DASAR PPSMI PERLU DIBATALKAN

Semenjak demonstrasi yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mac yang lepas, isu PPSMI menjadi semakin hangat diperkatakan. Ada yang terus menyatakan bantahan dan ada juga yang mempertahankan keperluan dasar PPSMI. Namun, secara peribadi, apa yang boleh diperhatikan adalah rata-rata pandangan yang mempertahankan dasar PPSMI dibuat berdasarkan kepentingan politik, ataupun dengan berdasarkan pemikiran yang simplistik. Harus difahami bahawa isu PPSMI bukan isu politik. Pihak yang konsisten membantah isu PPSMI juga bukanlah pihak yang mempunyai kepentingan politik. Seandainya ditelusuri sejarah isu ini, maka kita akan mendapati bahawa pihak yang benar-benar konsisten memperjuangkan agar dasar PPSMI dimansuhkan – semenjak daripada mula-mula timbulnya cadangan untuk melaksanakan dasar ini – bukanlah parti-parti politik, tetapi adalah merupakan badan-badan bukan kerajaan (NGO), para sasterawan, serta para intelektual negara. Hal ini bermakna bahawa bantahan yang dibuat bukanlah berdasarkan kepada apa-apa kepentingan, sebaliknya hanyalah bertunjangkan rasa cinta kepada bangsa dan keprihatinan akan masa depan umat.

Adalah penting untuk difahami dengan jelas bahawa bantahan yang disuarakan terhadap dasar PPSMI tidak sama sekali bererti penolakan terhadap kepentingan menguasai Bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa yang penting di dunia pada hari ini. Secara umumnya boleh diperhatikan bahawa persepsi ini wujud; bahawa seolah-olah pihak yang membantah dasar PPSMI ini adalah pihak yang menentang Bahasa Inggeris. Hal itu tidak benar sama sekali. Kepentingan menguasai Bahasa Inggeris tidak dinafikan, malah memang perlu digalakkan. Malangnya, pelaksanaan dasar PPSMI bukanlah langkah yang betul; bukan hanya pelaksanaan dasar ini tidak membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar, tetapi akan membawa kesan-kesan lain yang cukup kritikal, khususnya dalam konteks budaya dan pandangan alam.

Dasar PPSMI bukan penyelesaian untuk masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar kerana dasar ini lahir daripada corak pemikiran yang normal dan simplistik. Dasar ini tidak menyentuh permasalahan dasar. Dalam proses penyelesaian masalah, antara langkah awal yang penting adalah proses mengenalpasti punca masalah yang sebenar. Kegagalan mengenalpasti punca permasalahan yang sebenar akan menyebabkan tindakan yang salah diambil, lantas gagal menyelesaikan masalah. Cara berfikir secara simplistik, dengan gaya pemikiran yang normal yang biasanya akan mudah membuat sesuatu kesimpulan atau keputusan dengan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap, akan menyebabkan punca masalah yang sebenar gagal untuk dikenalpasti.

Dalam isu yang sedang diperkatakan ini, masalah yang ingin ditangani adalah kelemahan para pelajar dalam menguasai Bahasa Inggeris, sekaligus menyukarkan mereka untuk mendapatkan ilmu-ilmu berkaitan sains dan teknologi kerana kebanyakan rujukan adalah dalam Bahasa Inggeris. Setelah masalah dikenalpasti, langkah seterusnya adalah untuk mengenalpasti pula punca permasalahan yang sebenar. Dalam mengenalpasti punca masalah, adalah penting untuk kita tanyakan: mengapakah para pelajar kita gagal menguasai Bahasa Inggeris walaupun setelah mereka mempelajari bahasa itu di sekolah semenjak daripada Darjah 1 sehingga Tingkatan 5 – sejumlah 11 tahun semuanya! Tempoh 11 tahun itu adalah satu tempoh yang sangat panjang untuk mempelajari bahasa. Bukankah perkara ini memberitahu kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah?

Seterusnya, kalaupun kita meletakkan kegagalan menguasai disiplin ilmu sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris sebagai masalahnya, kita pasti akan bertemu dengan punca permasalahan yang sama apabila difikirkan secara rasional dan berdasarkan pandangan para intelektual. Apakah kegagalan menguasai sains dan matematik dalam Bahasa Inggeris itu adalah disebabkan Bahasa Inggeris tidak dijadikan bahasa pengantar bagi pengajian kedua-dua subjek tersebut, ataupun disebabkan memang para pelajar tidak mahir berbahasa Inggeris? Pelaksanaan dasar PPSMI dibuat dengan mengakui bahawa para pelajar kita pada hari ini tidak mahir berbahasa Inggeris. Nah, apakah mungkin para pelajar kita memahami konsep-konsep sains dan matematik yang diajar dalam satu bahasa yang mereka tidak mahir? Maka, akar permasalahannya adalah pembelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri.

