Selamat Hari Raya

Ramadhan 1430H telah pun sampai ke penghujungnya. Sewajarnya, ini bukanlah bermakna sudah tiba masa untuk kita berseronok dengan kedatangan Syawal. Sebaliknya, kita harus menginsafi sejauh manakah kita telah memanfaatkan bulan Ramadhan. Kita sewajarnya merasa sedih dengan pemergian bulan mulia ini, kerana tidak ada jaminan bahawa kita akan menemui Ramadhan pada tahun hadapan. Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa ta'ala memanjangkan umur kita untuk bertemu Ramadhan tahun hadapan. Apapun, di kesempatan ini saya dan juga isteri ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Raya kepada semua. Mudah-mudahan Ramadhan yang telah berlalu meninggalkan erti buat kita. Doa-doakan, semoga kita mendapat yang terbaik daripada Ramadhan ini. Semoga Allah Subhanahu wa ta'ala mengampuni kita - terutama sekali saya - kerana gagal memenuhi hak Ramadhan. Saya memohon maaf kepada semua yang mengenali diri saya, sekiranya saya pernah melakukan apa-apa kesilapan dan kesalahan. Marilah kita menyambut Hari Raya ini dengan melaungkan takbir, tahmid, tasbih dan tahlil dengan sebanyak-banyaknya ke hadrat Allah Subhanahu wa ta'ala. Peliharalah akhlak dan adab kita sepanjang kita meraikan Hari Raya 'Aidilfitri ini; semoga kita semua akan dapat menjadi umat yang akan benar-benar membanggakan penghulu kita, Sayyiduna Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam.

SELAMAT HARI RAYA!

Previous
Next Post »