Memperingati Ummul Mukminin, Sayyidatuna Khadijah radhiyallahu ‘anha

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang. Segala lafaz pujian bagi Allah Subhanahu wa ta’ala, Tuhan seluruh alam. Maha Suci Allah yang Memiliki ‘Arasy yang agung. Selawat dan salam ke atas semulia-mulia makhluk, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, dan kepada seluruh ahli keluarga baginda yang mulia.

Tarikh 11 Ramadhan adalah tarikh haul bonda tercinta, Sayyidatuna Khadijah radhiyallahu ‘anha. Guru yang dikasihi, Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki menganjurkan majlis haul beliau di Kuala Lumpur, tetapi saya tidak berkesempatan menghadirinya kerana terpaksa berada di Kuching pada tarikh tersebut. Justeru, bagi merakamkan kecintaan kepada ibunda bagi seluruh orang yang beriman, insan pertama yang menyambut risalah Islam, pendokong dan pembantu pertama perjuangan penghulu kita yang dikasihi, maka saya muatkan sedikit biodata Sayyidatuna Khadijah radhiyallahu ‘anha di sini yang diambil daripada laman http://al-fanshuri.blogspot.com dan juga dengan rujukan kitab Manaqib Sayyidah Khadijah karangan Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki. Mudah-mudahan dapat menguatkan lagi kecintaan kita kepada beliau. Sememangnya beliau wajar dikasihi dan disanjungi oleh seluruh umat Islam, kerana besarnya sumbangan beliau dalam perjuangan Islam di sisi baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala yang lebih kurang maksudnya:
Wahai isteri-isteri Nabi, (kedudukan) kalian bukanlah seperti wanita-wanita lainnya.” (Surah Al-Ahzab, ayat ke-32)

Firman Allah Subhanahu wa ta’ala juga, yang lebih kurang maksudnya:
Nabi itu lebih berhak untuk dicintai kaum mukminin daripada diri mereka sendiri, sedangkan isteri-isterinya adalah ibu-ibu mereka (kaum mukminin).” (Surah Al-Ahzab, ayat ke-6)

Menurut pendapat yang paling shohih, pada tanggal 11 Ramadhan, 3 tahun sebelum hijrah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam ke Madinah, Ummul Mu’minin Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid radhiyallahu ‘anha kembali ke rahmatullah. Suatu peristiwa yang amat menyedihkan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, sehingga tahun tersebut dinamakan ‘Ammul Huzn (Tahun Kesedihan); di mana dua orang yang menjadi tonggok kuat membantu Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dalam penyebaran Islam di peringkat awal telah wafat yakni Abu Tholib dan Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid radhiyallahu ‘anha.

Beliau wafat pada usia 65 tahun. Dimakamkan di Perkuburan Ma’ala yang lebih dikenali dengan nama al-Hajun.

Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid radhiyallahu ‘anha adalah wanita pilihan kerana beliau merupakan isteri kepada Rasul pilihan. Kalau kita membaca kitab Shohih al-Bukhari, maka di sana kita akan dapati hadith menceritakan bagaimana peranan besar Sayyidatuna Khadijah binti Khuwailid radhiyallahu ‘anha dalam menenangkan suami beliau, Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam ketika mendapat wahyu pertama. Dan di dalam kitab Shohih Bukhari itu juga ada menyebutkan bab mengenai kelebihan bonda kita Sayyidatuna Khadijah radhiyallahu ‘anha.

Perhatikan kata-kata beliau, yang kira-kira bermaksud:
“... kemudian kembalilah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dengan wahyu tersebut dalam keadaan hatinya gementar, hingga beliau masuk ke rumah Khadijah radhiyallahu ‘anha seraya berkata: Selimuti aku, selimuti aku! Maka diselimutkan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam, hingga hilang daripada Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam rasa ketakutan, kemudian berkata Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam kepada Khadijah dan menceritakan kepadanya perkara yang berlaku, (akhirnya Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam) berkata: Sesungguhnya aku takut (ke atas diriku). Maka sahut Khadijah radhiyallahu ‘anha: Tidak sekali-kali! Demi Allah, tiada dihinakan engkau selamanya kerana engkau suka menghubungkan silaturrahim dan engkau seorang yang suka menanggung kepayahan hidup, dan engkau suka mengorbankan tenaga kerana orang yang lemah (tidak berdaya) dan suka memuliakan tetamu dan menolong atas yang hak dari cubaan dan bala. Kemudian pergilah Khadijah radhiyallahu ‘anha bersama Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam menemui Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abdul Uzza iaitu anak bapa saudara Khadijah …” (Hadith riwayat al-Bukhari, Muslim dan lainnya)

Beliau radhiyallahu ‘anha adalah orang pertama yang beriman kepada kerasulan baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam. Semoga Allah mencucuri Rahmat ke atas Sayyidah Khadijah, isteri kepada penghulu segala penghulu, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam.

