Tazkirah Ramadhan

Tengahari semalam aku mendengar kuliah ringkas bulan Ramadhan, khusus buat warga Kompleks Anjung Rahmat yang telah disampaikan oleh Dr. Mohd. Farid Bin Mohd. Shahran, Timbalan Presiden ABIM. Kuliah sekitar setengah jam yang disampaikan sebelum Solat Zuhur berjemaah tersebut membicarakan beberapa hal tentang kelebihan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang ingin aku kongsikan bersama di sini, dengan beberapa huraian tambahan.

Salah satu kelebihan ibadah puasa adalah ibadah ini merupakan satu ibadah yang disebut oleh Allah S.W.T. dalam sebuah Hadith Qudsi sebagai ibadah yang disandarkan khusus kepada-Nya. Bahawa setiap amalan anak Adam itu adalah untuknya, kecuali puasa. Berfirman Allah S.W.T.: "...sesungguhnya ia (puasa) adalah bagi-Ku dan Akulah yang akan membalasnya kerana dia meninggalkan syahwatnya, makanan dan minumannya semata-mata kerana Aku." (Maksud Hadith Qudsi)

Dalam kitab 'Tazkirah Ramadhan' karangan Syeikh Muhammad Fuad Kamaluddin Al-Maliki, ada dua penerangan diberikan untuk mengupas maksud daripada Hadith Qudsi tersebut. Pertamanya, seseorang yang berpuasa sebenarnya sedang melakukan ibadah mengekang keinginan nafsunya semata-mata kerana Allah S.W.T. Jika diteliti, perkara sedemikian tidak terdapat di dalam ibadah yang lain melainkan di dalam ibadah puasa. Penjelasan kedua adalah puasa merupakan rahsia di antara seseorang hamba dengan Tuhannya. Perbuatan tersebut tidak dapat dilihat atau ditinjau oleh sesiapa pun melainkan Allah. Secara mudahnya, ganjaran pahala ibadah puasa adalah istimewa dan sudah tentunya pengkhususan terhadap ganjaran ibadah puasa yang tercatat dalam Hadith Qudsi tersebut menggambarkan bahawa ganjarannya melebihi ganjaran bagi beberapa ibadah yang lain.

Selain daripada itu, dalam bulan Ramadhan, umat Islam diwajibkan untuk menahan diri daripada makan dan minum serta melakukan perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Hal ini bermakna, dengan ibadah puasa umat Islam sebenarnya 'tidak melakukan' sesuatu. Keadaan ini berbeza dengan ibadah-ibadah yang lain di mana umat Islam disuruh untuk 'melakukan' sesuatu. Dalam ibadah solat contohnya; umat Islam disuruh melaksanakan perbuatan solat tersebut. Begitu juga dalam hal zakat, haji dan ibadah-ibadah yang lain. Ibadah-ibadah tersebut memerlukan seorang Muslim itu untuk 'menggerakkan dirinya' atau 'memaksa diri' melakukan sesuatu. Dalam hal puasa, seorang Muslim itu sebaliknya perlu 'menahan diri' daripada melakukan sesuatu. Sudah tentu hal ini merupakan satu bentuk latihan yang memerlukan kepada daya kekuatan yang tersendiri.

Ibadah puasa juga adalah satu bentuk ibadah di mana seseorang itu susah untuk riya'. Hal ini demikian kerana dengan ibadah puasa, adalah sukar untuk seseorang itu menunjuk-nunjuk bahawa ia sedang berpuasa. Dalam ibadah solat, sebagai contoh, boleh sahaja seseorang itu menunjuk-nunjuk bahawa ia sedang bersolat; mungkin dengan menguatkan bacaan, dengan membaca surah yang panjang dan sebagainya. Dalam ibadah bersedekah contohnya, boleh sahaja seseorang itu menunjuk-nunjuk bahawa ia sedang memberikan sumbangan yang besar dengan mengambil gambar dan sebagainya. Sedangkan dalam ibadah puasa, disebabkan seseorang itu 'tidak melakukan sesuatu' dan bukannya 'melakukan sesuatu', maka ruang untuk riya' terlalu kecil. Oleh sebab itu sebahagian ulama' menyatakan, di dalam amalan puasa tidak terdapat sifat riya', sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Ahmad dan lain-lainnya di dalam hadith Marfu' Mursal: "Puasa itu tidak terdapat di dalamnya sifat riya'."

Salah satu lagi kelebihan ibadah puasa di bulan Ramadhan ini adalah kerana ibadah ini seolah-olah melawan 'fitrah' atau kebiasaan bagi manusia. Antara kebiasaan tersebut adalah makan dan minum. Justeru, apabila diwajibkan bagi seseorang itu untuk tidak makan dan tidak minum daripada masuknya waktu Subuh sampai masuknya waktu Maghrib, ia seolah-olah satu 'kejutan' atau 'keluarbiasaan' bagi manusia. Dalam hal ini, menurut Dr. Mohd. Farid, Allah S.W.T. menunjukkan kepada kita betapa besarnya nikmat makan dan minum itu. Hal ini demikian kerana sudah menjadi kebiasaan bagi manusia, bahawa manusia hanya akan merasa betapa berharganya dan besarnya sesuatu nikmat itu hanya setelah nikmat itu ditarik. Maka, dalam ibadah berpuasa, manusia berpeluang untuk mengingatkan diri mereka betapa besarnya nikmat makan dan minum yang diberikan oleh Allah S.W.T., agar manusia tidak lupa kedudukan dan tempat mereka di sisi Allah S.W.T. yakni sebagai hamba.

Kemudian, menurut Dr. Mohd. Farid, yang paling penting adalah bulan Ramadhan ini merupakan medan latihan kerohanian yang sangat penting. Perlu difahami bahawa manusia terbina daripada dua unsur, yakni unsur jasadiah dan unsur rohaniah. Secara jasadiah, manusia tidak banyak bezanya dengan binatang. Terdapat banyak persamaan dari segi jasadiah antara manusia dan binatang. Malah, dalam banyak hal, manusia akan tewas kepada haiwan dari segi jasadiah. Maka, apa yang menjadikan manusia itu manusia, yang melayakkan manusia itu dilantik oleh Allah sebagai khalifah, dan yang menjadikan manusia itu seperti apa yang disebut dalam Al-Qur'an sebagai "sebaik-baik kejadian", sudah tentu adalah unsur rohaniahnya. Kualiti rohaniah, sudah pasti menentukan kualiti manusiawi. Seterusnya Imam Ghazali dalam kitab Ihya' Ulumuddin menyatakan bahawa ada dua syahwat besar bagi manusia yakni pada perutnya dan pada kemaluannya. Dua syahwat ini memenuhi keinginan dan keperluan jasadiah manusia. Bulan Ramadhan ini pula adalah merupakan medan latihan kerohanian. Justeru, melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan ini seseorang Muslim itu mengawal dua syahwat besarnya itu agar fokus yang lebih banyak dapat diberikan untuk mengisi keperluan rohaniah.

Oleh sebab itulah, Ramadhan ini merupakan bulan berpesta ibadah!

Wallahu'alam.
Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
cik_Qs
admin
10:40 pm ×

lecturer mek farid shahran ya..hehe

Congrats bro cik_Qs you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar