Tradisi Ijazah: Meneruskan Sanad

Hari ini (Jumaat, 26 September 2008) telah berlangsung Majlis Takrim Huffaz 1429H anjuran Yayasan Sofa Negeri Sembilan bertempat di sekolah pondok tersebut di Rembau. Aku dan rakan-rakan tiba agak lewat di Yayasan Sofa disebabkan kesesakan lalulintas yang perlu ditempuhi sepanjang perjalanan; maklumlah, mungkin ramai yang dalam perjalanan pulang ke kampong halaman untuk sambutan ‘Eidulfitr. Apapun, aku sempat menyaksikan anugerah perdana pada majlis tersebut yang telah diserahkan kepada Ustaz Farid (Imam Masjid UIAM, Gombak). Ustaz Farid dipilih berdasarkan keluasan ilmunya dalam bidang Qiraat serta berdasarkan kepada sanad bacaan Qiraat Sab’ah (tujuh jenis bacaan al-Qur’an) yang diperolehinya. Pada majlis tersebut juga sebenarnya, pihak Yayasan Sofa telah menyerahkan sumbangan kepada para Imam serta para hafizul-Qur’an. Menurut Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki, tujuan majlis tersebut diadakan adalah bagi memuliakan para penghafaz al-Qur’an, sesuai dengan darjat kemuliaan dan ketinggian taraf mereka di sisi Allah S.W.T.

Selepas solat sunat Tarawikh, kuliah Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki telah diadakan. Beliau telah menekankan tentang pentingnya tradisi pemberian ijazah oleh seorang guru yang mempunyai sanad sesuatu ilmu itu kepada si penuntut ilmu. Tradisi pemberian ijazah ini adalah penting bagi memastikan sanad sesuatu ilmu itu terus hidup dan tidak mati. Beliau telah menerangkan tentang dua pandangan ulama’ akan hal pemberian ijazah ini. Pandangan pertama mengatakan bahawa ijazah hanya layak diberikan kepada murid yang telah selesai ‘talaqqi’ sesuatu ilmu itu dengan gurunya. Manakala pendapat yang kedua melonggarkan sedikit syarat tersebut, bahawa ijazah boleh diberikan walaupun tanpa seseorang penuntut itu ‘talaqqi’ dengan guru yang memberikan ijazah tersebut. Hal ini, menurut Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki, dibolehkan oleh para ulama’ – malah dipraktikkan oleh beberapa orang ulama’ besar – bagi memastikan sanad sesuatu ilmu itu terus hidup dan tidak terkubur begitu sahaja. Seseorang itu boleh mengambil ijazah sesuatu ilmu daripada seorang guru, tetapi mempelajari dan mendalami ilmu tersebut daripada guru yang lain. Selain daripada itu, pemerolehan ijazah sesuatu ilmu itu juga adalah penting bagi mendapatkan berkat dalam mempelajari dan mengamalkan ilmu tersebut.

Nah, buat pembaca yang mungkin tidak memahami akan konsep ‘ijazah’ dan ‘sanad’ seperti yang ditulis di atas, itu maknanya penulis ini tidak ditujukan buat kalian.

Segala puji bagi Allah yang Maha Pemurah, Maha Kaya; di akhir majlis yang berlanjutan sehingga tengah malam tersebut, kami telah diijazahkan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin al-Maliki dengan ijazah bacaan al-Qur’an qiraat asim yang beliau perolehi daripada gurunya, al-‘allamah al-muhaddith Sayyid Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki, dengan sanad yang bersambung-sambung terus kepada Saidina Rasulullah Muhammad s.a.w.

Allah Maha Besar.

Previous
Next Post »