Memang tidak dinafikan bahawa kebanyakan rujukan bagi disiplin sains dan matematik adalah dalam Bahasa Inggeris. Namun, sekurang-kurangnya di peringkat asas (sehingga ke peringkat pengajian SPM), kita sudah sedia mempunyai rujukan-rujukan dalam Bahasa Melayu. Perkara ini dinyatakan dengan tidak menafikan bahawa terdapat juga rujukan-rujukan bagi bidang sains dan matematik di peringkat yang lebih tinggi dalam Bahasa Melayu, walaupun bilangannya sedikit. Apa yang penting sekarang ini adalah, seandainya negara ini ingin melahirkan lebih ramai graduan yang mahir dan kompeten dalam disiplin sains dan matematik, konsep-konsep asas yang akan membawa kepada kefahaman dalam ilmu-ilmu sains dan matematik itu perlulah dikuasai oleh para pelajar. Untuk menguasai konsep itu pula, bahasa pengantar yang paling sesuai digunakan adalah Bahasa Melayu, kerana itulah bahasa percakapan harian yang rasmi bagi masyarakat di negara ini. Justeru, apabila diajarkan sains dan matematik itu dalam Bahasa Melayu, para pelajar akan lebih mudah menangkap konsep-konsep yang perlu mereka fahami. Kita tidak harus memandang rendah akan kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Lihatlah kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan lain-lain universiti, bagaimana mereka telah melahirkan ramai graduan dalam bidang sains dan matematik, serta mempunyai pensyarah-pensyarah yang berkelayakan; dan universiti-universiti tersebut melaksanakan pengajiannya dalam Bahasa Melayu – sejak sekian lama!

Mungkin akan timbul persoalan: mengapakah kita masih jauh terkebelakang dalam sains dan teknologi? Sudah tentu adalah tidak adil, malah tidak wajar, untuk kita menyalahkan bahasa pengantar dalam hal ini. Ada banyak faktor yang lain yang perlu diberikan perhatian serius. Seperti, adakah benar universiti kita mengamalkan sistem akademik yang benar-benar berdisiplin sehingga mampu melahirkan graduan yang kompeten di pentas antarabangsa? Kemudian, jika ada, adakah kemahiran dan pengetahuan yang meluas di kalangan para graduan yang kompeten itu dimanfaatkan secara optimum dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi di negara ini? Atau adakah kita masih tidak meyakini kemampuan anak tempatan, lantas masih menggunapakai ‘pakar’ daripada luar negara? Apakah para pelajar kita diberikan ruang dan kebebasan berfikir yang betul-betul luas sehingga mampu mengembangkan pemikiran kreatif dan inovatifnya? Adakah para pelajar kita sudah terdidik dengan sikap yang betul sebagai seorang penuntut ilmu? Apakah kemudahan fasiliti dan peralatan yang diperlukan bagi melaksanakan penyelidikan dan pembangunan dalam disiplin ilmu sains dan matematik mencukupi di negara ini?

Penentangan terhadap dasar PPSMI ini juga bukanlah semata-mata penentangan terhadap pelaksanaan dasar tersebut, tetapi adalah merupakan penentangan terhadap dasar itu sendiri. Soal pelaksanaan, dalam apa jua dasar dan pada apa jua peringkat, pasti akan punya kelemahan dan kekurangan kerana itulah sifat manusia. Justeru, soal pelaksanaan tidak memerlukan kepada penentangan yang terlalu agresif. Malah, seandainya isu ini adalah isu pelaksanaan, maka yang lebih sesuai adalah semua pihak duduk bersama-sama untuk cuba menyelesaikan masalah tersebut. Namun, isu ini adalah isu dasar, soal yang fundamental. Selain daripada ketidakmampuan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris untuk membina kefahaman terhadap konsep-konsep dalam ilmu sains dan matematik, dasar PPSMI juga akan menyebabkan Bahasa Melayu menjadi semakin terpinggir. Hal ini merupakan satu hal yang cukup kritikal. Walaupun pihak yang mempertahankan dasar PPSMI berulang kali menegaskan bahawa pelaksanaan dasar PPSMI tidak bermaksud untuk mengenepikan kepentingan Bahasa Melayu, namun itu sekadar alasan yang bersifat retorika semata-mata. Hakikatnya, apabila Bahasa Melayu dikeluarkan daripada pengajian sains dan matematik, maka di manakah kedudukan Bahasa Melayu? Di mana lagi Bahasa Melayu akan digunakan? Ilmu sains dan matematik adalah ilmu asas yang akan mencapah kepada terlalu banyak bidang yang lain seperti kejuruteraan, komputer, perubatan, navigasi, pemetaan, geologi dan lain-lain. Apabila Bahasa Melayu dibuang daripada pembelajaran ilmu-ilmu itu, maka bukankah Bahasa Melayu hanya akan digunakan di pasar-pasar dan di jalanan? Bukankah itu merendah-rendahkan martabat Bahasa Melayu? Maka, bagaimana mungkin kita mahu memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa teknologi? Malah, untuk jangka masa yang panjang, dikhuatiri akhirnya Bahasa Melayu akan terus dipinggirkan. Apabila keadaan ekonomi dan teknologi masyarakat sudah berkembang, siapakah agaknya yang masih mahu menggunakan Bahasa Melayu – sebuah bahasa jalanan dan bahasa pasar – sebagai bahasa pertuturan harian mereka?

