SEGALA PUJI BAGI ALLAH YANG MAHA PEMURAH!



Sekadar ingin berkongsi beberapa hadith yang dimuatkan dalam kitab “Melenyapkan Kesusahan Dengan Kasih Sayang Dan Amal Kebaikan” yang merupakan terjemahan oleh Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin Al-Maliki daripada kitab asal bertajuk “Kasyf al-Ghummah bi Istina’ al-Ma’ruf wa Rahmah al-Ummah” karangan al-Muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad bin ‘Alawi Al-Maliki. Hadith-hadith boleh dijadikan sebagai sumber motivasi bagi umat Islam untuk melakukan kebaikan, kerana pintu-pintu kebaikan itu ternyata terlalu banyak sehingga tidak mungkin ada alasan untuk seseorang itu tidak melakukan kebaikan dan mendapat ganjaran kerananya. Hal ini semua menggambarkan betapa Allah itu Maha Pemurah, sehinggakan perbuatan baik yang pada mata kita kelihatan kecil dan mudah itu, boleh jadi begitu besar ganjarannya di sisi Allah Subhanahu wa ta'ala sehingga boleh menjadi sebab kepada balasan syurga. Maha Suci Allah!

Daripada Huzaifah radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda (yang bermaksud): “Setiap amal ma’ruf adalah sedekah.” [Diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim dan Abu Daud]

Daripada Ibni ‘Abbas radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda (yang bermaksud): “Setiap ma’ruf itu sedekah, dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan seperti orang yang melakukannya, dan Allah mengasihi orang yang membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan.” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari]

Daripada Jabir radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda (yang bermaksud): “Setiap ma’ruf itu adalah sedekah. Apa yang dibelanjakan oleh seorang lelaki bagi diri dan keluarganya ditulis baginya sebagai sedekah. Apa yang digunakan oleh seseorang bagi memelihara maruahnya, ditulis baginya sebagai sedekah. Apa sahaja yang dibelanjakan oleh seorang Mu’min, maka sesungguhnya yang menggantikannya adalah Allah dan Allah menjadi penjaminnya melainkan perbelanjaan yang disalurkan untuk membina kediaman yang mewah (yang tidak diperlukan) dan perkara maksiat.” [Diriwayatkan oleh Al-Hakim di dalam al-Mustadrak]

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu 'anhu berkata, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda (yang bermaksud): “Ke atas setiap tulang belulang manusia itu mempunyai hak sedekah. Setiap hari yang padanya terbit matahari maka engkau mengadili di antara dua orang, adalah sedekah. Menolong seorang lelaki untuk menaiki binatang tunggangannya, maka engkau menolongnya duduk ke atas binatangnya itu atau engkau mengangkat baginya barang-barangnya ke atas binatang itu adalah sedekah. Kalimah baik yang engkau ucapkan adalah sedekah. Dengan setiap langkah yang engkau berjalan untuk pergi solat adalah sedekah. Engkau mengalihkan rintangan di tengah jalan adalah sedekah.” [Muttafaq ‘Alaih]

Daripada Abu Zar radhiyallahu 'anhu katanya, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda (yang bermaksud): “Tiadalah bagi diri anak Adam itu melainkan wajib ke atasnya bersedekah pada setiap hari naiknya matahari.” Rasulullah ditanya, “Wahai Rasulullah! Dari manakah sedekah yang dapat kami sedekahkan?” Maka jawab Baginda sallallahu 'alayhi wasallam, “Sesungguhnya pintu-pintu kebaikan itu terlalu banyak; bertasbih, bertahmid, bertahlil, melakukan amar ma’ruf dan nahi mungkar, mengalihkan gangguan dari jalan, memperdengarkan orang yang pekak, menunjukkan orang yang buta, menunjukkan orang yang meminta petunjuk akan hajatnya, menolong dengan kekuatan kedua belah kakimu orang yang memerlukan pertolongan dan membantu dengan kekuatan tanganmu orang yang dhaif. Maka semuanya ini adalah sedekah daripada kamu kepada diri kamu.” [Diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan al-Baihaqi serta dikeluarkan oleh al-Tirmizi dengan maknanya]

Diriwayatkan daripada Abi Hurairah radhiyallahu 'anhu katanya, Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam bersabda (yang bermaksud): “Seorang lelaki melalui jalan yang terdapat sebatang dahan pokok di tengahnya, lalu dia berkata, ‘Demi Allah! Saya akan membuang dahan pokok ini supaya tidak mengganggu orang-orang Islam.’ Maka (dari perbuatannya itu) dia dimasukkan ke dalam syurga.” [Muttafaq ‘Alaih]

Nah, hadith-hadith yang dikemukakan di atas merupakan hujah-hujah yang jelas untuk menggambarkan kepada kita betapa Maha Pemurahnya Allah Subhanahu wa ta'ala itu. Apa yang penting adalah kita melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita selaku hamba-Nya dengan penuh keikhlasan, bukan dengan rasa riya’ dan sombong kerana hakikatnya, kita tidak mungkin akan dapat melakukan kebaikan melainkan dengan adanya daya dan kudrat yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu wa ta'ala kepada kita. Justeru, sebagai tanda syukur kita kepada Allah Subhanahu wa ta'ala, marilah kita bersama-sama membanyakkan amalan kebaikan kerana pintu-pintu kebaikan itu terlalu banyak.

Wallahu’alam.
Previous
Next Post »

1 comments:

Click here for comments
Anonymous
admin
12:14 pm ×

Salam. Segala Puji Bagi Allah Yang Maha Pemurah, Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-hambaNya, apa yang tersirat di hati hamba-hambaNya. Segala Puji Bagi Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...

Tiap kali kegetiran melanda, Allah gerakkan hati pada sesuatu yang tidak disangka-sangka memberi jawapan yang di cari....

Syukur pada ALLAH yang Maha Besar! Kaunselor Yang Maha Agung yang sentiasa ada untuk hamba-hambaNya...

Artikel tok polah kamek tersenyum...=)

Congrats bro Anonymous you got PERTAMAX...! hehehehe...
Reply
avatar