Nasab Ummul Mu’minin Sayyidatuna Khadijah radhiyallahu ‘anha dari jalur ayahnya: Telah berkata Ibn Ishaq: Khadijah adalah anak perempuan kepada Khuwailid bin Asad bin Abdul Uzza bin Qushai bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr.

Nasab Ummul Mu’minin Sayyidatuna Khadijah radhiyallahu ‘anha dari jalur ibunya: Telah berkata Ibn Ishaq: Ibu Khadijah bernama Fathimah binti Za’idah bin al-Aslam bin Rawalah bin Hajar bin Abd bin Ma’ish bin Amir bin Luai bin Ghalib bin Fihr. Ibu kepada Fathimah adalah Qalabah bin Su’aid bin Saad bin Sahm bin Amr bin Hushaish bin Ka’ab bin Luai bin Ghalib bin Fihr.

Gelaran yang diberikan kepada beliau adalah Sayyidah az-Zakiyyah, Sayyidah at-Thohirah dan al-Kubro (wanita agung).

Keutamaan Ummul Mu’minin Sayyidatuna Khadijah bin Khuwailid radhiyallahu ‘anha.

Isteri yang paling disayangi dan diingati oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam.

Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam pernah bersabda (maksudnya): “Allah tidak memberi kepadaku pengganti isteri yang lebih baik dari dia (Khadijah radhiyallahu ‘anha). Ia beriman di kala semua orang mengengkari kenabianku. Ia membenarkan kenabianku di kala semua orang mendustakan diriku. Ia menyantuni diriku dengan hartanya di kala semua orang tidak mahu menolongku. Melalui dia Allah menganugerahi anak kepadaku, tidak dari isteri yang lain.” (Ibn Abdil Barr di dalam al-Isti’ab)

Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda (maksudnya): “Khadijah beriman kepadaku ketika orang-orang mengingkari. Dia membenarkan aku ketika orang-orang mendustakan. Dan dia memberikan hartanya kepadaku ketika orang-orang tidak memberiku apa-apa. Allah mengaruniai aku anak darinya dan mengharamkan bagiku anak dari selain dia.” (Hadith riwayat: Imam Ahmad dalam musnadnya, 6/118)

Diriwayatkan dari Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha katanya: Kecemburuanku kepada isteri-isteri Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam tidak sebesar kecemburaanku kepada Khadijah, meskipun aku tidak pernah melihatnya. Adalah Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam seringkali menyebut-nyebut namanya dan setiap kali menyembelih qurban Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam akan menyisihkan sebahagian untuk dikirim kepada wanita-wanita yang menjadi shahabat kepada Khadijah. Terkadang aku berkata kepada Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam: Sepertinya di dunia ini tiada lagi wanita selain Khadijah. Maka Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda: Sesungguhnya dia demikian .. demikian (banyak kelebihan Khadijah), dan darinya aku memperoleh anak-anak.”

Diriwayatkan dari Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, beliau berkata: “Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam hampir tidak pernah keluar dari rumah sehingga Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam menyebut-nyebut kebaikan tentang Khadijah dan memuji-mujinya setiap hari sehingga aku menjadi cemburu maka aku berkata: Bukankah ia seorang wanita tua yang Allah telah menggantikannya dengan yang lebih baik untuk engkau? Maka Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam marah sampai berkerut dahinya kemudian bersabda: Tidak! Demi Allah, Allah tidak memberiku ganti yang lebih baik darinya. Sungguh dia telah beriman di saat manusia mendustakanku, dan menolongku dengan harta di saat manusia menjauhiku, dan dengannya Allah mengurniakan anak padaku dan tidak dengan wanita (isteri) yang lain. Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata: Maka aku berjanji untuk tidak menjelek-jelekkannya selama-lamanya.

