PROGRAM PENGAJIAN ISLAM TIDAK WAJAR DIPINGGIRKAN

SIARAN MEDIA
PERSATUAN KEBANGSAAN PELAJAR ISLAM MALAYSIA (PKPIM)
26 MEI 2008 / 20 JAMADILAWAL 1429H

Tindakan pembatalan memorandum persefahaman (MoU) antara institut pengajian tinggi tempatan dengan Universiti Al-Azhar di Mesir bagi program-program Pengajian Islam di negara ini adalah amat mendukacitakan. Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berasa kesal di atas tindakan tersebut yang dilakukan dengan alasan kursus tersebut kurang laku dan kurang mendapat perhatian sektor pekerjaan. PKPIM berpendapat bahawa adalah tidak wajar pembatalan MoU tersebut dilakukan atas alasan sedemikian, yang menggambarkan bahawa program-program Pengajian Islam seolah-olah dipinggirkan dan dianggap kurang penting berbanding program lain.

PKPIM berpandangan bahawa program-program Pengajian Islam haruslah diletakkan sebagai program yang paling penting dalam dunia pendidikan. Program Pengajian Islam adalah sangat penting untuk melahirkan individu-individu yang mempunyai pengetahuan agama Islam yang benar dan kukuh, yang akhirnya mereka inilah yang akan menjadi paksi dalam masyarakat bagi mencorak akhlak, sifat dan budaya. Seandainya program Pengajian Islam ini dipinggirkan, maka dikhuatiri masyarakat akan menghadapi kecelaruan sistem nilai yang akhirnya membenihkan gejala-gejala sosial yang tidak sihat.

Program Pengajian Islam tidaklah harus dilihat dan diletakkan sama taraf dengan bidang-bidang pengajian yang lain. Hal ini demikian kerana bidang Pengajian Islam adalah bidang pengajian yang fundamental untuk semua insan, dalam apa jua bidang dan profesion yang diceburi. Malah, usaha untuk melahirkan generasi Muslim yang berketrampilan dan berdaya saing tinggi haruslah didasari oleh asas agama yang kukuh. Sebagai negara Pengerusi OIC, seharusnya negara ini mempelopori usaha desekularisasi dalam pendidikan, menjadikan proses mengulama’kan intelektual dan mengintelektualkan ulama’ sebagai dasar dalam melahirkan modal insan kelas pertama.

Justeru, program Pengajian Islam tidak harus ditanggapi sebagai semata-mata untuk memenuhi pasaran kerja. Dalam hal ini, kita tidak harus melihat elemen pembangunan itu dari dimensi fizikal dan material semata-mata. Kita perlu belajar daripada kesilapan dunia Barat, yang lebih mementingkan pembangunan dari sisi fizikal dan material sehingga meminggirkan sisi spiritual dan agama, yang akhirnya menyebabkan kecelaruan nilai yang sangat teruk dan mengakibatkan wujudnya banyak permasalahan sosial. Kita perlu melihat pembangunan modal insan yang berteraskan kefahaman dan penghayatan agama yang kukuh itu sebagai dimensi pembangunan yang paling penting bagi menjamin masa depan negara yang maju.

Namun dalam masa yang sama, kursus-kursus kemahiran dan profesional juga boleh diketengahkan kepada para pelajar yang mempelajari bidang Pengajian Islam. Mereka yang berada dalam bidang Pengajian Islam tidak harus disempitkan skop peranan dan tugas mereka kepada hanya sekadar mengajar di sekolah-sekolah atau surau-surau. Dalam dimensi yang lebih luas, pelajar-pelajar Pengajian Islam juga mempunyai peranan yang sangat penting dalam bidang-bidang lain seperti bidang perbankan dengan berkembangnya perbankan Islam di negara ini.

Justeru, PKPIM mencadangkan agar pihak kerajaan mengkaji semula pembatalan MoU dengan universiti tersohor di dunia yakni Universiti Al-Azhar. Selain daripada itu, PKPIM juga mencadangkan agar program-program Pengajian Islam diletakkan sebagai program-program yang mendapat keutamaan di peringkat kerajaan dan diberikan perhatian yang sepenuhnya. Malah, program-program pengajian bersepadu, yakni program pengajian agama dan sains sekaligus, yang kini sudah dijalankan di beberapa institusi pengajian tinggi di negara ini, boleh dikembangkan lagi dan dijadikan sebagai antara program popular bagi melahirkan modal insan berkualiti.

ABDUL MUNTAQIM BIN ZULKIPLI

Sila baca laporan akhbar tentang pembatalan MoU ini di sini.

Previous
Next Post »

2 comments

Click here for comments
2:40 pm ×

salam perjuangan...

ya, ana sependapat dengan enta...

darimana datangnya modal insan seperti yang dicanang jika begini jadinya...

Reply
avatar
Seanna
admin
5:38 pm ×

People should read this.

Reply
avatar