BH: Ulama boleh tegur pemimpin dengan adab

KUALA LUMPUR: Ulama boleh menegur pemerintah dan juga pemimpin dengan cara yang beradab, kata Felo Kehormat Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.

“Kita perlu ada adab intelektual, kita tidak boleh melanggar adab dalam kita menegur ulil amri semata-mata dikuasai oleh kebebasan bersuara. Kembali kepada arus perdana dan beradab dengan ulil amri.

“Kerangka arus perdana dimaksudkan adalah Ahli Sunnah Wal Jamaah, itu tidak berubah,” katanya pada sesi rakaman Al-Kulliyah terbitan TV3, di sini, malam tadi.

Dua lagi ahli panel adalah bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan pensyarah Jabatan al-Quran dan Hadis Universiti Malaya, Dr Fauzi Deraman.

Pada sesi soal jawab, Mohd Asri mempertahankan tindakannya mempersoalkan tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang menahannya kerana mengajar agama tanpa tauliah, walaupun tindakan itu dianggap sesetengah pihak tidak beradab.

“Dalam kes saya ditangkap (Jais), ulil amri pusat kata lain, tetapi ulil amri negeri pula kata lain. Malah ulil,ulil,ulil amri lain pula kata lain. Jika ada perbezaan pendapat dan ingin berbahas jangan pula dianggap sesat,” katanya.

(Sumber: Berita Harian Online: Jumaat, 20 November 2009)

Previous
Next Post »