PKPIM KECAM KEPUTUSAN TERBARU KDN

Keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melonggarkan pendirian dalam larangan penggunaan nama “Allah” bagi penerbitan-penerbitan agama selain Islam, walaupun dengan syarat-syarat yang tertentu, adalah amat mengecewakan. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) mengecam keputusan tersebut dan mahu pihak KDN bertindak tegas dengan melarang penggunaan nama “Allah” bagi penerbitan selain daripada agama Islam. Tindakan KDN yang mula berlembut dengan keputusan awalnya dikhuatiri akhirnya akan menjurus ke arah suasana yang tidak harmoni di antara penganut agama-agama yang berbeza di negara ini. Penggunaan nama “Allah” yang merupakan hak umat Islam harus dipertahankan agar tidak menimbulkan kekeliruan.

PKPIM berpendirian bahawa penggunaan nama “Allah” sememangnya adalah hak umat Islam kerana nama tersebut sememangnya nama yang digunakan dalam kitab umat Islam, yakni kitab suci Al-Qur’an, dalam bahasa asalnya yakni bahasa Arab. Justeru, umat Islam adalah yang paling layak untuk menggunakan nama “Allah” kerana itulah nama yang memang diperkenalkan dalam teks asal ayat-ayat Al-Qur’an. Malah, penterjemahan Al-Qur’an pun mengekalkan penggunaan nama “Allah” dan tidak digantikan dengan nama-nama lain. Hal ini menunjukkan bahawa dalam Islam, nama “Allah” itu adalah merupakan satu nama yang merujuk kepada Tuhan Yang Maha Esa, dengan segala sifat-sifat kesempurnaan-Nya; justeru, nama yang agung itu sama sekali tidak boleh disamaratakan dengan istilah “tuhan” ataupun “god” (dalam bahasa Inggeris) yang merupakan satu konsep.

PKPIM ingin melahirkan kehairanan tentang kedegilan pihak gereja yang berkeras hendak menggunakan nama “Allah” dalam penerbitan-penerbitannya yang berbahasa Melayu. PKPIM tidak nampak sebab lain di atas kedegilan itu melainkan hasrat pihak gereja yang mensasarkan penerbitan-penerbitan mereka untuk dibaca oleh orang Melayu, justeru merupakan satu usaha untuk menarik keluar orang Melayu daripada Islam. Dalam perkara 160(2) Perlembagaan Persekutuan, orang Melayu ditafsirkan secara jelas sebagai orang yang beragama Islam dan bertutur bahasa Melayu. Seterusnya, dalam perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, menyatakan dengan jelas bahawa penyebaran kepercayaan atau agama lain di kalangan orang Islam (justeru, orang Melayu) boleh disekat. Perkara-perkara ini menjadi asas, dari segi undang-undang, untuk menyekat usaha-usaha memurtadkan umat Islam.

PKPIM juga ingin menegur pihak Majlis Gereja Malaysia (CCM) agar menghormati keputusan KDN, dan menghormati hak eksklusif umat Islam bagi penggunaan nama “Allah”. Bagi umat Islam, nama “Allah” adalah nama bagi Tuhan yang disembah, tercatat dan digunakan mengikut bahasa asal turunnya kitab Al-Qur’an. Adapun tindakan agama lain yang menggunakan nama “Allah” adalah sebagai tafsiran kepada konsep tuhan dalam agama masing-masing. Justeru, adalah wajar penggunaan nama “Allah” dilarang sama sekali terhadap agama selain daripada agama Islam agar tidak menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat awam.

PKPIM menyeru pihak KDN agar bertindak tegas dalam isu ini dan tidak berkompromi kerana isu ini adalah berkaitan dengan ‘aqidah umat Islam. Soal ‘aqidah adalah soal yang terpenting, dan bukannya isu cabang yang boleh diremeh-remehkan. PKPIM bersedia memberikan sokongan dan dokongan penuh terhadap pihak kerajaan dalam larangan penggunaan nama “Allah” bagi penerbitan agama selain daripada Islam.

Dalam masa yang sama, PKPIM menyeru agar semua pihak kembali meletakkan pihak yang mempunyai autoriti ilmu itu pada tempatnya. Dalam hal-hal dan isu-isu yang seperti ini, sebarang perbahasan hendaklah kita serahkan kepada pakarnya. Kita harus mengakui hakikat bahawa bukan semua orang layak bercakap tentang semua perkara. Kita ada golongan ulama, cendekiawan dan para intelektual yang lebih layak dan wajar untuk kita rujuki dan kita ikuti pandangannya. Seandainya kita menjadikan para ulama dan intelektual sebagai rujukan dalam segala hal, sudah pasti kita akan dapat mewujudkan satu suasana yang lebih harmonis dan teratur.


ABDUL MUNTAQIM BIN ZULKIPLI

PKPIM 2008/2009

Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
Anonymous
admin
1:22 am ×

Mohon mencelah...........

Menurut hujah bapak saya di Angkasapuri, beliau menegaskan bahawa Allah refers to the Almighty God.......bukan Jesus.....

Congrats bro Anonymous you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar