Friday, 27 February 2009

PKPIM KECAM KEPUTUSAN TERBARU KDN

Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melonggarkan pendirian dalam larangan penggunaan nama “Allah” bagi penerbitan-penerbitan agama selain Islam, walaupun dengan syarat-syarat yang tertentu, adalah amat mengecewakan. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengecam keputusan tersebut dan mahu pihak KDN bertindak tegas dengan melarang penggunaan nama “Allah” bagi penerbitan selain daripada agama Islam. Tindakan KDN yang mula berlembut dengan keputusan awalnya dikhuatiri akhirnya akan menjurus ke arah suasana yang tidak harmoni di antara penganut agama-agama yang berbeza di negara ini. Penggunaan nama “Allah” yang merupakan hak umat Islam harus dipertahankan agar tidak menimbulkan kekeliruan.

PKPIM berpendirian bahawa penggunaan nama “Allah” sememangnya adalah hak umat Islam kerana nama tersebut sememangnya nama yang digunakan dalam kitab umat Islam, yakni kitab suci Al-Qur’an, dalam bahasa asalnya yakni bahasa Arab. Justeru, umat Islam adalah yang paling layak untuk menggunakan nama “Allah” kerana itulah nama yang memang diperkenalkan dalam teks asal ayat-ayat Al-Qur’an. Malah, penterjemahan Al-Qur’an pun mengekalkan penggunaan nama “Allah” dan tidak digantikan dengan nama-nama lain. Hal ini menunjukkan bahawa dalam Islam, nama “Allah” itu adalah merupakan satu nama yang merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa, dengan segala sifat-sifat kesempurnaan-Nya; justeru, nama yang agung itu sama sekali tidak boleh disamaratakan dengan istilah “tuhan” ataupun “god” (dalam bahasa Inggeris) yang merupakan satu konsep.

PKPIM ingin melahirkan kehairanan tentang kedegilan pihak gereja yang berkeras hendak menggunakan nama “Allah” dalam penerbitan-penerbitannya yang berbahasa Melayu. PKPIM tidak nampak sebab lain di atas kedegilan itu melainkan hasrat pihak gereja yang mensasarkan penerbitan-penerbitan mereka untuk dibaca oleh orang Melayu, justeru merupakan satu usaha untuk menarik keluar orang Melayu daripada Islam. Dalam perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu ditafsirkan secara jelas sebagai orang yang beragama Islam dan bertutur bahasa Melayu. Seterusnya, dalam perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, menyatakan dengan jelas bahawa penyebaran kepercayaan atau agama lain di kalangan orang Islam (justeru, orang Melayu) boleh disekat. Perkara-perkara ini menjadi asas, dari segi undang-undang, untuk menyekat usaha-usaha memurtadkan umat Islam.

PKPIM juga ingin menegur pihak Majlis Gereja Malaysia (CCM) agar menghormati keputusan KDN, dan menghormati hak eksklusif umat Islam bagi penggunaan nama “Allah”. Bagi umat Islam, nama “Allah” adalah nama bagi Tuhan yang disembah, tercatat dan digunakan mengikut bahasa asal turunnya kitab Al-Qur’an. Adapun tindakan agama lain yang menggunakan nama “Allah” adalah sebagai tafsiran kepada konsep tuhan dalam agama masing-masing. Justeru, adalah wajar penggunaan nama “Allah” dilarang sama sekali terhadap agama selain daripada agama Islam agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat awam.

PKPIM menyeru pihak KDN agar bertindak tegas dalam isu ini dan tidak berkompromi kerana isu ini adalah berkaitan dengan ‘aqidah umat Islam. Soal ‘aqidah adalah soal yang terpenting, dan bukannya isu cabang yang boleh diremeh-remehkan. PKPIM bersedia memberikan sokongan dan dokongan penuh terhadap pihak kerajaan dalam larangan penggunaan nama “Allah” bagi penerbitan agama selain daripada Islam.

Dalam masa yang sama, PKPIM menyeru agar semua pihak kembali meletakkan pihak yang mempunyai autoriti ilmu itu pada tempatnya. Dalam hal-hal dan isu-isu yang seperti ini, sebarang perbahasan hendaklah kita serahkan kepada pakarnya. Kita harus mengakui hakikat bahawa bukan semua orang layak bercakap tentang semua perkara. Kita ada golongan ulama, cendekiawan dan para intelektual yang lebih layak dan wajar untuk kita rujuki dan kita ikuti pandangannya. Seandainya kita menjadikan para ulama dan intelektual sebagai rujukan dalam segala hal, sudah pasti kita akan dapat mewujudkan satu suasana yang lebih harmonis dan teratur.


ABDUL MUNTAQIM BIN ZULKIPLI

PKPIM 2008/2009

Wednesday, 25 February 2009

Hari Besar Bakal Menjelma!

Tarikh ulangtahun bagi peristiwa-peristiwa besar adalah tarikh yang sewajarnya kita raikan dan sambut dengan meriah dan gilang gemilang sebagai tanda gembira, syukur dan pembangkit semangat kita terhadap makna penting daripada sesuatu peristiwa tersebut. Sedar atau tidak, bulan Safar kini sudah hampir melabuhkan tirainya dan bulan Rabi’ulawwal bakal menjelma. Semua umat Islam di serata dunia sudah tentu sedia maklum akan peristiwa terbesar yang berlaku dalam bulan Rabi’ulawwal. Hari tersebut adalah lebih besar daripada ‘Eidulfitri mahupun ‘Eiduladha, yang seringkali kita sambut dengan begitu gilang-gemilang. Tanggal 12 Rabi’ulawwal – lebih 1480 tahun yang lampau – lahirlah seorang manusia agung, kekasih agung, makhluk Tuhan yang paling mulia, yakni tidak lain dan tidak bukan, Rasulullah Muhammad s.a.w. Saat kelahirannya, terpancar cahaya dari perut ibundanya sehingga bercahaya istana-istana di Syam. Seluruh alam damai dan bergembira dengan kelahirannya. Kelahiran baginda adalah kelahiran agung!

Hayatilah syair yang masyhur, yang dikarang oleh seorang ulama ahli hadith dan ahli sejarah, yakni Al-Hafiz Wajihuddin Abu ‘Abdillah Abdul Rahman ibnu ‘Ali Ibni Muhammad ibni Umar As-Syaibani Az-Zabidi As-Syafie yang lebih dikenali dengan gelaran Al-Imam Ad-Daiba’ie. Syair, kata-kata pujian serta selawat yang termaktub dalam karangan masyhur beliau, Maulid Ad-Daiba’ie diiktiraf oleh para ulama dan sudah digunakapakai selama lebih 450 tahun di dalam dunia Islam. Fahamilah bahawa syair-syair ini bukanlah semata-mata karangan yang berasaskan imaginasi pengarangnya; tetapi adalah merupakan pancaran rasa cinta yang begitu mendalam yang berasaskan ilmu pengetahuannya yang luas terhadap hadith-hadith yang begitu banyak serta ma’rifat kurniaan Allah S.W.T. Hayatilah di bawah ini terjemahan bait-bait syair beliau tentang kelahiran Rasulullah s.a.w., yang pasti membangkitkan lagi kecintaan dan kasih umat kepada Baginda Rasulullah s.a.w.

Hadirkanlah hati-hati kalian, wahai sekalian orang yang mempunyai akal fikiran. Agar dapat kujelaskan kepada kalian segala sifat yang indah menawan dan cantik memukau bagaikan pengantin, milik Kekasih Teragung ini. Yang diistimewakan dengan gelaran termulia (Kekasih Allah). Yang pernah naik menghadap Allah, Maharaja Yang Maha Pemberi (di malam Isra’ dan Mi’raj). Sehingga ia dapat menatap langsung keindahan-Nya tanpa sebarang tirai penghalang.
Ketika tiba saat kemunculan ‘Matahari Kerasulan’ ini di ‘Langit Keagungan’; maka keluarlah satu malaikat membawa titah perintah Allah Yang Maha Agung, kepada Ketua Penghuni Langit, Saidina Jibril a.s. “Wahai Jibril, serukanlah kepada seluruh makhluk. Di bumi dan di langit, dengan ucapan-ucapan tahniah dan khabar gembira. Kerana sesungguhnya, Nur yang terpelihara, dan Rahsia yang tertutup sekian lama, yang telah Aku wujudkan sebelum terwujudnya segala sesuatu, dan sebelum Kuciptakan bumi dan langit. Pada malam ini, akan Ku pindahkan ke dalam perut ibunya dalam keadaan riang gembira. Dengan sebabnya, akan Ku penuhi seluruh alam dengan cahaya. Ia akan Ku pelihara dan Ku didik dalam keadaan yatim (tanpa campur tangan ibu bapanya) dan akan Ku sucikan ia dan ahli keluarganya dengan sesuci-sucinya (sehingga mereka tidak akan melakukan perkara yang Aku tidak redhai)”
(Setelah Saidina Jibril a.s. menyerukan titah Allah tersebut) maka ‘Arasy bergoncang hebat kerana merasa sangat gembira. Kursiy yang teramat hebat itu pula menjadi semakin hebat dan agung (demi memuliakan Baginda s.a.w.). Dan tujuh petala langit dipenuhi cahaya (bagaikan sedang berpesta). Sedangkan suara para malaikat bergemuruh mengucapkan tahlil, tahmid dan istighfar (lantaran terlalu gembira dengan kedatangan Baginda s.a.w. ke mayapada).
(Sejak awal kehamilan) Bondanya (Sayyidatuna Aminah r.anha) sentiasa melihat pelbagai mimpi dan tanda kemegahan serta keutamaan bayi dalam rahimnya itu, sehinggalah usia kandungannya cukup sempurna. Lalu ketika dirasakan dirinya benar-benar akan melahirkan, dengan keizinan Tuhan segala makhluk, maka ia pun melahirkan Al-Habib s.a.w. dalam keadaan sedang sujud, bersyukur dan memuji Allah, begitu comel dan indah laksana bulan mengambang penuh.
Nabi Muhammad s.a.w. dilahirkan dalam keadaan telah berkhatan dengan kekuasaan Allah S.W.T. Kedua matanya yang mulia bercelak dengan ‘Celak Hidayah’ (terpelihara daripada memandang apa yang tidak diredhai oleh Allah). Ruang angkasa menjadi terang benderang kerana Nurnya. Dan alam semesta penuh dengan keindahan serta bersinar cemerlang kerana Nurnya itu. Generasi yang tidak menjumpainya, termasuk juga umatnya, sebagaimana generasi yang telah berlalu sebelumnya. Kehebatan pertama mukjizatnya adalah terpadamnya api sembahan orang-orang Parsi (yang tak pernah padam selama seribu tahun). Beranda-beranda istana Maharaja Parsi tiba-tiba runtuh berjatuhan. Syaitan-syaitan dihujani dengan panah-panah api bintang yang panas membakar dari langit. Semua jin yang sombong dan zalim, berundur dengan hina dan tunduk kerana serangan dan desakan kuasa Baginda s.a.w.

Begitulah sebahagian kecil daripada syair-syair yang mengisahkan tentang kelahiran Baginda Rasulullah s.a.w. Peristiwa kelahiran Baginda s.a.w. sudah tentu adalah merupakan peristiwa yang terbesar dalam kehidupan kita sebagai umatnya. Dengan kelahirannya, Rahmat Allah S.W.T. tersebar ke serata alam. Dengan sebab kelahiran baginda, maka kita merasai nikmat Islam. Dengan sebab kelahiran baginda, maka kita pada hari ini dapat sujud dan tunduk menyembah kepada Tuhan Yang Maha Agung.

Nah, sekarang ini tarikh 12 Rabi’ulawwal semakin hampir dengan kita. Apakah persiapan kita bagi menyambut tarikh yang bersejarah tersebut? Seandainya ulangtahun kelahiran kita, ibubapa kita, adik-beradik kita, rakan-rakan kita, serta orang-orang yang kita sayangi, kita raikan dengan penuh meriah, bagaimanakah sikap kita dalam menyambut ulangtahun kelahiran Rasulullah s.a.w.? Sudah tentu, kita meraikan ulangtahun kelahiran baginda bukanlah sepertimana orang-orang Barat meraikan ulangtahun kelahiran seseorang. Sebaliknya, kita meraikan ulangtahun kelahiran Baginda s.a.w. sebagai manifestasi kecintaan kita yang mendalam terhadap Baginda s.a.w.; kita penuhi dengan selawat, maulid serta pengkisahan tentang sirah Rasulullah s.a.w.

Mencintai Rasulullah s.a.w. adalah merupakan kewajipan terhadap kita selaku umat Baginda s.a.w. Malah, dengan sebab kecintaan kita terhadap Baginda s.a.w. (yang benar-benar tulus) itulah yang akan mampu menyampaikan kita kepada keredhaan Allah S.W.T., serta kedudukan yang mulia di akhirat yang kekal abadi kelak.

Daripada Sayyiduna Ali r.a., bahawa Nabi s.a.w. mencapai tangan Hasan r.a. dan Husin r.a., lalu bersabda (yang lebih kurang maksudnya): “Sesiapa yang mengasihiku dengan mengasihi kedua-dua (cucuku ini) serta kedua ibu bapa mereka (Sayyiduna Ali dan Fatimah r.a.), maka mereka akan bersamaku di dalam kedudukanku pada hari Kiamat.” (Hadith riwayat Imam Ahmad dan Tirmidzi, hadith Hasan)

Dalam keadaan umat pada hari ini kegersangan pedoman dan panduan sehingga mengalami kecelaruan nilai dan kehilangan adab, adalah sangat perlu untuk kita mengembalikan ‘roh’ dan ‘contoh’ Baginda Rasulullah s.a.w. ke dalam kehidupan umat. Betapa umat pada hari ini sudah terlalu jauh daripada kecintaan terhadap Rasulullah s.a.w.; biarpun lidah-lidah dan bibir-bibir menuturkannya, tetapi hakikatnya di dalam benak hati masih lagi mencintai banyak perkara lain lebih daripada kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya.

Justeru, apakah perancangan anda untuk menyambut Maulidurrasul pada 12 Rabi’ulawwal ini?

Wallahu’alam.

Sunday, 22 February 2009

Pesanan Buat Da’ie

Dengan Nama Allah yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam, pemilik ‘arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia makhluk, junjungan besar kita Rasulullah Muhammad s.a.w., juga ke atas keluarga baginda serta para sahabatnya yang mulia.

Tugas dan tanggungjawab untuk melakukan usaha pembaikan dalam masyarakat, dalam proses membina tamadun umat yang terbaik (khayra ummah), merupakan tugas dan tanggungjawab setiap orang Islam. Tugas dan tanggungjawab ini bukanlah dipikulkan kepada mana-mana kelompok atau individu secara eksklusif, tetapi adalah merupakan tanggungjawab semua yang mengaku beragama Islam; yang mengakui bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah S.W.T., serta Muhammad s.a.w. itu Rasulullah. Justeru, apabila kita merenungi sejarah dengan pandangan yang adil, maka kita akan memahami bahawa usaha amar ma’ruf nahi mungkar itu tidak akan mampu sampai ke tahap membangunkan satu tamadun khayra ummah seandainya yang terlibat itu hanyalah kelompok-kelompok tertentu yang bergerak secara ekslusif dan terasing.

Dalam salah sebuah hadith baginda Rasulullah s.a.w. bersabda yang kira-kira maksudnya:

Perumpamaan orang yang memelihara syariat Allah dan yang melanggarnya adalah seperti satu kaum yang sedang naik di atas kapal; sebahagian mereka berada di atas dan sebahagian lagi di bawah. Orang-orang yang berada di bahagian bawah apabila ingin mengambil air, mereka harus melewati orang-orang yang berada di atas, maka mereka berkata, ‘Seandainya kita lubangi sahaja dinding kapal ini, nescaya kita tidak akan mengganggu orang-orang yang berada di bahagian atas.’ Maka jika mereka dibiarkan melakukan keinginan tersebut, nescaya akan binasalah seluruhnya, tetapi jika dicegah, nescaya akan selamat dan selamatlah seluruhnya.” (Riwayat Bukhari, Ahmad, dan Tirmidzi)

Begitulah indahnya perumpamaan yang dibuat oleh Rasulullah s.a.w., membayangkan keadaan umat ini seperti satu kelompok manusia yang dalam pengembaraan di atas sebuah kapal. Seandainya mereka hidup berpuak-puak, maka pasti akan timbul masalah dalam perjalanan itu. Seandainya proses tegur-menegur dan nasihat-menasihati tidak dilaksanakan, pastilah seluruh kapal itu akan binasa. Semua yang berada di atas kapal itu punya peranan masing-masing dan seandainya ada di kalangan mereka yang tidak memainkan peranannya, nescaya musibah akan menimpa kapal dan pelayaran itu. Justeru, adalah penting untuk usaha pembaikan dan pemerkasaan kualiti seluruh individu yang berada di atas kapal itu dilakukan.

Inilah peranan penting kita sebagai aktivis da’wah. Kita berperanan untuk menyatupadukan umat di bawah slogan “tiada Tuhan melainkan Allah, dan Muhammad itu Rasulullah”, dengan berpegang kepada ‘aqidah ahli sunnah wal jama’ah yang benar. Tugas ini merupakan satu tugas besar dan penting, khususnya dalam keadaan umat pada hari ini yang cukup berantakan dan saling bermusuhan antara satu sama lain dalam hal-hal yang tidak pun menyentuh secara langsung hal ‘aqidah; justeru tidak sampai jatuh ke tahap kekufuran. Sudah tentu, untuk menyatupadukan umat ini bukanlah satu hal yang mudah. Kita perlu memupuk jiwa besar, sikap tasamuh, sangka baik yang tinggi, kesabaran yang kental dan yang paling penting sekali adalah persiapan ilmu yang menyeluruh.

Mempersiapkan diri dari segi keilmuan itu haruslah diletakkan sebagai keutamaan dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kita. Tanpa persiapan ilmu yang kental, apa yang akan berlaku adalah keputusan dan tindakan yang diambil akan didasari oleh emosi dan pertimbangan akal yang bertuhankan nafsu semata-mata. Akhirnya, penilaian dan tindakan yang salah akan dibuat dan hal itu sudah tentu tidak akan mampu membawa kepada terbinanya tamadun khayra ummah yang kita dambakan.

Situasi pada hari ini menjadi bukti kepada apa yang mungkin terjadi kepada umat seandainya soal keilmuan itu dikesampingkan, atau tidak dipelajari menurut adab-adabnya yang sepatutnya. Inilah masalah umat Islam pada hari ini, yakni umat sudah kehilangan adab. Kegagalan mempersiapkan diri dengan bekalan ilmu asasi (fardhu ‘ain) yang benar dan menyeluruh menyebabkan umat pada hari ini mengalami kecelaruan nilai. Akibat tidak punya pegangan ‘aqidah yang kental, serta pandangan alam (worldview) Islam yang kukuh, faham sekularisme telah menular masuk ke dalam kehidupan umat serta merencatkan sistem pendidikan umat Islam yang mengakibatkan umat terus berada dalam kekeliruan. Ilmu-ilmu asasi agama (fardhu ‘ain) tidak lagi diberikan penekanan dan keutamaan yang sewajarnya; malah, diletakkan sama tarafnya dengan ilmu-ilmu terbitan (fardhu kifayah).

Oleh sebab itu, sebagai aktivis gerakan Islam yang bergerak dengan orientasi da’wah dan tarbiyyah, usaha memperlengkapkan diri kita dengan ilmu yang benar dan menyeluruh, serta seterusnya menggerakkan proses pendidikan dan latihan kepada masyarakat perlu diletakkan sebagai keutamaan. Inilah metodologi pembaikan masyarakat yang diajar dalam Islam; inilah metodologi yang digunapakai oleh ulama’ besar dunia Islam, Imam Al-Ghazali. Dalam melaksanakan proses pembaikan umat pada zamannya, Imam Al-Ghazali memulakan dengan usaha memperbaiki pemikiran dan jiwa umat. Hal ini selaras dengan firman Allah S.W.T. yang lebih kurang maksudnya:

...Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri...” (Surah Ar-Ra’d, ayat ke-11)

Adalah penting pada hari ini untuk kita kembali memperkasa tradisi-tradisi Islam dalam hal keilmuan. Usaha menuntut ilmu daripada guru-guru yang mursyid perlu dibudayakan. Ilmu-ilmu asas agama yang menyeluruh harus diletakkan sebagai keutamaan, bukan sebagai alternatif atau sampingan. Apabila menyebut ilmu-ilmu asas agama yang menyeluruh, maka ketiga-tiga sendi ilmu agama perlu dipelajari yakni ilmu tauhid, ilmu fiqh dan ilmu tasawuf. Ketiga-tiga sendi inilah yang akan membentuk jatidiri seorang Muslim yang kental, yang akan mampu menjadi benteng bagi menahan segala serangan pemikiran terhadap umat Islam serta seterusnya menyumbangkan jasa dan bakti bagi mendidik umat ke arah membangunkan satu tamadun khayra ummah.