Penting juga untuk difahami bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Apabila Bahasa Melayu dipinggirkan dan Bahasa Inggeris diangkat tarafnya terlalu tinggi, maka akhirnya budaya masyarakat Barat yang menggunakan Bahasa Inggeris itu akan menyerap masuk secara langsung ke dalam masyarakat di negara ini. Sememangnya tidak semua yang daripada Barat itu adalah negatif, banyak juga yang positif. Namun, lakukanlah penilaian secara objektif; unsur-unsur daripada Barat yang begitu banyak mendominasi kaca-kaca televisyen, corong-corong radio, halaman-halaman dalam majalah dan dada-dada akhbar, apa dia? Bukankah filem-filem daripada Hollywood, yang hampir kesemuanya pasti memaparkan pergaulan bebas lelaki dan wanita (paling tidak, pasti ada adegan bercumbu antara lelaki dan wanita), yang begitu banyak ditayangkan di panggung-panggung wayang? Ditambah lagi dengan VCD dan DVD yang boleh diperolehi dengan begitu mudah? Bukankah artis-artis daripada Barat yang tidak mampu menunjukkan contoh ikutan yang baik kepada masyarakat di negara ini, begitu banyak menghiasi dada akhbar dan majalah, malah lagu-lagu mereka diputar berulang kali dalam radio? Ditambah lagi dengan teknologi Internet yang membolehkan masyarakat di negara ini mendapat akses kepada pelbagai bahan yang tidak sihat, yang majoritinya daripada Barat. Kita tidak boleh memisahkan hal budaya ini daripada bahasa. Budaya bangsa Melayu, budaya bangsa lain, budaya bangsa Asia, adalah budaya yang sifatnya cukup lemah-lembut dan kaya dengan adab. Tetapi tunjangnya bukan Bahasa Inggeris! Lihatlah apa yang terjadi kepada jatidiri orang Melayu di Singapura apabila Bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa utama mereka. Perkaitan antara bahasa dan budaya ini dijelaskan secara terperinci dan jelas oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, antaranya dalam karangannya yang berjudul ‘Risalah Untuk Kaum Muslim’. Bahasa itu bukanlah sekadar perkataan-perkataan kosong, tetapi bahasa adalah medium penyampaian mesej. Perkataan dan istilah dalam bahasa itu membawa makna yang tersendiri, dalam konteks yang tersendiri, yang akhirnya membawa kepada pembentukan pandangan alam seseorang itu.

Dalam konteks agama Islam pula, ada sebab yang cukup utuh mengapa Bahasa Melayu itu perlu dipertahankan. Selain daripada berbahasa Melayu itu digandingkan dengan beragama Islam sebagai ciri bangsa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, apa yang penting juga adalah Bahasa Melayu ini adalah sebuah bahasa yang telah melalui proses islamisasi di rantau ini. Sebagai sebuah bahasa yang telah melalui proses islamisasi, maka peranan Bahasa Melayu di rantau ini adalah sangat penting dalam pembentukan pandangan alam Islam seseorang itu. Begitu banyak perkataan dalam Bahasa Melayu adalah berakar daripada bahasa Arab yang Islamik. Untuk nota: istilah bahasa Arab yang Islamik digunakan di sini kerana bukan semua yang berbahasa Arab itu adalah orang Islam, dan juga kerana bahasa Arab itu sendiri telah melalui proses Islamisasi tatkala Rasulullah Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam diutuskan dengan membawa kitab Al-Qur’an. Penggunaan istilah-istilah yang telah berakar teguh (diulangi: berakar teguh) dalam Bahasa Melayu, tidak mungkin boleh digantikan dengan begitu sahaja oleh Bahasa Inggeris yang merupakan satu bahasa asing di rantau ini. Sebagai contoh, istilah “taqwa” tidak boleh disamakan dengan istilah “pious”, kerana sepertimana yang dirakamkan dalam Al-Qur’an istilah “taqwa” terkait dengan kemuliaan di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala, sedangkan istilah “pious” adalah satu istilah yang terlalu umum yang malah digunakan dalam agama selain daripada Islam, selain daripada tidak membawa perkaitan dengan Tuhan. Begitu juga istilah “akhlak” tidak boleh disamakan dengan “ethic”, “ikhlas” tidak boleh disamakan dengan “sincere”, “adil” tidak boleh disamakan dengan “justice”; dan sebagainya lagi. Termasuklah, “Allah” tidak boleh diterjemahkan sebagai “God”. Apabila Bahasa Melayu sudah tidak lagi dianggap penting, maka istilah-istilah di atas akan terganti lantas merosakkan pandangan alam umat Islam di negara ini.

Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian adalah, bahawa semenjak daripada mula-mula dasar PPSMI ini diperkenalkan, ramai di kalangan para intelektual yang telah membantah dasar ini. Nah, seandainya pandangan para intelektual yang didokongi oleh hujah-hujah mereka yang cukup kuat dan ilmiah tidak didengari, maka pandangan siapakah yang digunapakai? Bukankah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah menyatakan bahawa apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan pakarnya, maka kita akan menghadapi saat kehancuran. Daripada disiplin sains dan matematik, kita ada pakar fizik bertaraf antarabangsa, Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman (UKM) yang menyatakan bantahan terhadap dasar PPSMI. Daripada bidang bahasa pula, kita ada Profesor Bahasa Melayu dan ahli linguistic tersohor, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang konsisten membantah pelaksanaan dasar PPSMI. Maka, seandainya pandangan pakar-pakar seperti mereka kita tidak dengari, pandangan siapa lagi yang kita mahu ikuti? Jawatan, pangkat dan kedudukan tidak menjamin tahap keintelektualan seseorang. Malah dalam Islam pun kita diajar bahawa seorang pemimpin itu (umara’) harus mendengar nasihat dan pandangan daripada seorang ilmuan (ulama’) dalam membuat keputusan dan tindakan. Bukanlah satu keaiban untuk mengaku bahawa kita tersilap, dan memperbaiki kesilapan itu. Ayuh, batalkan dasar PPSMI demi masa depan umat!

Allah jua Yang Maha Mengetahui!

Previous
Next Post »

4 comments

Click here for comments
Anonymous
admin
10:52 pm ×

salam..

akhie naim..
ana nak minta izin ngn akhie..
blh x ana nak ambil pandangn akhie untuk assgmnt ana..

harap di izin kan ye..
hehe..

Reply
avatar
TheFugitive
admin
5:47 pm ×

salam...

saya masih baru dlam dunia blogging nie. harap beri tunjuk ajar ye..harap dapat contohi akhie dlm berblogging.

Reply
avatar
Unknown
admin
4:56 pm ×

Greetings sir.

1. I don't agree with your statements that we should no longer stick with the policy of using English as the main medium of instruction especially when it comes to about the subject of Science and Mathematics.

2. English, still to this day, is being used as the international language; for people from different countries, cultures, etc; to engage with each other. By using English as the main medium of instruction in Malaysia, we can increase or improve the proficiency rate of English among the Malaysians.

3. By getting the younger generations to master English, it would benefit them so much especially when they are going to get a job; facing an interview, meetings, etc.

4. Yes, I know how important it is to uphold Malay language as our national's official language. But we need to realize that English has so many benefits to us, especially to the younger generations who are going to face this keep technologically advancing world that is full of challenges.

I take pleasure from reading Malay books and also English.

Reply
avatar
Naimz
admin
11:28 am ×

Greetings Charles,

Thank you for your reply.

I have very little disagreement with you that English is a highly beneficial language. However, the issue raised is not to question the importance of English. Rather, it is to highlight the misappropriate application of English language in a country where English is not the "lingua franca".

Language comes with culture. The culture in Malaysia is a culture that is based on the Malay language. To impose English as the main medium of instruction for key subjects such as Mathematics and Science would mean the use of an alien language which will cause two problems for the students: (1) problem understanding key concepts in maths and science, and (2) problem understanding English.

To make the students "understand" something, you teach them that something in their lingua franca. Why do you think all great works are translated? To allow them to communicate and learn from other cultures, we teach them "language".

PPSMI was introduced with the misguided perception that it would increase the students' mastery of English. The issue was that most graduates in Malaysia, especially among Malays, had poor command of English -- and I agree with this. However, I have two different response to this situation.

First, English is not "that" important. If the purpose of learning English is because sources of knowledge are in English, then why not learn Japanese? They grow technology like mushrooms in Japan. Or Finnish? Finland is the top country for Mathematics. Or Mandarin -- the most widely spoken language in the world. For local use, Malay language is more important. For international use, lots of other languages hold more or less the same importance as English.

Second, students in Malaysia have poor command in English NOT BECAUSE they learn Science and Mathematics in Malay. But it's because there is something wrong with the teaching of English language itself. English language is a compulsory subject in Malaysian curriculum. Students learn English in school for at least 11 years, and yet they cannot master the language. So you blame science and mathematics for that?

:)

Reply
avatar