Dan Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam berkata membela dan memuji Khadijah binti Khuwailid radhiyallahu ‘anha ketika ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha cemburu kepadanya: “Sesungguhnya aku diberi rezeki iaitu mencintainya.” (Hadith riwayat: Imam Muslim, hadith 6228 kitab Fadha`ilus Shahabah, bab Fadha`il Khadijah Ummul Mu’minin radhiyallahu ‘anha)

Allah Ta’ala mengirim salam melalui Jibril ‘alayhissalam kepada beliau radhiyallahu ‘anha dan menjanjikan mahligai di syurga buat beliau radhiyallahu ‘anha.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu katanya: Jibril datang menemui Nabi sallallahu ‘alayhi wasallam dan berkata: “Wahai Rasulullah! Khadijah telah datang kepadamu dengan membawa bekas yang terdapat di dalamnya lauk-pauk dan makanan. Apabila beliau sampai kepadamu, sampaikan salam kepadanya daripada Tuhannya dan daripadaku. Sampaikan berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam syurga yang dibuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan.” (Hadith riwayat: Imam al-Bukhari dan Muslim)

Hadith Abdullah bin Abu Aufa radhiyallahu ‘anhu: Diriwayatkan daripada Ismail katanya: “Aku bertanya Abdullah bin Abu Aufa: Tidakkah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam pernah menyampaikan berita gembira kepada Khadijah radhiyallahu ‘anha mengenai sebuah rumah di dalam syurga. Beliau menjawab: Ya, Baginda sallallahu ‘alayhi wasallam menyampaikan berita gembira kepadanya mengenai sebuah rumah di dalam syurga yang diperbuat dari mutiara, di dalamnya tidak ada kebisingan dan kesusahan.” (Hadith riwayat: Imam Muslim)

Hadith dari Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha katanya: “Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam menyampaikan berita gembira kepada Khadijah binti Khuwailid mengenai sebuah rumah di dalam syurga.” (Hadith riwayat: Imam Muslim)

Dari Sayyidatina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha katanya: “Saya tidak cemburu kepada seorang perempuan seperti cemburunya saya kepada Khadijah. Sesungguhnya Tuhan telah menyuruh Nabi untuk menyampaikan berita gembira kepada Khadijah akan memperoleh rumah di dalam syurga.” (Hadits riwayat: Imam al-Bukhari)

Sayyidatuna Khadijah al-Kubro radhiyallahu ‘anha adalah antara wanita terbaik

Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam pernah bersabda yang bermaksud: “Empat wanita yang terbaik ialah Khadijah binti Khuwailid, Fatimah binti Muhammad, Maryam binti Imran, dan Asiah binti Muzahim isteri kepada Firaun.” (al-Tabari, Dhakha’ir al-Uqba fi Manaqib Dhawi al-Qurba; al-Hakim dalam al-Mustadrak).

Diriwayatkan daripada Ali bin Abi Tholib radhiyallahu ‘anhu katanya: “Aku mendengar Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam bersabda: Sebaik-baik wanita adalah Mariam binti Imran dan sebaik-baik wanita juga adalah Khadijah binti Khuwailid.” (Hadith riwayat: Imam Muslim)

Demikianlah sedikit coretan mengenai Ummul Mu’minin Sayyidatuna Khadijah radhiyallahu ‘anha. Kata ulama, ketika kita menyebut kisah para sholihin, Allah menurunkan rahmatNya. Moga-moga Allah menurunkan rahmatNya kepada kita semua dengan berkat menyebut sekelumit kisah insan yang dikasihi Allah dan RasulNya dan semoga Allah memberi kekuatan kepada kita untuk mencontohi perjuangan dan pengorbanan mereka, dan menghimpunkan kita kelak bersama mereka, para kekasihNya. Ameen.

Ayuh, kita hadiahkan Al-Fatihah ke hadrat kekasih kita, Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, dan juga kepada ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda. Seterusnya, marilah kita menghadiahkan Al-Fatihah kepada ibunda yang sangat dikasihi, Sayyidatuna Khadijah al-Kubro dan juga kepada semua Ummahatul Mu’minin.

Allahu Akbar!

Previous
Next Post »