MUKAH OH MUKAH

Semalam (8 Jun), selesailah program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak Siri 2/2009 di Mukah. Program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak ini adalah merupakan siri yang kedua, selepas siri yang pertama telah diadakan di Miri bersempena dengan sambutan Maulidurrasul 1430H yang lepas. Tujuan program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak ini adalah untuk menyuburkan rasa cinta dan kasih kepada baginda Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam dengan mengenali, menghayati serta mengamalkan sunnah baginda; dan juga untuk menyemai dalam diri para peserta sikap yang betul yakni dengan menjadikan Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam sebagai uswatun hasanah (contoh ikutan terbaik) dalam menjalani kehidupan seharian sebagai seorang belia Islam Sarawak.

Kami (pasukan jurulatih muda program-program belia di bawah Unit Sosio-Budaya BPP-MIS) melaksanakan program rintis di kawasan Mukah ini, dengan tujuan dan matlamat yang sama sepertimana kami melaksanakan program rintis di kawasan Limbang, yakni untuk menyebarluaskan usaha membangunkan kualiti dan upaya belia Islam di serata negeri Sarawak. Kawasan Mukah adalah kawasan yang agak jauh, hampir sembilan jam perjalanan daripada Miri ke Mukah, termasuk lebih kurang dua jam perjalanan melalui jalan yang berbatu-batu. Walau bagaimanapun, Mukah adalah sebuah bandar yang mempunyai kemudahan serta fasiliti-fasiliti moden. Dari segi pembangunan fizikalnya, Mukah tidak kurang hebatnya berbanding bandar-bandar lain di Malaysia.

Walau bagaimanapun, kami diberitahu bahawa untuk melaksanakan program di Mukah, kami akan berhadapan dengan cabaran yang tersendiri. Antara cabarannya adalah bahawa rata-rata masyarakat di Mukah mempunyai ego yang tersendiri, sehinggakan memang sudah ada kes beberapa program yang cuba dianjurkan di Mukah sebelum ini menemui kegagalan. Ternyata, kami sendiri mengalami beberapa kesukaran dan cabaran dalam melaksanakan program di Mukah. Saya bukanlah anti kepada mana-mana kelompok atau masyarakat mana-mana bahagian di Sarawak, tetapi saya cukup tidak gemar apabila ada kelompok manusia yang berasa sombong dan angkuh dengan merasakan diri mereka lebih istimewa, lebih pandai dan tidak lagi memerlukan bantuan dan tunjuk ajar daripada orang lain.

Pada asalnya, program kami di Mukah dijadualkan untuk dilaksanakan di salah sebuah sekolah menengah di situ. Namun, setelah mendapati keadaan tempat penginapan yang sangat tidak sesuai dan tidak selesa, ditambah dengan layanan dingin yang diberikan oleh pihak sekolah, maka kami mengambil keputusan untuk mengubah tempat program pada saat-saat akhir. Setelah meneliti beberapa tempat, akhirnya kami memutuskan untuk menjalankan program kami di Hotel Kingwood. Walaupun tempat program agak mewah, tetapi ternyata perubahan tempat program itu mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Setelah selesai sesi pendaftaran, ternyata kami hanya mendapat penyertaan sebanyak 18 orang peserta; 5 lelaki dan 13 perempuan. Perkara tersebut tidaklah mematahkan semangat kami untuk terus menjalankan program sepertimana yang telah dirancang, tetapi hal tersebut menggambarkan kepada kami betapa memang tidak mudah untuk mengadakan program di Mukah.

Apapun, syukur ke hadrat Allah Subhanahu wa ta’ala kerana dengan izin-Nya program tersebut dapat dijalankan dengan jayanya. Bilangan peserta yang agak sedikit membawa hikmah yang tersendiri. Antaranya adalah kos program dapat dikurangkan. Yang lebih penting pula, kami mampu memberikan penumpuan yang lebih peribadi sifatnya kepada para peserta. Di samping itu, program kami juga berjalan dengan santai dan seronok; mudah diuruskan kerana bilangan peserta yang sedikit. Beberapa pengubahsuaian daripada segi modul dan aktiviti dilakukan, sudah tentu, untuk menyesuaikannya dengan bilangan peserta yang sedikit. Bagi para fasilitator, para pendidik, para pendakwah, sikap dinamik dan fleksibel ini harus ada, kerana situasi dan keadaan latihan dan pembelajaran mungkin sahaja berubah-ubah.

Bagi program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak, antara elemen penting yang dibawa sepanjang program adalah bacaan Qasidah-qasidah yang dipetik daripada kitab Maulid Ad-Daiba’ie. Bacaan Qasidah dan Maulid tersebut adalah merupakan elemen unik dalam program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak ini. Di samping untuk mengambil keberkatan dengan menyanyikan syair-syair yang mengisahkan tentang kelahiran serta kemuliaan makhluk yang paling mulia, yakni Sayyiduna Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam, pelaziman bacaan Qasidan dan Maulid ini juga bertujuan untuk memperkenalkan para belia Islam dengan budaya serta tradisi Islam yang diwarisi daripada para ulama’, agar dapat membentuk peribadi yang benar-benar utuh dengan jatidiri Islamnya. Syukur, ternyata dalam kedua-dua program Perkhemahan MUDA Belia Islam Sarawak, di Miri dan di Mukah, keberkatan bacaan Maulid yang memuji Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah membantu melicinkan perjalanan program tanpa ada sebarang masalah besar. Kami malah tidak memerlukan kepada Kem Komanden ataupun ‘Bad Boy’ untuk menjaga disiplin peserta sepertimana yang lazimnya dilakukan dalam kem-kem latihan. Semuanya Rahmat daripada Allah Subhanahu wa ta’ala.

