SURAT TERBUKA KEPADA PAK LAH

Kehadapan Dato’ Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah), Perdana Menteri Malaysia. Diharap agar surat terbuka ini menemui Pak Lah dalam keadaan yang sihat sejahtera. Didoakan juga agar Pak Lah sentiasa berada di bawah payungan Rahmat dan sinaran Hidayah Allah S.W.T.

Surat terbuka ini dilayangkan khusus buat Pak Lah selaku pemimpin nombor satu negara, dengan hasrat untuk menyampaikan suara anak muda – khususnya para pelajar Islam di negara ini – berkaitan dengan isu-isu semasa yang melatari suasana dalam negara pada hari ini. Apa yang kami ingin sampaikan adalah merupakan suara hati kami yang tulus ikhlas ingin melihat nasib umat terbela, serta masa depannya terpelihara. Kami meletakkan harapan tinggi, bahawa selaku Perdana Menteri Malaysia, Pak Lah akan memberikan perhatian yang sewajarnya dan mengambil tindakan serius terhadap perkara yang kami utarakan.

Untuk makluman Pak Lah, kami berasa terkejut dengan pengumuman yang telah dibuat oleh Datuk Seri Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) bahawa kuota biasiswa untuk pelajar bukan bumiputra dinaikkan daripada 10% kepada 45%. Kami bukanlah ingin menafikan hak pelajar bukan bumiputra untuk mendapatkan biasiswa. Malah, kami juga menyokong dan bersetuju bahawa pelajar bukan bumiputra harus diberikan perhatian dan pembelaan yang sewajarnya.

Namun, bak kata pepatah Melayu, “kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan”. Kami melihat keputusan itu akan memberikan kesan yang negatif kepada pelajar bumiputra. Pelajar bumiputra adalah penduduk majoriti di negara ini, maka adalah wajar kuota biasiswa untuk pelajar bumiputra diberikan lebih banyak daripada pelajar bukan bumiputra. Malah, hak-hak keistimewaan Melayu juga telah dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan. Kami khuatir bahawa pelajar bumiputra, khususnya Melayu, akan semakin terpinggir. Kita perlu menyedari realiti bahawa terdapat lebih ramai pelajar bumiputra yang kurang berkemampuan jika hendak dibandingkan dengan pelajar bukan bumiputra. Akhirnya, kesukaran mendapatkan biasiswa akan menyebabkan pelajar bumiputra semakin terpinggir dan keadaan ini pastinya akan menjurus kepada ketidakseimbangan sosial.

Justeru, kami memohon agar Pak Lah mengkaji semula keputusan untuk menaikkan kuota biasiswa kepada bukan bumiputra dengan mengambil kira impak dan kesan jangka panjangnya kepada nasib umat, bangsa dan negara.

Selain daripada isu tersebut, kami juga ingin menyatakan rasa kesal, sedih dan kecewa kami terhadap keputusan kerajaan menaikkan harga petrol daripada RM1.92 selitar kepada RM2.70 seliter. Kenaikan mendadak tersebut telah menghadirkan rasa panik di kalangan masyarakat. Kami berasa sedih kerana rakyat telah dibebankan dengan bebanan kewangan yang tidak sepatutnya diberikan kepada rakyat. Sebagai sebuah negara pengeksport minyak, seharusnya rakyat negara ini turut sama berkongsi nikmat daripada hasil negara.

Kami ingin menyatakan kepada Pak Lah bahawa rakyat sangat-sangat terkesan dengan kenaikan harga minyak. Adalah hampir mustahil kenaikan harga minyak tidak akan diiringi dengan kenaikan harga barangan yang lain, seperti bahan makanan dan keperluan harian. Kelompok rakyat miskin pastinya akan mengalami kesan yang sangat teruk dengan keadaan tersebut. Kalau benarpun kenaikan harga minyak ini sesuatu yang kerajaan ‘terpaksa’ lakukan, maka kami memohon pemimpin-pemimpin negara ini dengan diketuai oleh Pak Lah untuk bersama-sama rakyat ‘memikul’ beban terhadap kenaikan minyak ini.

Di kesempatan ini, kami ingin menyeru kepada Pak Lah supaya mengambil langkah-langkah yang serius dan benar-benar ‘mesra rakyat’ bagi memastikan supaya rakyat tidak terbeban dengan kenaikan harga minyak ini. Jika benar kerajaan tidak mampu untuk menurunkan harga minyak, maka kami menyeru agar Pak Lah mengambil tindakan-tindakan lain seperti menaikkan gaji minimum pekerja, menurunkan harga barangan keperluan asas, memberikan pendidikan dan rawatan kesihatan percuma, dan sebagainya. Untuk menampung kos-kos pentadbiran negara, kami mencadangkan agar elaun para menteri dipotong, dan segala projek-projek yang telah dirancangkan dinilai semula dari segi keperluan dan manfaatnya kepada rakyat negara ini seluruhnya.

Kami sangat-sangat berharap agar Pak Lah dapat menimbang secara serius apa yang kami kemukakan ini. Kami bukanlah mengharapkan apa-apa imbuhan, dan kami juga tidak punya apa-apa kepentingan politik. Apa yang menjadi harapan kami cuma supaya umat mendapat pembelaan yang sewajarnya. Kami mendoakan agar kita semua dapat bersama-sama memainkan peranan kita dan menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kita dengan sebaik-baiknya.

Sekian, terima kasih.

Previous
Next Post »

3 comments

Click here for comments
Anonymous
admin
6:29 pm ×

Saudara dah hantar ke surat tu kpd Pak Lah?

Reply
avatar
Anonymous
admin
11:47 am ×

x payah bagi lah surat tu kat pak lah. bukan pak lah baca pun surat tu. aku ada kawan yang perjnah kerja kat jpm 2. kawan aku yang baca surat-surat korang and simpan dalam fail. 2 jek. c caye. try la anta.

Reply
avatar
Anonymous
admin
3:48 am ×

walaupun dh tlmbt mok ngomen,try la www.warkahuntukpm.com. wallahualam

Reply
avatar