Allah jua yang Maha Mengetahui.



Disediakan oleh al-Faqir ilaLlah al-Ghaniy,
Abdul Muntaqim Bin Zulkipli.

Wednesday, 18 February 2009

BACK FROM SARAWAK ISLAMIC CONGRESS

I returned from Kongres Islam Sarawak (Sarawak Islamic Congress) last week (the congress was held from 10th – 12th of February) to a mixed feeling of relief and disappointment. It was a relief for the three-days congress was a successful event in that it was able to gather almost all key Islamic-activists that I know of in Sarawak. Although there wasn’t really much opportunity for serious interaction or dialogue between the various Islamic movement sects, I feel it serves as a good starting point (or a continuing point, perhaps); it proves – to a certain extent – that the Muslims in Sarawak can honestly work together and unite in matters that concern the ummah. However, it was slightly disappointing that the congress is still overshadowed by political interests. A simple question towards the state government policy is met by the presenter – a Sarawakian elite, a corporate-politician – with a rather negative and overly defensive response; even though almost every participant on the floor felt the issue being raised was most justified. I need not mention the issue here, for the point I am raising here is not about the issue being raised during the congress, but it is about the attitude of the Sarawakian elites – the exclusive small group of politicians and businessmen who put themselves on a “forbidden world” way above everyone else. To sum up their attitude in a word, I quote what a prominent local scholar from Peninsular Malaysia once said after several encounters with those Sarawakian elites in a number of talk series in Sarawak: “those people are arrogant!”. Yes, I definitely agree: the Sarawakian elites are very arrogant! It is their arrogance that has kept them from engaging in serious and honest discussions with Islamic and social activists from the grassroot level; which has led to the attitude where they believe (arrogantly) that every idea which opposes their policy or actions is wrong, and it is treated as such. I must make it a point, though, that by the “arrogant Sarawakian elites” I do not refer to all of the politicians or corporate individuals. There are still a number of politicians and corporate individuals who are quite sincere and mature in their work, rather knowledgeable and intellectual enough to open up to new ideas and changes; and, quite importantly, acknowledge their mistakes with a big heart. I just hope that we could optimize the manpower, the ideas and the abilities which are very positively diversified, for the betterment of the ummah in Sarawak.

Wednesday, 4 February 2009

Tuan Guru Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki Al-Rembawi

Segala puji bagi Allah yang telah mengurniakan pelbagai bentuk Rahmat kepada hamba-hambaNya. Antara Rahmat yang begitu besar yang boleh diperolehi oleh seorang hamba adalah peluang untuk bersama dengan orang-orang yang soleh, yang dengan cahaya ilmu mereka mampu membimbing dan menunjuki jalan untuk manusia itu kembali mengenali hakikat kedudukan dirinya dalam sistem kewujudan serta memahami maksud dan tujuan kehidupannya di atas muka bumi ini. Aku terpanggil untuk memasukkan di dalam blog aku satu artikel yang dikeluarkan pada tahun 2006 oleh Utusan Malaysia tentang seorang tokoh yang aku kagumi. Beliau adalah guru yang sangat aku kagumi, Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki Al-Rembawi. Semoga Allah terus melimpahi RahmatNya ke atas beliau dan semoga beliau terus diberikan kekuatan untuk konsisten di atas jalan dakwah ini; mendidik kami untuk mengenali Tuhan, mencintai Rasulullah s.a.w., serta memahami hakikat kehidupan ini.


Sumber: Arkib Utusan Malaysia
Ruangan: Bicara Agama
Arkib: 13 Februari 2006
Tajuk: Muhammad Fuad Azam Hasilkan Empat Kitab Sebulan
Penulis: Tarmizi Abdul Rahim

PEPATAH Arab menyebut, "masa itu ibarat pedang, kalau kita tidak memotongnya ia akan memotong kita." Itulah yang menjadi pegangan penerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1427 peringkat Negeri Sembilan, Muhammad Fuad Kamaludin, 32. Walaupun berada di Bumi Para Anbia' Mesir hanya selama tiga tahun enam bulan tetapi beliau memanfaatkan sepenuhnya masa itu untuk berguru dengan lebih 40 ulama terkemuka di negara itu.