Di Mukah, apa yang kami dapati hasil perbincangan dan perkongsian bersama para peserta adalah rata-ratanya masyarakat Islam di Mukah, khususnya di kalangan generasi muda, mempunyai masalah yang sama sepertimana masyarakat Islam di kawasan kampung-kampung Melayu yang lain di sekitar Sarawak. Daripada apa yang kami perhatikan, seolah-olah pembangunan fizikal di Mukah tidak seiring dengan pembangunan mentaliti serta nilai yang ada pada masyarakat setempat. Masalah kelahiran anak luar nikah adalah antara masalah besar yang dihadapi oleh masyarakat di Mukah. Oleh sebab itu, pihak Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Cawangan Mukah mengambil langkah dengan menganjurkan agar pasangan muda yang sedang giat bercinta agar melangsungkan pernikahan; kerana itu juga di Mukah agak banyak yang berkahwin pada usia muda. Itu satu perkara yang sangat baik kerana pernikahan itu adalah antara perkara yang dianjurkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam agar disegerakan. Banyak faedah yang boleh diperolehi daripada pernikahan ketika usia muda. Cuma, saya merasakan perlu ada usaha yang intensif untuk mendidik generasi muda agar sedar dan faham akan peranan dan tanggungjawab mereka dalam kerangka pandangan alam Islam yang benar.

Di hujung program, ternyata para peserta, khususnya peserta lelaki, yang menyatakan rasa penghargaan mereka dengan apa yang telah mereka belajar dan alami sepanjang mengikuti program tersebut. Mereka mencadangkan agar kami melaksanakan program-program seumpama itu di kawasan kampung-kampung mereka, agar generasi muda Islam di kampung-kampung mereka itu dapat diberikan kesedaran dan pendedahan yang sama, demi membentuk peribadi Muslim yang soleh dan solehah. Ada di kalangan para peserta yang menawarkan diri untuk menjadi orang perhubungan kami bagi membantu urusan melaksanakan program itu di kampung-kampung mereka. Syukur, biarpun program kami kali ini tidak mendapat sambutan yang begitu menggalakkan, namun ternyata program rintis ini telah berjaya membuka ruang dan peluang yang baru untuk kami terus menggiatkan usaha dakwah ini ke seluruh ceruk dan pelusuk negeri Sarawak.

Allah Maha Kuasa!

Previous
Next Post »

15 comments

Click here for comments
11:20 am ×

Salam

Nok sorang ya, berkain pelikat masa bersenam -_-" Dinamik ada jak. Hohohoho

Reply
avatar
11:21 am ×

Teruskan usaha!

Sik sabar mok balit =)

Reply
avatar
4:50 pm ×

ooo kaau..oo akau!

Reply
avatar
RINDOK ATI
admin
7:09 pm ×

eee....terbakar mek bca entri tok.... sabo byk2....

Reply
avatar
Suluh Hati
admin
8:29 pm ×

Alhamdulillah..syabas..moga usaha kalian dirahmati..

Benar, keberkesanan program tidak pada ukuran jumlah peserta tapi pada apa yang sampai ke hati peserta..

p/s: dah pandei kelakar melano lah kitakorg.

Reply
avatar
8:39 pm ×

nak bsenam pke kain pelekat yalah plg susah mok dicarik urg..oo bg naim oo..hihihi

Reply
avatar
neem
admin
11:20 pm ×

tahniah akh!

mumtaz!

Reply
avatar
Anonymous
admin
1:18 am ×

salam.
congrats. keep up the spirit.

Reply
avatar
Nur
admin
10:59 pm ×

salam...
teruskan usaha! jangan putus asa....salam perjuangan....

Reply
avatar
assyafa_syifa
admin
4:08 pm ×

Salam.
oooo...dh sampe mukah dh kem MUDA tok....insyaAllah, dgn bilangan yg sedikit ya mampu mengubah segala2nya....biar kurang kuantiti tp jgn kurang kualitinya.....hidup biar berjasa...hehe

Reply
avatar
assyafa_syifa
admin
4:11 pm ×

Salam.
oooo...dh sampe mukah dh kem MUDA tok....insyaAllah, dgn bilangan yg sedikit ya mampu mengubah segala2nya....biar kurang kuantiti tp jgn kurang kualitinya.....hidup biar berjasa...hehe

Reply
avatar
resam padi
admin
9:58 pm ×

syabas....teruskan perjuangan!!!!

Reply
avatar
Nokkota
admin
11:23 am ×

Boleh la di kira dinamik make kain pelikat..
benar skali artikel tok..
memang agak susah mun d mukah..
p, mun ktk molah konsert rami yg akan dtg.. insya Allah.. he2..
mun ktk x sabar nak balit bg azrul, kmk lagik lah..

Reply
avatar
wh0elSe
admin
8:37 am ×

asSalamualaikum~

btoL~ btoL~ btoL~ biLangan yg kecik x sepatutnya mematahkan smgt, kna yakin 0n dat.. keberSatuan itu pentin9,aiSeh..

-=8D

Reply
avatar
Anonymous
admin
11:39 pm ×

Assalamualaikum, semoga islam tetap subur di Mukah. Tetapi, saya kurang setuju dengan "orang Mukah ada ego". Jika kita mempunyai pengalaman yang tidak baik dengan sekumpulan orang jangan kata masyarakat Mukah yang ego. Ini akan memberi kesan yang mendalam. Pihak penganjur perlu faham situasi agama di Mukah. Program seperti ini kurang di Iklankan.Ramai yang x tahu. Jadi, jangan mengeluarkan kenyataan begitu. Bersama sebarkan syiar Islam dengan kesabaran. jangan seperti byk rumah panjang yang diislamkan kemudian mereka tiada pembimbing dan ditinggalkan.

Reply
avatar