Program Rintis di Limbang

Segala pujian dirafa’kan ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala. Kelmarin (4 Jun 2009), usailah program yang kami namakan dengan “Kolokium Rakan Sebaya dan Kepimpinan Pelajar Siri 1/2009” di SMK(A) Limbang. Program tersebut diadakan di kawasan Limbang, bahagian yang paling timur di negeri Sarawak; yakni sebuah bahagian yang boleh dianggap sebagai bahagian yang agak terasing dalam negeri Sarawak kerana akses darat ke Limbang perlu melalui sebuah negara lain yakni Brunei dan kerana masyarakat Limbang tidak tahu berbahasa dengan dialek Sarawak. Apapun, program tersebut mencatat sejarah peribadi yang tersendiri buat saya. Pertamanya, saya buat pertama kali menjejakkan kaki ke negara Brunei. Kedua, kehadiran saya ke Limbang untuk program ini bermakna lengkaplah kesemua sebelas (11) Bahagian di negeri Sarawak telah saya jejaki.

Program kami di Limbang melibatkan penyertaan pelajar-pelajar tingkatan 4, 5 dan 6 rendah, serta sebilangan kecil pelajar tingkatan 2 dan 3 daripada empat buah sekolah menengah di sekitar Limbang yakni SMK(A) Limbang, SMK Limbang, SMK Seri Patiambun, dan SMK Kubong. Disebabkan program tersebut diadakan di SMK(A) Limbang, maka majoriti peserta adalah daripada SMK(A) Limbang; hampir 50%. Ketidakseimbangan bilangan peserta tersebut, ditambah lagi dengan keadaan bahawa program tersebut diadakan di sekolah mereka yang membentuk majoriti peserta, telah mengakibatkan sedikit ketidakseimbangan daripada segi komitmen, keterlibatan dan keyakinan peserta di peringkat awal program. Walau bagaimanapun, sedikit demi sedikit hal tersebut cuba diatasi, dan syukurlah menjelang penghujung program partisipasi para peserta program daripada semua sekolah yang terlibat adalah agak baik.

Antara tujuan kami melaksanakan program “Kolokium Rakan Sebaya dan Kepimpinan Pelajar” di Limbang ini adalah untuk membuka lebih banyak jaringan dan hubungan dengan golongan remaja Islam dan masyarakat di Limbang; yang mana program tersebut adalah merupakan program yang julung kali kami adakan di Limbang. Selain daripada itu, program ini juga diadakan dengan tujuan untuk menggilap bakat dan potensi kepimpinan belia Islam yang berada di Limbang, agar akhirnya untuk jangka masa panjang akan lahirlah lebih ramai pemimpin-pemimpin Islam yang dapat memimpin masyarakat, dan yang lebih penting lagi memainkan peranan mereka dalam menyambung misi kerasulan di serata negeri Sarawak. Ternyata, para pelajar Islam Limbang yang mengikuti program kami mempunyai potensi kepimpinan yang cukup baik; dan mereka juga begitu bersemangat mengikuti program yang dijalankan. Mudah-mudahan mereka akan menjadi pemimpin Islam yang soleh dan solehah, serta memimpin masyarakat Islam di Limbang dan di Sarawak secara amnya mencapai kemuncak ketamadunan manusia.

Apa yang menarik sepanjang program tersebut adalah apabila ada beberapa pihak yang mempersoalkan program yang kami jalankan sebagai tidak serius dan nampak kurang baik kerana agak kurang penekanan daripada segi disiplin yang diberikan. Ada peserta yang memakai selipar untuk hadir ke sesi-sesi yang kami jalankan, dan pakaian yang digunakan juga tidak diberikan apa-apa syarat. Bagi kami, sememangnya seperti itulah program-program kami selalunya. Kami memang tidak akan memberikan penekanan yang terlalu banyak terhadap perkara disiplin yang sebenarnya sifatnya hanya superficial seperti soal pemakaian. Hal ini demikian kerana untuk mengubah dan mendidik manusia, bukanlah melalui cara paksaan dan penekanan tentang hal-hal fizikal. Sebaliknya, mencontohi manhaj Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam serta para ulama yang menjadi pewaris misi kerasulan, apa yang penting adalah soal ilmu dan kefahaman yang perlu diterapkan ke dalam diri para peserta program, dengan penuh rasa kasih dan sayang. Kaedah dan pendekatan yang kami bawa ini sememangnya akan banyak bertentangan dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran konvensional yang dipraktikkan di sekolah-sekolah pada hari ini. Namun, kami yakin dan percaya bahawa kaedah dan pendekatan yang kami bawa ini adalah pendekatan yang lebih efektif dalam mendidik generasi muda.

Penekanan disiplin yang seringkali ditekankan kepada para peserta dalam program-program latihan seperti soal berpakaian, cara menyapa fasilitator, benda-benda yang wajib dibawa sepanjang masa, dan sebagainya, adalah lebih bersifat latihan untuk aspek fizikal manusia. Sedangkan, seperti yang telah saya tulis sebelum ini, manusia itu adalah makhluk fizikal dan spiritual. Aspek spiritual manusia itu lebih penting daripada fizikal. Justeru, bagi kami, apa yang penting adalah penumpuan yang lebih harus diberikan kepada aspek spiritual, bukannya fizikal. Penumpuan kepada aspek spiritual itulah seperti soal zikir dan doa yang diamalkan, soal persediaan fasilitator dalam menyampaikan mesej yang harus terbit daripada hati, solat secara berjemaah, serta penyampaian ilmu yang benar yang menjadi makanan kepada ‘aql yang merupakan elemen spiritual manusia. Di samping itu, hubungan antara fasilitator dan para peserta haruslah berdasarkan rasa kasih dan sayang yang tulus, yang termanifestasi daripada hadith Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam yang bermaksud: “Tidak sempurna keimanan seseorang itu sehingga ia menyintai untuk saudaranya apa yang ia cintai untuk dirinya sendiri.” Kecintaan itu pula, haruslah yang merujuk kepada hal spiritual, bukannya semata-mata fizikal.

Syukur, program kami berjalan dengan baik dan berakhir dengan baik. Beberapa perancangan telah diatur bersama para pelajar yang menyertai program tersebut, agar selepas ini ada beberapa tindakan susulan yang akan diambil oleh para pelajar Islam di Limbang. Mudah-mudahan akan muncul satu generasi pelajar Islam yang benar-benar komited dalam perjuangan menegakkan agama Islam, dengan daya kepimpinan yang mantap dan hebat bagi mewarisi kepimpinan negeri.

Allah jua yang Maha Hebat.

Previous
Next Post »