Istilah berguru di sini bukan seperti kaedah biasa yang diamalkan di kuliah pengajian universiti iaitu mengikut sukatan dalam dewan pengajian dengan pelajar yang ramai, sebaliknya anak muda ini berguru secara talaqqi iaitu berguru secara terus dengan para ulama berkenaan dalam kumpulan kecil untuk mendalami kitab pengajian daripada 'kulit ke kulit'.

Tidak cukup dengan itu, ulama muda ini turut berkelana menimba ilmu daripada beberapa ulama terkenal dari seluruh dunia, antaranya pakar hadis Dr. Sayyid Muhammad 'Alawi Al-Maliki dari Mekah Al Mukarramah dan beberapa lagi tokoh dari Mesir, Syria, Yemen, Dubai dan Sudan.

Apa yang istimewa, kesemua guru beliau itu bukan setakat menganggapnya sebagai anak murid kebanggaan tetapi turut mengambilnya sebagai anak angkat. Kesemua mereka memberikan tauliah khusus kepadanya untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh itu kepada umat Islam di seluruh dunia. Dr. Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki telah menganugerahkan gelaran keluarganya, Al Maliki, kepada beliau.

"Kadang-kadang jika saya terlewat atau terlelap kerana terlalu letih, yang mulia guru-guru saya ini akan datang ke rumah untuk bertanyakan khabar dan seterusnya memulakan kelas pengajian di situ," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bukit Sembilan, Chengkau, Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, pemegang Ijazah Sarjana Muda Syariah dan Undang-Undang dari Universiti al-Azhar ini memberitahu bahawa beliau tidak memasuki kuliah seperti pelajar lain sepanjang berada di negara itu.

Muhammad Fuad hanya berurusan sebanyak dua kali sahaja dengan pentadbiran universiti iaitu untuk membuat kad pelajar dan menduduki peperiksaan akhir universiti.

"Saya bukan tidak mahu mengikuti pengajian kuliah tetapi saya ingin mengambil peluang berguru sendiri secara talaqqi dengan ulama terkenal di masjid-masjid dan rumah kediaman mereka. Sepanjang tiga tahun enam bulan berada di sana, rutin pengajian saya bermula seawal subuh sehingga larut malam setiap hari.

"Saya akan pergi berguru secara terus daripada ulama dan tuan punya kitab untuk mendalami ilmu agama secara kulit ke kulit dalam pelbagai disiplin seperti al-Quran, nahu, syariah, fikah, usuluddin, tasawuf dan tauhid," kata Muhammad Fuad yang amat memuliakan kesemua gurunya.

Walaupun demikian, beliau diminta oleh rakan pelajar mengadakan sesi tuisyen khas bagi membantu mereka yang kurang memahami pengajaran di universiti. Anak bongsu daripada lima beradik dan anak lelaki tunggal kepada pasangan Kamaludin Mahat dan Zainab Mahmud itu berkata, kitab pertama yang ditulisnya ialah perbahasan dan perbincangan peribadi Rasulullah dalam bahasa Arab pada tahun 1993 selepas setahun berada di Mesir.

Disiplin

Sehingga kini, bapa kepada enam cahaya mata itu telah menghasilkan 115 kitab pelbagai disiplin dan digunakan oleh ahli-ahli agama. Ia menjadi rujukan ulama tempatan dan luar negara.

Kitab-kitab tersebut ialah tiga kitab tafsir, 19 kitab karangan hadis, sembilan kitab karangan tauhid, 14 kitab karangan fikah, sembilan kitab karangan tasawuf, enam kitab karangan sirah, 10 kitab karangan tokoh dan 44 kitab berkaitan amalan.

Malah, Muhammad Fuad yang juga Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan turut menulis 12 kitab bahasa Arab. Kitab Al Toli'al Sa'id Al Muntakhab Min Al Athbat Wal Al Asanid dan kitab al-Jawahir al- Ghawali min Asanid al-Imam al-Azhari yang berkaitan ilmu hadis diterbitkan di Mesir. Kitab itu mendapat pengiktirafan dan disahkan oleh para ulama al-Azhar, Mesir seperti Profesor Dr. Judah al Mahdi, Dekan Fakulti al-Quran dan Qiraat serta Ahli Lembaga Lujnah Tafsir al-Quran al-Azhar.

Ketokohan anak muda ini bukan sahaja diperakui dalam negara. Beliau turut mendapat undangan berceramah dan pidato serta membentangkan kertas kerja di Singapura, Mesir dan Mekah di hadapan para ilmuwan Islam lain.

Menceritakan proses penulisan buku, Muhammad Fuad mensyaratkan dirinya menghasilkan sekurang-kurangnya empat buah kitab sebulan.

"Guru saya pernah berpesan bahawa adalah menjadi satu keaiban kepada seorang pelajar dan pemimpin ilmu yang tidak membawa bersamanya buku nota dan pen kerana setiap benda yang dilihat adalah maklumat dan ilmu berguna baginya," katanya yang memetik pesanan gurunya, Syeikh Ghassan al Bahrimi.

Beliau, bagaimanapun, mengakui dirinya terlalu kerdil dan ketinggalan berbanding ulama silam yang mampu menghasilkan beribu-ribu jilid kitab pelbagai disiplin dalam keadaan serba kekurangan berbanding muslim masa kini yang memiliki segala kemudahan dan teknologi canggih.

"Sebagai contoh, Ibn Shahin menulis 33,000 kitab dan kitab tafsir sebanyak 1,000 jilid; Abu Hasan al-Asyari menulis lebih 600 jilid kitab dan ulama tafsir, Ibn Tabari juga telah mensyaratkan dirinya menulis setiap hari sebanyak 40 helai.

"Tanpa elektrik, komputer dan internet, mereka masih boleh menghasilkan karya bermutu yang menjadi rujukan umat Islam seluruh dunia hingga kini. Justeru, tidak mustahil bagi kita yang memiliki segala-gala kemudahan itu untuk turut sama berbuat demikian," katanya yang amat mengasihi Rasulullah dan keluarganya serta menolak fahaman yang menyalahi pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Selepas pulang ke Malaysia pada 1996, anak jati Kampung Chenong Chengkau, Rembau ini membuka pondok pengajiannya seluas 0.2 hektar dalam kawasan tanah milik ibunya dengan modal RM17. Ketika itu beliau berusia 22 tahun.

Kini, penuntutnya semakin bertambah sehingga beliau memerlukan kawasan yang lebih besar. Maka kawasan kira-kira empat hektar di Kampung Sembilan, Chengkau telah dipilih bagi menubuhkan Surau al-Taufiqi al-Husaini.

Usaha tersebut, bagaimanapun, menerima pelbagai tohmahan dan fitnah. Orang memfitnahnya mengatakannya membawa fahaman yang sesat.

"Atas dasar keikhlasan untuk berdakwah semata-mata untuk keredaan Allah, maka segala cabaran dan dugaan itu berjaya diatasi dan kini masyarakat mulai dapat menerima usaha yang saya jalankan," katanya.

Muhammad Fuad tidak pernah menjadikan usia mudanya sebagai halangan untuk menyampaikan ilmu yang diperoleh daripada guru-gurunya yang bersambung terus sanad mereka dengan Rasulullah.

"Saya tidak berasa tekanan. Saya percaya bahawa setiap niat ikhlas nescaya akan mendapat kekuatan daripada Allah yang disertakan sekali dengan restu dan ijazah yang diberikan oleh kesemua guru-guru saya," ujar beliau.

Beliau menekankan perasaan rendah diri dan tawaduk terhadap kekurangan diri di hadapan Allah Yang Maha Esa dengan mempercayai bahawa setiap nikmat yang diperoleh adalah segala-galanya daripada Pencipta.

"Saya seboleh-bolehnya mengamalkan pendekatan ahli sufi iaitu menganggap orang tua lebih hebat kerana mempunyai banyak ilmu dan amal; orang muda lebih hebat kerana tidak banyak melakukan dosa berbanding orang yang lebih berusia; dan orang jahil lebih beruntung kerana mereka melakukan maksiat kerana tidak berilmu berbanding orang yang berilmu tetapi masih melakukan maksiat," katanya.