhannya tidak akan mungkin tersesat dan tersalah jalan sehingga akhir zaman, sepertimana yang dijamin oleh Allah Subhanahu wa ta’ala dan disebut oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, menunjukkan bahawa kesepakatan para ulama itu adalah tepat. Justeru, yang boleh diterimapakai dan diiktiraf sebagai golongan ulama adalah mereka yang mendokongi dan menunjangi aliran pemikiran arus perdana dalam dunia Islam, dengan keluasan ilmu mereka.

Maka, umat Islam pada hari ini harus kembali mengiktiraf dan menghormati golongan yang sememangnya adalah merupakan autoriti dalam agama, yakni para ulama. Apabila autoriti dalam agama ini tidak lagi diiktiraf dan dihormati, lantas tidak dirujuki dan diterimapakai pandangannya, maka pasti akan wujud kekeliruan dan suasana yang cacamarba. Fenomena ini dijelaskan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dalam salah sebuah hadith baginda yang lebih kurang maksudnya: “Allah tidak menarik kembali ilmu pengetahuan dengan jalan mencabutnya dari hati sanubari manusia, tetapi dengan jalan mematikan orang-orang berpengetahuan (ulama). Apabila orang berpengetahuan telah punah, maka masyarakat akan mengangkat orang-orang bodoh menjadi pemimpin yang akan dijadikan tempat bertanya. Orang-orang bodoh ini akan berfatwa tanpa ilmu; mereka itu sesat dan menyesatkan.” (Sahih Bukhari)

Nah, pada hari ini kita sudah menyaksikan fenomena yang cukup menyedihkan tersebut. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas merumuskan permasalahan umat Islam pada masa kini sebagai masalah kehilangan adab. Umat Islam sudah tidak mampu untuk mengenali kedudukan setiap sesuatu dalam sistem kehidupan kita ini. Para ulama sudah tidak diletakkan pada tempatnya yang betul. Tempat yang betul bagi para ulama adalah sebagai rujukan dan tempat mendapatkan jawapan bagi permasalahan-permasalahan dalam kehidupan. Namun, pada hari ini pandangan ulama tidak lagi diterimapakai. Oleh sebab itulah pada hari ini kita dapat melihat begitu banyak isu-isu yang timbul yang menyebabkan keadaan yang kecelaruan; seperti isu PPSMI, isu membid’ah dan mengkufurkan umat, isu penggunaan nama Allah, isu hak bapa untuk membawa anak masuk Islam, serta pelbagai lagi. Keputusan dan tindakan yang diambil, apabila mengenepikan pandangan para ulama, malah dalam sesetengah kes tidak dirujuki langsung, membawa kepada suasana yang tidak baik dan malah memburukkan lagi keadaan. Justeru, adalah merupakan satu hal yang sangat penting untuk umat pada hari ini kembali mengiktiraf dan menghormati autoriti dalam agama, yakni para ulama.

Wallahu’alam.




Rujukan:

  • Al-Qur’an dan terjemahannya.
  • Terjemahan Sahih Bukhari.
  • Syed Muhammad Naquib Al-Attas. “Islam and Secularism”
  • Yusuf Al-Qaradhawi. “Al-Qur’an dan As-Sunnah Referensi Tertinggi” (terjemahan daripada kitab asal berjudul: Al-Marja’ijjah Al-‘Ulya Fil-Islam Lil-Qur’an wa As-Sunnah: Dhawabith wa Mahadzir Fil-Fahmi wa At-Tafsir)